27 January 2012

Rencana Agama: Hubungan Baik Sesama Siswa Patut Diutamakan

Hubungan baik sesama siswa patut diutamakan

 

KETIKA ini puluhan ribu mahasiswa dengan pelbagai kecenderungan, keinginan, matlamat dan gaya penampilan sedang membina kecerdikan sebelum diijazahkan dengan pelbagai ilmu di menara gading. Kehidupan mereka di kampus tersedia dengan cabaran, likuan dan dugaan. Bergantung kepada kecenderungan mereka memilih untuk bertembung dengan isu semasa, kepemimpinan, keilmuan, pergerakan politik, perjuangan peribadi dan selebihnya kelompok kecelaruan mencari pengertian hidup atau membiarkan masa menentukan perjalanan mereka. Kelompok mahasiswa aktif berpersatuan giat dalam merancakkan suasana kampus dengan pelbagai aktiviti keilmuan, kemasyarakatan dan pembangunan potensi diri terkecuali daripada tergolong dalam kelompok kecelaruan peribadi.
                        Golongan mahasiswa yang tiada matlamat, visi dan penampilan intelektual ini terdedah kepada dunia luar bersifat negatif seperti terbabit dengan budaya liar, seks bebas, pesta hiburan, murtad, jual maruah, hedonisme dan sebagainya. Terlalu bahaya sekiranya kuatnya falsafah keseronokan jiwa lebih mencengkam pemikiran pelajar dan mereka meletakkan keutamaan dalam kehidupan kampus. Terpinggirnya mereka daripada aktiviti kampus yang lebih tertumpu kepada pemupukan ilmu dan kekuatan agama menjadikan kelompok ini kian terbiar dan berhadapan kemusnahan masa depan.
                      Sebaik menjejak kaki di kampus, mahasiswa dihidangkan dengan pelbagai kemelut yang menguji tahap keimanan, kemantapan jati diri dan kekuatan rohani. Bila berjauhan daripada keluarga, kebebasan dimiliki bukanlah tiket mendapatkan kepuasan diri secara mutlak.
                        Mendekati rakan yang elok akhlaknya dan kuat ibadatnya kepada Allah SWT antara cara membina ketahanan diri daripada melakukan perbuatan mungkar. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya; dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan dunia ini, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas. (Surah al-Kahfi: ayat 28)
                        Sebenarnya peluang dan dasar keterbukaan kehidupan kampus perlu direbut oleh siswa sebagai persediaan ke arah kerjaya dengan memperoleh pengalaman pengurusan persatuan, kepemimpinan, penerbitan, pembinaan rangkaian perniagaan serta pembinaan penampilan diri yang terbuka dan bijak.
                        Pemandangan kurang menyenangkan apabila kita melihat ada sebilangan siswa dalam kelompok yang tidak mencerminkan kebijaksanaan daripada pertuturan, pemakaian, pergaulan dan cara bertindak. Golongan inilah antara prospek kelompok boleh dipergunakan oleh mana-mana pihak yang melihat mereka mudah dipengaruhi dan boleh diaruskan akal dan pilihan tindakan.
                        Dalam konteks Islam, keperluan wujudnya golongan melakukan amal makruf dan nahi mungkar di dalam sesebuah penempatan, kawasan dan komuniti. Dalam masyarakat kampus, penempatan siswa yang datang dari pelbagai kelompok, daerah dan pedalaman terpencil akan membawa masuk ke kampus dengan pelbagai gelagat, budaya serta bentuk cara hidup bervariasi. Semuanya terkandung nilai kebaikan mahupun tidak bermoral. firman Allah SWT: “Dan hendaklah (sebahagian) kamu menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh yang makruf serta melarang daripada yang mungkar. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Ali Imran 3:104)
                   Oleh itu, perlulah mahasiswa membentuk kumpulan memainkan peranan mengajak rakan seperjuangan ke arah kebaikan serta menasihati atau istilah ‘mendekati’ kelompok terbabit melalui pendekatan sederhana dan berhikmah, bukan memilih untuk menghukum, memberi label, memulau dan memisahkan kelompok ini daripada aktiviti yang dianjurkan.
                   Kecenderungan pimpinan mahasiswa dalam kelompoknya atau mana-mana persatuan memisahkan atau memberikan tanggapan negatif kepada segelintir siswa dilihat bermasalah, kecelaruan peribadi dan kelihatan berbeza penampilan melangkau norma wajar diperbetulkan. Kita khuatir dengan pemulauan dan pemisahan dalam konteks hubungan sesama pelajar menjadikan kelompok ini terdedah mencari perlindungan luar berbaur maksiat, penyalahgunaan dadah, dan lebih parah apabila memilih untuk murtad.
                   Menghidupkan suasana hubungan sesama pelajar terjalin dengan harmoni menjadi tanggungjawab utama ke arah menjadikan mahasiswa lebih dihormati, lebih terarah kepada ilmu dan kekuatan ilmu. Selagi wujudnya kegagalan membentuk suasana baik di kampus, maka peningkatan kes tidak bermoral, salah laku dan kadar jenayah sosial dalam kalangan mahasiswa terus diperkatakan.
                   Sebaiknya kepemimpinan di kampus menekankan aspek hubungan baik sesama pelajar dan memberi penekanan kepada matlamat persatuan adalah menyatupadukan masyarakat pelajar untuk mengelakkan wujudnya kelompok kecelaruan peribadi.
                   Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa antara kalian melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)


SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU