14 November 2012

Doa dan Harapan Iringi Ammar Syazwan bin Mohammad Yang Bertarung Nyawa

Salam buat pelajar SMV Seberang Perai,

Pagi ini saya dikhabarkan seorang pelajar sekolah kita dari kelas 4 Awam 3 iaitu Ammar Syazwan bin Mohamed sedang bertarung nyawa (koma) di Hospital Bukit Mertajam. Ini kali kedua berlakunya pelajar koma akibat kemalangan di jalan raya. Pada bulan Julai dahulu pelajar bernama Adam Huzaimi dari tingkatan 5 meninggal dunia di Hospital Sungai Petani setelah hampir seminggu berada dalam keadaan koma akibat kemalangan di jalan raya (berdekatan persimpangan Sungai Dua sebaik tamat perlawanan akhir Piala Dunia antara Sepanyol dengan Itali)

Para pelajar yang dirahmati Allah, saya amat berharap sewaktu cuti sekolah ini agar menghindari dari menaiki motosikal secara berkumpulan di jalan raya. Sememangnya ajal sukar diramal namun demikian kita berhak memilih untuk tidak terlalu leka dengan waktu lapang yang ada. Sebaiknya isilah masa yang ada untuk menambahkan ilmu pengetahuan, agama dan isu semasa. 

Coretan: Muhd Shatar

Sentuhan Terakhir Pendidikan Islam SPM 2012: (Bahagian 1 - Beri perhatian kepada kehendak soalan

Salam para pelajar yang dirahmati Allah SWT,

Saya ingin mengemukakan beberapa panduan dalam menjawab soalan Pendidikan Islam SPM ini:
Tips (1)
Jika soalan bermula dengan: Terangkan?
Sebagai contoh: Terangkan dua akibat penceraian?
Jawapannya mestilah ada isi bersama huraian (huraian juga boleh diberikan dalam bentuk contoh)
Lihat contoh jawapan:
Soalan: Terangkan dua akibat penceraian?
i. Anak-anak akan terbiar  (1 isi) kerana tiada kasih sayang dan perhatian secukupnya dari ibu bapa (1 huraian).
ii. Anak-anak akan terlibat dengan gejala dan perkara maksiat  (1 isi)kerana tekanan yang dihadapi hasil penceraian ibu bapa.(1 huraian).

Para pelajar perlu berikan perhatian terhadap soalan yang diminta: untuk soalan berbentuk Terangkan?  para pelajar perlu ingat - jawapan mestilah ada isi bersama huraian bagi memastikan markah penuh diperolehi.

(Bagi soalan yang berbentuk nyatakan, jelaskan, berikan, sebutkan: Para pelajar cuma berikan isi jawapan (sebanyak mana yang difikirkan) sebolehnya lebih dari apa yang diminta.

Tip (2)
Bagi soalan struktur pada kertas 1 (Bahagian A)

Para pelajar perlu memberikan satu jawapan sahaja. Sebagai contoh:

Soalan: Ibnu Sina merupakan tokoh dalam bidang .....................................
1. Jawapan yang betul: Perubatan
2. Jawapan yang salah: Perubatan/Sejarah

Perlu ingat! Apabila pelajar memberikan jawapan bagi soalan ini hanya satu jawapan sahaja diperlukan. Jika diberikan dua jawapan salah satunya salah maka dikira salah semuanya.

Tip (3)

Bagi soalan yang berbentuk: Contohnya nyatakan hukum tajwid dan cara bacaan ayat berikut (lihat kalimat bergaris di bawahnya:
Bagi memperolehi markah penuh para pelajar perlu menjawab seperti berikut:
Jawapan: Hukum tajwidnya ialah Mad Sillah Qasirah dan cara bacaan ialah 2 harakat 


* Ramai pelajar hanya menjawab hukum tajwid sahaja tanpa memberikan cara bacaan menyebabkan pelajar hanya mendapat separuh markah. Jika diperuntukkan enam markah, dan pelajar hanya menjawab hukum tajwid sahaja maka pelajar akan kehilangan 3 markah bagi jawapan cara bacaan kalimat yang ditanya.

Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar). Pengendali blog juga berpengalaman sebagai pemeriksa kertas SPM bagi mata pelajaran Pendidikan Islam.

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU