23 February 2015

Sepanjang Disember 2014 dan Awal Tahun 2015

Salam penuh kerinduan,

Hampir 4 bulan saya tidak mencoretkan sesuatu di blog ini... Bukan sebab kerana terlalu sibuk tetapi tangan terkunci untuk menulis dek ingin mencari sesuatu yang dicari. Biarkan telaga kering buat seketika sebelum hujan datang memenuhkan semula... Agak lama saya biarkan telaga fikir agak kosong dan kini keinginan menulis datang semula...
Tentunya saya ingin berbicara soal banjir di Kelantan bermula 22 hb Disember 2014 yang lalu. Saya antara mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir SK Belimbing. Sebagai anak rantauan, apabila bulan Disember tentunya akan berada di tanah kelahiran. Kami akrabi sebagai musim bah. Sejak kecil lagi kami terdidik bahawa bah bukan musibah tetapi fitrah alam di tempat kami. Kami akan tertunggu-tunggu air naik di tebing belakang rumah kami. Kebetulan rumah saya berada tidak jauh dari tebing Sungai Kelantan. Mengikut kata ayah, banjir besar pernah melimpahi rumah kami hanya pada tahun 1967. Semenjak itu tiada banjir sebesar tahun ini (2014) yang diyakini lebih sedikit besar jika dibuah perbandingan pendapat orang-orang lama.
Ada satu lagi banjir yang amat diperkatakan oleh sebahagian rakyat Kelantan iaitu Banjir Merah (1928) yang dikatakan sangat besar dan dipercayai air seakan berwarna merah. Banjir ini akan tetap diperkatakan dari satu genarasi hingga ke generasi akan datang...Dipercayai banjir ini telah menelan banyak nyawa dan memberikan sejumlah pengalaman tragis kepada mangsa.

Malam 25 Disember 2014... air hujan bercampur air sungai telah mula memenuhi tebing di belakang rumah... pada jam 5.30 pagi keesokannya kedengaran siren polis memberikan amaran agar bersiap sedia untuk berpindah.. Menjelang pukul 6.00 pagi air dengan cepat memenuhi halaman rumah.
Maka saya berpeluang buat kali pertama dalam sejaran hidup melangkah masuk ke Pusat Pemindahan Banjir PPB SK Belimbing.
Sebelum ini hanya dapat melihat di kaca televisen dan dada akbar mangsa banjir dan kali ini barulah dapat menikmati pengalaman baru ini.

Sejak jam 3.00 pagi (26.12.2014) bekalan elektrik dimatikan akibat Stesen Janakuasa Elektrik di Padang Siam sudah ditengelami air.. maka seluruh jajahan Tanah Merah kegelapan sehingga awal minggu di bulan Januari 2015 barulah cahaya kembali mewarnai bandar Tanah Merah.

Bayangkan hampir 3 minggu kehidupan tanpa bekalan elektrik menjadikan semuanya lumpuh. Tiada akses telefon, internet, akhbar, siaran tv dan radio dan bekalan keperluan lain. Sehingga kes pesawat QZ AirAsia Indonesia agak lewat saya ketahui. Saya dapat mengetahui perkhabaran tragis itu sewaktu dalam perjalanan balik ke Pulau Pinang melalui Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, dan Perak barulah sampai ke Pulau Mutiara pada 30.12.2014 di R&R Cheneh, ketika berhenti  untuk makan. Rasa macam tak percaya apabila terdengar siaran Berita Jam 8 malam di TV3 yang mengulas tentang kes pesawat terhempas kerana selama di pusat pemindahan seumpama berada di gua.

Sangat malang buat saya kerana laluan ke KL dari Gambang telah ditutup kerana seluruh Temerloh dibanjiri air dalam tempoh beberapa hari. Agak sukar buat saya ketika jam 11 malam saya perlu meredah dari Gambang ke Muadzam Shah sebelum ke Bahau dan Kuala Pilah untuk sampai ke Kuala Lumpur dengan melalui jalan raya yang belum pernah dilalui. Maka dalam kepekatan malam saya kuatkan semangat untuk meredah belantara Pahang dan Negeri Sembilan dengan pengalaman memandu di atas jalan yang berlubang bermula dari Gambang ke Muadzam Shah. Jalan tersebut jika terus akan sampai ke bandar Segamat, Johor. Saya perlu mencari penanda jalan arah belok ke kanan untuk ke Bahau, Negeri Sembilan.

Subuh di Bandar Jempol dengan suasana pagi. Cerah tanah di Jempol memperlihatkan keadaan bandar dan rakyatnya. Saya terus memandu ke Kuala Pilah melalui tempat-tempat yang sering didengari seperti Jemapoh. Teringat saya kepada filem Dari Jemapoh ke Manchestee karya Hishamuddin Rais. Oh... begini rupa kampung Jemapoh.

Akhirnya saya sampai ke Kuala Pilah dan terus ke Ulu Bendol. Rasanya saya pernah singgah di Air Terjun Ulu Bendol sewaktu menyertai Operasi Khidmat Masyarakan (OPKIM) yang dianjurkan oleh Kelab Motor Universiti Malaya sekitar tahun 2002 dahulu.

Akhirnya berjaya sampai di tengah kosmopolitan Kuala Lumpur...sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang. Pastinya saya memilih untuk makan di Jalan TAR. Tempat yang paling memberikan nostalgia kepada saya kerana sewaktu zaman belajar di UM (2000-2005) di sinilah tempat saya meluangkan masa. Di sini sekitar Jalan TAR ada Perpustakaan Indonesia yang menyediakan bahan-bahan pengajian.

 


SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU