16 October 2013

Kronologi Ibadat Haji - Nota Ringkas Buat Calon SPM Pendidikan Islam

Salam budiman buat para pelajar.
Bulan ini bulan Zulhijah yang mana ada kronologi berkenaan dengan ibadat haji yang bakal dilakukan para jemaah. Musim haji dikira sejak 1 Syawal lagi untuk para jemaah berniat mengerjakan ibadat haji. Pengetahuan tetang musim haji dan bukan musim haji akan dapat menentukan jenis cara mengerjakan ibadat haji sama ada Ifrad, Tamatuk atau Qiran. 

Saya mulakan dengan peristiwa berlaku pada;

KRONOLOGI PERTAMA

9 Zulhijah (14 Oktober 2013)


Kelihatan para jemaah wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijah di Arafah, Mekah.
Wukuf merupakan salah satu rukun haji yang perlu dilaksanakan bermula pada 9 Zulhijjah dan jemaah mesti melaksanakannya dengan berada di Arafah walaupun hanya untuk seketika.  

Sebaik maghrib para jemaah akan berangkat ke Mudzalifah (jaraknya 8 km dari Arafah) untuk bermalam. Para jemaah juga akan mengutip batu-batu kecil untuk melontar jamrah di Mina pada keesokan harinya. Batu yang perlu dikutip sebanyak 70 biji. Secara ringkas kegunaannya;

1. 7 biji batu untuk dilontar di Jamrahtul Aqabah pada 10 Zulhijah
2. 7 biji X 3 jamrah = 21 dilontar pada ketiga jamrah pada 11 Zulhijah
3. 7 biji X 3 jamrah = 21 dilontar pada ketiga jamrah pada 12 Zulhijah
4. 7 biji X 3 jamrah = 21 dilontar pada ketiga jamrah pada 13 Zulhijah

Jumlah batu dilontarkan ialah: 7 + 21 + 21 + 21 = 70 biji anak batu
 

KRONOLOGI KEDUA

10 Zulhijah (15 Oktober 2013)

Ketika kita di Malaysia sedang berhari raya pertama Aidiladha di Mekah, para jemaah akan melaksanakan ibadat melontar di Jamratul Aqabah (di Mina) terlebih dahulu. Di Mina ada tiga jamrah yang akan dilaksanakan oleh para jemaah iaitu ibadat melontar iaitu di Ula, Wusta dan Aqabah. Para jemaah dikehendaki melontar di ketiga jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijah. 
Inilah ibadat melontar di Jamrahtul Aqabah pada 10 Zulhijah yang terletak di Mina.
Para jemaah perlu melontar di Jamrahtul Aqabah sahaja pada 10 Zulhijah yakni hari raya Aidiladha kemudian bermalam juga di Mina.

Urutan ibadat yang berlaku pada 10 Zulhijah juga boleh diringkaskan seperti berikut;

i. Melontar di Jamrahtul Aqabah
ii. Menyembelih binatang korban
iii. Mencukur rambut 
iv. Tawaf Ifadah (tawaf rukun)
v. Saie dari Bukit Safa ke Marwa

KRONOLOGI KETIGA
 
11 Zulhijah (16 Oktober 2013)

Gambar ini menunjukkan ketiga-tiga Jamrah yang mana para jemaah dikehendaki melontar di ketiga-tiga jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijah.
Pada hari 11 Zulhijah - para jemaah dikehendaki melontar pada ketiga-tiga jamrah ini. Kemudian bermalam di Mina. 


KRONOLOGI KEEMPAT

12 Zulhijah (17 Oktober 2013)
Pada hari 12 Zulhijah - para jemaah dikehendaki melontar pada ketiga-tiga jamrah ini. Kemudian bermalam di Mina.


KRONOLOGI KELIMA

13 Zulhijah (18 Oktober 2013)

Pada hari 13 Zulhijah - para jemaah dikehendaki melontar pada ketiga-tiga jamrah ini. Kemudian bermalam di Mina.
Syarat Melontar Di Ketiga Jamrah Pada 11, 12 dan 13 Zulhijah

1. Masa melontar apabila gelincir matahari pada 11 dan 12 sehingga terbit fajar dan pada 13 Zulhijah bermula gelincir matahari sahaja sehingga terbenam matahari.

2. Mula melontar di Jamrahtul Ula, diikuti Wusta kemudian Aqabah pada  11, 12 dan 13 Zulhijah

3. Melontar dengan tangan sahaja dengan gaya melontar bukan cara membaling.


MAKSUD ISTILAH

- Tahalul Awal; keluar dari ihram haji selepas melakukan 2 dari perkara berikut;
i. Melontar di Jamrahtul Aqabah
ii. Bercukur
iii. Tawaf Ifadah

Para jemaah dibenarkan melakukan perkara yang dilarang ketika berihram kecuali 3 larangan berikut;

i. Tidak boleh berkahwin, menikahkan dan wakil nikah
ii. Tidak boleh melakukan permulaan kepada persetubuhan dan bercumbu-cumbuan
iii. Tidak boleh bersetubuh.

- Tahalul Thani; keluar dari ihram haji setelah melakukan kesemua 3 perkara ini;
i. Melontar di Jamrahtul Aqabah
ii. Bercukur
iii. Tawaf Ifadah

Selesai melaksanakan tiga perkara ini, para jemaah barulah boleh melakukan kesemua larangan dalam ihram.

Bersambung...

Soalan mungkin boleh dikeluarkan dalam tajuk ibadat haji bagi SPM 2013;

1. Sebutkan jenis tawaf?

2. Nyatakan tiga larangan dalam ihram haji kepada jemaah selepas tahalul awal?

3. Bilakah jemaah haji boleh melakukan tahalul thani?

4. Wukuf di Padang Arafah pada .....................

5. Ramli telah mengerjakan ibadat haji. Dia terlupa melakukan tawaf Ifadah. Nyatakan hukum haji bersama alasan?

6. Che Husain mengerjakan ibadat haji. Dia terlupa untuk wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijah dari waktu Zuhur hingga ke terbit fajar. Nyatakan hukum haji bersama alasan?

7. Azhan mengerjakan ibadat haji. Dia terlupa untuk melontar di Jamrahtul Aqabah pada 10 Zulhijah. Nyatakan hukum haji bersama alasan?

8. Cara melaksanakan ibadat haji ada tiga iaitu Ifrad, Tamatuk dan Qiran. Ramli melakukan ibadat umrah pada 27 ramadan kemudian berniat mengerjakan ibadat haji sebaik masuk bulan Syawal. Nyatakan jenis hajinya?

9. Di manakah tempat berniat ihram bagi jemaah dari Malaysia yang mendarat di lapangan terbang Madinah?

10. Sebutkan rukun haji yang kelima?

11. Apakah sah melakukan tawaf tanpa berwuduk. Nyatakan hukum dan alasan?

12. Apakah sah melakukan saie tanpa berwuduk. Nyatakan hukum dan alasan?

13. Cara mengerjakan haji manakah yang tidak dikenakan dam?

14. Nafar Awal ialah ..............

15. Lafaz yang diucapkan oleh para jemaah sepanjang melakukan ibadat haji disebut ...................

15. Melakukan haji pihak orang lain disebut .....................

16. Adakah sah sekiranya dia melakukan upah haji bagi pihak orang lain sedangkan dia belum melaksanakan haji bagi pihak dirinya?

17. Perkara dilarang semasa dalam ihram bagi lelaki sahaja ialah;

18. Selepas memakai ihram dan berniat mengerjakan haji di miqat...................... maka jemaah hari terikat dengan peraturan dan larangan semasa dalam ihram.

19.  Sebutkan syarat-syarat Nafar Awal?

20. Sebutkan waktu musim haji? 

Untuk dapatkan jawapan sila taip Jawapan Ibadat Haji 2013 ke emel pengendali blog muhd.live@yahoo.com atau klik di sini untuk mendapatkan fail jawapan.
 

Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU