14 January 2012

Fitnah menerusi laman sosial gugat keharmonian

Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar (Disiarkan di Berita Harian pada 12.01.2012)

Salah guna teknologi terkini boleh rosakkan pemikiran, gaya hidup dan maruah

PENGHUJUNG zaman sering diperkatakan dengan kedatangan fitnah sama ada besar atau kecil, ianya cukup berbahaya menggugat keharmonian umat Islam. Dalam perhubungan seharian membabitkan tutur kata berbentuk percakapan, bisikan, gurauan, sindiran, kiasan dan bermacam lagi. Semua mesti ditekankan aspek penyaringan daripada terdapat unsur fitnah, tohmahan, umpatan, hinaan ataupun kejian. Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. - (Surah al-Nur, ayat 11) Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah an-Nur, ayat 19)

Zaman pertukaran teknologi masa kini menyaksikan pelbagai peringkat masyarakat, tidak mengira usia, kedudukan dan latar belakang semakin serasi dengan penggunaan teknologi moden terkini iaitu internet.

Kesemuanya boleh dicapai di mana saja berada dalam apa juga keadaan melalui telefon bimbit atau komputer riba dalam pelbagai saiz dan bentuk yang menarik, senang dibawa ke mana.

Penerimaan internet sebagai media baru perhubungan, komunikasi dan sebaran am menjangkau jutaan pengguna seperti Google, Yahoo, MSN dengan pelbagai perisian antaranya facebook (FB), wordpress, friendster, myspace, twitter dan bermacam saluran lain.

Setiap kemudahan teknologi menjanjikan manfaat walaupun tidak dinafikan turut terkandung seribu satu keburukan jika tidak dikawal sebaiknya berupaya merosakkan cara pemikiran, gaya hidup dan maruah.

Kebaikan pelbagai kemudahan di internet yang melangkaui sempadan ternyata memudahkan lagi proses perbincangan ilmu, isu dan topik semasa, penyebaran maklumat, hebahan atau undangan secara lebih meluas serta pantas.
Malah, kemudahan itu turut membina tali persaudaraan dengan mendekatkan yang jauh selain membuka ruang berbicara. Bagaimanapun, hakikat ada yang menyalahgunakan kemudahan itu tidak dapat ditolak.
Justeru, komuniti alam maya sentiasa diingatkan supaya bertanggungjawab di atas setiap tindakan mereka. Selain menjaga batas perhubungan, Islam turut menegah pengguna mengeluarkan kata-kata berunsur memfitnah, mengaibkan dan membuat tuduhan boleh menjurus kepada perpecahan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.” (Surah al-Nur, ayat 11)

Wujud kecenderungan dalam komuniti laman sosial sekarang ini menyebarkan fitnah atau membuat tuduhan melulu terhadap pihak lain dengan tujuan yang hanya mereka tahu. Ada juga menggunakannya untuk menjalinkan hubungan yang dilarang.

Malah, sifat keterbukaan yang tidak ditapis serta dikawal menyebabkan berlaku insiden penyebaran gambar tidak sepatutnya sama ada oleh pemilik laman itu sendiri atau dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Sepasang kekasih sewaktu awal percintaan sering melengkapkan kenangan melalui foto peribadi akhirnya bila berkelahi masing-masing mula menjatuhkan imej pasangan meskipun gambar itu terlalu peribadi atau sangat bertentangan dengan hukum agama.
Sekeping gambar terlalu peribadi tersiar di internet boleh menjatuhkan maruah diri dalam pelbagai keadaan atau situasi. Khalayak luar tidak akan mentafsir mengikut situasi, tetapi lebih menghukum kesilapan dan membuat tafsiran berdasarkan pandangan sendiri.

Umat Islam berkewajipan menghalusi segala berita, khabar atau kenyataan supaya tidak menimbulkan kemudaratan dalam masyarakat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menampakkan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Awasi diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu adalah pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikan diri kamu bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU