23 September 2009

Perempuan Paling Mudah Masuk Syurga

Oleh Ust Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar(muhd@live.com.my)

Allah maha adil dan saksama untuk kaum lelaki dan perempuan. Di bawah tapak kaki masing-masing ada syurga yang maha indah. Syurga anak (lelaki dan perempuan) di bawah tapak kaki ibu. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami.
Adilnya kuasa Allah Taala yang mencipta ketetapan ini.
Dalam menjalani kehidupan rumahtangga, terlalu berat cabaran dan masalah yang akan timbul, amat memerlukan keperihatinan untuk memahami setiap apa yang berlaku dengan sabar, dan reda.
Isteri perlu menyedari hakikat bahawa lelaki adalah pemimpin kepada rumahtangga, maka janganlah cuba mengambil hak mutlak ini seandainya apa yang dilakukan oleh suami tidak bertentangan dengan syariat Islam. Firman Allah SWT: “Lelaki adalah pemimpin bagi wanita dengan kelebihan diberikan oleh Allah SWT” (Annisa: 34).
Bagaimana boleh dikatakan derhaka.
1. Sabda Nabi SAW bermaksud: “Wanita yang meninggalkan tempat tidur bersama suami dilaknat sekalian malaikat sehingga dia kembali (Riwayat Bukhari).
2. Sabda SAW: “Mana-mana wanita yang tidur dalam keadaan diredai suaminya maka ia berhak mendapat syurga”. (Riwayat Tarmizi,Ibn Majah)
Dua hadis ini jelas menunjukkan bahawa isteri perlu memberikan layanan yang paling baik dan manis kepada suami untuk tidur bersama-sama semoga terhindar dari apa yang dikatakan derhaka.
Syurga dijanjikan kepada para isteri yang melayani kemahuan seks suaminya dengan baik sehinggakan suaminya tidur dengan senang. Jangan sesekali selalu menolak kehendak suami yang berkeinginan bersetubuh tanpa ada sebab yang munasabah, nescaya emosi lelaki akan tercabar dan mungkin boleh merubah sikap suami menjadi kasar dan cepat marah.
Bagaimana kisah seorang wanita yang ditinggalkan suaminya kerana musafir mendapat berita ibunya sakit teruk tetapi tidak berani keluar rumah kerana suami berpesan: “Jangan engkau ke mana-mana sehingga aku pulang.” Apabila persoalan ini sampai kepada Nabi SAW. Jawab Baginda: “Taatlah kepada suamimu.” Kemudian sampai berita kematian ibunya. Berlaku perkara sama di mana jawab Nabi SAW: “Taatlah kepada suamimu”. Pulanglah suaminya dengan perasaan terkejut lalu berjumpa Nabi SAW untuk mengadu hal. Sabda Rasul SAW: “Ibunya dimasukkan ke syurga sebagai balasan ke taatnya (isteri) padamu.”
Lihatlah betapa besarnya ganjaran kepada isteri yang mentaati perintah suaminya. Maka rendahkan hatimu wahai para isteri untuk menghormati dan melayani telatah suami kerana kaum perempuan paling mudah untuk masuk syurga dengan hanya mentaati suami.

17 September 2009

Hantaran tinggi bukan alasan untuk tidak berkahwin

SAYA tertarik dengan pendapat yang dilontarkan oleh Muhammad bin Abdullah, berkaitan isu hantaran perkahwinan yang dikatakan tinggi dan menyukarkan proses sebuah perkahwinan. Apa sebenarnya yang beliau cuba sampaikan kepada kita?
Saya tak nampak sebarang bebanan yang berkaitan dengan faktor hantaran dalam sebuah perkahwinan. Tetapi saya melihat bebanan sebenar sebuah perkahwinan itu adalah daripada aspek tanggungjawab dan kemampuan pasangan untuk membina institusi kekeluargaan.
Jika pasangan tidak bersedia untuk menerajui sebuah keluarga dan tidak mampu untuk menampung kehidupan bersama, itulah yang menjadi pokok persoalan.
Hantaran mahal mestilah dilihat daripada aspek perbelanjaan untuk mengadakan kenduri kahwin. Apabila memperkatakan mengenai kos perbelanjaan kenduri, kita melihat daripada jumlah jemputan. Keduanya pula, kita menganjak kepada aspek bagaimana pula cara kita akan melakukan kenduri tersebut, sama ada secara katering atau bergotong-royong dengan jiran tetangga. Dan daripada perkara inilah yang selalunya pihak keluarga sebelah perempuan khususnya, meletakkan jumlah belanja hantaran yang mengikut peredaran zaman dan masa. Harga barang waktu dahulu dan sekarang adalah sangat berbeza.
Isu hantaran adalah isu yang sangat terpencil. Banyak lagi isu yang perlu diberi perhatian seperti keganasan dan penderaan dalam perkahwinan, isteri yang ditinggalkan serta anak-anak yang terbiar yang lebih memerlukan perhatian kita. Dan juga permasalahan sosial yang berlaku sekarang juga wajar diberi penekanan.
Kita juga tidak dapat menafikan bahawa terdapat anak muda kita yang melakukan hubungan terlarang di luar perkahwinan, tetapi adakah perkara yang mereka lakukan itu disebabkan masalah hantaran ataupun kegagalan mengawal nafsu? Dan adakah pasangan yang melakukan perkara terkutuk itu memang sudah bercadang untuk mendirikan rumahtangga ataupun telah berjumpa dengan kedua-dua belah pihak keluarga untuk berkahwin? Nafsu dan hantaran merupakan dua unsur yang berbeza dan tidak boleh dikaitkan.
Memang benar, salah satu sebab pasangan mendirikan rumahtangga adalah untuk mengelakkan maksiat, tetapi perkahwinan itu adalah satu daripada sunah Rasulullah. Dan perkahwinan juga merupakan satu cara membina institusi kekeluargaan yang sihat dalam memupuk rasa tanggungjawab, kasih sayang dan melahirkan anak-anak yang soleh. Di manakah nilai positif dan kebaikan sebuah perkahwinan jika hanya untuk memenuhi nafsu seks semata-mata.
Apabila pasangan berniat untuk mendirikan rumahtangga walau susah macam mana sekalipun, percayalah bahawa niat yang baik akan dipermudahkan oleh Allah kerana Allah sentiasa menolong umatnya yang membuat kebaikan. Perkahwinan itu adalah satu perkara yang baik dan diredhai oleh Allah.
Jika kita beriman, kita mesti mempercayai pertolongan Allah. Tiada apa yang mudah dalam kehidupan di dunia ini jika kita tidak berusaha. Ini termasuklah untuk mendirikan rumahtangga. - FARAH TAIB, Kuala Lumpur.

13 September 2009

MENCARI CIRI-CIRI PROFESSIONAL DALAM KERJAYA DALAM ISLAM

Oleh Ust Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar(muhd@live.com.my)


Islam dalam sebuah pakej lengkap, merentasi segala perkara, merangkumi segala aspek dalam kehidupan, malah dalam bidang kerjaya, Islam amat menekankan betapa perlunya sikap profesional dalam melakukan sesuatu kerjaya. Seperti mana difahami, kerja adalah satu amanah yang diperlu dilaksanakan setelah berlaku perlantikan oleh mana-mana majikan. Manakala pengertian profesionalisme ialah sifat-sifat (kemampuan, kemahiran, cara pelaksanaan sesuatu dan lain-lain), sebagaimana yang sewajarnya terdapat pada atau dilakukan oleh seseorang profesional. (Kamus Dewan DBP : Edisi Ketiga)
Islam mengariskan etika yang tertentu bagi menyedarkan penganutnya supaya apabila menjalankan tugas (kerjaya) haruslah mengutamakan aspek-aspek yang tertentu seperti :

-menepati masa
-hormati-menghormati
-berhikmah
-jujur dan bertanggungjawab
-berdisiplin dan kemas
-cuba memahami masalah sedalamnya
-berkeyakinan
-tenang apabila berhadapan dengan masalah

Setiap pekerjaan ada matlamatnya yang tersendiri – justeru seseorang individu harus berusaha untuk mencapai matlamat dan visi majikan atau ketua sesebuah bahagian. Bermakna sikap atau budaya berkerja bersungguh harus dimiliki dan dilakukan dengan baik. Islam amat menitikberatkan tentang kewajipan berkerja dengan bersungguh-sungguh demi mengubah keadaan diri atau nasib sesebuah bangsa sebagai mana firman Allah :
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesautu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
(ar-Ra’du 13 : 11)
Apabila membicarakan tentang pekerjaaan, maka akan wujud pula sebuah masyarakat dalam sesebuah tempat pekerjaan. Di sini jugalah menguji sejuah mana kemampuan sikap profesional sesama rakan sekerja. Kita akan berhadapan dengan pelbagai ragam dan gelagat rakan setugas yang kadang kala boleh menimbulkan ketegangan atau perbalahan atau sikap bermasam muka jika sebarang bentuk urusan dalam perkerjaan tidak dapat disalurkan atau cara berinteraksi secara positif dan baik.
Apatah lagi jika terdapat pula segelintir pekerja yang malas dan suka mengambil kesempatan dengan melepaskan beban kerja kepada pekerja lain. Sikap melepaskan beban tugas atau tidak melaksanakan bidang kerja yang telah diarahkan sebalik cuba mengalihnya kepada pekerja lain atau apabila datang pekerja baru maka kesempatan ini digunakan sepenuhnya. Islam amat mengutuk sifat sebegini kerana wujudnya penganiayaan kepada golongan tertentu yakni yang lemah.
Sikap seperti peribahasa melayu lama “seperti melepaskan batuk di tangga” harus dijauhi dari nurani setiap pekerja. Ini kerana jika leluasanya sikap ini maka – berlaku kerugian kepada pihak majikan atau pihak lain yang terbabit seperti profesion perguruan memerlukan guru yang benar-benar bersungguh dalam menyampaikan pengetahuan kepada pelajar. Bermaksud tanggungjawabnya bukan sekadar menyampaikan ilmu sahaja bahkan memastikan pelajar memahami seluruhnya pada kadar yang diyakininya.
Bahkan sikap “seperti melepaskan batuk di tangga” jika tidak dibendung melalui forum atau ceramah kerjaya - akan membantut kadar penjenamaan perkerja yang berkualiti dalam segala bidang.
Dalam Islam, amanah adalah perkara yang terletak dalam martabat yang tinggi. Kemampuan melaksanakan amanah dengan sebaiknya dan kegagalan dalam menepati amanah telah dijanjikan balasan yang buru kepada sesiapa yang tidak mementingkan sesuatu tanggungjawab yang diberikan apatah jika diberikan gaji atau upah. Istilah gaji buta perlu diambil berat oleh mana-mana individu yang berada dalam bidang pekerjaan kerana itulah kelak sebagai pendapatan hidup. Jangan sesekali kita haramkan sumber pendapatan dengan tidak menjalankan kerja dengan sebaiknya.
Budaya kerja yang positif harus dilatih ke dalam diri – seperti bijak mengawal suasana kerja dengan memperlihatkan emosi diri yang stabil, sentiasa menggunakan pendekatan berhikmah dalam menghadapi konflik atau masalah dan juga cuba bersikap memahami. Keiklasan kerja juga perlu diletakkan dalam jiwa agar setiap apa yang dilakukan mendapat kepuasan semua pihak. Sekalipun kita yakini, segala tindakan atau keputusan tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak namun, kesungguhan dan keinginan hati kita yang sentiasa berusaha untuk memuaskan hati semua harus dilaksanakan sebagai etika kerja yang sihat.

(Telah tersiar dalam majalah alumni Maahad Muhammadi tahun 2006)

11 September 2009

RAMADAN BULAN SAHAM YANG DITERBITKAN OLEH ALLAH

Oleh : Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar(muhd@live.com.my)

Kesempurnaan sebagai manusia tak selesai selagi rasa kesyukuran kepada Allah SWT tidak ditunjukkan atau diamalkan sepenuhnya oleh setiap individu muslim. Keindahan bulan Ramadan yang diciptakan oleh Allah SWT penuh dengan kerahmatan yang begitu manis dan mampu merawat dan menawarkan jiwa-jiwa supaya kembali segar dan bercahaya. Rasulullah SAW telah menjelaskan betapa manisnya ibadah puasa di bulan ramadan melalui hadisnya: Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu.” (Hadis riwayat Bukhari)
Kesegaran bulan yang dinamai oleh Allah SWT sebagai Ramadan ini perlu dihayati dan ditekuni umat Islam dengan amalan ibadat yang dapat menyucikan kembali jiwa yang sudah terlalu lama dibiarkan kotor dan penuh dengan ketidaktenteraman. Menjalani ibadat puasa bukan sekadar menahan sesuatu masuk ke dalam mulut atau menahan kelaparan malah yang perlu diutamakan oleh umat Islam ialah menjaga atau berjihad untuk meninggalkan perkara lain yang dianggap sebagai maksiat dalam makna syariat agama Islam.
Kita perlu berjihad yakni berusaha dengan bersungguh-sungguh sepanjang siang dan malam untuk melawan diri dari melakukan perkara sia-sia yang mengundang kepada umpat-mengumpat, hina-menghina malah yang lebih dahsat lagi yakni fitnah. Di samping itu juga kita perlu mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa ataupun mengurangkan pahala berpuasa.
Sudah menjadi kelaziman sesetengah umat islam yang akan leka dengan budaya atau persiapan menyambut syawal secara besar-besaran sehingga lupa tentang pahala yang perlu direbut di dalam bulan ramadan. Malam-malam di bulan ramadan dihabiskan dengan membelah belah di supermaket yang menjanjikan jualan besar-besaran sempena hari raya aidilfitri. Ramai umat Islam yang alpa tentang amalan yang harus dilakukan seperti bertarawih di masjid atau bertadarus sebaliknya berebut-rebut membeli persiapan raya. Maka golongan ini termasuk dalam golongan yang rugi. Kedatangan ramadan tidak memberikan apa-apa manfaat dan kesan kepada pembaikpulihan rohani.
Orang-orang yang beriman pastinya, menggunakan peluang yang diberikan oleh Allah SWT sepanjang bulan ramadan ini dengan melakukan sebanyak mana ibadat yang mampu dilakukan sebagai cara untuk membeli saham yang diterbitkan oleh Allah SWT secara tidak sedar oleh mata kasar kita. Maka sepanjang bulan ramadan ini perbanyakkan zikir kepada Allah dengan tahmid, tasbih dan bagunlah pada waktu malam untuk melakukan solat tahajud, hajat, witir dan sebagainya kerana itulah perawat jiwa yang sakit untuk kembali kepada ruang jiwa yang tenang.
Di siang hari umat Islam seharusnya menggunakan masa yang terluang untuk membaca ayat-ayat al-quran yang pahalanya berlipat kali ganda untuk setiap huruf yang dibaca. Keagungan al-Quran yang dinisbahkan gunung ganang akan hancur jikakalau ayat al-quran diturunkan kepadanya sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Sekiranya kami turunkan al-quran ini ke atas gunung, nescaya engkau dapati gunung itu khusyuk serta berkecai kerana takut pada Allah. Dan ingatlah contoh-contoh perbandingan ini kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.”(Surah al-Hasyr ayat :21)
Pun begitu ramai manusia yang masih tidak mahu berpegang kepada al-quran yang perlu dijadikan sumber dan panduan hidup. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membacanya bukan sahaja pada bulan ramadan sahaja bahkan betapa pentingnya setiap hari amalan membaca al-quran perlu dititikberatkan dalam kehidupan.
Bersempena dengan ramadan yang penuh kerahmatan ini juga, umat islam sebenarnya berpeluang untuk mengubah keadaan diri atau memperlengkapkan dengan penghayatan agama dengan lebih berkesan. Keinsafan yang perlu dicari dengan cara bermuhasabah, berfikir tentang kesilapan yang telah dilakukan sepanjang tahun dan bertekad untuk tidak melakukan ataupun meyesali sikap yang telah diamalkan dahulu dengan harapan akan datang hidayah daripada Allah SWT sebagaimana yang telah dijanjikan-Nya. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
Maka sesiapa yang Allah kehendaki memberi hidayah kepadanya nescaya Allah melapangkan dadanya (terbuka hati) untuk menerima islam dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya nescaya akan disempitkan dadanya seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit dengan susah payah. Demikian Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman. (surah al-An’am ayat :125)
Umat Islam juga dituntut untuk berminta maaf atas kesilapan yang telah dilakukan kepada manusia lain dengan perasaan ikhlas. Kemudian barulah memohon ampun kepada Allah SWT atas dosa tersebut bagi mengelakkan diri kita dituntut di hari akhirat kelak atas dosa melakukan kesalahan ke atas manusia yang telah kita lakukan penganiyaan ke atasnya sewaktu di atas muka bumi.

Sewajarnya kita perlu beristighfar setiap waktu apatah lagi di bulan ramadan ini sebagaimana sunnah Rasulullah SAW yang sentiasa beristigfar kepada Allah. Semoga dengan taubat yang dilakukan secara berterusan akan mendapat keampunan daripada Allah Taala. Maksud hadis: Daripada Abu Hurairah r.a berkata aku mendengar Rasulullah SWT bersabda:
Demi Allah sesungguhnya aku akan beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadanya setiap hari lebih daripada tujuh puluh kali. (Riawayat Bukhari)
Justeru, ramadan ini yang merupakan bulan pemberian saham dari Allah SWTkepada semua manusia, rebutlah peluang yang ada untuk membeli saham-saham yang telah ditawarkan oleh Allah SWT yang hanya boleh dilihat dengan jiwa keimanan dan ketakwaan kepada-Nya serta mata hati sahajalah yang dapat merasai kemanisan ramadan. Semoga dengan saham yang dibeli itu dapat ditebus di hari akhirat kelak sebagai jalan menuju ke syurganya.

10 September 2009

KEPALA LEMBU DI MALAYSIA DAN BULUH RUNCING DI INDONESIA

Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab SHATAR(muhd@live.com.my)
Sepanjang bulan ramadan yang mulia ini, nampaknya kemarahan manusia makin menjadi-jadi. Tindakan segelintir rakyat Indonesia menggunakan buluh runcing sebagai senjata menahan kenderaan di Jalan Diponegoro, Jakarta dalam gerakan yang dipanggil Sweeping Malaysia (Sapu Malaysia) bagi menyaring untuk mengusir rakyat Malaysia supaya keluar dari negara mereka adalah satu tindakan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan. Tindakan penunjuk perasaan ini sebenarnya sebagai gambaran kemarahan mereka yang begitu sensitif dengan unsur penciplakan budaya yang sering dimainkan oleh media massa Indonesia. Gara-gara tarian "Pendet" untuk iklan video klip promosi pelancongan negara kita yang sebenarnya dibuat sebuah syarikat swasta yang berpejabat di Singapura membuka pintu kemarahan mereka. Biarpun, itu dakwaan yang perlu disiasat bagi keadilan sejagat kerana isu penciplakan ini adalah sesuatu yang penting kepada mana-mana pihak atau yang lebih penting kepada penulis. Mana-mana penulis pun akan marah kalau karyanya diciplak sesuka hati bagi tujuan keuntungan. Berbeza untuk tujuan perkembangan ilmu yang mungkin boleh dimaafkan.

Aku teringkat satu scene dalam filem arahan P.Ramli (Laksamana Do Re Me) yang telah mendahalui rakyat Indonesia dalam bab penggunaan buluh runcing. Adalah ini dikatakan penciplakan idea. Kita tidak tahu betapa ramai peminat filem P.Ramli di serata nusantara Melayu-Jawa. Sebenarnya penggunaan buluh runcing adalah budaya orang Malaysia dulu kala bagi mengalahkan pengamal ilmu khasnya ilmu kebal. Perlukan kita melakukan demostrasi kerana menentang penggunaan buluh runcing di kalangan rakyat Indonesia yang sebenarnya adalah budaya rakyat Malaysia. Kena fikir tu!

Satu hal lagi yang menggemparkan negara kita, kenapa dipilih lembu yang tak berdosa sebagai luahan kemarahan. Mengapa juga penduduk Kampung Buah Pala mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang - bahawa mereka akan melonggokkan kawanan lembu di depan bangunan pejabat Lim Guan Eng sekiranya kampung mereka dirobohkan. Mengapa pula penduduk di Shah Alam Seksyen 23 memilih kepala lembu sebagai objek kemarahan untuk memprotes pembinaan kuil.
Sekurang-kurang, hayatilah konsep ihsan kepada binatang. Hormatilah kewujudannya sebagai makhluk Allah. Islam agama yang sejahtera. Sikap sedemikian bukanlah gambaran sebenar keseluruhan penganut Islam. Apapun, dalam membuat tindakan kita mesti mengutamakan kesederhanaan. Kesederhanaan ketika memprotes dengan cara atau saluran yang baik dan betul. Pepatah melayu lama mengatakan: Terlajak perahu boleh diundurkan, terlajak kata - buruk padahnya. Kesannya nanti boleh mengancam kepada keharmonian negara.
Bersambung...



09 September 2009

Hantaran Tinggi Sukarkan Perkahwinan

Oleh : Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar
Tersiar di Utusan Malaysia : 17/09/2003

MENGAPA wang hantaran perkahwinan semakin tinggi pada zaman sekarang hingga menyusahkan golongan muda Islam untuk mendirikan rumah tangga demi memenuhi naluri seks secara halal?
Wang hantaran yang tinggi bagi golongan yang berada tidaklah menjadi masalah, tapi anak-anak muda yang baru menamatkan pengajian tidak mampu menyediakan wang yang banyak untuk kos perkahwinan.
Kini ditambah pula kesukaran mendapat pekerjaan sesudah tamat pengajian menambahkan lagi kerumitan untuk mendirikan rumah tangga. Usia sudah layak untuk berumahtangga, tapi beban yang berat untuk mengumpul wang yang banyak menjadi satu kesukaran untuk menunaikan fitrah yang halal ini.
Ini mungkin terjadi kepada muda-muda yang tersepit dalam masalah kewangan. Maka pilihan terakhir mungkin dengan memilih cara tidak halal untuk memenuhi tuntutan naluri ini.
Sejumlah wang yang besar terpaksa dihabiskan bagi mendirikan rumah tangga sekarang bukan sekadar untuk wang hantaran, malah terpaksa membiayai keperluan adat yang lain.
Pada zaman Rasulullah urusan perkahwinan dijalankan secara sederhana tanpa unsur pembaziran serta tidak membebankan, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Sahl bin Saad r.a.
``Pada satu ketika seorang perempuan datang berjumpa Rasulullah s.a.w seraya berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk menyerahkan diriku kepadamu. Lalu Rasulullah s.a.w memandang kepadanya sambil mendongak dan memerhatikan dengan teliti kemudian baginda mengangguk-anggukkan kepalanya.
``Apabila perempuan itu mendapati Rasulullah s.a.w diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk. Lalu bangunlah seorang sahabat dan berkata: Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya, kahwinkanlah aku dengannya.
``Rasulullah s.a.w segera bertanya: Adakah engkau memiliki sesuatu yang boleh dijadikan mas-kahwin? Sahabat itu menjawab: Tidak ada.
``Baginda bersabda: Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan mas-kahwin. Lantas sahabat tersebut pulang, kemudian beliau kembali menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dijadikan mas-kahwin.
``Maka Rasulullah s.a.w berkata lagi: Carilah walaupun sebentuk cincin besi.
``Lalu sahabat tersebut pulang dan datang kembali serta berkata: Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi, tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya. (Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badannya.)
``Rasulullah s.a.w berkata: Apa yang engkau boleh buat dengan kain engkau itu. Sekiranya engkau memakai kain itu, perempuan tersebut tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain tersebut engkau tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai.
`` Sahabat itu duduk lama kemudian bangun. Rasulullah s.a.w memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ.
``Setelah itu Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya dia dipanggil. Apabila sahabat tersebut sampai, Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah yang engkau miliki daripada Al-Quran?
``Sahabat tersebut menjawab: Aku hafaz surah itu dan surah ini. Sahabat berkenaan menghitungnya.
``Rasulullah berkata: Pergilah! Engkau telah memilikinya bermaskahwinkan ayat atau surah Al-Quran yang engkau hafaz.''
Kita maklum bahawa kehidupan kota yang terdedah kepada pergaulan bebas sudah ke tahap yang agak membimbangkan ditambah lagi penghijrahan tenaga muda ke kawasan bandar untuk memenuhi peluang kerja.
Maka adalah penting bagi golongan muda untuk mendirikan rumah tangga awal bagi mengelakkan diri daripada terdedah kepada zina. Oleh itu adalah perlu ikatan perkahwinan dipermudahkan untuk mengelakkan golongan muda tercebur ke dalam perzinaan.
Perlu ada unsur kawalan wang hantaran oleh pihak berkuasa agama untuk menentukan kadar yang mesra pengantin. Jika dibiarkan terus hantaran tinggi menjadi budaya dalam masyarakat, maka akan bertambah kelompok orang muda yang terpinggir daripada perkahwinan.
Adalah menjadi tanggungjawab bersama semua pihak untuk menggembalikan semula apa yang disarankan oleh Rasulullah tentang mempermudahkan urusan perkahwinan.

05 September 2009

Mendekati Bahan Bacaan Berunsurkan Agama Untuk Kemantapan Akidah

Oleh: Muhammad bin Abdulah @ Ab Shatar

Salam,
Pembacaan adalah guru yang paling berpengaruh dalam pembinaan minda dan pengetahuan semasa. Bahan bacaan yang baik dan bermutu akan meningkatkan keilmuan para pelajar serta boleh memperkuatkan kefahaman agama di kalangan pelajar pada masa ini yang lebih terpengaruh dengan majalah yang tidak sesuai dengan perkembangan mereka.

Kemunculan pelbagai majalah hiburan yang meminggirkan nilai keilmuan atau proses pendidikan akhirnya merosakkan jiwa remaja apatah lagi kemunculan bermacam-macam majalah pengkisahan seks. Kemusnahan masa depan pelajar boleh berlaku lantaran pembacaan tak terkawal terhadap majalah hiburan yang akhirnya akan melembabkan perkembangan intelektual pelajar atau menghilangkan fokus mereka terhadap mata pelajaran.
Para guru perlu mendedahkan kewujudan majalah-malajah yang perlu didekati oleh para pelajar yang membantu ke arah pembentukkan sahsiah diri yang baik dan murni. Pelajar kadang kala tidak terdedah kepada majalah-majalah ini kerana minda mereka sudah terisi dengan majalah paparan para artis yang lebih mereka digemari.
Manakala ibu bapa perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk melanggani majalah-majalah berunsurkan keagamaan atau pembinaan kerohanian dari membayar yuran astro dan sebarang unsur hiburan seperti pembelian vcd nyayian atau filem.

04 September 2009

Kesedaran beragama - Mungkinkah sekadar nama?

Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar
(Tersiar di Utusan Malaysia pada 21/10/2003)

Tidak mampukah Islam dalam ajarannya mengawal peribadi penganutnya daripada melakukan maksiat atau perihal maksiat yang lain?
Dimaklumkan bahawa kehidupan sekitar ibu kota atau mana-mana bandar, pasti keadaan masyarakatnya boleh ditafsir sejauh mana penghayatan dan kepatuhan kepada ajaran Islam melalui pandangan mata yang disorot pada sebelah malam atau siangnya.
Pastinya remaja yang sering kali dikaitkan dengan keruntuhan sosial melalui kes-kes yang ditimbulkan seperti pesta seks, sumbang mahram, penyalahgunaan dadah, pil-pil khayal dan seribu macam masalah yang akhirnya memberikan tanda tanya, adakah ini satu pilihan untuk mereka mencari keseronokan jiwa melalui jalan eskapisme.
Wujud pertanyaan, adakah kita `Islam' hari ini disebabkan desakan naluri untuk memilih berada dalam agama sebagai tempat penyerahan jiwa dengan meluahkannya melalui satu bentuk hubungan dengan Pencipta semesta?
Ataupun kita Islam hari ini, lantaran warisan nenek moyang yang meletakkan nama Islam sebagai tanda beragama, selebihnya mengabaikan tentang apa sebenarnya yang diterapkan Islam melalui al-Quran tentang penghayatan jiwa untuk menjadi penganut yang beriman, melakukan perbuatan yang baik dan mulia, serta berada dalam ruang kemanusiaan dengan begitu sempurna.
Justeru, berlaku kesilapan dalam masyarakat untuk membenihkan kesedaran beragama sebagai tempat pengisian jiwa, cara luahan perasaan dalaman kepada satu kuasa besar yakni Allah s.w.t melalui solat, doa, muhasabah, zikir, munajat dan aktiviti-aktiviti ibadat yang lain.
Kehilangan `ruang rohani' ini mengakibatkan remaja kehilangan tempat bergantung atau sering `kekosongan jiwa' untuk mencari makna kehidupan dan mengenal secara dalamnya diri sendiri.
Lantas, apa yang mendorong mereka keluar daripada `jiwa' dengan memilih cara kepuasan tersendiri, sama ada berada pada jalan baik atau salah?
Kebanyakan mereka akan cepat terpengaruh untuk berada dalam ruang hiburan semata bagi mengisi kekosongan ini.
Apatah lagi kepada remaja yang lahir dalam keluarga kucar-kacir, tekanan kemiskinan, kesempitan tempat tinggal, atau masalah lain yang akhirnya terpinggir daripada nilai-nilai kehidupan Islam, mengundang mereka untuk mencari penyelesaian lain.
Tanpa kekuatan agama yang mengakari jiwa secara utuh, pastilah akan merapuhkan ketahanan diri daripada melakukan perkara yang di luar batasan agama.
Firman Allah menegaskan betapa perlunya berpegang kepada ajaran Islam yang disampaikan melalui rasul-Nya dan melalui kitab-Nya al-Quran demi mencari ketenteraman jiwa yang mampu mengelakkan daripada terdedah kepada ruang maksiat.
``Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat-Mu (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmah kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (daripada syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.'' (Al-Baqarah : 129)
Manusia tanpa agama, pasti mengakibatkan berlaku `kacau bilau' dalam sesebuah masyarakat.
Jika dilihat sewaktu zaman jahiliyah bagaimana porak-peranda masyarakatnya dengan peperangan antara kabilah, wujudnya penindasan terhadap kaum wanita, dan meluasnya adat-adat yang di luar sifat keperimanusiaan seperti penanaman bayi perempuan lantaran sikap memandang rendah kepada martabat perempuan, dan segala bermacam hal yang begitu mengharu birukan makna kehidupan lantaran tiadanya sistem pegangan yang teratur dan jalan yang benar.
Hari ini, kekeruhan sosial yang berlaku dalam masyarakat di negara kita pada peringkat serendahnya yang menyalahi tabii manusia seakan mahukan `penjernihan semula'.
Ini disebabkan Islam sebagai agama harus didalami sepenuhnya oleh semua golongan masyarakat agar mampu mengembalikan kehidupan yang lebih mulia, sejahtera dan aman.
Aspek ini dilihat betapa perlu diambil berat oleh semua masyarakat kerana inilah jalan yang sebenar yang mampu mengembalikan nilai kehidupan diri dan anak-anak bahkan dalam sesebuah keluarga hinggalah ke dalam masyarakat seterusnya.
Justeru, apa yang amat penting adalah kesedaran beragama harus ditanya dalam jiwa agar adanya muhasabah yang akhirnya menjawab: Kenapa Islam yang dianuti ini perlu diselami dan dihayati secara menyeluruh agar terlahir dalam jiwa makna kebahagiaan, tentang sebuah kehidupan yang sebenar, terisi jiwa dengan ketenangan melalui pelaksanaan ibadat kepada Allah serta mampu menghasilkan sebuah masyarakat yang sepadu melalui unsur persepakatan yang dianjurkan oleh Islam.
Firman Allah s.a.w.: ``Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: ``Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.'' (Al-Baqarah ayat 132).

03 September 2009

MEMBUKA PINTU REZEKI

MEMBUKA PINTU REZEKI

Dato' Dr. Fazilah Kamsah pernah berkata:"Setiap pagi sedekahkan al-fatihah kepada kedua ibu bapamu (tak kira masih hidup @ telah tiada)" nescaya pintu rezekimu akan terbuka buat kamu.
Berdasarkan Hadith Nabi : "Tidak akan terputus rezeki seseorang selagi dia tidak meninggalkan doa kepada kedua orang tuanya dalam sehari"
Huraian hadith: jangan sesekali meninggalkan doa kepada kedua ibu bapa (baik yang hidup mahupun yang sudah tiada), Allah akan memurahkan rezeki kepada mereka yang tidak putus berdoa kepada kedua ibu bapa (walaupun ada ibu bapa yang leka, doakan agar mereka berubah). Ingatlah bahawa keredhaan ibu bapa adalah keredhaan Allah.
Semasa berdoa, berdoalah dengan bersungguh-sungguh, tadah tangan dan bayangkan wajah kedua orang tua kita, termasuk guru-guru kita dan mereka yang banyak menolong kita (berdoa perlu benar-benar bersungguh).
Mereka yang lupa berdoa kepada kedua orang tua, akan disempitkan rezeki oleh Allah
Kesimpulannya: Bagi yang berniaga, tak perlu ada ilmu pelaris. Cuma jangan lupa doakan ibu bapa kita setiap hari. Rezeki bukan sahaja berupa wang ringgit, tetapi segala nikmat yang kita dapat dari Allah (seperti nikmat makan, kesihatan, kasih sayang, ilmu dan sebagainyanya).
InsyaAllah, berusaha dan bertawakal.
Insyallah, rezeki itu bukan kerana ada sijil SPM, (kata Azmil Mustapha).
Mari kita cuba!
Allahhuakhbar.
Insya Allah Allahu Akbar! Saya tidak pernah menyangka-nyangka bahawa dengan meneruskan kalimat ini kepada rakan-rakan dan saudara sekalian. Allah memberikan saya rezeki yang tidak disangka-sangka. Memang tidak sampai 12 jam setelah saya kirimkan pesan itu. Tapi limpahan kurnia-Nya kepada saya sungguh diluar pemikiran saya.
Subhanallah! Alhamdulillah.
Kiriman dari emel:
"Nozinani@lifeisgreat.com.my"
Dihantar: Jumaat, 17 Julai, 2009 2:37:37

AL-QAYYUM, AL-MAJID, AL-WAJID, AL-WAHID, AL-AHAD, AL-SAMAD, AL-KADIR, AL-MALIK , AL - RAHMAN , AL -RAHIM

02 September 2009

Bonus Kakitangan Awam 2009 Sebelum Raya

Salam,
Perkhabaran baik kepada semua penjawat awam seramai 1.2 juta di seluruh negara dengan 75,000 orang pesara yang layak menerima bonus. Pemberian bonus tahun ini sudah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Mohd. Hanadzlah baru-baru ini.
  • Manakala Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), Omar Osman berkata, belum pernah berlaku dalam sejarah pembayaran bonus dibuat sebelum pembentangan bajet 2010 nanti.
    Justeru itu, wang bonus nanti haruslah dielakkan dari unsur pembaziran. Jangan mengkayakan lagi tauke-tauke pasaran yang sudah merancang perangkap untuk mengambil bonus kakitangan awam seramai 1.2 juta ini. Langkah pertama:
  • Jauhi iklan dan banner jualan murah yang memalsukan harga sebenar.
  • Elakkan membeli mengikut hawa nafsu tanpa berfikir sewajarnya
  • Jauhi sifat ingin menunjuk-nunjuk kekayaan dan kuasa membeli
  • Buat perancangan teliti sebelum memasuki pasaraya.
  • Ingatlah firman Allah Taala:Allah berfirman “dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu, adalah saudara syaitan .” (Surah al-Israa’:26-27). Rasulullah s.a.w pula telah bersabda “dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengumpat, meminta-minta dan membazirkan harta.”(Hadis al-Mughirah bin Syu’bah r.a)

Ditulis oleh Ust Muhd: muhd@live.com.my

01 September 2009

Sulley Muntari - Berdakwah Dalam Bola Sepak Untuk Ramadan

Oleh : Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar
Salam para pelajar yang dikasihi Allah SWT
Dalam minggu ini, umat islam di Itali menerima satu lagi isu yang bakal menghangatkan dunia islam yang lain iaitu Sulley Muntari (Sulaiman Muntari) yang merupakan pemain berasal dari Konongo, Ghana kini menjadi tonggak Inter Milan. Pemain kental di bahagian tengah yang berusia 24 tahun telah dikritik oleh jurulatih Jose Mourinho kerana berpuasa. Namun Mourinho menafikannya dengan mengatakan media massa Itali yang memutarbelitkan kenyataannya. Perlu diingat! Sebarang perkataan mempersendakan hukum hakam islam pasti menyemarakan api kemarahan seluruh umat islam di dunia ini. Tahniah Sulaiman Muntari atas ketebahan menjalani ibadat puasa walaupun menghadapi perlawanan penting. Kekentalan iman menghadapi cabaran kehausan di tengah padang pasti diberi ganjaran yang besar oleh Allah Taala.
Para pelajar sekalian.
Dakwah adalah sesuatu yang dituntut ke atas umat islam. Dr. Yusuf al-Qardhawi pula memberi definisi dakwah sebagai usaha membawa orang lain kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama dalam melaksanakan segala ketetapan-Nya di muka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk perhambaan diri, permohonan dan taat kepada Allah sahaja, melepaskan diri dari segala kongkongan yang bukan dari Allah, menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran dan berjihad pada jalanNya.
Firman Allah Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesunguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk" (surah al-Nahl : 125)

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU