11 September 2009

RAMADAN BULAN SAHAM YANG DITERBITKAN OLEH ALLAH

Oleh : Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar(muhd@live.com.my)

Kesempurnaan sebagai manusia tak selesai selagi rasa kesyukuran kepada Allah SWT tidak ditunjukkan atau diamalkan sepenuhnya oleh setiap individu muslim. Keindahan bulan Ramadan yang diciptakan oleh Allah SWT penuh dengan kerahmatan yang begitu manis dan mampu merawat dan menawarkan jiwa-jiwa supaya kembali segar dan bercahaya. Rasulullah SAW telah menjelaskan betapa manisnya ibadah puasa di bulan ramadan melalui hadisnya: Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu.” (Hadis riwayat Bukhari)
Kesegaran bulan yang dinamai oleh Allah SWT sebagai Ramadan ini perlu dihayati dan ditekuni umat Islam dengan amalan ibadat yang dapat menyucikan kembali jiwa yang sudah terlalu lama dibiarkan kotor dan penuh dengan ketidaktenteraman. Menjalani ibadat puasa bukan sekadar menahan sesuatu masuk ke dalam mulut atau menahan kelaparan malah yang perlu diutamakan oleh umat Islam ialah menjaga atau berjihad untuk meninggalkan perkara lain yang dianggap sebagai maksiat dalam makna syariat agama Islam.
Kita perlu berjihad yakni berusaha dengan bersungguh-sungguh sepanjang siang dan malam untuk melawan diri dari melakukan perkara sia-sia yang mengundang kepada umpat-mengumpat, hina-menghina malah yang lebih dahsat lagi yakni fitnah. Di samping itu juga kita perlu mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa ataupun mengurangkan pahala berpuasa.
Sudah menjadi kelaziman sesetengah umat islam yang akan leka dengan budaya atau persiapan menyambut syawal secara besar-besaran sehingga lupa tentang pahala yang perlu direbut di dalam bulan ramadan. Malam-malam di bulan ramadan dihabiskan dengan membelah belah di supermaket yang menjanjikan jualan besar-besaran sempena hari raya aidilfitri. Ramai umat Islam yang alpa tentang amalan yang harus dilakukan seperti bertarawih di masjid atau bertadarus sebaliknya berebut-rebut membeli persiapan raya. Maka golongan ini termasuk dalam golongan yang rugi. Kedatangan ramadan tidak memberikan apa-apa manfaat dan kesan kepada pembaikpulihan rohani.
Orang-orang yang beriman pastinya, menggunakan peluang yang diberikan oleh Allah SWT sepanjang bulan ramadan ini dengan melakukan sebanyak mana ibadat yang mampu dilakukan sebagai cara untuk membeli saham yang diterbitkan oleh Allah SWT secara tidak sedar oleh mata kasar kita. Maka sepanjang bulan ramadan ini perbanyakkan zikir kepada Allah dengan tahmid, tasbih dan bagunlah pada waktu malam untuk melakukan solat tahajud, hajat, witir dan sebagainya kerana itulah perawat jiwa yang sakit untuk kembali kepada ruang jiwa yang tenang.
Di siang hari umat Islam seharusnya menggunakan masa yang terluang untuk membaca ayat-ayat al-quran yang pahalanya berlipat kali ganda untuk setiap huruf yang dibaca. Keagungan al-Quran yang dinisbahkan gunung ganang akan hancur jikakalau ayat al-quran diturunkan kepadanya sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Sekiranya kami turunkan al-quran ini ke atas gunung, nescaya engkau dapati gunung itu khusyuk serta berkecai kerana takut pada Allah. Dan ingatlah contoh-contoh perbandingan ini kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.”(Surah al-Hasyr ayat :21)
Pun begitu ramai manusia yang masih tidak mahu berpegang kepada al-quran yang perlu dijadikan sumber dan panduan hidup. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membacanya bukan sahaja pada bulan ramadan sahaja bahkan betapa pentingnya setiap hari amalan membaca al-quran perlu dititikberatkan dalam kehidupan.
Bersempena dengan ramadan yang penuh kerahmatan ini juga, umat islam sebenarnya berpeluang untuk mengubah keadaan diri atau memperlengkapkan dengan penghayatan agama dengan lebih berkesan. Keinsafan yang perlu dicari dengan cara bermuhasabah, berfikir tentang kesilapan yang telah dilakukan sepanjang tahun dan bertekad untuk tidak melakukan ataupun meyesali sikap yang telah diamalkan dahulu dengan harapan akan datang hidayah daripada Allah SWT sebagaimana yang telah dijanjikan-Nya. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
Maka sesiapa yang Allah kehendaki memberi hidayah kepadanya nescaya Allah melapangkan dadanya (terbuka hati) untuk menerima islam dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya nescaya akan disempitkan dadanya seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit dengan susah payah. Demikian Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman. (surah al-An’am ayat :125)
Umat Islam juga dituntut untuk berminta maaf atas kesilapan yang telah dilakukan kepada manusia lain dengan perasaan ikhlas. Kemudian barulah memohon ampun kepada Allah SWT atas dosa tersebut bagi mengelakkan diri kita dituntut di hari akhirat kelak atas dosa melakukan kesalahan ke atas manusia yang telah kita lakukan penganiyaan ke atasnya sewaktu di atas muka bumi.

Sewajarnya kita perlu beristighfar setiap waktu apatah lagi di bulan ramadan ini sebagaimana sunnah Rasulullah SAW yang sentiasa beristigfar kepada Allah. Semoga dengan taubat yang dilakukan secara berterusan akan mendapat keampunan daripada Allah Taala. Maksud hadis: Daripada Abu Hurairah r.a berkata aku mendengar Rasulullah SWT bersabda:
Demi Allah sesungguhnya aku akan beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadanya setiap hari lebih daripada tujuh puluh kali. (Riawayat Bukhari)
Justeru, ramadan ini yang merupakan bulan pemberian saham dari Allah SWTkepada semua manusia, rebutlah peluang yang ada untuk membeli saham-saham yang telah ditawarkan oleh Allah SWT yang hanya boleh dilihat dengan jiwa keimanan dan ketakwaan kepada-Nya serta mata hati sahajalah yang dapat merasai kemanisan ramadan. Semoga dengan saham yang dibeli itu dapat ditebus di hari akhirat kelak sebagai jalan menuju ke syurganya.

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU