25 June 2012

Tanggungjawab Ibu Bapa Terhadap Anak yang Ditunggu Hari Lahirnya

Salam buat pembaca budiman,


Sebagai ibu bapa, menantikan anak yang dikandung sangat dinanti dan dirindui. Apatah lagi anak pertama dari rumahtangga yang terbina. Kelahiran anak kelak akan mengikat keutuhan hidup berpasangan.

Justeru, sebagai ibu bapa tugas mendoakan agar memperolehi anak yang soleh perlu diamalkan dalam kehidupan seharian.

Sebagai perkongsian ilmu baca dan amalkan doa yang dipetik dari ayat suci al-Quran ini yang amat mendalam maknanya terhadap kelahiran keturunan yang mulia:

1. Surah Ibrahim : ayat 40
(Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.)

2. Surah Ali Imran : ayat 38
(Di sanalah Zakaria mendoakan kepada Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya engkau maha mendengar doa.)

3. Surah al-Furqan : ayat 74
(Dan orang orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.)

Selain, memperbanyakkan bacaan al-Quran ketika masa terluang atau kerap berzikir kepada Allah SWT. Antara surah yang sering diamalkan bagi mengharapkan zuriat yang mulia, elok, murah rezekinya dan baik rupa paras ialah surah al-Mulk, Mariam, Yusuf, Muhammad, al-Rahman dan lain lagi.

Coretan perkongsian ilmu: Muhd Shatar

22 June 2012

Di sebalik Amalan 5s Di Semua Sekolah Teknik dan Vokasional Seluruh Negara

Salam pembaca budiman, ada hikmah di sebalik arahan agar semua sekolah beraliran teknik dan vokasional di bawah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional KPM, agar mengamalkan amalan 5 S.
Lebih 3 bulan para guru dan pelajar bertungkus lumus dalam usaha mendapatkan pengiktirafan 5S dari MPC, sebuah badan yang berautoriti memberikan sijil pengiktirafan 5S dalam pelaksanaan organisasi. Sebagai warden, tugas menerapkan amalan 5 S lebih mencabar kerana perlu melengkapkan semua bilik yang ada di bawah kawalannya.
Beginilah pemandangan salah sebuah bilik sakit di asrama SMT Seberang Perai hasil dari penerapan amalan 5 S yang menitikberatkan kekemasan, pengaturan dan sistem penggunaan yang berhemah sesuai dengan Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal. Sebagai penganut Islam kita telah dituntut dalam agama agar mengutamakan kebersihan dan kekemasan. Melaksanakan amalan 5 S adalah perlu biarpun di awalnya cukup menyeksa dan menimbulkan kesangsian.


















Semua kakitangan dan pelajar SMT Seberang Perai memberikan sokongan dan kerjasama dalam mengamalkan 5S di peringkat sekolah bagi mendapatkan manfaat dari kemantapan amalan yang terkandung di dalamnya.

20 June 2012

Jangan Tangguhkan Solat Bila Sampai Waktunya Sebelum Berakhir Tempohnya

Salam pembaca budiman,

Dalam bab menunaikan solat, umat Islam di Malaysia lebih terhad dengan pemikiran menunaikan solat di masjid atau surau berdekatan apa bila masuk waktu solat.

Dalam perjalanan di sekitar negara kita, jarang sekali terdapat pemandangan barisan manusia solat di tepi jalan. Mengikut dan ulasan dari seorang ustaz yang pernah mengikut pengajian agama di Timur Tengah seperti Mesir, Syria dan lain-lain lagi katanya untuk melihat orang Arab solat di atas tanah tidak begitu sukar. Petani di ladang kurma apabila masuk waktu zuhur atau asar akan terus menunaikan solat di atas tanah dengan meletakkan pelepah kurma sebagai tempat sujud. Orang yang berilmu dan menghayati sirah Rasulullah SAW tidak akan memberatkan dalam penunaian solat di mana-mana sahaja. Lihat bagaimana Nabi sering berada di padang pasir dalam beberapa siri perang jihad seperti Badar, Khandak dan sebagainya tidak perlu kepada masjid untuk menunaikan solat.
Justeru, teladan kepada kita agar tidak melengahkan solat atau meninggalkan solat semata kerana tiada masjid atau surau sama ada dalam perjalanan atau di dalam apa jua situasi.

Permukaan tanah bukannya termasuk dalam najis atau perkara menjejaskan hukum solat, bahkan debu tanah boleh digunakan sebagai alat bertayamun sekiranya tiada air.  Lihat betapa mudahnya Islam dan janganlah memberatkan dengan akal yang terhad.
 
Coretan Ilham: Muhd Shatar
(Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

19 June 2012

Mengenangkan Dosa Yang Dirakamkan Malaikat

Salam buat pembaca budiman,


Setiap saat yang dirakam malaikat tanpa sedari menaikkan catatan pahala atau menambahkan bilangan dosa. 

Lazimkan beristighfar dengan kalimat memperingati Allah pada masa terluang.
Allah melimpahkan rezeki untuk golongan yang bertakwa, maka cepatkan bersyukur ke hadrat-Nya setelah mendapat nikmat.

Alhamdulillah,
Alhamdulillah,
Alhamdulillah,

Pagi ini aku masih disedarkan untuk bersolat subuh dan mengecapi wajah pagi yang damai!


Coretan: Muhd Shatar

Kelebihan Beramal Pada Bulan Syaaban


Salam pembaca budiman,

Banyak hadis Rasulullah SAW menerangkan tentang kelebihan bulan Syabaan sebagaimana hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari r.a melalui Aisyah r.a :
Bermaksud: Maka tidaklah aku melihat baginda SAW berpuasa selama sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan tidaklah aku melihat baginda SAW memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban. ” (Riwayat al –Bukhari)
Kelebihan bulan Syaban berada pada kemuncaknya sewaktu di pertengahannya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah r.a yang bermaksud:
Allah SWT melihat kepada makhluk-makhlukNya pada malam nisfu syaaban lalu mengampuni makhluk-makhlukNya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.”(Riwayat Ibnu Majah)

Justeru peluang  memohon keampunan melalui ibadat dan doa perlu dipertingkatkan sebagai mana hadis Rasulullah SAW bermaksud:
Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman,“Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia? Adakah di sana adakah di sana? sehingga terbit fajar.”(Riwayat ibn Majah)

Coretan: Muhd Shatar

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU