11 January 2010

Minda Penulis Blog: Menternak Hantu Lebih Baik Dari Menternak Cacing


Oleh:
Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

Satu lagi khabar yang menggempakkan pembaca surat khabar hari ini. Kali ini pelabur kepada skim pelaburan penternakan cacing sekitar Kulim dan negeri berhampiran iaitu Pulau Pinang.
Aku pernah melewati bandar Kulim sekitar jalan Kulim Hi-Tech, ada pernah kuterlihat kain rentang jemputan menternak cacing.
Hampir setahun gembar-gembur ternak cacing berjalan dan biasalah adalah cerita yang kudengar, ada yang dah jadi kaya hasil ternak cacing ini.
Pernah kudengar ada yang dah kerugian kerana menternak lintah (yang awal lagi). Katanya lintah ini boleh dijual kerana ada pasaran, akhirnya aku dengar ramai yang dah berkubur sebab lintah tidak mahu membesar. Katanya jadi makanan burung yang berada di atas, sedang memerhati dengan rakus lintah yang merayap di tepi kolam seperti mat motor menunggu bebudak perempuan habis waktu sekolah.
Zaman berubah dari lintah kepada cacing.
Ada iklan yang pernah kudapat yang tertera: "Menternak cacing boleh jadi kaya, sila ikuti kursus menternak cacing dengan bayaran RM200.00".
Sebenarnya inilah perangkap. Apa tidaknya, mereka yang pergi kursus ditayang keuntungan yang berlipat kali ganda. Setelah nampak peserta sudah masuk perangkap, disuruhnya peserta keluarkan modal rm sekian-sekian untuk memulakan projek. Segala peralatan dan makanan cacing dibekalkan. Maka wujudlah usahawan cacing yang bakal dijeratoleh pengusaha kursus dengan pinjaman peribadi yang belum tentu terbayar.
Aku teringat sebuah cerpen "Menternak Hantu" tulisan penulis tersohor. Mungkin ramai yang mengenali Masli N.O seorang pejuang puisi yang tak pernah penat tulis puisi. Cerpennya bertajuk: Menternak Hantu ini telah berjaya memenangi hadiah utama HKSU. Rupanya menternak cacing sama dengan menternak hantu. Dua-dua sudah ghaib bersama duit pelabur.

Sehari 1 Hadis: Amalkan sikap suka menolong

Para pelajar sekalian,

Amalkan sikap suka menolong dalam diri kita. Membudayakan sifat suka membantu ataupun memudahkan urusan orang lain amat digalakkan dalam agama. Malah, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

Dari Abu Hurairah r.a, baginda bersabda: ‘Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya’. (HR. Muslim)

Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU