24 August 2015

Pabila Terjatuh Papan Tanda Tanah Airku

Salam Isnin

Pagi ahad semalam yang menyiarkan sebuah sajak, Papan Tanda Tanah Airku di akhbar Mingguan Malaysia. Terima kasih tuan editor yang budiman yang mempertimbangkan penyiaran sebuah sajak yang dikira paling penting dari saya kepada umat Islam di negara kita. Paling tidak, ada pembaca yang terkesan. Maknanya mudah, kenaikan papan tanda akan merubah sebuah pekan kepada sebuah pekan yang menggambarkan daerah ini dahulunya penduduknya Melayu kini menjadi Chinatown atau Litlte India. Anda pernah melalui bandaraya, bandar, atau pekan seperti Brieckfields, Ipoh, Klang, Petaling Street, Paya Terubung, dan bermacam tempat yang telahpun beransur dijatuhkan papan tanda yang menunjukkan asalnya adalah perkampungan penduduk asalnya adalah Melayu.
Cukup menghantui minda saya, betapa bertolakansurnya orang Melayu dengan sanggup memberikan tanah dan penempatan bahkan membenarkan pula kenaikan papan-papan tanda yang secara totalnya menidakkan rupa sebenar Tanah Melayu kepada penumbuhan bandar-bandar seperti Chinatown atau Litlte India di semua lokasi di negara kita. Malah, proses ini terus menerus berlaku atas nama pembangunan yang dizinkan pemerintah. Contoh terdekat, harga tanah yang tiba-tiba mendadak berlaku di perkampungan melayu Balik Pulau seperti ada agenda halus dalam menjadikan orang-orang kampung terdedah kepada rasa ingin menjual tanah dengan harapan pulangan lumayan yang ditawarkan pemaju. Ini telah berlaku dengan kewujudkan taman perumahan elit dengan harga mencecah jutaan ringgit seunit menjadikan kuasa membeli semula kepada anak tempatan tidak berlaku. Mengambil contoh terdekat, sahabat saya seorang guru dengan pasangannya juga bekerja di daerah Balik Pulau meluahkan tidak mampu dan tidak layak membeli sebuah di Balik Pulau lantas berhasrat berulang alik dari seberang kerana di sebelah sini terutama di Kulim, Kepala Batas, Sungai Petani lebih berkelayakan untuk dijadikan tempat kediaman bagi golongan yang bekerja di tanjung (pulau) walau jaraknya jauh dari tempat kerja.
Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang pembangunan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang begitu cepat menghapuskan identiti penduduk Melayu atau yang terkini berlaku di Kampung Mutiara, Batu Ferengghi menyaksikan penghuni sejak turun temurun akan dihapuskan masyarakatnya. Perlu ada satu pembelaan dari kerajaan yang memerintah atau parti yang mendakwa merekalah pejuang rakyat. Pejuang melayu diperlukan pada saat dan ketika marhean menjerit, merintih, melolong dan mengeluarkan air mata demi menyelamatkan sejarah kehidupan yang tersimpan bersama anak cucu yang mewarisi.
Pada tahun 2013 yang lalu saya telah memasuki sempadan Thailand dalam satu konvoi Kelab Guru dan Staf ke Krabi. Saya perhatikan papan tanda yang dinaikkan di atas premis perniagaan mengekalkan bahasa Thailand biarpun pemiliknya adalah kaum berlainan. Bahkan rakyat Thailand yang berketurunan melayu menggunakan nama dalam berbahasa Thailand dalam kad pengenalan sekalipun nama Islamnya adalah berbeza. Orang bukan melayu di Malaysia bertuah bukan setakat boleh mengekalkan nama kecinaan atau keindiaan tetapi tetap dalam mengamalkan adat, upacara dan kepercayaan secara bebas dan terbuka bahkan papan tanda yang dinaikkan di atas premis perniagaan sebebasnya bahasa Cina seolah sama berada di wilayah Tanah Besar China seperti Beijing, Jiangsu, Guangxi, dan sebagainya. Kerakusan menjadikan semua bandar berkonsepkan Chinatown adalah satu ketidakhormatan kepada orang Melayu yang secara budiman sangat bertolakansur dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, pemberian tanah rizab bumiputera dibangunkan untuk semua dan banyak keistimewaan lain dikongsikan. Jangan jadikan papan-papan tanda sebagai satu cara menyediakan Malaysia sebagai negara China yang kedua.
              Sifat budiman dan ketidakpandaian melihat potensi tanah yang dimilik orang melayu dilihat sangat tak berkira untuk menjual tanah yang dimiliki kepada kaum lain tanpa prasangka lain. Sedangkan tanpa disedari dengan penjualan tanah sebenarnya beransur-ansur menyerahkan ketuanan Melayu. Sesebuah daerah asalnya majoriti melayu yang hidup secara kampungan boleh bertukar serta merta jika sikap memandang remeh berkaitan hak tanah. Ini telah berlaku secara pantas di negeri Pulau Pinang sehingga majoritinya di sebelah pulau adalah kaum cina telah mengakui sepenuhnya ketuanan mereka. Bahkan saki baki melayu yang masih ada perlu difikirkan agar meninggalkan pulau ini dengan lebih pantas. Justeru kaum melayu di Bayan Lepas, Bayan Baru, Teluk Kumbar, Balik Pulau, Teluk Bahang, Tanjung Tokong dan beberapa kawasan lain perlu bersedia mengekalkan tapak tanah yang diwarisi. Usaha berterusan dari pemaju dan taukeh besar untuk membeli dengan harga yang tinggi pasti akan menggelapkan mata anak-anak yang melihat potensi tanah yang diwarisi dari ayah yang sudah lama pertahankan dari terjual.
        Kewujudan laman web Mudah.my, Lelong.com dan bermacam lagi telah mempercepatkan lagi penjualan tanah secara terbuka. Pakcik dan anak pakcik yang berada di kampung atau pendalaman yang baru berjinak-jinak dengan dunia online sangat ghairah memasukkan geran dan lot tanah yang hendak dijual. Berapalah sangat bagi golongan kapitalis, dan taukeh-taukeh syarikat cina untuk mendapatkan dua tiga ekar tanah kampung dengan harga ratusan ribu. Begitulah yang berlaku pada sawah padi dahulunya milik keturunan melayu di Penaga, Kepala Batas, Permatang Pauh, Bumbung Lima, Lahar Kepar, Lahar Ikan Mati, dan lain-lain di sekitar Seberang Perai telah diserah, dipajak dan dilelong kepada taukeh cina dengan harga yang tidak seberapa kerana pada tahun 90 an, dan awal 2000 tanah sawah pada anggapan golongan pesawah tidaklah ada harga sangat. Pabila ada pendekatan yang dilakukan dengan usaha menambak tanah sawah sehingga menjadi rata dan boleh diubah pada geran sebagai tanah komersial barulah tersentak para pesawah yang dahulu milik mereka telah dijual dengan harga tidak seberapa. Apa gunanya menyesal kerana sekelumit tanah bila dimilik kaum cina sudah pasti sekepalpun tidak akan kembali ke tangan orang melayu.
           Sungguh dukacita sebuah pekan Kepala Batas dahulunya harmoni, permai dan aman dengan sawah padi menghijau sepanjang jalan dari Bukit Mertajam ke sana melalui Permatang Pauh, Padang Menora, Tasik Gelugor, Pokok Tampang, Kg Matahari Naik sehinggalah Kubang Menerong sebelum sampai ke pekan Kepala Batas cukup hijau. Sebelum kini telah ditukarkan kepada tanah komersial yang menjahanamkan batang-batang padi yang menyumber beras kepada kita.
Dek kerana ada antara kita menyanggupi menjual air mata bangsanya kepada orang luar, inilah yang akan dihadapi sekarang. Kita terhalau dari tanah pulau secara terhormat. Kg Mutiara di Batu Ferengghi antara kisah paling duka menceritakan betapa air mata bangsa kita menitis di atas kertas perjanjian tanpa diteliti. Jangan sampaikan anak kita sukar mengeja nama bangsanya di daerah kita kerana dipenuhi papan tanda yang sama dari wilayah Guangxi.

Yang Mengarang
Muhd Shatar  

11 June 2015

Ekplorasi Menjejaki Puncak Gunung Stong 22-24 Mei 2015 KVSP Capai Misi Disasarkan

Salam

Penceritaan 1
Alhamdulillah, Jam 5.45 pagi bas kami sampai di perkarangan Masjid Cina Rantau Panjang, Kelantan. Kedatangan kami disambut dengan bacaan surah Sajdah dari imam yang sedang solat subuh bersama saf-saf yang agak ramai. Lebih kurang dua pertiga dari dewan solat utama.  Cerah tanah sebaik kami melunaskan kewajipan kepada Pencipta, memperlihatkan suasana daerah Rantau Panjang yang masih bening, pagi yang aman tanpa kesibukan dan apa lebih mustahak, kami perlu menikmati permulaan pagi dengan bersyukur kepada Allah.

(bersambung...)
 Papan tanda yang cuba menyemai anak Kelantan agar menyayangi hutan rimba. Perjalanan dari Rantau Panjang ke Jeli melalui jalan Penglima Bayu lebih kurang 50 km.
Dari pekan Jeli ke pekan Dabong lebih kurang 60 km melalui Kuala Balah. Sebaik sampai ke Dabong ada simpang ke kanan untuk masuk ke perkarangan Taman Negari Gunung Stong.






Jam 3 petang, kami sudah bersedia mendaki ke Kem Baha yang terletak lebih kurang 380 meter dari bawah. Kami dijangka sampai ke Kem Baha lebih kurang dua jam pendakian.
Bergambar dahulu sebagai kenang-kenangan KVSP telah sampai ke Taman Negeri Gunung Stong buat kali pertama dalam sejarah penubuhan KVSP.
Barisan guru yang akan memimpin pedakian. Tiga di hadapan iaitu En. Zahir (baju merah tertera Fly Emirates), En. Muhammad dan En. Riduan. Tiga dari belakang iaitu En. Israr, En. Ayub dan En. Azmirul (berbaju kuning).








Tahap pertama pendakian, menaiki tangga simen



Merentasi alur air terjun dengan titi gantung yang meliuk-lintuk bila berjalan di atasnya.











Berehat sekejap di kawasan lapang.















Merakam wajah berbaur kepenatan.












Jam 5.30 petang kami sampai di Kem Baha dan bersiap sedia mendirikan khemah.











Berhampiran Kem Baha ada air terjun yang lapang dan cukup selesa bermandi sepuasnya.











Apa yang paling istimewa, kami di Kem Baha menikmati saujana pemandangan yang cukup panoramik. Berada di Kem Baha kami boleh menyaksikan pemandangan pekan Dabong yang kelihatan kecil dan boleh dimajukan jika ada penumpuan kerajaan terhadap potensi daerah ini.

Air terjun ini betul-betul berada di tepi gaung yang cukup tinggi. Inilah yang dikatakan Air Terjun Tertinggi di Asia Tenggara.
Peserta berhimpun sebaik mendirikan khemah.
En. Muhammad telah memberikan taklimat keselamatan kepada pelajar agar tidak mendekati tepi gaung yang curam dan menjaga tingkah laku di kawasan perkhemahan.
Selesai sudah kerja mendirikan khemah.
Jika anda ingin tahu dari mana kelihatan punca air, di situlah tapak perkhemahan kami yang dipanggil Kem Baha yang berada pada ketinggian 350 meter dari bawah.
En. Ayub mengawasi peserta mandi.












Catatan Hari Kedua 23.06.2015 (Sabtu)

Sebaik menunaikan solat subuh berjemaah, kami bersiap sedia untuk meneruskan pendakian ke puncak gunung yang dikatakan berada pada ketinggian 1438 meter.

Berdoa kepada Allah SWT agar dilindungi dari segala malapetaka dan perkara tidak diingini kerana dalam membawa pelajar ke tempat berisiko sebegini sekiranya berlaku apa sahaja bencana pastinya kami para guru terpalit beban yang besar.








Kami bersenam terlebih dahulu bagi memulakan persediaan bagi menguatkan sendi dan otot yang akan berhadapan cabaran pendakian yang agak lama. Lima jam diperlukan untuk ke puncak gunung dan 5 jam untuk menuruni semula ke Kem Baha.
Jurupandu kami yang akan memberikan panduan sehingga ke puncak. Jika di Gunung Kinabalu mereka ini layaknya digelar Malim Gunung. Di sini tiada istilah yang boleh dibicarakan melainkan gelaran jurupandu.
Menikmati kabus pagi dan melihat matahari terbit.
Memulakan langkah pendakian.
Bergerak dalam kumpulan.
Jika dibandingkan dengan pelajar yang berumur belasan tahun, para guru yang dalam era mencapai 40 an masih kelihatan bersemangat. Tiga guru ini pernah menawan puncak Gunung Ledang pada tahun lepas (Mei 2014). Pengalaman mendaki Gunung Ledang masih dalam ingatan dan nota sebagai seorang guru.
Laluan permulaan dipenuh paku-pakis yang sudah ditebas oleh pihak pengurusan TMGS.

















Dalam menuju ke puncak, terdapat beberapa check point yang perlu dilepasi. Kami semat merakamkan aksi sebaik melepasi check point yang pertama dari Kem Baha.



                                         




Laluan pendakian peringkat awal boleh dikatakan agak mendatar kemudian barulah bertemu beberapa kesukaran apabila terpaksa mendaki dalam keadaan 70 peratus mencacak.











Kami bertemu gua yang berbentuk tiga segi. Sungguh mengkagumkan.

Bergambar di hadapan permukaan gua.








Reaksi pelajar sangat gembira bila berjaya ke puncak.










Mengambil rehat seketika. Pada puncak lebih kurang 1400 meter dari aras laut.





En. Ayub merakamkan detik bersejarah di puncak Gunung Stong pada jam 1.20 tengah hari.

Keseluruhan pelajar teruja dengan pendakian. Bermula jam 9.00 pagi tadi akhirnya dalam tempoh 5 jam, kami berjaya ke puncak.







Perjalanan menuruni gunung lebih mencabar. Kaki mula terasa sakit.

Keesokan pagi. Subuh di kaki gunung memang memberikan sejumlah sejuk yang berlebihan. Sedikit tazkirah ringkas buat peringatan di Taman Negari Gunung Stong


02 May 2015

Mencari Rizal di Syamaltra Book Store, Subang Jaya


Salam kenangan silam.

Hari ini saya berkelapangan untuk melilau sekitar Subang Jaya khususnya sekitar Seksyen 15 dan 14. Agak malang buat abang ipar saya yang kemalangan dan sedang dirawat di Subang Medical Center. Panjang takdirnya. Kaki kanannya terpaksa dipotong akibat kemalangan pada petang jumaat lepas. Sukar untuk menerima hakikat ini. Beliau tabah bairpun agak tak percaya dengan kehilangan kaki serta merta. Mudahan dia reda dengan takdir ini.

Berita kemalangannya - menyebabkan saya bergegas ke Kuala Lumpur. Bertolak tengah hari jumaat dari Penang terus ke hospital swasta milik Sime Darby ini yang terletak di Subang Jaya. 


Sementara ada peluang berada di Subang Jaya, saya cuba berkeliling di sekitar wilayah ini. Tidaklah asing bagi saya kerana Subang Jaya merupakan tempat kerja pertama saya sebaik tamat peperiksaan SPM 1997. Saya mula mengenali bandar Subang Jaya sejak bekerja di Syamaltra Book Store pada awal 1998. Lebih kurang lima bulan saya bekerja di bilik stor kemudian menjadi wakil jualan syarikat ini di beberapa buah sekolah area Kuala Lumpur dan Selangor. Saya dihantar untuk menjadi pembantu jualan di kedai buku yang terletak di SK Selayang Baru, kemudian dinaikkan jawatan sebagai wakil jualan di SMK La Salle Klang, dan SK Bukit Nanas di tengah metropolitan Kuala Lumpur.

Sebaik berkeliling tempat lama saya, sedikit emosi sebak pabila melihat Wisma diCor yang menempatkan sebuah syarikat buku yakni tempat kerja saya dahulu. Saya terus ke depan dan tak disangka Syamaltra Book Store masih ada. Kebetulan hari ahad maka kedai ini cuti. Kalau tidak mungkin saya boleh mengenali beberapa individu yang masih mengenali saya. Kini 2015. Hampir 18 tahun. Saya masih mengenali Uncle Lim yang merupakan seorang supervisor, sifatnya suka bergurau dengan pekerja melayu dan seorang abang melayu yang baik sifatnya. Namanya sudah kulupa namun jika bertemu mungkin boleh mengenali.

Sepanjang 5 bulan bekerja di sini, aku sempat bersahabat dengan seorang pemuda. Rizal namanya. Dia juga bekerja sementara menunggu keputusan SPM terbit pada bulan mac nanti. Rizal menjadi kawan akrab di situ dan beberapa kali saling bertandang ke rumah. Paling diingati ketika berjanji untuk ke Port Dikson dengan menggunakan perkhidmatan awam iaitu naik komuter ke Seremban dan kemudian mencari bas di bandar Seremban untuk ke Port Dikson. Itulah gambaran keakraban kami pada masa itu. Bila hari raya, dia membawaku beraya sekitar Klang, Meru dan kampung di Taman Medan.

Sebaik panggilan masuk ke kampus Universiti Malaya pada tahun 1998 kami mula terpisah. Dia juga mendapat tawaran ke IPTA. Seingat kami tak pernah berjumpa lagi. Diharapkan sebaik membaca coretan ini, saudara Rizal - boleh kita merapatkan ukhuwah lagi... slm

s

23 February 2015

Sepanjang Disember 2014 dan Awal Tahun 2015

Salam penuh kerinduan,

Hampir 4 bulan saya tidak mencoretkan sesuatu di blog ini... Bukan sebab kerana terlalu sibuk tetapi tangan terkunci untuk menulis dek ingin mencari sesuatu yang dicari. Biarkan telaga kering buat seketika sebelum hujan datang memenuhkan semula... Agak lama saya biarkan telaga fikir agak kosong dan kini keinginan menulis datang semula...
Tentunya saya ingin berbicara soal banjir di Kelantan bermula 22 hb Disember 2014 yang lalu. Saya antara mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir SK Belimbing. Sebagai anak rantauan, apabila bulan Disember tentunya akan berada di tanah kelahiran. Kami akrabi sebagai musim bah. Sejak kecil lagi kami terdidik bahawa bah bukan musibah tetapi fitrah alam di tempat kami. Kami akan tertunggu-tunggu air naik di tebing belakang rumah kami. Kebetulan rumah saya berada tidak jauh dari tebing Sungai Kelantan. Mengikut kata ayah, banjir besar pernah melimpahi rumah kami hanya pada tahun 1967. Semenjak itu tiada banjir sebesar tahun ini (2014) yang diyakini lebih sedikit besar jika dibuah perbandingan pendapat orang-orang lama.
Ada satu lagi banjir yang amat diperkatakan oleh sebahagian rakyat Kelantan iaitu Banjir Merah (1928) yang dikatakan sangat besar dan dipercayai air seakan berwarna merah. Banjir ini akan tetap diperkatakan dari satu genarasi hingga ke generasi akan datang...Dipercayai banjir ini telah menelan banyak nyawa dan memberikan sejumlah pengalaman tragis kepada mangsa.

Malam 25 Disember 2014... air hujan bercampur air sungai telah mula memenuhi tebing di belakang rumah... pada jam 5.30 pagi keesokannya kedengaran siren polis memberikan amaran agar bersiap sedia untuk berpindah.. Menjelang pukul 6.00 pagi air dengan cepat memenuhi halaman rumah.
Maka saya berpeluang buat kali pertama dalam sejaran hidup melangkah masuk ke Pusat Pemindahan Banjir PPB SK Belimbing.
Sebelum ini hanya dapat melihat di kaca televisen dan dada akbar mangsa banjir dan kali ini barulah dapat menikmati pengalaman baru ini.

Sejak jam 3.00 pagi (26.12.2014) bekalan elektrik dimatikan akibat Stesen Janakuasa Elektrik di Padang Siam sudah ditengelami air.. maka seluruh jajahan Tanah Merah kegelapan sehingga awal minggu di bulan Januari 2015 barulah cahaya kembali mewarnai bandar Tanah Merah.

Bayangkan hampir 3 minggu kehidupan tanpa bekalan elektrik menjadikan semuanya lumpuh. Tiada akses telefon, internet, akhbar, siaran tv dan radio dan bekalan keperluan lain. Sehingga kes pesawat QZ AirAsia Indonesia agak lewat saya ketahui. Saya dapat mengetahui perkhabaran tragis itu sewaktu dalam perjalanan balik ke Pulau Pinang melalui Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, dan Perak barulah sampai ke Pulau Mutiara pada 30.12.2014 di R&R Cheneh, ketika berhenti  untuk makan. Rasa macam tak percaya apabila terdengar siaran Berita Jam 8 malam di TV3 yang mengulas tentang kes pesawat terhempas kerana selama di pusat pemindahan seumpama berada di gua.

Sangat malang buat saya kerana laluan ke KL dari Gambang telah ditutup kerana seluruh Temerloh dibanjiri air dalam tempoh beberapa hari. Agak sukar buat saya ketika jam 11 malam saya perlu meredah dari Gambang ke Muadzam Shah sebelum ke Bahau dan Kuala Pilah untuk sampai ke Kuala Lumpur dengan melalui jalan raya yang belum pernah dilalui. Maka dalam kepekatan malam saya kuatkan semangat untuk meredah belantara Pahang dan Negeri Sembilan dengan pengalaman memandu di atas jalan yang berlubang bermula dari Gambang ke Muadzam Shah. Jalan tersebut jika terus akan sampai ke bandar Segamat, Johor. Saya perlu mencari penanda jalan arah belok ke kanan untuk ke Bahau, Negeri Sembilan.

Subuh di Bandar Jempol dengan suasana pagi. Cerah tanah di Jempol memperlihatkan keadaan bandar dan rakyatnya. Saya terus memandu ke Kuala Pilah melalui tempat-tempat yang sering didengari seperti Jemapoh. Teringat saya kepada filem Dari Jemapoh ke Manchestee karya Hishamuddin Rais. Oh... begini rupa kampung Jemapoh.

Akhirnya saya sampai ke Kuala Pilah dan terus ke Ulu Bendol. Rasanya saya pernah singgah di Air Terjun Ulu Bendol sewaktu menyertai Operasi Khidmat Masyarakan (OPKIM) yang dianjurkan oleh Kelab Motor Universiti Malaya sekitar tahun 2002 dahulu.

Akhirnya berjaya sampai di tengah kosmopolitan Kuala Lumpur...sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang. Pastinya saya memilih untuk makan di Jalan TAR. Tempat yang paling memberikan nostalgia kepada saya kerana sewaktu zaman belajar di UM (2000-2005) di sinilah tempat saya meluangkan masa. Di sini sekitar Jalan TAR ada Perpustakaan Indonesia yang menyediakan bahan-bahan pengajian.

 


SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU