02 May 2015

Mencari Rizal di Syamaltra Book Store, Subang Jaya


Salam kenangan silam.

Hari ini saya berkelapangan untuk melilau sekitar Subang Jaya khususnya sekitar Seksyen 15 dan 14. Agak malang buat abang ipar saya yang kemalangan dan sedang dirawat di Subang Medical Center. Panjang takdirnya. Kaki kanannya terpaksa dipotong akibat kemalangan pada petang jumaat lepas. Sukar untuk menerima hakikat ini. Beliau tabah bairpun agak tak percaya dengan kehilangan kaki serta merta. Mudahan dia reda dengan takdir ini.

Berita kemalangannya - menyebabkan saya bergegas ke Kuala Lumpur. Bertolak tengah hari jumaat dari Penang terus ke hospital swasta milik Sime Darby ini yang terletak di Subang Jaya. 


Sementara ada peluang berada di Subang Jaya, saya cuba berkeliling di sekitar wilayah ini. Tidaklah asing bagi saya kerana Subang Jaya merupakan tempat kerja pertama saya sebaik tamat peperiksaan SPM 1997. Saya mula mengenali bandar Subang Jaya sejak bekerja di Syamaltra Book Store pada awal 1998. Lebih kurang lima bulan saya bekerja di bilik stor kemudian menjadi wakil jualan syarikat ini di beberapa buah sekolah area Kuala Lumpur dan Selangor. Saya dihantar untuk menjadi pembantu jualan di kedai buku yang terletak di SK Selayang Baru, kemudian dinaikkan jawatan sebagai wakil jualan di SMK La Salle Klang, dan SK Bukit Nanas di tengah metropolitan Kuala Lumpur.

Sebaik berkeliling tempat lama saya, sedikit emosi sebak pabila melihat Wisma diCor yang menempatkan sebuah syarikat buku yakni tempat kerja saya dahulu. Saya terus ke depan dan tak disangka Syamaltra Book Store masih ada. Kebetulan hari ahad maka kedai ini cuti. Kalau tidak mungkin saya boleh mengenali beberapa individu yang masih mengenali saya. Kini 2015. Hampir 18 tahun. Saya masih mengenali Uncle Lim yang merupakan seorang supervisor, sifatnya suka bergurau dengan pekerja melayu dan seorang abang melayu yang baik sifatnya. Namanya sudah kulupa namun jika bertemu mungkin boleh mengenali.

Sepanjang 5 bulan bekerja di sini, aku sempat bersahabat dengan seorang pemuda. Rizal namanya. Dia juga bekerja sementara menunggu keputusan SPM terbit pada bulan mac nanti. Rizal menjadi kawan akrab di situ dan beberapa kali saling bertandang ke rumah. Paling diingati ketika berjanji untuk ke Port Dikson dengan menggunakan perkhidmatan awam iaitu naik komuter ke Seremban dan kemudian mencari bas di bandar Seremban untuk ke Port Dikson. Itulah gambaran keakraban kami pada masa itu. Bila hari raya, dia membawaku beraya sekitar Klang, Meru dan kampung di Taman Medan.

Sebaik panggilan masuk ke kampus Universiti Malaya pada tahun 1998 kami mula terpisah. Dia juga mendapat tawaran ke IPTA. Seingat kami tak pernah berjumpa lagi. Diharapkan sebaik membaca coretan ini, saudara Rizal - boleh kita merapatkan ukhuwah lagi... slm

s

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU