27 March 2014

Laporan Mesyuarat Ketua Warden: Hotel Katerina Batu Pahat, Johor (25-27 Mac 2014)

Salam perkongsian maklumat,

Menghadiri mesyuarat ketika dalam waktu cuti persekolahan antara perkara yang tidak ingin berlaku. Pun begitu jika telah diarahkan maka tanggungjawab wajb dilaksanakan. Yang Menurut Perintah adalah prinsip asas penjawat awam.
Hasil dari mesyuarat yang dihadiri, saya telah perkemaskan untuk bacaan para warden lain.
Menjadi warden sangat perlu mengutamakan SOP kerana zaman ini 
saman dari waris sangat ketara. Sedikit kecuaian/ketidakakuran pihak sekolah maka akan ada dorongan dari para peguam yang sangat melihat peluang mengambil keuntungan hasil kesilapan penjawat awam. Maka berwaspada dengan ancaman ini.


MAKLUMAT PENTING ISU/MESEJ/SARANAN/INTIPATI UTAMA SEPANJANG
MESYUARAT KETUA-KETUA WARDEN
25-27MAC 2014

Hotel Katerina Batu Pahat, Johor


1.       Buku Laporan Harian Warden
- Wajib diisi oleh warden bertugas mengikut hari (Kewajipan seperti mengisi buku RP)
- Disahkan Ketua Warden  (Ketua Unit Pengurusan Asrama) setiap hari
- Disahkan TPSA KV seminggu sekali
- Disahkan Pengarah KV sebulan sekali

2.  Surat Kebenaran Waris
- Hanya layak ditandatangani oleh warden jika melibatkan aktiviti dalam sekolah sahaja.
- Ibu bapa/waris yang berhak menandatangani Surat Kebenaran Waris bagi setiap aktiviti yang akan disertai pelajar.
- Guru yang ingin membawa pelajar mengikuti setiap aktiviti dijalankan di luar sekolah perlu menyerahkan Surat Kebenaran Waris kepada pelajar 2 minggu lebih awal dari tarikh yang ingin dijalankan.
- Warden boleh menolak untuk menandatangani Surat Kebenaran Waris jika diminta berbuat demikian disebabkan faktor beban tanggungjawab jika berlaku sebarang perkata tidak diingini.

3. Surat Kebenaran Pengarah KV untuk Warden Menggunakan Kenderaan Sendiri Bagi Tujuan Menghantar Pelajar Dalam Kes Kecemasan/Disiplin/Salahlaku   
- Warden tidak boleh membawa pelajar dengan kenderaan sendiri tanpa Surat Kebenaran Pengarah KV
-          Pengarah KV boleh keluarkan Surat Kebenaran kepada Warden untuk membawa pelajar dengan kenderaan sendiri.
4. Jadual Bertugas Warden
-  Warden wajib berada di kawasan sekolah mengikut waktu yang dijadualkan. Kesalahan sangat besar jika warden bertugas tiada di asrama sewaktu pelajar ada di asrama walaupun melibatkan hari cuti persekolahan. Kewajipan ini akan terhapus sebaik semua pelajar meninggalkan asrama.
- Warden perlu memaklumkan kepada Ketua Warden jika ada hal yang menyebabkan ketidakbolehadaan di asrama bagi membolehkan pengantian warden lain bertugas.

5. Buku Undang-Undang Peraturan Asrama
- Wajib diedarkan kepada semua pelajar di asrama.
- Warden perlu perhalusi isi kandungannya agar tidak melakukan ketidakakuran.

6. Prosedur Kes Salahlaku/Disiplin Pelajar
- Warden/Ketua Warden perlu siasat kes dengan teliti mengikut SOP
- Serah hasil siasatan kepada Lembaga Disiplin
- Ketua Warden hanya berhak menyuarakan bentuk hukuman tetapi yang memutuskannya ialah Lembaga Disiplin.

7. Warden Wajib Melaksanakan Tugas  Ikut SOP/Rutin Harian
- Zaman waris/ibu bapa menyaman penjawat awam yang tidak ikut prosedur dalam menjalankan tugas
- Perihatin dengan makanan pelajar di Dewan Makan. Periksa dewan makan dan berhak merasai makanan yang disediakan oleh pihak Dewan Makan.
- Warden berperananan menganjurkan aktiviti mengikut biro masing-masing kerana itu adalah sebahagian hak pelajar seperti sukan, riadah, lawatan, rekreasi, kesenian, kerohanian dan lain-lain lagi.
-  Menghidupkan aktiviti kerohanian seperti solat berjemaah di surau. (Pesan En. Abdul Rahman Makbul; kemenjadian pelajar bermula di surau). Semua warden berkewajipan menjaga solat berjemaah/sahsiah pelajar tanpa mengira bidang tugas di sekolah. Bukan warden dari guru agama sahaja.
- Wajib berada di asrama pada setiap hari ahad sebelum jam 6.00 petang dan berada di asrama setelah kesemua pelajar pulang ke kampung.
- Merancang usaha ke arah mengawal masalah disiplin pelajar seperti gejala menghisap rokok, buli, curi, ugut, kongsi gelap dan lain-lain lagi.

8. Segala Aktiviti Pelajar Yang Dijalankan Tidak Boleh Melebihi Jam 10.00 Malam
- Sebarang aktiviti pelajar dihadkan sehingga jam 10.00 malam, kesalahan besar jika apa-apa perkara tidak diingini sebaik selepas jam 10.00 malam terhadap pelajar.

9.  Warden/Guru Tidak boleh Merotan Tanpa Surat Kebenaran Merotan Dari Pengarah KV
- Hanya warden yang diberi surat kebenaran dari Pengarah KV sahaja boleh merotan.
- Hak merotan masih terikat dengan syarat-syarat. (Rujuk Unit Disiplin Sekolah)

10. Ketua Unit Pengurusan Asrama adalah merangkumi tugas Ketua Warden Asrama
 - (Diperjelaskan oleh En. Abdul Rahman Makbul kerana banyak KV masih wujud dua jawatan berbeza antara Ketua Warden dan Ketua Unit Pengurusan Asrama)
- Jawatan Ketua Warden untuk KV dibubarkan dan hanya digunapakai di Sekolah Asrama bukan KV.

11. Ucapan tahniah dan terima kasih dari semua BBTV atas kesudian para guru memegang jawatan Warden yang tidak digemari guru lain dan sangat berisiko pada zaman ibu bapa mencari  kecuaian kita para para warden.

Disediakan oleh:

Wakil KV SEBERANG PERAI: En Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

17 March 2014

Ahad Cuti: Ziarahi Pekan Buku Parit Buntar

Salam 

Kelmarin, pagi ahad menjadi lebih bermakna. Acara Pekan Buku di Parit Buntar tersedia aktiviti hujung  minggu yang dinanti-nanti. 

Kelapangan menjadikan manusia tercari-cari apa yang perlu dihabiskan untuk bersama keluarga.

Baca buku satu pelayaran yang lebih jauh dari percutian biasa.


Kelmarin, di sekitar pingiran Sungai Kerian berlangsung Pekan Buku anjuran BANTU sebuah NGO yang mengumpulkan para pembaca buku, aktiviti keilmuan dan terselit acara kanak-kanak mewarna. Pastinya ibu bapa lebih berminat memerhatikan anak-anak melukis dengan sebuah harapan

Tiada saat lebih membahagiakan dengan meluangkan masa dengan anak yang dikasihi setelah lima hari sibuk dengan urusan kerja...


Kelmarin,

Buku-buku disusun untuk dibaca oleh semua pengunjung yang datang. Acara ini terbuka untuk semua tanpa bayaran. Bahkan ada jamuan disediakan oleh beberapa pihak yang mengambil bahagian.





Kelmarin, di pinggiran Sungai Kerian ada acara baca puisi. Meskipun tidak ramai pembaca sajak, cukuplah berkumandang suara nyaring memecahkan sunyi pekan Parit Buntar.

Kelihatan seorang guru sedang mendeklamasikan sajak...





Kelmarin, di sana para penduduk di sekitar Parit Buntar, Nibong Tebal dan yang berminat dapatlah menikmati satu acara yang bagus jika dibandingkan dengan pesta hiburan lain...

Sebuah pekan akan terasa maknanya jika acara sebegini wujud di tengahnya. Kelihatan presiden kepada bandan NGO BANTU memberikan ucapan.




Kelmarin, bahan bacaan yang tersedia percuma - membantu menggalakan minat membaca kepada semua golongan...









Coretan: Muhd Shatar

10 March 2014

Gundah Bulan Terselam Cinta Kepada Khaliq

Bulan Terasa Gundah Di Atas Kepala

Malam ini aku biarkan minda berkeliaran. Gundah apakah yang memburu jiwaku. Aku menyusun helaian lama kenangan satu persatu kerana setiap manusia akan mahu memilih suatu masa merenung sejarah dirinya.
Sejenak aku terbayang kehidupan kecil di kampung tercinta. Di sebuah rumah papan pasti jendela terkuak pada waktu malam. Kerana kipas masih belum ada, kalau ada di kedai sekalipun mana mungkin boleh jadi milik keluarga kami yang amat sederhana.
Ruang malam hanya berlegar di rumah hingga mata sukar terlelap. Aku belajar menjadi manusia berfikir dalam sunyi berlebihan.

Bagaimana hendak kembali menikmati kehidupan kampung kerana kini kebanyakan kampung sudah dipengaruhi cara hidup orang kota. Pun begitu, masih ada suasana seperti terakam dalam gambar. Saudara-saudaraku di pendalaman seperti Dabong, Manek Urai, Mengkebang, Laloh, Batu Melintang dan banyak lagi di sebelah Kelantan mungkin menikmati suasana malam indah begini.
Sunyi berlebihan membuatkan anak gadis teringin mencuba kehidupan kota. Tanpa bekalan ilmu dan sedikitnya kebolehan menguruskan ketahanan diri - maka meningkatlah gejala kurang sihat. Anak kampung yang baik pekerti sampai ke bandar seperti wajah lain menerpa; terpinga-pinga dalam kecantikan neon.
Sunyi berlebihan, aku teringat diriku di ibu kota sekitar tahun 2000. Dari situlah aku mula mengenal sunyi. Menikmati sunyi di tengah bingit kota. Mencari sunyi hingga lahir kalimah puisi.

Coretan: Muhd Shatar

09 March 2014

Jangan Mengharap Jawatan: Antara Amanah dan Cabaran Kerjaya



Salam Ahad, 
Pagi yang kehausan embun, kakiku melangkah melepasi fajar subuh di permukaan padang. Di sini permukimanku sejak 8 tahun. Ya, sudah lebih 8 tahun aku bertugas di sini. 8 tahun juga aku bergelar warden. Alhamdulillah, pahit maung telah kutelan dalam menguruskan para pelajar dalam usia belasan tahun dengan pelbagai ragam dan gelagat. Banyak pengalaman yang kupelajari dari warden lain. Kes disiplin pelajar umapama rutin harian yang tidak perlu dibincangkan. Mungkin suatu hari akan kubukukan kes-kes disiplin yang pernah kutangani bersama para warden lain. Selama 8 tahun banyak aku belajar dari warden berpengalaman seperti Cikgu Rahman, Cikgu Rohaizat, Cikgu Azhar (sejak 2008 berpindah ke tempat lain), Cikgu Ahmad Zoon (sudah meninggal), dan warden lain yang agak sebaya. 

Bercakap tentang jawatan warden yang tugasnya jarang diingini para guru lain dan isu melibatkan warden agak sensasi diutarakan di kolum surat pembaca media cetak. Beban tugasnya lebih berat dari guru. Ya, apabila memohon jawatan dari kerajaan dan layak memperolehinya - inilah yang disedari, kita yang meminta dan ramai di luar sana mengimpikan jawatan dalam kerajaan. 
 
“Janganlah kamu meminta jawatan kepimpinan (dalam politik). Apabila jawatan tersebut diberikan kepada kamu disebabkan kamu memintanya, maka jawatan tersebut akan menjadi bebanan bagi kamu. Tetapi sekiranya jawatan tersebut diberikan bukan kerana permintaan kamu, maka kamu akan dibantu dalam menguruskannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 20/302, no. 6132)

Semoga taufik dan hidayah Allah Taala akan sentiasa menerangi tindakan dan keputusan yang dibuat. Kerja sebagai warden asrama, kita perlu bergerak secara berkumpulan. Sebarang keputusan dan tindakan akan lahir menghikmahkan natijah yang berkesan kepada pelajar. Kekuatan akan menjelma jika para warden bersatu hati, bergerak dengan kata sepakat dan seiring semangat dalam membasmi tiap-tiap racun yang merosakkan minda dan sahsiah pelajar. Benar kata pepatah melayu yang mengumpamakan sebatang lidi mudah dipatahkan jika dibandingkan dengan seikat lidi. Kita perlu bergerak bersama... Insak Allah tercapai hasrat Asrama Terbaik Yang Dirahmati Allah. 

Coretan: Muhd Shatar 

08 March 2014

Hari Ini Beijing Menangis: Kita Memohon Agar Terselamat

Salam Sabtu yang sangat mengharukan,

Tiba masa nahas tetap berlaku, sesiapa pun tak terduga tarikhnya. 
Pihak MAS mengesahkan penumpang pesawat tersebut terdiri daripada warganegara China 152 orang termasuk seorang bayi, Malaysia 38 orang, Indonesia 12 orang, Australia 7 orang, Perancis 3 orang, Amerika Syarikat 3 orang termasuk seorang bayi, New Zealand 2 orang, Ukraine 2 orang, CKanada 2 orang, Russia 1 orang, Itali 1 orang, Taiwan 1 orang, Belanda 1 orang dan Austria 1 orang. Memetik dari sumber (http://www.themalaysianinsider.com).

Orang yang menanti tetap mengharapkan batang tubuh yang disayangi kekal tiba. Takdir selalu memisahkan antara realiti dan sempadan ketentuan sebenar. Perkara yang paling tidak disukai manusia adalah perpisahan. Kini ia sedang terjadi... Mohon keajaiban menentukan ada takdir yang diingini. Kini Beijing menangis dan kita tetap mengharapkan ada jawapan yang positif untuk pesawat MH370.

Coretan: Muhd Shatar



SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU