29 March 2012

Peluang Bersedekah: Bina hospital pediatrik di Gaza

Petikan dari akhbar Utusan Malaysia (28.03.2012)

KUALA LUMPUR 27 Mac - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) hari ini melancarkan misi kemanusiaannya ke Gaza yang ketiga, Ramadan di Gaza 3 (Radig 3) bagi menunaikan inisiatif membangunkan sebuah hospital pediatrik pertama di kawasan bergolak tersebut.
Setiausaha Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, misi bermula 27 Julai ini hingga 6 Ogos itu akan memastikan satu perancangan yang teliti dilakukan untuk merealisasikan pembinaan hospital di atas tanah berkeluasan 5,000 meter persegi di tengah kota Gaza.
Katanya, pembinaan hospital sembilan tingkat bernilai RM100 juta itu melibatkan empat tingkat wad pediatrik serta pusat rekreasi, taman permainan, pusat jagaan kanak-kanak, perpustakaan, klinik dan farmasi.
“Laporan status kesihatan menunjukkan 15 daripada 27 hospital di Gaza rosak atau musnah sama sekali akibat serangan Israel dan sehingga kini ia tidak dapat dipulihkan.
“Sejak tahun 2000 juga, sangat sedikit ahli perubatan dari Gaza dapat menjalankan latihan klinikal mereka. Ramai pesakit tidak dapat menerima rawatan yang khusus ekoran sekatan yang dikenakan Israel menyebabkan rawatan pesakit tertunda atau terhenti,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Radig 3 di sini, hari ini.
Pada misi Radig pertama 2010, Perdana Menteri Palestin, Dr. Ismail Heneyah mengizinkan projek itu dijalankan dan tahun lalu pula, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara Mapim dan Kementerian Kesihatan Palestin berhubung pembinaan hospital berkenaan.
Jelas Mohd. Azmi, Mapim juga telah mewujudkan jawatankuasa teknikal yang diketuai oleh Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszafar Shukur Sheikh Mustafa dan jawatankuasa pengumpulan dana bagi memastikan kelancaran proses pembinaan hospital tersebut berdasarkan keperluan rakyat Palestin.
Kata beliau, projek berkenaan juga secara rasminya didokong oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan dijangka siap dalam tempoh empat hingga lima tahun.
“Mana-mana pihak yang ingin menghulurkan dana terhadap projek ini boleh berbuat demikian melalui Tabung Amanah Gaza Mapim di nombor akaun Maybank Islamic 558220601374 dan orang ramai yang berhasrat menyertai Radig 3 boleh menghubungi saya di talian 019-4744856,” ujarnya.
Sementera itu, Pegawai Perhubungan Awam dan Maklumat Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Mohammad Alherbawi pula berkata, keadaan di Gaza kini semakin meruncing selepas Israel dan Mesir bertindak menghentikan bekalan minyak ke kawasan tersebut.
Kata beliau, bekalan minyak bagi menggerakkan penjana elektrik itu penting memandangkan keadaan cuaca di Gaza yang sejuk dan bersalji kini memerlukan bekalan elektrik yang secukupnya untuk memanaskan rumah penduduk di situ.
“Kami juga mempunyai masalah kekurangan bekalan ubat-ubatan yang kritikal setelah bekalan dari Ramallah (Palestin) dan Mesir dihadkan sehingga ke tahap yang menggugat kesihatan kami,” ujar beliau.

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU