06 September 2012

PERSATUAN SUKAN PERLU DIDIK NILAI AGAMA DAN SEMAI ILMU KEPADA PEMAIN


(Tersiar dalam Berita Harian: 04.09.2012)
Oleh: MUHD SHATAR (muhd@live.com.my)

Sejauh manakah peranan persatuan sukan terhadap pemain-pemainnya dalam pembinaan sahsiah, pengurusan kewangan atau lebih penting kehidupan berteraskan agama. Tidak dapat dinafikan, kebanyakan pemain bola mula diserapkan ke akademi bola sepak negeri ketika usia remaja hinggalah meningkat usia. Memasuki dunia sukan terutamanya bola sepak memang teruja kerana diminati dan menjadi tumpuan, selain kehadiran facebook, twitter dan pelbagai kaedah terkini dalam menemukan peminat dengan pemain dengan lebih rapat.
            Gaji agak lumayan ketika masih di peringkat remaja atau pada awal usia muda sekiranya tiada kesedaran menguruskan wang secara berhemah maka pendapatan diraih sudah pasti dibelanja boros ataupun menjurus kepada pembaziran. Pendapatan pemain bola umumnya terhad ketika usia remaja hinggalah mencapai usia sekitar tiga puluhan. Pendapatan juga akan terhenti apabila kudrat tidak diperlukan. Pendapat lumayan diraih sewaktu bertenaga dan diperlukan pasukan perlu dikumpulkan dalam bentuk aset kekal seperti hartanah sebagai persediaan apabila pemain beransur hilang tawaran dari mana-mana pasukan. Justeru persatuan sukan ada kewajipan memastikan para pemain berupaya mengawal pendapatan dan ilmu pengurusan kewangan perlu diberikan secara berkala. Selain berupaya mebimbing pemain di bawah kontrak dan tanggungjawab dalam membuat pelaburan masa hadapan.
            Isu pemain terlibat dengan gejala negatif seperti contoh terbaru dakwaan jurulatih Peter Butler terhadap skandal pemainnya membawa masuk perempuan ke hotel perlu dilihat sebagai satu perkara besar bersama adanya langkah pencegahan. Pemain bola adalah idola remaja. Mendidik pemain melalui pembentukan akhlak serta kefahaman agama yang mendalam akan membantu menghindari berlaku kerosakan peribadi dan menjadi kritikan media yang akhirnya menyumbang kepada punca kemerosotan prestasi. Pemain bola merupakan figure sering diperhatikan masyarakat umum, maka perlunya pengisian seperti tazkirah agama, kuliah ilmu dan sebagainya turut diterapkan kepada pemain. Paling penting, pemain remaja yang dipilih ke peringkat akademi bola sepak turut disediakan modul pembangunan insan dan kekuatan kehidupan beragama.      
Peranan persatuan dalam membangunkan tahap pengurusan kewangan dan pembinaan akar keagamaan adalah mustahak dan perlu segera dilaksanakan. Pemain kuat agamanya akan lebih berintegreti terhadap kecemerlangan pasukan. Jadi, salah satu cara mencapai kemenangan dalam perlawanan adalah dari pembinaan kekuatan rohani dan jasmani pemain. Di samping, kesedaran mereka terhadap amanah dari pucuk pengurusan pasukan.


  

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU