31 August 2009

23 August 2009

Ramadan Yang Manis

Salam para pelajar yang dirahmati Allah Taala

Sudah sehari kita berpuasa yang menandakan ada kelainan dalam kehidupan kita berbanding dengan hari-hari yang lalu. Cabaran utama lapar dan dahaga perlu ditempuhi dengan tabah sesekali terlihat air minuman mahupun maggi cuma ketinggian iman mampu menghindarinya.
Pelajar jangan sesekali terpedaya dengan hasutan shahwat yang selalu mengoda supaya membuka puasa kerana terpengaruh dengan makanan atau minuman. Meninggalkan puasa pada bulan ramadan kemudian tidak sama dengan gantian puasa pada bulan selepas ramadan sebagaimana hadis:

Rasulullah Saw menekankan kewajipan berpuasa dalam sabdanya: "Sesiapa yang tidak berpuasa sehari pada Ramadan tanpa keuzuran yang diizinkan Allah, kemudian dia berpuasa sepanjang hayat untuk menggantikan puasa pada Ramadan, maka nilai dan ganjarannya tidak akan sama." (Hadis riwayat Al-Tirmizi).

Justeru, ketabahan hati untuk berniat untuk berbuka puasa hanya kerana terpengaruh dengan makanan ataupun minuman hendaklah dibuang ke tepi. Memperkuatkan iman dengan zikir serta selalu mengingatkan diri kepada Allah adalah jalan ke arah membetulkan ibadat puasa kepada laluannya.
Perkara yang membatalkan puasa:
a) Makan dan minum
b) Bersetubuh dengan isteri pada pada siang hari bulan Ramadhan walaupun tanpa keluar mani.
c) Mengeluarkan air mani dengan perbuatan secara lansung yang disengajakan seperti mengeluar dengan tangan (sama ada tangan sendiri atau tangan isteri), bercium atau berpelukan dengan isteri dan sebagainya. Adapun jika keluar mani kerana melihat atau berfikir/khayal, tidaklah membatalkan puasa, kerana ia seumpama mimpi, kecuali orang yang menjadi kebiasaan baginya. Namun begitu perbuatan tersebut adalah makruh. Begitu juga, jika yang keluar adalah air mazi, tidaklah membatalkan puasa.
d) Memasukkan sesuatu ke rongga dalam badan (iaitu rongga halqum ke perut, rongga kepala (otak), usus dan pundi kencing) melalui saluran yang terbuka di badan. Sama ada benda yang dimasukkan itu kecil atau besar, makanan atau bukan makanan. Yang dimaksudkan saluran terbuka pada badan itu ialah mulut, hidung, telinga, kemaluan/faraj (saluran kencing) dan dubur (saluran berak).
Di antara perkara yang membatalkan puasa;
i. Menitik atau memasukkan air/ubat ke dalam dubur (saluran berak) dan kemaluan/faraj (saluran kencing)
ii. Memasukkan air/ubat ke dalam telinga jika sampai ke bahagian dalam telinga
iii. Memasukkan kayu atau sebagainya ke bahagian dalam telinga
iv. Menyedut air/ubat melalui hidung hingga melepasi bahagian akhir hidung (yakni hingga sampai ke kepala) atau hingga masuk ke kerongkong.
v. Memasukkan asap ke hidung atau ke kerongkong (menghisap rokok)
vi. Berlebihan ketika berkumur atau membasuh hidung hingga masuk air ke kerongkong atau ke kepala
vii. Memasukkan ujung jari ke dalam dubur atau faraj melebihi had yang diperlukan ketika beristinjak tanpa darurat
e) Kedatangan haid dan nifas. Wanita apabila kedatangan haid atau nifas, maka batallah puasanya dengan sendirinya. Namun wajib ke atasnya menggantikan puasanya yang tertinggal kerana kedatangan haid dan nifas itu pada hari-hari lain di luar Ramadan.
f) Pengsan sepanjang hari. Jika seorang berniat pada malam hari untuk berpuasa, kemudian pada siangnya ia pengsan sejak dari mula terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari, maka batallah puasanya dan wajib ia menggantinya pada hari yang lain. Namun jika ia tersedar pada mana-mana waktu dari siang itu, tidaklah batal puasanya.
g) Gila. Jika seseorang itu menjadi gila, batallah puasanya kerana ia telah hilang darinya kelayakan untuk beribadah. Dan tidak wajib atasnya (menggantikan) puasanya itu kerana kewajipan puasa itu gugur darinya pada masa hilang syarat taklif darinya iaitu berakal. Ia seumpama seorang yang tidak berpuasa kerana masih kecil, maka tidak perlu ia menggantikan puasanya kerana belum mencukupi syarat taklif padanya iaitu baligh (sampai umur).

