04 June 2010

Syurga Adnin: Bagi orang yang bertaqwa kepada Allah Taala

Di dalam Al Quran dicatatkan bakal-bakal manusia yang akan mendiami Syurga ‘Adnin… di antaranya :



1. Orang yang bertaqwa kepada Allah Taala :
Firman Allah yang bermaksud ;
“Dan dikatakan kepada orang-orang yang bertaqwa: “Apakah Yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Kebaikan”. Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini akan mendapat balasan yang baik, dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu Syurga ‘Adnin, yang mereka masuk ke dalamnya, yang mengalir padanya sungai-sungai, di dalam syurga itu mereka mendapat segala apa yang mereka kehendaki; Demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertaqwa”. (An-Nahlu : 30-31)


2. Orang-orang yang benar-benar beriman dan beramal soleh


Firman Allah Taala yang bermaksud :
“Dan barang siapa yang datang kepada Tuhannya dalam keadaan beriman dan bersungguh-sungguh telah beramal soleh, maka mereka itulah orang-orang yang telah memperolehi tempat tinggi lagi mulia. Iaitu Syurga ‘Adnin yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, dan itu adalah balasan bagi orang-orang yang bersih dari kekufuran dan maksiat”. (Thaha : 75-76)


3. Orang yang banyak berbuat kebaikan dan sangat jarang berbuat kesalahan :
Firman Allah Taala yang bermaksud : “… dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya ada pula orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurnia yang sangat besar. Bagi mereka adalah Syurga ‘Adnin’, yang mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka dihiasi dengan gelang-gelang emas dan mutiara; dan pakaian mereka adalah sutera” (Al-Fatir : 32-33)


4. Orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Allah, mendirikan solat, menginfakkan harta di jalan Allah dan dapat menolak segala kejahatan dengan kebaikan:
Firman Allah yang bermaksud : “Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan, mendirikan solat, serta menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; mereka itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik, iaitu Syurga ‘Adnin, mereka masuk bersama-sama orang-orang yang soleh, ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu.”  (Ar-Ra’du : 22-23)


Dipetik dari laman web: http://attazkirah.wordpress.com/

Kehidupan Adam, Hawa di bumi


MAKA diperdaya kedua-duanya oleh syaitan sehingga dikeluarkan mereka daripada kesenangan yang didapati. Kami berkata: “Berangkatlah kamu sekelian! Antara kamu dengan yang lain bermusuh-musuhan. Dan bagi kamu tempat kediaman di atas bumi. Di sanalah tempat kesenanganmu sehingga mati. (al-Baqarah: 36)


NABI Adam dan isterinya Hawa sangat sedih dengan keadaan mereka di bumi, kerana kehidupan di bumi sangat berbeza dengan di syurga. Di syurga terdapat bermacam-macam buah-buahan dengan pelbagai bentuk dan warna, di samping rasanya yang enak dan lazat. Baunya juga sungguh harum dan membuka selera.
Sedangkan di bumi, tidak semua buah-buahan boleh dimakan. Ada yang pahit, masin, masam, tawar, dan ada pula yang enak, manis serta lazat. Begitu juga dengan air yang hendak diminum, bukan semuanya boleh diminum.
Tahulah Nabi Adam dan isterinya bahawa kehidupan di bumi ini setiap saat atau detik penuh dengan perjuangan. Setiap saat mereka harus memeras otak, tenaga dan keringat demi untuk meneruskan kehidupan di bumi Allah yang terbentang luas ini.
Begitulah keadaan Adam dan Hawa setiap hari. Apabila berasa lapar, terpaksalah mereka keluar mencari air dan buah-buahan di dalam hutan.



Perasaan takut terhadap binatang buas yang sentiasa mengancam mereka, terpaksa dihadapi dengan semangat yang kuat. Akan tetapi, segala penderitaan seperti rasa dahaga, lapar, bahaya binatang buas dan lain-lain telah menggerakkan akal dan fikiran Adam dan Hawa tentang cara bagaimana mereka dapat melepaskan diri daripada penderitaan-penderitaan itu.
Dengan akal yang dikurniakan oleh Allah itu, timbullah di fikiran mereka untuk menanam pokok buah-buahan yang lazat dan enak rasanya di sekitar gua, tempat tinggal mereka.


Tujuannya untuk menghindarkan diri daripada bahaya binatang-binatang buas di dalam hutan ketika mereka keluar mencari buah-buah hutan untuk dimakan.
Dengan menggunakan dahan-dahan kayu, Adam dan Hawa pun menebas pokok-pokok dan rumput-rumput di sekitar gua itu. Kawasan di sekitar gua itu dilapangkan untuk menanam pokok buah-buahan yang boleh dimakan.
Baginda pun memerah tenaga dan kudratnya menanam biji-biji buah yang dimakan, sambil dibantu oleh isterinya, Hawa. Selain itu, baginda juga memelihara ternakan-ternakan seperti ayam, kambing dan sebagainya yang ditemui di dalam hutan tersebut.
Begitulah keadaan Adam dan Hawa setiap hari. Mereka bercucuk tanam dan memelihara binatang ternakan sehinggalah mereka menjadi pandai. Hasil tanaman itu dapatlah menampung kehidupan mereka di dalam gua itu.


*Petikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU