22 April 2014

Dari Kuala Lumpur ke Ipoh: Di Gopeng, Permukaan Malam Agak Kabur

Salam,

Dalam sebulan dua ini, banyak tragedi kedengaran. Tragedi pesawat MH370 belum terungkai, kemalangan bas sana sini, dan kapal tenggelam di Korea. Semua berakhir dengan kematian secara pukal.
Terbaru dan masih belum agak lewat untuk diperkatakan tentang kemalangan tokoh peguam,
Karpal Singh di lebuh raya PLUS Utara ke Selatan (di KM305). Aku masih terngiang-ngiang apabila kemalangan berlaku sejurus selepas aku baharu sahaja melalui laluan tersebut pada waktu malam sebaik tamat menjalani kursus Penataran Modul Akademik KVSK bagi Kolej Vokasional di Melaka.
Pada sebelah malam 10 hb April (malam jumaat) aku bersama seorang guru bertolak dari Pantai Dalam, KL sebaik maghrib. Lebih kurang pukul 10.30 malam aku menghampiri Gopeng, suasana agak gelap kerana tiada lampu di tepi jalan yang dipasang. Banyak percakapan kami berdua di atas kereta berkisar tentang kemalangan dan AES di km 336. Paling menakutkan kami ialah apabila di hadapan terdapat lori yang sukar dilihat.
Kebanyakan belakang lori hanya ada dua lampu merah yang agak rendah dan kurang menyinar. Aku hampir juga terpaksa menekan brek secara tiba-tiba dek kewujudan lori yang sukar dikesan mataku.
Pengalaman memandu kereta di waktu malam di atas lebuh raya sangat menakutkan. Acap kali kelihatan kebanyakan lori hanya dipasang lampu merah agak kecil dan terhad cahayanya. Paling berbahaya apabila lori menukar lorong kanan secara tiba-tiba menyebabkan kenderaan di belakang yang sedang memecut akan hilang kawalan. Kiri dan kanan ada kenderaan maka, wujudlah kemalangan...
Saya merasakan perlu ada satu kajian mendalam berkaitan lori yang menggunakan lebuh raya pada waktu malam. Belakang lori perlu ada lampu merah yang lengkap di bawah dan di atas agar senang dicamkan oleh pemandu di belakang. Saya percaya sesiapa yang sering memandu di lebuh raya samada PLUS atau yang lain keupayaan mengecam lori di hadapan adalah pengalaman benar-benar menakutkan. 

Coretan pendapat;
Muhd Shatar





SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU