27 November 2011

Kecantikan Yang Tidak Dirasakan - Bila Lumrah Dalam Kehidupan

Salam, Kecantikan menjadi biasa bila lumrah mata memandang, kehidupan bersama lautan jauh berbeza kehidupan kita di dataran. Deretan rumah di pesisir Pulau Omadai, sebuah pulau kecil di Semporna, Sabah memberikan anak-anak kecil sejumlah pengalaman bersama air. Keriangan zaman kanak-kanak besar erti membenihkan ingatan yang tak terpadam.  Mereka mengingatkan kita kepada kita di masa kecil. Mungkin sama latarnya berbeza.           Cetusan ilham... pengendali blog)


 (Pulau Omadai antara pulau kecil di perairan Semporna merupakan titik penting sejarah Semporna. Ini kerana Pulau Omadai merupakan tempat asal suku kaum Bajau yang mendiami Semporna. Orang Bajau di Pulau Omadai merupakan pelaut/ nelayan yang gigih dan aktif dalam perdagangan hasil laut dan seringkali berurusan dengan lain-lain kepulauan termasuklah tanah besar Semporna. Bukti-bukti terhadap kenyataan ini dapat diperhatikan menerusi ukiran/tulisan di batu nisan dan lain-lain artifak yang jelas menandakan mereka ini beragama Islam). Sedikit maklumat dan gambar dipetik dari internet.

25 November 2011

Catatan Destinasi: Orang Asli Bateq & Penghidupan Dipenuhi Patang Larang

Salam,
Pengendali blog e-Pendidikan Islam
berpeluang mengkaji penempatan orang asli kaum Bateq di sekitar Taman Negara Kuala Tahan, Pahang sempena kursus kecergasaan fizikal Unit Ko-Kurikulum selama 3 hari di sana. Justeru di sini disertakan beberapa catatan perjalanan.

17.11.2011
Bas bertolak dari Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur pada jam 10.00 malam. Sampai di Hentian R&R Rawang terlebih dahulu sebelum terus membelok ke Lebuhraya Karak untuk memilih ke Jerantut. Bas selamat di masjid pekan Jerantut bagi membolehkan solat subuh ditunaikan. Surah sajdah kedengaran dengan merdu sebaik sahaja melangkah turun dari bas. Bagi sesetengah masjid sudah menjadi kelaziman bacaan surah sajdah setiap pagi jumaat (penghulu segala hari dalam Islam). 

Pagi yang lembut, disertakan 
angin berhempas membawa dingin
cerah tanah di Jerantut
mengembalikan wajah sebenar sebuah pekan
pendalaman,
agak tenang menyambut suasana pagi.

(Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut, Pahang Darul Makmur)

18. 11.2011
Dari pekan Jerantut bas meneruskan perjalanan tepat jam 8 pagi ke Jeti Kuala Tembeling melalui jarak lebih kurang 16 km. Di Jeti Kuala Tembeling pelancong boleh memilih untuk ke Taman Negara Kuala Tahan dengan menaiki bot dengan kadar bayaran RM35.00 seorang memakan masa hampir 3 jam untuk sampai. Pelancong juga boleh memilih meneruskan perjalanan melalui jalan darat sejauh 75 km memakan masa selama 2 jam kerana keadaan jalan yang sedikit berliku dan berbukit yang dikelilingi pokok-pokok dan tanaman kelapa sawit.

Bas kami sampai di Kuala Tahan pada jam 11.00 pagi untuk menginap di Hotel TRV yang berada tidak jauh dari jeti Kuala Tahan. Taman Negara Kuala Tahan hanya dipisahkan dengan sungai dengan tempat penginapan kami. Setengah dari kami telah menaiki bot dari jeti Kuala Tembeling agak lewat sampai ke Hotel TRV.

19.11.2011

Bermula seawal pukul 7 pagi kami mula menerokai Taman Negara Kuala Tahan dengan menjejaki Titian Konopi yang terpanjang di dunia (550m) tergantung lebih kurang 45 meter di atas tanah tanpa sebarang paku digunakan hanyalah menggunakan teknologi ikatan tempatan.

Sebaik selesai mengharungi pendakian Bukit Teresek barulah kami menaiki bot untuk ke penempatan orang asli kaum Bateq di pesisiran Sungai Tembeling. Hampir setengah jam dari jeti Kuala Tahan untuk sampai ke penempatan orang asli Bateq dengan menaiki bot.  Menyusuri Sungai Tembeling agak berliku dan arus deras merupakan antara cabaran yang dinantikan.

Perkampungan orang asli Bateq boleh kelihatan di pesisir sungai. Tidak begitu ramai komunitinya. Anak-anak kecil kaum Bateq sekitar usia 3-6 tahun ada yang bermain di tepi sungai tanpa sebarang pengawasan. Barang kali mereka ini sudah serasi dan tidak bermain air hingga ke tengah sungai yang dalam.

Tok batin yang mewakili orang asli kaum Bateq, boleh memahami dan bertutur dalam bahasa melayu. Menurut jurupandu kami, tok batin orang asli Bateq telah lanjut usia mencapai 80 an. Dari pemerhatian kami, biarpun usianya lanjut namun kelihatan usianya sekitar 50 an. Bukan sesuatu yang menghairankan kerana mengikut pemakanan mereka yang jauh terhindar dari racun dan pelbagai bahan makanan yang mengandungi kimia seperti yang kita hadapi sekarang.

Ada beberapa perkara yang dapat dipelajari dari orang asli kaum Bateq ini. Demonstrasi membuat api dengan hanya menggunakan kayu diperbuat dari pokok meranti digeselkan dengan rotan sebesar jari telunjuk beberapa minit sudah cukup menghasilkan serbuk bara api kecil kemudian diletakkkan ke dalam sabut kering sebelum dihembus dengan perlahan-lahan maka keluarlah asap disusuli api. Semuanya memerlukan teknik dan kesabaran hanya dimiliki orang asli kaum Bateq.

Kematian Orang Asli Bateq
Cara pengkebumian mayat orang asli Bateq mengikut mitos dan tradisi kepercayaan tersendiri. Mayat akan dibalut dengan kulit pokok kayu dan akan diangkat ke atas pokok tertentu untuk diletakkan di antara celah dahan. Selang beberapa bulan (dikatakan 3 bulan) beberapa orang tua dari kalangan orang asli Bateq akan datang melihat di bawah pokok kayu yang diletakkan mayat di atasnya. Mengikut kepercayaan mereka kalaulah ada serpihan tulang, tengkorak atau kerangka badan jatuh ke bumi bermakna orang tersebut sewaktu hidup banyak melanggar peraturan hidup (banyak melakukan dosa).




(Gambar akan dimuat turun)
Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

Hadis Hari Ini: Petua Kemurahan Rezeki

Mencari Kemurahan Rezeki

Dari Anas bin Malik r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

Sesiapa yang ingin supaya dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, 
maka hendaklah dia memperhubungkan silaturrahim (hubungan kasih sayang).”                                                                                                          
(Riwayat Bukhari)

22 November 2011

Sembang Cuti Sekolah: Mengapa Penyokong Team Indonesia Benci Team Malaysia?

Oleh: Muhdlive

Salam kepada semua pembaca,
Peperiksaan bagi kertas Pendidikan Islam SPM berakhir semalam. Ada soalan ramalan dalam blog ini telah menepati ramalan dan ada yang tersasar.
Hakikat ramalan yang kadang kala tepat atau tidak menjadi. Insahnya malam tadi, enak sekali menyaksikan maruah Malaysia diterjemahkan dalam realiti sang pemenang yang sebenar. Kalau dalam perlawanan peringkat kumpulan apabila team Malaysia menang 1-0 ke atas team Indonesia, para media di sana sekadar mengatakan pasukan Indonesia yang skuad kedua sahaja. Itu adalah alasan untuk menjadi kalah.
           Dalam banyak perlawanan bola sepak melibatkan pasukan negara - baru malam tadi terbersit kagum kepada pasukan negara kerana dalam kekuatan penyokong Indonesia sedikitpun tidak mempengaruhi minda para pemain negara.
Lebih bertuah, pengadil dari Jepun bijak memainkan peranan untuk mengawal keadaan dan segala tindakan beliau tepat dan tidak mencetuskan banyak provokasi atau mengundang ketidakpuasan hati melainkan orang yang buta dalam peraturan permainan atau golongan lebih bersifat fanatik.
         Pada awalnya, melihat gol awal dari team Indonesia seperti ada kenduri besar akan berlaku getus hatiku ditambah sorakan kuat dan bersemangat peyokong di Stadium Bung Karno yang bergelora, namun gol awal telah menjadikan corak permainan team Indonesia lemah dan gagal menguasai padang. Harimau Malaya seperti bangkit dari tidur terus garang mencari gol penyamaan.
Aku percaya kelibat pemain baru seperti Zubir memberikan rangsangan yang berbeza dalam perlawanan akhir cukup berbeza dengan perlawanan sebelum ini.  Pertama kali menyaksikan kelibat dan kelincahan beliau di sayap padang memberikan impak berbeza.
Sehingga gol penyamaan Asra cukup mendiamkan suasana penyokong Indonesia yang semakin gelisah dengan tekanan dari team Malaysia yang luar biasa corak dan kawalan di bahagian tengah.
Sebaik gol penyamaan, barulah terdetik team Malaysia ada harapan yang sebelum ini terasa suram. Di hadapan lebih seratus ribu penyokong, agak sukar pemain Malaysia mengharapkan kemenangan ditambah provokasi media Indonesia yang memandang rendah skuad Malaysia.
Tamat perlawanan sebenar, maka detik paling mencemaskan bagi jantung sesiapa yang inginkan pasukan pilihannya menang. Seperti kata Zainal Abidin Hassan yang sedang membuat ulasan di TV1 bersama Hafizal Ahmad meramalkan Khairul Fahmi akan menjadi wira penyelamat. Tepat sekali dan aku juga menyangkakan sedemikan memikirkan pengalaman Khairul Fahmi yang sudah begitu luas dalam pelbagai keadaan dan tekanan.  
(Penyokong Indonesia diam saat-saat akhir gawang mereka terdedah kepada gol)

Ternyata Khairul Fahmi Che Mat membuktikan beliau pilihan pertama penjaga gawang paling selamat untuk team Malaysia sejak penalti pertama tangan dan tekaan beliau hampir tepat cuma gagal menepis kemas jaringan penalti pertama pemain Indonesia. Kegagalan penalti ketiga pemain Indonesia juga boleh dikatakan kepintaran aksi Khairul Fahmi seperti ingin menutup minda dan akhirnya kaki pemain tersebut tersasar ke tiang gol.
(Wira sebenar team Malaysia Khairul Fahmi Che Mat yang tangkas menepis penalti kelima pemain Indonesia)

Pemain kelima Indonesia yang mengambil penalti seperti sudah dijangka oleh Kahirul Fahmi yang seakan dapat meneka tepat arah mana bola akan dilencongkan dan akhirnya dia adalah wira pada perlawanan malam tadi.

Sudah pasti penyokong Indonesia masih dalam berantakan. Cuma media massa di Indonesia meskipun team mereka kalah pasti mereka tidak akan menambahkan lagi derita sebalik cuma memenangkan dengan laporan berita yang memihak kepada mereka cukup berbeza yang berlaku di Malaysia. Bila team kalah, keesokkannya siap dengan tajuk yang memburukkan lagi kekalahan. Fenomena sekarang mungkin sudah berubah. Kafe Sukan dan Formasi sudah terkedepan dalam menyuarakan penambahbaikan mutu bola sepak, dan dari sedia ulasan serta laporan. Pastinya facebook para peminat bola sepak tanah air telah membetulkan sedikit sebanyak.
Hafizal Ahmad, Zainal Abidin Rawop, pengacara Kafe Sukan (terlupa nama) begitu yakin dengan arena bola sepak ditambah kehadiran Rizal Hashim yang lantang dan berani serta bernas dalam menyuarakan pandangan dan ketidakpuasan hati. Masihku ingat pandangan keras beliau bertajuk Menjilat Luka Ciptaan Rajagobal (baca: blog beliau) sekurang-kurang boleh mengubah situasi dan masa depan bola sepak di negara kita.

Mengapa penyokong Indonesia benci kita - perlu dibincang dengan sejelasnya. Kemenangan malam tadi adalah kemenangan untuk maruah Malaysia yang sering diaibkan penyokong Indonesia. Tahniah team Malaysia. Anda layak digelar Harimau Malaya.

Cetusan hati:
Pengendali Blog...

17 November 2011

Rencana Agama: Pengorbanan Saksi Diberi Ganjaran Dunia, Akhirat

Pengorbanan Saksi Diberi Ganjaran Dunia, Akhirat
Oleh: Muhammad Abdullah @ Ab Shatar                      (Rencana agama pengendali blog tersiar di ruangan agama Berita Harian hari ini)


2011/11/17

PENGORBANAN dan liabiliti seorang saksi di negara kita sememangnya berat. Atas faktor itulah, ada yang tidak mahu menjadi saksi dalam pelbagai kes dan kejadian biarpun menjadi orang pertama atau paling berhak menyatakan kebenaran dengan kesaksian.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah SWT, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah SWT lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah SWT sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Nisa, ayat 135)
Tanggapan menjadi saksi akan berdepan pelbagai masalah wajar dikikis kerana jika tanggapan ini menguasai minda masyarakat maka sukar pihak terbabit menyelesaikan kes selain banyak individu tidak mendapat pembelaan sementara penjenayah bebas.
Di sebalik kesukaran dan kepayahan dihadapi seseorang yang bergelar saksi, sebenarnya dia sudah menunaikan tuntutan agama Allah SWT serta memenuhi hak manusia lain. Kesanggupan mengambil tanggungjawab sebagai saksi pasti dibalas ganjaran pahala.

Malah, saksi akan dipermudahkan Allah SWT segala urusannya kerana sikap sanggup berkorban masa dan khidmat sebagai saksi sehingga dapat menyenangkan pihak lain seumpama bersedekah.

Bersesuaian maksud hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah: “Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan dunia, Allah SWT akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada dalam kesempitan, melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah SWT akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah SWT pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya.” (Hadis riwayat Muslim)

Kehadiran saksi yang jujur memberikan keterangan akan dapat menegakkan keadilan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang beriman hendaklah kamu jadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah SWT, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 8)
Pihak bertanggungjawab sentiasa menjaga keselamatan saksi dan kerahsiaan mereka. Bagaimanapun, itu belum cukup memberi kefahaman untuk menggalakkan masyarakat tampil menjadi saksi.

Justeru, usaha perlu dilakukan supaya masyarakat faham tanggungjawab untuk tampil memberikan maklumat supaya siasatan dapat dilakukan lebih terperinci dan pada masa sama, masyarakat diyakinkan dengan aspek keselamatan diberikan kepada saksi.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai sesuatu perkara perlu diberi galakan untuk ke depan kerana ada mengambil ringan perkara itu disebabkan tidak mahu menyusahkan diri terutama apabila membabitkan kes mahkamah.

Selain itu, saksi perlu mengutamakan kebenaran ketika memberikan kesaksian lantaran amaran dan azab Allah SWT bagi sesiapa yang tidak jujur dan benar dalam keterangan sehingga menjadi fitnah atau menzalimi kepada pihak lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah an-Nur, ayat 19)

Catatan Ilusi: TENTANG SUNYI

MEMINGGIRKAN SUNYI MEMILIH SENDIRI


Kehidupan yang terpinggir
atau kita memilih sendiri terpencil
sesunyi begini kadang kala lebih bererti
jauh hinggar suara manusia memalsukan
kenyataan atau sikap
hidup ini kadang kala perlu begini
begitu daun-daun luruhnya
mengeringkan ingatan
ada luluhawa gelisah
berpadu di jiwa
saat angin membawa  pergi
daun kering; kau sangka tidak bermakna
di kerusi itu boleh menumpangkan gelora
dalam diam mentafsir
makna hidup di tangan Tuhan Yang Esa.

Petikan sajak Anjan Ahzana bertajuk Meminggirkan Sunyi Memilih Sendiri  

Untuk dapatkan buku Kumpulan Puisi Tamtama karya Anjan Ahzana sila klik di sisi
 

11 November 2011

Sebelum SPM Bermula: Persediaan Rohani dan Psikologi

Salam para pelajar,

SPM akan tiba 14 hb November ini. Masih ada sisa waktu 2 hari lagi. Jangan panik, saat akhir ini detik jam dirasakan pantas. Sebagai umat Islam, konsep tawakal kepada Allah perlu dimaknakan dan dizahirkan dalam hati. Perlu ingat - segala usaha yang telah dilakukan pasti diberikan setimpalnya oleh Tuhan yang Esa,
Bersujudlah dengan tenang dengan merebahkan dahi memohon hidayah dan rahmat nescaya dengan keduanya kejayaan dan keselamatan akan terpelihara,
Solat tahajud dan hajat adalah ruang mencari ketenangan.

Selamat berjaya.
Pengendali Blog e-Pendidikan Islam

08 November 2011

Nota Ringkas Penting SPM Pendidikan Islam 2011: Akidah Tingkatan 5

1.
Sebutkan 3 kumpulan ajaran sesat di Malaysia selain Qadyani, Taslim dan Bahai? : Jawapan:1. Ayah Pin 2. Haji Kahar 3. Hassan Anak Rimau
2.
Solat dengan niat. Amalan ibadat sesat ini diamalkan oleh kumpulan ........................ Jawapan: Taslim
3.
Akidah bermaksud ................................. Jawapan: Pegangan
4
Tiga kesan buruk ajaran sesat kepada individu?
Jawapan: 1. Membuang masa dengan amalan tidak berfaedah
2. Terabai tanggungjawab terhadap keluarga
3. Minda tertutup  
5
Siapakah pengasas ajaran sesat Taslim? Jawapan: Muhammad bin Shafie (Haji Muhammad Matahari)
6
Kiblat di Acre merupakan ciri kumpulan ........................ Jawapan: Bahai
7
Kitab ............................  merupakan kitab suci ajaran Bahai. Jawapan: al-Bayan
8
Kitab ............................ merupakan kitab suci ajaran Qadyani. Jawapan: Tazkirah
9
Kumpulan ............................ mengubah bentuk ibadat seperti puasa 19 hari. Jawapan: Bahai
10
.................. merupakan kumpulan yang bercita-cita menjadikan Saidina Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW. Jawapan: Syiah
11
Alam ini bersifat baqa (berkekalan tanpa kiamat) merupakan asas pegangan kumpulan ............................ dan ......................................... Jawapan: Bahai dan Qadyani
12
Syiah terbahagi kepada tiga sebutkan. Jawapan: 1. Imam Dua Belas 2. Zaidiyah 3. Batiniah
13
Nikah batin diamalkan oleh kumpulan ajaran sesat? Jawapan: Taslim
14
.................... orang yang keluar dari agama Islam. Jawapan: Murtad
15
Tiga kesan buruk ajaran sesat kepada masyarakat? Jawapan:
1. Keruntuhan institusi kekeluargaan seperti penceraian
2. Perpaduan dan keharmonian negara tergugat
3. Berlaku keganasan oleh pengikut ajaran sesat
15
Syiah Batiniah antaran kumpulan syiah yang radikal dan paling  ....................... Jawapan: sesat
17
............................... ulama solehin yang hidup sebelum kurun ke tiga hijrah iaitu para sahabat, tab’in,  dan atba atbi’in. Jawapan: Salaful al-Saleh
18
Di mana asalnya Taslim? Jawapan: Kg Seronok Bayan Lepas, Pulau Pinang.
19
Pengasasnya Imam Mahdi, Nabi dan Jelmaan Tuhan Krisnan. Merujuk kepada kumpulan ............ Jawapan: Qadyani
20
Imam boleh bertambang dan boleh berkurang. Pegangan ini diamalkan dalam kumpulan mana? Jawapan: Ahli Sunnah Wal Jamaah

Untuk mendapatkan jawapan sila emel Jawapan Soalan Akidah Tingkatan 5 (07.11.2011) ke muhd.live@yahoo.com.

Disediakan oleh En Muhammad Abdullah @ Ab Shatar. Digalakkan menyunting bahan ini bagi tujuan pembelajaran dalam kelas dan dilarang menyunting bagi tujuan komersial kerana penulis ini membukukan nota dan soalan ini.

05 November 2011

Salam Aidiladha: Perkara Utama Di Pagi Yang Indah

Salam 
Pengendali Blog e-Pendidikan Islam mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada semua pembaca yang telah mengunjungi, diharapkan apa yang dicatat dan dikemukakan dalam blog ini hanyalah sekadar perkongsian ilmu, idea dan maklumat. Tidak lebih dari itu.
Saya juga mengucapkan terima kasih atas komen, cadangan, pendapat dari pihak pembaca dalam memantapkan lagi penulisan dalam blog ini.
Justeru, mengambil peluang pada pagi Aidiladha marilah kita menghayati sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (Adiladha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka barangsiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnahku. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban”. 
(Riwayat al-Bukhari)


Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

04 November 2011

Teks Pengerusi Majlis Restu Sek Men Teknik Seberang Perai

Assalamualaikum,

(Lafaz pembuka ucapan dan selawat shifa)

Alhamdulillah, Kita merafakkan kesyukuran di atas limpah kurnia dari Allah SWT, dapat sama-sama kita berkumpul di surau al-Amin, SMT Seberang Perai ini, dengan selamat dan sejahtera pada pagi yang redup nan permai diberkati.

Majlis Restu yang setiap tahun diadakan sebagai persediaan terakhir dan sebagai tanda pengharapan manusia kepada Khalik (Pencipta) untuk bertawakal kepada-Nya setelah segala usaha dilakukan oleh para pelajar, barisan guru SMTSPP serta ibu bapa khususnya dalam memastikan anak-anak kita – anak didik kita semua akan mencapai kejayaan cemerlang dalam SPM kelak.

Demi Tuhan yang berada di atas – Maha Mengetahui dan Maha Mengasihani. Melaui doa dan harapan yang kita sama-sama lafazkan ke hadrat Ilahi dalam Majlis Restu ini diharapkan dapat mengelakkan dan menghindari segala apa kemungkinan yang buruk menimpa para pelajar dan sekolah tercinta ini. Kita amat mengharapkan anak-anak, para pelajar kita ini akan selamat sehinggalah selesai menjawab peperiksaan SPM.

Demi Tuhan yang berada di atas – Maha Pemurah lagi Maha Mendengar,
Kita juga berdoa dan amat mengharap, sisa-sisa waktu yang ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak didik kita yang dikasihi Allah Sekalian. Semoga apa yang diajarkan oleh para guru, apa yang dibaca dan dihafal oleh para pelajar semua sampai ke dalam dewan peperksaan SPM kelak. Sedikitpun tidak tercicir.
Demi Tuhan yang berada di atas – Maha Bijaksana lagi Maha Luas Pengetahuan.

Dalam kesempaatan ini, dalam pertemuan bermakna ini marilah kita sama-sama melapangan dada saling memaafkan dan merelakan antara guru dan para pelajar serta ibu bapa yang hadir pada pagi ini semoga keberkatannya untuk manfaat bersama bagi mencari landasan hidup yang berjaya. Beroleh kecemerlangan di dunia dan mengecapi syurga Tuhan di akhirat.

Untuk meneruskan majlis:

Dijemput wakil pelajar Megat Muhammad Nur Arif Saifuddin bin Kamarulzaman untuk memberikan sedikit ucapan.

Terima kasih diucapkan kepada Megat Muhammad Nur Arif Saifuddin bin Kamarulzaman di atas ucapan tadi.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan aluan dari Tuan Pengetua SMTSPPP. Majlis dengan segala hornatnya menjemput, En. Hussin Marican bin Hassan untuk memberikan ucapan.

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Pengetua di atas ucapan tadi.

Bagi meneruskan majlis restu kita pada hari ini:

Para guru dijemput memenuhi dan berbaris di bahagian hadapan surau.
Guru lelaki dijemput ke sebelah kanan surau.
Mohon kerjasama guru perempuan ke sebelah kiri surau .
Para pelajar diminta berbaris untuk memohon restu dari semua guru.

(Teks ini digunakan di SMT Seberang Perai: bagi tujuan Majlis Restu yang diadakan setiap penghujung tahun .Disediakan oleh En. Muhammad bib Abdullah @ Ab Shatar pada 4 hb November 2011 di surau al-Amin, SMT Seberang Perai Pulau Pinang)

03 November 2011

Qurban Di Palestian 2011

Memberi kegembiraan kepada saudara seIslam adalah kewajipan...
Terima kasih kepada para dermawan yang telah bersama menjayakan projek ini...
  Qurban di Palestin
  2011...



Hanya 4 hari lagi untuk anda melakukan ibadah Qurban di Palestin... kami menerima sehingga 5/11/2011(SABTU)
1 bahagian lembu RM1,400.00
Seekor Lembu RM9,800
Seekor kambing RM1,200.00
Sadaqah Qurban RM350.00
serta sumbangan umum RM5/10/50 dsb
Layari; www.amanpalestin.net

Keterangan lanjut hubungi;

No. 1, Jalan 3/3B, Seksyen 3,
43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.

Tel: +6 03 8926 7019 (Pejabat)
Fax: +6 03 8925 9963

Bank Islam (M) Berhad:        12029010047880
Maybank (M) Berhad:            562263010787
Bank Muamalat (M) Berhad: 1207005133717
RHB Islamic Bank:                 21245760004907

Aman Palestin Berhad
D

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU