
Kesempatan bertemu dengannya sewaktu melawat di Hospital Besar Pulau Pinang 26 Julai lalu masih menggamit di ingatan.
Wajahnya tampak bertarung dengan derita kesakitan ketika anggota badannya membengkak kerana disebabkan penyakit (kerosakan hati)
Mengambil iktibar dari keiklasan kata-katanya yang dalam pasrah kesakitan yang amat. "Ketika sakit kita semua akan lupa tentang malu, kemarahan akan cepat menguasai hanyalah kesabaran mampu mengatasi.
Kata-kata terakhir beliau akan sentiasa terdengar, kerana di hadapan kita ada kematian yang pasti. Milik semua manusia.
Kehilangan beliau pasti dirasakan oleh anak isteri, kaum kerabat dan sahabat terdekat. Sebaiknya mengambil iktibar ketabahan diri Rasulullah SAW ketika berhadapan dengan kematian orang disayangi. Diriwayatkan daripada Anas bahawa apabila Rasulullah SAW melihat Ibrahim, putera kesayangan baginda menghembuskan nafas yang terakhir, air mata Rasulullah mengalir deras. Lalu Abdurrahman bin Auf pun bertanya: “Mengapa engkau menangis wahai Rasulullah?”,
Baginda menjawab: “Wahai Ibnu Auf, ia adalah air mata rahmat”. Kemudian Rasulullah SAW menyambung: “Sesungguhnya mata itu dapat menitiskan air, hati dapat bersedih dan kami tidak mengatakan sesuatu kecuali yang diredai oleh Allah. Kami sangat bersedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim (Muttafaq ‘alaih).”
Pemergian Cikgu Ahmad Zoon Bin Ismail yang dilahirkan pada 1970 ke pangkuan Ilahi meninggalkan kesan yang mendalam ke dalam hati rakan sejawat dan para pelajar yang mengenali.
Bakat beliau dalam kejurulatihan bola sepak amat disegani di pelbagai peringkat. Kejayaan beliau membawa pasukan bola sepak SMTSPP menjadi Johan Kejohanan Antara Teknik Peringkat Kebangsaan pada 2007 akan dikenang semua pelajar dan pihak sekolah.
Pemergian beliau dalam usia 41 tahun cukup dirasakan seperti kehilangan sebuah permata paling berharga.
Pada jam 2.30 petang semalam, beliau bermukim di alam baru. Al-Fatihah kepada arwah dengan doa semoga roh beliau ditempatkan bersama orang-orang soleh.