21 August 2009

Di Sebalik Hukuman Untuk Kartika @ Taubat Nasuha

Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar
Salam kepada semua pelajar yang dikasihi Allah SWT. Mengambil iktibar dari beberapa kes yang mengejutkan terjadi di dalam negara kita baru-baru ini kepada Kartika Sari Dewi, yang mana bukanlah sesuatu yang pelik kalau seseorang melayu ditangkap kerana minum arak dan Kartika ialah salah seorang melayu yang beragama Islam telah ditangkap di Cherating pada 11 Julai 2007 yang lepas kerana meminum arak di salah sebuah resort. Dia telah didapati bersalah dan dikenakan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dengan denda sebanyak RM5000 dan sebatan sebanyak 6 kali. (Bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah (1984) ialah kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga 3 tahun dan denda sehingga RM5000 atau sebat 6 kali atau kedua-duanya)
Saya ingin mengambil yang positif tentang ibu kepada seorang anak ini cukup reda dengan hukuman yang dijatuhkan tanpa sedikit pun memperlekahkan hukuman yang dijatuhkan malah meminta dilaksanakan segera. Contoh yang baik yang ditunjukkan oleh Kartika ini sepatutnya menjadi satu ikutan masyarakat Islam yang lain kalaulah dijatuhkan hukuman yang berlandaskan al-Quran ini - maka pesalah minta cepat-cepat dilaksanakan hukuman kemudian disertai dengan taubat nasuha (yakni taubat bersungguh-sungguh dengan nekad dan azam untuk tidak melakukannya lagi) Sebagaimana maksud hadis:
Sesungguhnya, pintu taubat masih terbuka bagi semua manusia hingga matahari terbit dari barat. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah membuka Tangan-Nya pada malam hari supaya orang yang melakukan kejahatan pada siang hari bertaubat dan Dia membuka Tangan-Nya di siang hari supaya yang melakukan kejahatan pada malam hari bertaubat hingga matahari terbit dari barat." (Riwayat Muslim)
Tindakan Kartika ini disokong oleh bapanya iaitu Shukarnor Abdul Mutalib yang meminta agar Kartika di sebat di khalayak ramai untuk memberi peringatan kepada umat Islam yang lain supaya menjauhi perbuatan minum arak ini. Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang yang benar-benar ingin membersihkan diri kepada dari dosa-dosa lalu sebagaimana firman-Nya dalam (Surah Al-Baqarah: ayat 222) "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."

Enakmen dan Akta Kekeluargaan Islam di Malaysia
Undang-undang kekeluargaan Islam merupakan suatu akta bagi mengkanun peruntukan-peruntukan tertentu undang-undang kekeluargaan Islam mengenai perkahwinan, penceraian, nafkah, penjagaan dan lain-lain yang berkaitan dengan kehidupan keluarga. Setiap individu di Malaysia boleh merujuk kepada undang-undang kekeluargaan mengikut negeri-negeri berikut:

1. Johor: Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Johor 5/1990
2. Negeri Sembilan: Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 7/1983
3.Pahang: Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 3/2005
4.Perak: Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak 13/1991
5.Perlis: Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis 4/1992
6.Pulau Pinang: Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang2/1985
7.Selangor: Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 4/1984
8. Terengganu: Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Johor 12/1985
9. Kedah: Enakmen Keluarga Islam Kedah 1/1984
10 Kelantan: Enakmen Keluarga Islam Kelantan 1/1983
11 Melaka: Enakmen Keluarga Islam Melaka 8/1983
12 Sabah: Enakmen Keluarga Islam Sabah 15/1992
13Sarawak: Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Sarawak 5/1991
1 4.W. Persekutuan: Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (A303) 1983 pindaan / (A828)

Perhatian: Para pelajar perlu perhatikan antara perbezaan antara Enakmen, Ordinan, dan Akta yang digunapakai oleh setiap negeri. Boleh dikatakan semua negeri memakai Enakmen kecuali Sarawak (Ordinan) Wilayah Persekutuan (Akta) yang memberikan perbezaan dari segi peruntukkan kuasa dan hukuman.

19 August 2009

Apabila Dicabut Malu Oleh Tuhan

Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar
Salam sejahtera kepada para pelajar yang dikasihiAllah sekalian,
"Malu itu adalah sebahagian dari iman" Pada umumnya kebanyakan masyarakat Islam mengakui selalu terdengar hadis ini. Lumrah yang semakin ditakuti pada hari ini sudah makin membarah di kalangan remaja dan belia pada masa kini. Klip video aksi remaja mulai menyelubungi persekitaran pembesaran generasi kini. Ketakutan masa depan generasi muda ini sekiranya tidak dikawal atau adanya satu tindakan drastik dari pelbagai pihak maka akan melahirkan sebuah panorama masyarakat yang luar biasa kadar kes jenayah seksual. Remaja makin meliar dengan kuasa kejahatan yang melampai batas agama dan paras norma masyarakat di negara kita kian meningkat. Kita harus bertanya kepada diri sendiri. Sejauh manakah iman di dada mampu mengawal kemahuan shahwat dan fitrah semula seks yang diberikan oleh Allah Taala? Keindahan fitrah semula jadi manusia melalui hubungan seks secara halal yakni melalui proses akad nikah harus diutamakan dan diberi perhatian serius.
Dalam suatu hadits, Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla, jika Dia berkehendak untuk membinasakan (menghancurkan) seorang hamba, maka Dia akan mencabut rasa malu dari hamba tersebut. Jika rasa malu telah tercabut darinya, maka Allah tidak akan mendapati hamba tersebut kecuali sebagai orang yang dimurkai dan dibenci-Nya. Jika ia telah menjadi orang yang dimurkai dan dibenci oleh Allah, maka tercabutlah darinya amanah.
Jika sikap amanah telah tercabut darinya, makaAllah tidak akan mendapatinya kecuali sebagai orang yang berkhianat dan pembuat khianat, maka akan tercabutlah darinya kasih sayang (rahmat) Allah. Jika kasih sayang Allah telah dicabut darinya, maka ia tidak lain adalah orang yang terkutuk dan terlaknat. Dan jika Allah telah menetapkannya sebagai orang yang terkutuk, maka tercabutlah darinya perlindungan Islam” (HR. Ibnu Majah).
Justeru, apa yang berlaku kini memerlukan semua pihak membuka mata mencari jalan penyelesaian. Pihak berkuasa perlu menguatkuasakan pengedaran bahan-bahan lucah serta sebarang bentuk pornografi dari merebak di kalangan remaja terutamanya pasar malam yang menjadi tumpuan semua golongan masyarakat yang berusia dan lapisan kanak-kanak perlu bebas dari lambakan vcd haram oleh peniaga yang mementingkan keuntungan dari melihat bahayanya bahan jualanya. Ibu bapa perlu memastikan seisi kediamannya terhindar dari sumber bahan-bahan lucah yang boleh merosakkan minda anak-anaknya.
Ditulis oleh Ust Muhd: muhd@live.com.my

17 August 2009

Kepelbagaian Anugerah Allah Taala Untuk Setiap Insan

Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar
Salam,
YM Raja Samri, anak kelate yang mampu membuktikan bahawa seseorang yang cacat yang mampu menghalang sebarang kemungkinan yang kadang kala tak tercapai oleh manusia sempurna. Katanya;
"insan kerdil di bumi Tuhan yang dilahirkan serba kekurangan tetapi amat bersyukur dan ingin mengajak semua manusia agar BERSYUKUR dengan rahmatNYA"
Setelah membaca segala kata yang disampaikan oleh Raja Samri yang kadang kala mengajak berbicara soal masa kecilnya yang cukup sulit. Aku teringkat beberapa orang lagi yang mana pernah merasai sepenceritaan dengan Raja Samri.(Mungkin cuma berbeza scene sahaja)
Anak-anak kelantan yang lahir dalam keperitan hidup zaman 70 an, 80 an, 90 an pasti mempunyai seribu penceritaan yang tersimpan dalam diari diri. Terbungkus dalam sayu dan pilu untuk dikenangkan.
Aku cuba memilih untuk membanding Halim Yazid, seorang anak kelate yang berjaya, setelah bergelumang dengan kehidupan sukar di Pasir Puteh kini memilih untuk menjadikan bidang seni sebagai luahan kepada anak-anak muda zaman sekarang. Berbalik kepada satu kisah Halim Yazid ini yang pernah bercerita dalam dikirnya yang bertajuk "Diri Ambo". Aku berkali-kali menghayati lagu tersebut bahkan bila mana terdengar lagu itu pasti membuatkan anak-anak kelate terkenang kisah penderitaan masa lalu.
Umumnya akan mengakui, rata-rata anak kelate mengalami kesusuhan hidup (negeri yang dahulunya paras kemiskinan yang tinggi) cuma Halim Yazid telah dipilih oleh Allah Taala untuk menyampaikan kisah-kisah sedihnya di waktu kecil yang pernah makan nasi tiada lauk, (tapi mujurlah negeri kelate ada budu), Halim juga tidak dapat menyertai rombongan sekolah kerana tiada duit RM10.00 untuk membayar yuran penyertaan (mengapa tiada guru yang bersimpati ketika itu), Halim sering didenda oleh guru rumah sukan kerana tidak mampu untuk membeli kasut sukan dan banyak cerita lagi yang dilalui oleh Halim Yazid. Berbalik kepada kisah Raja Samri yang juga dilahirkan dalam situasi kemiskinan, ditambah dengan kecacatan yang menjadi diri mengalami zaman kanak-kanak yang paling tragis. (Biasalah kanak-kanak yang mempunyai sifat membuli samada dengan perkataan mahupun perbuatan pasti meninggalkan kesan kepada jiwa dan pembesaran seseorang yang pernah teruk dibuli).
Para pelajar sekalian, yang mendengar ceramah motivasi Raja Samri di Dewan al-Azim baru-baru ini harus mengambil iktibar dari pengalaman Raja Samri yang boleh dianggap luar biasa dan jarang dimiliki oleh orang kebanyakan. Gambaran yang jelas telah dipaparkan oleh Raja Sambri tidak harus diketepikan dalam rutin kehidupan pelajar. Prinsip yang dipegang oleh lelaki ini: "Kejayaan itu dicipta oleh insan biasa dengan usaha luar biasa" perlu diambil perhatian oleh para pelajar kerana semua pelajar ada bakat, kebolehan yang tersendiri yang memerlukan kepada usaha dan pengorbanan.
Aku tertarik dengan frasa yang selalu digunakan oleh Raja Samri sepanjang ceramahnya kepada pelajar dengan mengambil kira latarnya. Dia banyak menggunakan frasa yang agak sarcastic yang boleh mencabar minda pelajar.
"Kamu hendak tak mencuci kereta yang dimiliki oleh pelajar sekolah sains, MRSM jika tidak belajar bersungguh-sungguh".
Kesedaran ini perlu disemaikan dalam minda seseorang pelajar supaya lebih terangsang untuk berusaha dalam pelajaran.
Kelate : Kelantan
Sarcastic : Sindiran

15 August 2009

Jujurkan Penjual Di Pasar Malam

Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar
Salam kepada semua pelajar,
Mengunjungi pasar malam adalah sesuatu yang menyeronokkan. Budaya orang malaysia suka membeli belah di waktu malam kerana siangnya yang sibuk dengan kerjaya masing-masing. Pasar malam di serata daerah di Malaysia tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Semua orang, orang dewasa mahupun kanak-kanak tidak melepaskan peluang ke pasar malam di tempat terdekat mereka. Harus ingat! Syaitan berlegar di pasar malam dengan riang-rianya kerana di sinilah berkumpul pelbagai lapisan masyarakat dengan berbagai latar belakang. Ada yang datang bertudung tetap seksi, ada yang membiarkan aurat terdedah, ada yang lebih dahsyat datang dengan baju kelawar yang sepatutnya dipakai di kamar tidur layaknya. Aku teringat khutbat Ustaz Sahul Hamid (terkenal di Pulau Pinang) yang pernah membaca khutbah di Masjid Tok Lebai Hashim di Bukit Minyak yang berbunyi : Suami dayus! Dayus! Dayus! kerana membiarkan isteri membuka aurat dan mendedahkan badan dengan dua bungkus nasi lemak di dada. Istilah nasi lemak dua bungkus di dada telah menarik perhatian para jemaah yang menghadiri sidang jumaat pada hari itu. Aku terdengar juga suara-suara rakanku yang berada di sebelah tanjung (istilah Tanjung ini merujuk kepada sebelah pulau sana) tentang kemasyhuran Ustaz Sahul Hamid ini yang mana dengan kuliahnya yang tak lekang dengan perkataan "nasi lemak dua bungkus"dalam setiap siri ceramah agamanya. Ustaz Sahul ini mungkin amat serius tentang perlunya suami mengawal tingkah laku isteri dan anak-anak di bawah jagaannya agar menitikberatkan soal aurat. Berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang berbunyi;
"Ramai umat yang masuk neraka adalah dari kalangan perempuan kerana tidak menutup aurat"
Bagi sesiapa yang ingin menghadiri kuliah Ustaz Sahul ini bolehlah ke masjid di Teluk Kumbar berhampiran dengan sekolah agama kerana aku pernah melihat jadual kuliahnya di sana, cuma terlupa bilakah gilirinnya.

RUKUN :
1. Penjual dan Pembeli
2. Barang
3. Harga
4. Ijab dan Qabul

SYARAT SAH :

i. Penjual dan Pembeli·
Mukallaf (akil dan baligh) Kanak-kanak sah akad jual beli jika melibatkan nilai yang sedikit (mazhab Hambali) dan telah mumayiz (mazhab Hanafi)·
Dengan kemahuan sendiri·
Merdeka·
Bukan daripada golongan yang ditahan hartanya kerana bankrap atau tidak waras·
Beragama islam jika bertujuan jual beli al-Quran dan al-Hadis

ii. Barang·
Bersih dan suci·
Berfaedah·
Kepunyaan penjual atau wakilnya·
Boleh menyerahkan barang kepada pembeli ketika akad kecuali jual beli bertangguh
Penjual dan pembeli mengetahui jenis, kadar, dan sifat barang jualan

iii. Harga·
Bersih·
Harga adalah milik pembeli·
Harga itu mampu diserahkan oleh pembeli kepada penjual·
Panjual dan pembeli tahu jenis mata wang yang digunakan

iv. Ijab dan Qabul·
Tidak diselangi dengan perkataan lain·
Bersamaan ijab dan qabul walaupun berlainan lafaz·
Tidak boleh dita'likkan·
Tidak boleh dihadkan masanyaSabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya :
"sesungguhnya jual beli itu hanya sah jika suka sama suka." (Riwayat Ibnu Hibban)
Banyak pengalaman ustaz semasa membeli-belah di pasar malam yang mengecewakan antaranya dalam sekilo buah duku, buah mata kucing - ada sepertiga yang buruk, peniaga tidak jujur dengan memasukkan buah yang sudah buruk yang diletakkan di bahagian bawah. Amalkan sikap memilih sendiri buah ke dalam plastik untuk ditimbang.

13 August 2009

Mengemis Kepada Allah SWT Dengan Doa

Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, maka (jawablah) bahawa Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Al Baqarah:186)

Salam kepada semua pelajar,
Kepentingan berdoa amatlah ditekankan dalam Al-quran dan terdapat banyak ayat-ayat suci al-Quran yang menyeru kepada umat Islam berdoa. Doa adalah senjata umat Islam. Dalam kita berdoa - kita perlu menjaga adab-adabnya. Sebagai contoh kalau seorang peminta sedekah meminta sedekahnya dengan cara yang sombong, acuh tak acuh apa mungkin kita memberinya.
Maka perlu ingat - Allah akan memberi rahmah dan keberkatan kepada doa kita andainya kita beradab ketika berdoa. Pengalaman ustaz di SMTSPPP dari dulu hingga sekarang - para pelajar kelihatan tidak mengambil berat ketika berdoa (yakni menadah tangan kepada Allah SWT). Ada yang gelak, bercakap, bersikap lewa, bergurau ketika membaca doa samada ketika permulaan kelas atau ketika doa sewaktu awal pagi mahupun di dalam perhimpunan. Ingat! Para pelajar - mulai pada hari ini budaya berdoa yang beradab hendaklah dilatih dan diamalkan oleh setiap pelajar. Kita berdoa sepertilah kita mengemis kepada Allah. "Mana mungkin Allah mengkabulkan doa kita seandainya cara ketika yang menampakkan acuh tak acuh ataupun sambil lewa".

Adab-adab Berdoa kepada Allah
Ada beberapa adab yang perlu dihayati, sebelum
menyampaikan permohonan atau do’a kepada Allah SWT. Mulailah dengan bacaan-bacaan dari surah berikut:
-Surat Al Fatihah.
-Surat Al Ikhlas.
-Surat Al Falaq.
-Surat An-Naas.
Jantung Zikir yaitu bacaan:
1. Subhaanallaah wal hamdu lillah wala illa ha illallah, wallaa hu akbar. Walaa haula walaa quwwata illaa billaahil aliyyil azhiim.
2. Shalawat Nabi: Allaahumma sholli alaa Muhammadin wa’alaa aali Muhammad.
Kelihatan pelajar sedang menunjukan cara berdoa dengan baik sebagaimana cara Rasulullah SAW berdoa yakni kedua belah tangan diangkat melepasi ketiak.

11 August 2009

Bujang Lapok, Jualan Langsung & Pelaburan Internet

Ketika menonton sekejap permulaan cerita klasik di TV2 malam tadi aku mendapat idea untuk mendedahkan sedikit fenomena yang berlaku di tempat kerja. Mungkin di semua tempat terpulang kepada sesiapa yang pernah mengalami.
Mengambil sedikit scene dari filem Bujak Lapok, aku memulai dengan permulaan cerita yang mana ketika P.Ramli masuk ke pejabat sebuah syarikat untuk bertemu dengan boss syarikat itu bagi menjual minyak wanginya. Ada dua peristiwa penting yang terpapar dalam scene itu samada P.Ramli menyedarinya ataupun tidak. Budaya judi kuda di kalangan orang melayu dan wujudnya direct selling pada ketika itu.

Aku ingin membawakan kisah tentang beberapa kenalanku yang terlibat dan terkena dengan penangan jualan lansung ini. Sebagai pedoman kepada semua dan bukanlah niat untuk memperkecilkan semangat para pengedar atau usahawan MLM ini namun sebagai seorang manusia yang mempunyai rasa kemanusiaan apatah kita saudara seagama hendaklah terlebih dahulu memikirkan persaudaraan daripada keuntungan diri semata-mata.
Beberapa kenalanku ini pula ada yang kaya raya kerana MLM kalau kena dengan kerajinan dan bakat serta semangat nescaya jalan ke arah kekayaan jelas di hadapan. Umumnya akan mengakui. Aku cuba paparkan kisah beberapa orang yang telah dimangsakan ataupun memangsakan diri sendiri dengan MLM ini tanpa memikirkan dengan lebih terperinci sebelum terlibat dengan perniagaan MLM.
Jelasnya MLM memerlukan orang yang mempunyai daya tarikan secara percakapan, intrapersonal, kewibawaan dan bijak memutarkan keadaan ataupun khalayak untuk menarik perhatian kepada produknya. Kata kawanku yang expert dalam bidang MLM – manusia pada hari ini kalaulah sebiji batu kalau dijualnya pasti akan laku. Antara faktor kebodohan manusia atau ketamakan akan membantu pembelian batu itu. (Walhal sebutir batu di tepi jalan yang pandai dimanipulasikan kehebatan batu tersebut akan melahirkan pembeli).
Berpandukan kepada hadis:
Diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam r.a katanya: Daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Penjual dan pembeli diberi kesempatan berfikir selagi mereka belum berpisah. Sekiranya mereka jujur serta membuat penjelasan mengenai barang yang dijual belikan, mereka akan mendapat berkat dalam jual beli mereka. Sekiranya mereka menipu dan merahsiakan mengenai apa-apa yang harus diterangkan tentang barang yang dijual belikan akan terhapus keberkatannya .
Berbalik tentang beberapa kenalanku ini – ketika diajak oleh seseorang rakan yang bijak intrapersonalnya akhirnya menyebabkan dia sanggup membuat pinjaman berbelas ribu di bank demi mendapatkan pakej produk. Malangnya produk tersebut sangkut kerana banyak sebab akhirnya terperosok bawah katil dan tangga. Ada yang berkotak-kotak produk ubat-ubatan di dapur (syarikat MLM itu rasanya dah berkubur).
Awas! penjawat awam yang baru ditugaskan – golongan ini selalu akan didekati khususnya golongan MLM. Penjawat awam kini jadi tumpuan kerana mereka ada kelayakan memohon bank dengan cara mudah. Sama juga kalau kita menghadiri kursus (akan ada peserta yang buat-buat baik – rupanya nak jadikan kita sebagai anak buah dalam MLM). Lupakan soal itu kerana perlu ingat produk yang baik akan memberikan kesan yang positif cuma pembeli harus berhati-hati memilih. Aku pun selalu beli produk MLM. Penapis air cosway, i-charges, produk kesihatan CNI dan benda-benda lain yang perlu dan ianya ada yang berkualiti.
Dulu zaman Swiss-Cash, Dana Future, Winlifan, dan bermacam pelaburan internet yang melanda negara awal 2005 lalu, mungkin ramai yang terlibat dan terkena. Harap-harap semoga pengalaman yang telah dilalui berguna untuk katakan tidak kepada pelaburan yang menjanjikan pulangan yang besar. Labur RM100 dapat sepuluh ribu ataupun labur RM3,800 dapat hampir RM20,000 ribu. Ingatlah! Dalam islam banyak aspek yang perlu difikirkan sebelum menyertai sesuatu urusniaga. Yang lepas kita tinggalkan – mulakan kehidupan kita dengan rezeki yang jelas dan dari sumber yang halal.

07 August 2009

Tahi Judi @ Papa Kedana @ Boleh Jadi Kaya Raya

Salam,
Kali ini - saya ingin mengajak berbicara mengenai judi. Bagi pengilai nombor ekor, akhbar di bahagian belakang biasanya menjadi kegemaran. Zaman sekarang, nak tahu keputusan judi cukup senang. Tak payah membeli akhbar, hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendaftar dengan syarikat judi bagi membolehkan keputusan nombor ekor ini diperolehi di mana sahaja berada selagi signal telekomunikasi boleh dikesan.
Hantu nombor ekor ini makin menular di mana sahaja, baik di sektor swasta, di kalangan pekerja kilang malah kakitangan awam pun ada yang terlibat. Golongan tahi judi ini akan setiasa berfikir untuk menjadi kaya raya.
Aku teringat satu pengalaman sewaktu menjadi warga kota dahulu. Ada seorang pakcik yang menjual air tebu di tepi jalan bersebelahan dengan kilang akhbar (salah satu akbar perdana tempatan). Aku masih menyimpan catatan tentangnya dalam diariku yang masih tersimpan. Dari dulu aku akan mencatat sesuatu yang berlaku yang menjadikan aku kecewa ataupun tidak berpuas hati. Ceritanya: Sewaktu dulu aku kerap singgah minum air selepas balik dari kuliah pada lewat petang dengan harapan boleh mengkayakan orang sesama Islam. Boleh dikatakan hampir setiap hari aku melewati gerainya. (gerai kecil jenis pasang siap)
Entah macam, pada suatu malam ketika aku sedang makan di restoren mamak dekat Jalan Bangsar, aku terlihat dia sedang berborak dengan ralitnya tentang nombor ekor. Di tangannya ada beberapa keping keratan nombor ekor dibelinya. Mulai hari berikutnya, aku tidak singgah lagi minum di gerainya itu. Bukan apa, aku terlalu kecawa kerana setiap wang hasil jualan air tebunya akan dilaburkan dalam syarikat nombor ekor. Biasanya tahi judi akan menghabiskan duitnya yang sepatutnya digunakan untuk keluarga, paling tidak untuk membeli buku-buku agama.
Firman Allah dalam Surah al-Maidah : 90-91
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi adan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan dari mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripda melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?”
Para pelajar, sebarang bentuk unsur judi dalam kehidupan kita perlu dijauhi kerana kalaulah kita cuba berjinak-jinak untuk mendekatinya pasti kita akan dihambai dengan keinginan yang meluak-luak terhadap judi. Tahi judi biasanya akan hidup dalam angan-angan untuk meraih kekayaan dengan cara yang singkat. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Barangsiapa yang memperolehi harta dari sumber dosa (haram seperti judi dan sebagainya)
,lalu dia menggunakannya untuk menghubungkan silaturrahim atau bersedekah atau berderma pada jalan allah, maka dikumpulkan semua dan diciptakan bersamanya (orang tersebut) kedalam neraka jahanam". (Riwayat Abu Daud)
Justeru - seandainya kita pernah terlibat dengan judi maka kembalilah ke pangkal jalan dengan melakukan taubat nasuha(taubat yang bersungguh-sungguh disertai dengan keazaman untuk meninggalkan dosa tersebut) dan firman Allah SWT:
"Sesungguhnya syitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran arak dan judi itu serta mahu memalingkan kamu daripada mengingati allah dan daripada mengerjakan solat.Oleh itu,berhentilah (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu).
(Al-Maidah ayat 91)

Maklumat Selsema Babi


Salam, kepada semua guru dan pelajar, sila klik laman ini untuk mengetahui informasi terkini H1N1 ataupun Selsema Babi

http://h1n1.moh.gov.my/

05 August 2009

Paparan Minggu Ini : Masjid Saidina Abu Bakar & Jalan Telawi

Salam,

Ini pemandangan sekitar Jalan Telawi, Bangsar. Segaja aku ingin memaparkan secalur kehidupan penghuni Lembah Klang, Kuala Lumpur yang pernah menjadikan diriku sebagai salah seorang penghuninya. Jarak dari kampus Universiti Malaya ke Jalan Telawi (laluan jalan pintas) hampir 10 kilometer.
Masjid Saidina Abu Bakar yang terletak di tengah pusat bandar itu, bersebelahan dengan pelbagai pusat hiburan terkenal di ibu kota. Sebut Jalan Telawi semua orang akan tergambar kemewahan hiburan serta gaya hidup yang terkini.
Lambakan pusat hiburan yang binggit - menengelamkan kemurnian Masjid Saidina Abu Bakar yang telah wujud hampir 25 tahun. Pernah suatu ketika Jalan Telawi dikejutkan dengan Pesta Buih. Pesta anak muda mandi-manda dalam kolam dengan anak baju. Mengejutkan!!!.
Remaja membesar di kota diajarkan dengan pelbagai cabaran malah tidak hairan jika berada di Telawi Town ini kelihatan remaja perempuan dan lelaki berpelesaran tanpa mengira kaum. Paling menyedihkan, pernah kusaksikan seorang remaja perempuan dipapah oleh lelaki bangsa asing dalam keadaan "mabuk air kencing syaitan".

Medan Selera di Jln Telawi 2, di sini tempat peniaga melayu mencari rezeki. Mungkin salah sebuah meja mungkin pernah kududuki kerana aku pernah menetap hampir 2 tahun di Jalan Riong (belakang kilang NSTP) berdekatan dengan Mutiara Bangsar.
Bernama sahaja islam tanpa menghayati agama sedalamnya adalah jalan pintas ke arah murtad. Musababnya orang yang nama Islam, tapi hakikatnya jahil dengan agama mudah terpengaruh dengan tawaran kebendaan, kemahuan shahwat yang pelbagai permintaan. Petanda kehancuran umat islam akan jelas berlaku sekiranya solat yang merupakan tiang agama diabaikan oleh kita semua. Tuntutan menunaikan solat telah dijelaskan dalam hadis Nabi Muhammad SAW: “Perintahkan anak-anak kamu menunaikan sembahyang ketika umurnya tujuh tahun dan pisahkan tempat tidurnya.”
Jelas daripada hadis ini bahawa solat adalah penting dan pergaulan bebas adik-beradik pun dilarang, maka apatah lagi pergaulan bebas dengan orang lain yang halal nikahnya. Sudah tentulah ia sangat dilarang. Keutamaan solat juga dijelaskan dalam al-Quran:
Firman Allah bermaksud; “Dan dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al Ankabut ayat: 45)
Jadi apabila sembahyang ditinggalkan maka hilanglah perisai yang dapat mengawal diri seseorang daripada melakukan kemungkaran.
Remaja yang dibesarkan di ibu kota tidak juga perlu dipersalahkan seratus peratus kerana mereka dilahirkan dalam serba kepincangan keluarga. Barangkali Islamnya kerana bapanya bernama Ramli dan Ramli bernama islam pun kerana datuknya islam pada nama sahaja bukannya berpegang kepada Islam kerana sejahtera dan selamatnya Islam.

03 August 2009

Imam Basiri - Masjid Tok Lebai Hashim: Perginya Dalam Keindahan

Salam
Sewaktu menghabiskan usia malam tadi, aku terdetak untuk meneliti akhbar lama yang tersimpan di bawah meja ruang tamu, akhirnya menemukan aku dengan keratan akhbar metro yang bertarikh 11 julai 2009 yang lalu.
Aku merasakan amat perlu untuk dipaparkan di sini sebagai iktibar malah pengajaran yang baik buat semua yang bernama umat Islam.
Kematiannya Basiri di saat membaca khutbah di Masjid Lebai Hashim (masjid yang kukira ada kelainan dengan masjid lain) pada tengah hari jumaat 10 julai - akan mengingatkan semua jemaah yang hadir betapa penting nyawa dicabut Izrail di tempat yang mulia.
Aku telah diajak Ust Hishamuddin pada petang itu untuk ke Masjid Lebai Hashim bagi menyaksikan sendiri jenazahnya yang masih terbaring di tempat imam.
Garis-garis keindahan tercermin di wajah Allahyarham Basiri.
"Matinya mengakhir kareiernya sebagai Imam,"kata Utz Hishamuddin kepadaku.
Aku merenung jauh di pelbagai penjuru, meningatkan sejenak tentang kematian. Aku jua akan berangkat. Imam Basiri pergi ketika berdiri membaca khutbah. Aku menundukkan pandangan untuk merebahkan keinsafan agar bersatu dalam nurani yang paling dalam untuk melihat ke hadapan hari.
Justeru, para pelajar sekalian, manfaatkan masa yang ada dengan menuntut ilmu, solatlah dengan khusuk, serta patuhlah kepada perintah Allah Taala sebagaimana:
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati."
(riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
*Klik pada keratan akhbar untuk membaca saat kematian Imam Basiri.

02 August 2009

Jangan Bermain Dengan Cinta

Salem,
Para pelajar yang dikasihi sekalian,
Waktu remaja adalah waktu yang paling rumit untuk dilalui. Saya akui bahawa perubahan hormon yang berlaku menjadikan kamu tidak stabil dalam apa juga tindakan. Malah ada perasaan yang baru akan muncul di gerbang usia, yang perlu kamu berjuang untuk menafikannya. Inilah yang bakal menguji kekuatan minda dan keimanan kepada Allah Taala. Apatah lagi sebagai seorang Islam kita harus menjaga batas-batas pergaulan supaya tidak melampau batas.
Dalam pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi (tiada pertalian), tidak dibenarkan berlaku sentuh menyentuh, pegang memegang, cuit mencuit dan seumpamanya walaupun dalam keadaan bergurau dan hubungan yang rapat termasuk bertunang.
Dari Maqil bin Yasar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sekiranya ditikam di kepala seseorang kamu dengan sebatang besi adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh.” (Hadis Riwayat Baihaqi) .
Selain itu, sesorang perempuan yang baik tidak akan menggunakan bahasa yang merdu ataupun lembut dengan mana-mana lelaki bukan mahram kerana suara perempuan adalah aurat dan kalau tidak dijaga dengan baik nescaya akan menarik perhatian lelaki ataupun ghairah shahwat.
Firman ALLAH SWT di dalam surah al-Ahzab, ayat 32, maksudnya:
Wahai isteri-isteri Nabi! Kamu semua bukanlah seperti mana perempuan-perempuan yang lain jika kamu tetap bertaqwa. Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya, berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).)

Imam Ibnu Kathir mantafsirkan ayat di atas dengan menyatakan bahawa ianya adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh Allah kepada para isteri Rasulullah SAW dan juga kepada para wanita mukminah iaitu hendaklah berbicara dengan orang lain (lelaki) tanpa suara merdu iaitu janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya.
Justeru, berhati-hatilah kita dalam pergaulan jangan sampai perasaan CINTA yang dialami oleh kita menguasa iman lalu kita senang diajak syaitan untuk melakukan maksiat.

01 August 2009

Sumber Yang Halal - Untuk Hati Yang Bersih

Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar
Firman Allah yang bermaksudnya; Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya). ( Surah Al A'raf : 57 )



Salam para pelajar.

Dalam menjalani kehidupan seharian - kita perlu berhati-hati dengan apa yang kita makan supaya hati kita bersih dari benda-benda yang haram. Hati yang kotor akan memulakan kehidupan kita yang sukar untuk menerima hidayah Allah Taala serta susah untuk menerima ilmu-ilmu dari Allah atau nasihat-nasihat yang baik.

Elakan dari mencuri makanan rakan-rakan sebilik kita tanpa izinnya. Ini kerana maksud dari hadis Nabi Muhammad SAW:

Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ini terdapat segumpal darah. Apabila segumpal darah itu baik, maka baik pula seluruh anggota tubuhnya. Dan apabila segumpal darah itu buruk, maka buruk pula seluruh anggota tubuhnya. Segumpal darah yang aku maksudkan adalah hati.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Maka bermula dari sekarang jagalah makanan yang ingin kita suapkan ke mulut - pastikan ia halal dan dari sumber yang halal.

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU