27 February 2012

Beri label negatif mempersenda boleh cetus permusuhan

Beri label negatif mempersenda boleh cetus permusuhan
Oleh Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Tersiar di Berita Harian  2012/02/24)

KEWUJUDAN segelintir manusia bersifat mazmumah seperti cepat berhasad, kuat berdengki, menimbulkan khianat, menyembunyikan kenyataan sebenar, suka melihat individu dicela, dipulau, diperkatakan peribadinya dan dinafikan hak seterusnya tersisih adalah sukar dibendung.

Kehadiran golongan ini sukar dielakkan di dalam komuniti perjawatan, masyarakat, persekitaran tempat kerja dan penempatan manusia. Menangani golongan ini terlalu sukar kerana sifat sedemikian hanya dapat diatasi dengan memiliki kesedaran beragama dan rasa tanggungjawab sebagai mukmin sejati yang mengetahui natijah timbul akibat sesuatu tindakan, perbuatan dan amalan negatif dilakukan seperti maksud hadis Rasulullah SAW.
Daripada Abu Hurairah ra bahawa sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Janganlah kamu dengki-mendengki, janganlah tipu-menipu, janganlah benci-membenci, janganlah berpaling muka, dan janganlah berjual beli di atas jualan orang lain. Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam dengan orang Islam adalah bersaudara. Mereka tidak boleh menzalimi, tidak boleh membiarkan dalam kehinaan, tidak boleh berbohong dan menghina sesama Islam. Takwa itu ada di sini. Kata Nabi Muhammad SAW menepuk sebanyak tiga kali ke dadanya. Memadai seseorang itu dianggap jahat apabila dia menghina saudaranya. Setiap orang Islam ke atas orang Islam lain haram darah, harta dan kehormatan. (Riwayat Muslim)
Janganlah kamu dengki-mendengki, janganlah tipu-menipu, janganlah benci-membenci, janganlah berpaling muka, dan janganlah berjual beli di atas jualan orang lain. Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. - Riwayat Muslim
Dalam menjalani kehidupan seharian di rumah, pejabat, masjid, kampus dan taman perumahan biasanya wujud pengasingan aktiviti disebabkan beberapa alasan seperti perbezaan fahaman parti, minat, kecenderungan serta tingkat kedudukan dan pangkat seseorang. Jelas, perpecahan umat Islam kerana pergeseran politik, menimbulkan keretakan, perselisihan dan prasangka sejak dulu lagi sudah cukup menjadi barah terhadap perkembangan kemasyarakatan di negara kita.

Selain itu, ada manusia memiliki kedudukan, atau lebih berkuasa dalam masyarakat sering mengeluarkan kenyataan, pendapat dan tanggapan label yang boleh memecahbelahkan perpaduan tanpa memikirkan kesannya. Paling keji, apabila ada sesetengah pihak sanggup mencipta istilah dan memberi label lebih menjurus kepada maksud negatif yang boleh melahirkan pelbagai fahaman, persepsi dan tafsiran bersifat liar dan tidak tepat kepada seseorang yang ditujukan.

Individu yang diberikan label tertentu, atau ungkapan buruk sudah pasti akan menerima hukuman selamanya dan istilah itu akan merantai kehidupannya. Sikap gemar melabel dengan ungkapan tidak baik ini sudah cukup berkesan dalam memecahbelahkan keharmonian masyarakat dan memberikan tekanan kuat kepada golongan yang ditujukan. Justeru, orang berkedudukan atau berpengaruh perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan, pendapat dan tafsiran tertentu kerana apa diperkatakan olehnya akan menjadi pegangan yang diikuti orang ramai.

Larangan amalan, perbuatan, dan perkataan yang mengandungi unsur penghinaan, celaan dan bahan cemuhan dijelaskan dalam ayat al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11).
Dalam persekitaran tempat kerja juga wujud budaya melabel bertujuan menghalang saingan dalam mengharapkan imbuhan, jawatan, anugerah dan pembahagian tugas. Dalam hal ini, jika seseorang pekerja diberikan label tertentu oleh pihak berpengaruh, individu itu biasanya akan tersisih atau dipinggirkan pekerja lain, malah tidak mendapat perhatian dari pihak pengurusan.
Justeru, pembinaan falsafah kemuliaan diri boleh dibina dengan sentiasa memahami maksud ayat al-Quran yang boleh menjadikan seseorang berfungsi dengan baik walau di mana dia berada, bekerja dan bergaul. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa juga. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawatan, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri”. (Surah an-Nisa, ayat 36)

20 February 2012

Sehari Satu Ayat a-Quran Difahami: Jauhi Mengumpat Dan Bersangka Buruk


Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 12, yang bermaksud: 
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah sikap dari sangkaan supaya kamu tidak dipengaruhi prasangka yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Jika demikian keadaan mengumpat maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, patuhilah larangan yang disebut itu dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihani”. 


Guru Berdedikasi Melahirkan Generasi Disegani

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Barang siapa menyeru kepada hidayah, mereka memperoleh pahala orang yang mengikutinya, tidak mengurangi pahala orang itu sedikitpun." 
(Hadis riwayat Muslim).

19 February 2012

Agak Sukar Untuk Katakan Tidak Kepada Pakaian, Makanan & Minuman Ini

Salam kepada pembaca budiman,

Zionis telah hidup, membesar dan menguatkan kekuatan tentera dan kecangihan peralatan senjata hasil dari pelaburan yang diperolehi dari syarikat miliknya yang ada di serta dunia termasuk Malaysia.

Orang yang memahami kisah Palestain sudah pasti rela berlapar dari menjamah makanan yang menyumbang kepada dana Zionis laknatullah ini.

Marilah sama-sama kita berusaha menghindari dari membeli dan menggunakan segala peralatan dari syarikat milik penuh Israel ini.
 
Catatan: Muhdlive

17 February 2012

Sampah Sarap Dari Tangan Manusia Mencipta Kekotoran


Salam pembaca budiman, para pelajar

Pernahkah kita bertanya
adakah tangan kita sering melepaskan sisa makanan
ke tong disediakan?
Atau mencampak buang plastik makanan ringan
mengikut kata hati. 

Membiasakan sampah di tangan dibuang ke tong dan jangan sesekali melepaskannya ke merata tempat dengan niat tukang sapu akan meengutipnya.

Mengapa tidak sahaja memudahkan kerja tukang sapu sama ada di sekolah, tepi jalan atau di tengah bandar. Mereka pekerja yang selalu kepenatan dan bosan dengan sikap manusia yang ambil mudah lepas tangan dengan sampah di tangan. 
Bayangkan tukang sapu adalah ayah kita, kaum kerabat kita. 
Perlu kalau hari ini kita permudahkan urusan orang lain nescaya Allah akan memudahkan urusan kita. Permudahkan urusan mereka yang terlibat dengan kerja pembersihan. Sudah pasti kita akan dipermudahkan Allah dalam kerjaya lain.

Catatan: Muhdlive

15 February 2012

Alhamdulillah, Hari Kekasih Mulai DiSedari untuk Dihindari


Salam pembaca budiman.

Alhamdulillah, bila diajukan persoalan kepada para pelajar tentang apa ertinya Valentine Day, belum sempat nak teruskan pertanyaan, kesemuanya dengan lantang menyebutkan haram hukumnya. Selebihnya begitu semangat untuk mengaitkan dengan kisah paderi dalam hubung kait dengan agama Kristian. Sokongan kuat dari media massa yang menerangkan keburukan Hari Kekasih yang dulunya kerap ditayangkan filem-filem sempena Hari Kekasih ini kalangan penerbitan siaran televisyen. Maklumat yang hebat tentang keharaman sambutan  Valentine Day, diraikan di kalangan umat Islam telah meluas dan membentuk kefahaman yang jelas terbina. Inilah yang dimahukan dari kalangan remaja. Meskipun masih ada, tetapi kesedaran mulai timbul yang akhirnya akan perlahan-lahan mengurangkan keinginan menyambut Valentine Day pada masa hadapan kelak.

Coretan: Muhdlive

12 February 2012

Sekitar Sambutan Maulidur Rasul Di Sek Men Teknik Seberang Perai 2012


Sek. Men Teknik Seberang Perai Pulau Pinang, turut meraikan Maulidur Rasul dengan agenda tersendiri. Seawal pagi 7.30 para pelajar telah berbaris mengikut rumah sukan yang diketuai guru rumah sukan masing-masing.
Perarakan yang diadakan pada hari sabtu (11.02.2012) di sekitar perkarangan sekolah melewati taman perumahan dan deretan kedai  sekitar pekan Bukit Minyak.

Barisan kompang memulakan perarakan disusuli pasukan dari rumah hijau diketuai Yang Mulia, RAP Iskandar berbaju melayu hijau lengkap







Kesemua guru termasuk guru wanita turut terlibat dalam perarakan gilang gemilang ini bagi menanamkan penghayatan kepada para pelajar tentang kewujudan manusia suci utusan Allah yang bernama Nabi Muhammad SAW.







Pasukan rumah kuning dengan spanduk paling menarik telah dibuat mengikut kreativiti pelajar beberapa hari sebelum perarakan dilaksanakan.  









Mengiringi rumah kuning, kelihatan Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Zainiah Bt Mohd Ali turut menyertai perarakan ini.





Pengetua SMTSPPP, En Husain Marican bin Hassan diiringi para guru turut menyertai perarakan ini.








Rumah biru dengan sepanduk berwarna biru diiringi guru rumah sukan turut berbaju melayu berwarna biru.









Rumah hijau diwakili cikgu Yang Mulia RAP Iskandar kelihatan cukup bersemangat dan bertenaga mengetuai bacaan selawat.








Rumah hijau dalam kepenatan setelah jauh melangkah dan berselawat.









Sebaik tamat perarakan, majlis ceramah sempena Maulidur Rasul menjadi agenda kemuncak bagi menanamkan minat pelajar terhadap kisah kelahiran Nabi Muhammad SAW yang dipenuhi suka, derita, tangis sebelum sempurna menyampaikan Islam kepada seluruh manusia di dunia di Surau Al-Amin, SMT Seberang Perai.










Tuan Pengetua SMTSPPP, En Husain Marican bin Hassan memberikan ucapan aluan kepada pelajar menekankan agar pelajar menghayati kisah junjungan besar Nabi Muhammad SAW  dalam kehidupan seharian .



11 February 2012

Hari Kekasih: Mengapa Masih Tidak Mempeduli Keharaman 14 Febuari Diraikan

Salam, 

Menangani Valentine Day, Semua pihak perlu berperanan menyampaikan keharaman disambut, apatah diraikan dengan penuh perasaan. Jika sudah terlanjur pada tahun berlalu, jangan ulangi kesilapan meraikan Valentine Day kali ini. 14 Febuari yang dirancang oleh pihak tertentu diyakini boleh membawa najitah keburukan dari segi nilai, norma, dan kehidupan umat Islam.

Para pelajar yang sering dilanda mabuk cinta atau fenomena cinta monyet sudah pasti menunggukan saat untuk sekuntum mawar merah sebuah puisi di bulan febuari ini.
Justeru fahami hukum dan sejarah penciptaan Hari Kekasih yang melibatkan soal akidah dan luka berdarah umat Islam yang telah dibantai di Sepanyol oleh pihak Kristian.

03 February 2012

Sejarah Kelahiran Nabi Muhammad SAW: Keperluan Bagi Pelajar Menghayati Perjuangan Baginda Untuk Islam

Bersempena sambutan Maulidur Rasul SAW pada 5 Februari perlu dihayati oleh umat Islam di serata dunia, marilah kita sama-sama kembali mengkaji sirah perjalanan Rasulullah SAW dari awal hingga akhir. Pastikan kita tidak terlepas dari mengikuti kuliah sempena Maulidur Rasul di masjid terdekat.

Kelebihan menghadiri kuliah agama;

1. Dosa akan berguguran jatuh
2. Berada di bawah sayap malaikat yang berdoa diampunkan segala dosa orang yang duduk dalam majlis ilmu
3. Mendorong memperolehi hidayah
4. Terbentuk keinsafan hasil dari analisis terhadap kupasan penceramah.
5. Pahala sudah pasti berlipat kali ganda kerana masa dihabiskan untuk agama Allah Taala.
6. Kecintaan terhadap Rasulullah SAW akan lebih terpetik dan mendorong menghayati sunnahnya.

sekian

02 February 2012

Berdoa: Makbul atau Tidak, Tetap Ada Rahmat

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: 
"Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) serupa."  
(Hadis riwayat at-Tabrani)

Sebagai hamba Allah SWT, doa merupakan ibadat yang memberikan pahala dan rahmat kepada pemiliknya. Jangan rasa berat hati untuk menadah tangan ke hadrat Ilahi semoga keberkatan doa kita dijauhi bala, dijauhi fitnah dan bisikan jahat syaitan.

27 January 2012

Rencana Agama: Hubungan Baik Sesama Siswa Patut Diutamakan

Hubungan baik sesama siswa patut diutamakan

 

KETIKA ini puluhan ribu mahasiswa dengan pelbagai kecenderungan, keinginan, matlamat dan gaya penampilan sedang membina kecerdikan sebelum diijazahkan dengan pelbagai ilmu di menara gading. Kehidupan mereka di kampus tersedia dengan cabaran, likuan dan dugaan. Bergantung kepada kecenderungan mereka memilih untuk bertembung dengan isu semasa, kepemimpinan, keilmuan, pergerakan politik, perjuangan peribadi dan selebihnya kelompok kecelaruan mencari pengertian hidup atau membiarkan masa menentukan perjalanan mereka. Kelompok mahasiswa aktif berpersatuan giat dalam merancakkan suasana kampus dengan pelbagai aktiviti keilmuan, kemasyarakatan dan pembangunan potensi diri terkecuali daripada tergolong dalam kelompok kecelaruan peribadi.
                        Golongan mahasiswa yang tiada matlamat, visi dan penampilan intelektual ini terdedah kepada dunia luar bersifat negatif seperti terbabit dengan budaya liar, seks bebas, pesta hiburan, murtad, jual maruah, hedonisme dan sebagainya. Terlalu bahaya sekiranya kuatnya falsafah keseronokan jiwa lebih mencengkam pemikiran pelajar dan mereka meletakkan keutamaan dalam kehidupan kampus. Terpinggirnya mereka daripada aktiviti kampus yang lebih tertumpu kepada pemupukan ilmu dan kekuatan agama menjadikan kelompok ini kian terbiar dan berhadapan kemusnahan masa depan.
                      Sebaik menjejak kaki di kampus, mahasiswa dihidangkan dengan pelbagai kemelut yang menguji tahap keimanan, kemantapan jati diri dan kekuatan rohani. Bila berjauhan daripada keluarga, kebebasan dimiliki bukanlah tiket mendapatkan kepuasan diri secara mutlak.
                        Mendekati rakan yang elok akhlaknya dan kuat ibadatnya kepada Allah SWT antara cara membina ketahanan diri daripada melakukan perbuatan mungkar. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya; dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan dunia ini, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas. (Surah al-Kahfi: ayat 28)
                        Sebenarnya peluang dan dasar keterbukaan kehidupan kampus perlu direbut oleh siswa sebagai persediaan ke arah kerjaya dengan memperoleh pengalaman pengurusan persatuan, kepemimpinan, penerbitan, pembinaan rangkaian perniagaan serta pembinaan penampilan diri yang terbuka dan bijak.
                        Pemandangan kurang menyenangkan apabila kita melihat ada sebilangan siswa dalam kelompok yang tidak mencerminkan kebijaksanaan daripada pertuturan, pemakaian, pergaulan dan cara bertindak. Golongan inilah antara prospek kelompok boleh dipergunakan oleh mana-mana pihak yang melihat mereka mudah dipengaruhi dan boleh diaruskan akal dan pilihan tindakan.
                        Dalam konteks Islam, keperluan wujudnya golongan melakukan amal makruf dan nahi mungkar di dalam sesebuah penempatan, kawasan dan komuniti. Dalam masyarakat kampus, penempatan siswa yang datang dari pelbagai kelompok, daerah dan pedalaman terpencil akan membawa masuk ke kampus dengan pelbagai gelagat, budaya serta bentuk cara hidup bervariasi. Semuanya terkandung nilai kebaikan mahupun tidak bermoral. firman Allah SWT: “Dan hendaklah (sebahagian) kamu menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh yang makruf serta melarang daripada yang mungkar. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Ali Imran 3:104)
                   Oleh itu, perlulah mahasiswa membentuk kumpulan memainkan peranan mengajak rakan seperjuangan ke arah kebaikan serta menasihati atau istilah ‘mendekati’ kelompok terbabit melalui pendekatan sederhana dan berhikmah, bukan memilih untuk menghukum, memberi label, memulau dan memisahkan kelompok ini daripada aktiviti yang dianjurkan.
                   Kecenderungan pimpinan mahasiswa dalam kelompoknya atau mana-mana persatuan memisahkan atau memberikan tanggapan negatif kepada segelintir siswa dilihat bermasalah, kecelaruan peribadi dan kelihatan berbeza penampilan melangkau norma wajar diperbetulkan. Kita khuatir dengan pemulauan dan pemisahan dalam konteks hubungan sesama pelajar menjadikan kelompok ini terdedah mencari perlindungan luar berbaur maksiat, penyalahgunaan dadah, dan lebih parah apabila memilih untuk murtad.
                   Menghidupkan suasana hubungan sesama pelajar terjalin dengan harmoni menjadi tanggungjawab utama ke arah menjadikan mahasiswa lebih dihormati, lebih terarah kepada ilmu dan kekuatan ilmu. Selagi wujudnya kegagalan membentuk suasana baik di kampus, maka peningkatan kes tidak bermoral, salah laku dan kadar jenayah sosial dalam kalangan mahasiswa terus diperkatakan.
                   Sebaiknya kepemimpinan di kampus menekankan aspek hubungan baik sesama pelajar dan memberi penekanan kepada matlamat persatuan adalah menyatupadukan masyarakat pelajar untuk mengelakkan wujudnya kelompok kecelaruan peribadi.
                   Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa antara kalian melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)


20 January 2012

Duka Kashmir: Kami Sering Memetik Bunga Pengubat Sengsara

Petikan sajak Anjan Ahzana:


Mereka pengutip kecantikan
musim beralih ke panas
menukarkan rindu kepada setia

Kesengsaraan di hadapan
terluka, terkoyak jiwa
mendengar tangis
isteri kehilangan suami
anak kehilangan bapa
dibunuh tanpa perikemanusiaan
hanya kerana inginkan kedaulatan
Kahsmir, bunga-bunga sentiasa berwarna
mereka mengutip untuk mengubati luka.

15 January 2012

Bangga buat maksiat antara petanda dunia akhir zama

Oleh Ustaz Zaman
Berita Harian (2012/01/14)

SETIAP individu mempunyai masa silam yang sudah dilalui sama ada baik atau buruk, dosa atau pahala yang diperoleh. Namun, perkara dosa yang telah dilakukan tidak perlu diungkit apatah lagi menyebarkan kepada orang lain kerana berbangga dengan maksiat itu.

Islam menganjurkan umatnya melupakan masa silam yang penuh kegelapan dengan bertaubat dan kembali ke pangkal jalan kerana semua manusia akan melalui kesilapan dalam perjalanan kehidupan mereka.
Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang menghadapi masalah ini (dosa lampau), maka hendaklah memohon supaya ditutup oleh Allah SWT.” (Hadis riwayat Malik dan Hakim)
Sabda Baginda SAW lagi: “Setiap anak Adam akan melakukan kesalahan dan sebaik-baik mereka ialah yang bertaubat.”

Kita hendaklah yakin dengan rahmat dan keampunan Allah SWT kerana kita sentiasa diberi peluang untuk berbuat demikian walaupun dalam keadaan genting.

Firman Allah SWT: “Dan apabila mereka melakukan perkara dosa atau menzalimi diri sendiri, lalu segera mengingati Allah dan bertaubat atas segala kesalahan mereka.” (Surah Al-Imran, ayat 135)

Sebuah hadis qudsi dari Baginda SAW yang bermaksud: “Allah bersabda: Wahai anak Adam, jika kamu banyak berdosa sehingga menjangkau langit sekalipun dosamu itu, lalu kamu memohon keampunan-Ku, nescaya akan Ku perkenankan.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Daripada Umar, bahawa beliau sedang masuk kepada seorang Ansar yang sedang nazak dan di sisinya Baginda SAW. Baginda menyuruh dia bertaubat tetapi mulutnya sudah tidak dapat berkata-kata tetapi matanya mengarah ke langit seolah-olah menyahut seruan Baginda SAW. Lalu Umar melihat Baginda tersenyum dan Umar RA bertanya: Kenapa engkau tersenyum wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Pesakit ini tidak dapat bertutur tetapi memberi isyarat dengan matanya dengan hati yang tulus suci lalu beliau diampunkan.” (Durratul Majalis).

Janganlah sekali-kali kita sebarkan apa yang sudah terlanjur dalam kehidupan kerana ia akan menimbulkan fitnah dan seterusnya melunturkan semangat serta azam untuk maju pada masa depan. Perkara itu tidak perlu dibanggakan kerana soal maruah dan kehormatan menyerlahkan kelemahan.

Ingatlah bahawa berbangga dengan maksiat adalah satu dosa dan inilah fenomena yang akan berlaku ketika dunia berada di akhir zaman. Apa lagi perkara maksiat itu dilakukan secara terang-terangan dan dianggap perkara biasa dalam sesebuah masyarakat.

Inilah perkara dibimbangi Baginda SAW ketika datangnya peristiwa hampirnya kiamat yang membawa petanda demikian. Melakukan maksiat secara terang-terangan adalah salah satu petanda daripada tanda kiamat.

Baginda SAW berkata, keadaan itu kini sudah menular dalam kalangan masyarakat di mana kita dapati maksiat menjadi perkara biasa malah menjadi satu kebanggaan jika maksiat itu diketahui umum.

Kemajuan teknologi digunakan untuk merealisasikan penyebaran ini dengan merakam aksi panas untuk tatapan umum atau melalui e-mel, telefon dan lain-lain. Ini menjadi satu perkara biasa dalam masyarakat.

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Ketika dunia berada hampir di penghujungnya, kamu dapati maksiat dilakukan secara terang terangan. Zina dilakukan dengan sewenang-wenangnya persis seperti perilaku haiwan. Yang tinggal hanyalah manusia yang keji dan buruk perangainya. Ketika itulah berlakunya kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam adalah agama yang prihatin, menjaga serta berusaha menutup keburukan orang lain dalam mencari keredaan Allah SWT dan sentiasa berpegang kepada prinsip menjaga keaiban serta nasihat menasihati antara satu sama lain.

Mereka yang berusaha menutup keaiban orang lain akan mendapat anugerah terbaik di akhirat kelak di mana segala keburukannya akan ditutup oleh Allah SWT.

Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang menutup keaiban seseorang semasa di dunia, maka Allah SWT akan menutup keaibannya di akhirat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibnu Hajar berpendapat bahawa maksud hadis ini adalah berusaha menutup keaiban orang lain supaya tidak diketahui orang ramai. Sikap suka mencari keburukan orang lain dan menyebarkannya dengan tujuan buruk adalah perkara dibenci Allah SWT dan haram hukumnya di sisi agama Islam.

Daripada Nafi’ dan Ibnu Umar, Baginda SAW naik mimbar dan menyeru dengan suara yang lantang dalam sabda: “Wahai mereka yang mengaku dirinya beriman, janganlah kamu menyusahkan orang lain, janganlah kamu memalukan mereka serta berusaha mencari keburukan mereka serta menyebarkannya kerana Allah tidak akan melepaskan kamu dan keburukanmu akan terserlah walau di mana kamu berada.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP)

14 January 2012

Fitnah menerusi laman sosial gugat keharmonian

Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar (Disiarkan di Berita Harian pada 12.01.2012)

Salah guna teknologi terkini boleh rosakkan pemikiran, gaya hidup dan maruah

PENGHUJUNG zaman sering diperkatakan dengan kedatangan fitnah sama ada besar atau kecil, ianya cukup berbahaya menggugat keharmonian umat Islam. Dalam perhubungan seharian membabitkan tutur kata berbentuk percakapan, bisikan, gurauan, sindiran, kiasan dan bermacam lagi. Semua mesti ditekankan aspek penyaringan daripada terdapat unsur fitnah, tohmahan, umpatan, hinaan ataupun kejian. Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. - (Surah al-Nur, ayat 11) Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah an-Nur, ayat 19)

Zaman pertukaran teknologi masa kini menyaksikan pelbagai peringkat masyarakat, tidak mengira usia, kedudukan dan latar belakang semakin serasi dengan penggunaan teknologi moden terkini iaitu internet.

Kesemuanya boleh dicapai di mana saja berada dalam apa juga keadaan melalui telefon bimbit atau komputer riba dalam pelbagai saiz dan bentuk yang menarik, senang dibawa ke mana.

Penerimaan internet sebagai media baru perhubungan, komunikasi dan sebaran am menjangkau jutaan pengguna seperti Google, Yahoo, MSN dengan pelbagai perisian antaranya facebook (FB), wordpress, friendster, myspace, twitter dan bermacam saluran lain.

Setiap kemudahan teknologi menjanjikan manfaat walaupun tidak dinafikan turut terkandung seribu satu keburukan jika tidak dikawal sebaiknya berupaya merosakkan cara pemikiran, gaya hidup dan maruah.

Kebaikan pelbagai kemudahan di internet yang melangkaui sempadan ternyata memudahkan lagi proses perbincangan ilmu, isu dan topik semasa, penyebaran maklumat, hebahan atau undangan secara lebih meluas serta pantas.
Malah, kemudahan itu turut membina tali persaudaraan dengan mendekatkan yang jauh selain membuka ruang berbicara. Bagaimanapun, hakikat ada yang menyalahgunakan kemudahan itu tidak dapat ditolak.
Justeru, komuniti alam maya sentiasa diingatkan supaya bertanggungjawab di atas setiap tindakan mereka. Selain menjaga batas perhubungan, Islam turut menegah pengguna mengeluarkan kata-kata berunsur memfitnah, mengaibkan dan membuat tuduhan boleh menjurus kepada perpecahan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.” (Surah al-Nur, ayat 11)

Wujud kecenderungan dalam komuniti laman sosial sekarang ini menyebarkan fitnah atau membuat tuduhan melulu terhadap pihak lain dengan tujuan yang hanya mereka tahu. Ada juga menggunakannya untuk menjalinkan hubungan yang dilarang.

Malah, sifat keterbukaan yang tidak ditapis serta dikawal menyebabkan berlaku insiden penyebaran gambar tidak sepatutnya sama ada oleh pemilik laman itu sendiri atau dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Sepasang kekasih sewaktu awal percintaan sering melengkapkan kenangan melalui foto peribadi akhirnya bila berkelahi masing-masing mula menjatuhkan imej pasangan meskipun gambar itu terlalu peribadi atau sangat bertentangan dengan hukum agama.
Sekeping gambar terlalu peribadi tersiar di internet boleh menjatuhkan maruah diri dalam pelbagai keadaan atau situasi. Khalayak luar tidak akan mentafsir mengikut situasi, tetapi lebih menghukum kesilapan dan membuat tafsiran berdasarkan pandangan sendiri.

Umat Islam berkewajipan menghalusi segala berita, khabar atau kenyataan supaya tidak menimbulkan kemudaratan dalam masyarakat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menampakkan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Awasi diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu adalah pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikan diri kamu bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

13 January 2012

Realiti Kejahatan Dan Kezaliman Tentera Amerika: Keji

Salam para pembaca budiman,           siri kejahatan tentera Amerika bukanlah terlalu asing untuk diperkatakan. lihat sajalah kisah jahat tentera Amerika di Iraq, Afganistan dan di Pusat Tahanan   Teluk Guantanamo sering dihiasi penderaan luar sifat kemanusiaan. Orang Islam diperlakukan dengan pelbagai siksaan fizikal, psikologi dan mental. Penjara di Iraq pernah menyaksikan deraan yang tidak bertamadun dari askar Amerika laknatullah. Tindakan beberapa askar Amerika kencing ke atas pejuang Afganistan wajib diberikan perhatian dan turut dirasakan dalam hati umat Islam sejagat. Marilah kota sama-sama berdoa agar tentera Amerika diberikan balasan setimpal dengan kezaliman mereka...  Muhdlive  

10 January 2012

Kemalangan ragut nyawa boleh dielak jika pemandu waspada, patuhi peraturan

Takbur, penting diri sendiri di jalan raya bukan amalan Islam
Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar (Tersiar di Berita Harian 2012/01/09) 

Kemalangan ragut nyawa boleh dielak jika pemandu waspada, patuhi peraturan

KEMALANGAN jalan raya yang membawa maut tidak dapat dielakkan jika itulah termaktub sebagai penyebab kembalinya hamba kepada Penciptanya. Namun, itu bukan alasan untuk terus menyerah kepada takdir kerana sebagai manusia kita perlu berusaha mencegah terbabit dalam kemalangan.
Pelbagai usaha hendaklah dilakukan seperti memastikan kenderaan diselenggara dengan baik, keadaan jalan raya bebas daripada unsur boleh menjurus berlakunya kemalangan seperti jalan berlubang selain sikap pemandu perlu berhemah ketika berada di jalan raya.
(Lukman berkata): Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkan (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus, lagi Maha Mengetahui. - Surah Lukman, ayat 16
Sikap takbur sering kali dilihat pada pemandu terutama mereka yang membawa kenderaan besar menyebabkan kenderaan bersaiz kecil berasa kerdil. Tetapi ada juga pemandu kereta bersaiz kecil menggunakan kelebihan itu untuk mencuri peluang hingga menimbulkan masalah kepada pemandu lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk ke dalam syurga, seseorang dalam hatinya sifat takbur (sombong) sekalipun seberat debu. Kemudian salah seorang sahabat bertanya: Sesungguhnya ada seseorang suka akan pakaiannya itu baik dan kasutnya baik. Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT itu indah dan suka kepada keindahan. Takbur itu menolak yang benar dan menghina orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Laporan kemalangan yang memberi gambaran mengerikan menunjukkan sikap pemandu tidak sabar ketika berada di jalan raya terutama mereka yang suka memotong walaupun di kawasan tidak dibenarkan atau dalam posisi berbahaya.

Tindakan melulu yang diambil untuk membelok ke kiri dan kanan tanpa memberi isyarat awal sebenarnya akan mengundang padah bukan saja pada diri sendiri, juga pengguna lain terutama penunggang motosikal.
Kecuaian pemandu sesuka hati membelok tanpa memikirkan pemandu kenderaan sehinggakan ada orang lain teraniaya adalah berdosa dan pasti mendapat pembalasan nanti.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Lukman berkata): Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkan (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Lukman, ayat 16)

Oleh itu, sebagai ingatan kepada semua, jangan pentingkan diri sendiri sebaliknya sentiasa bertanggungjawab ketika memandu apa juga kenderaan di jalan raya kerana nyawa adalah amanah perlu dipelihara.

Meletakkan rasa ihsan dan simpati kepada penunggang motosikal dan kenderaan kecil perlu dipupuk. Masih terdapat lori yang membawa batu, pasir, bahan keras dan ternakan tanpa ditutup kemas kelihatan di jalan raya yang akhirnya membawa malapetaka kepada pengguna lain.

Jadi, dalam mengharapkan statistik kemalangan diturunkan, beberapa usaha perlu dilaksanakan termasuk memastikan keadaan jalan raya selesa untuk kenderaan dan pemandu mematuhi undang-udang ditetapkan.

Pastinya semua pengguna jalan raya mahu hak keselesaan memandu dan bagi tujuan itu semua pihak perlu sentiasa bersikap timbang rasa supaya keselamatan ketika memandu terjamin dan sebarang perkara tidak diingini dapat dielak.

Masih berlaku sikap menangguk di air keruh apabila pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal dianiaya apabila paku atau minyak ditabur di laluan mereka. Tindakan itu mungkin menguntungkan di dunia tetapi balasan tetap menanti di akhirat.

Kejadian kemalangan yang terus dilaporkan sewajarnya menyedarkan masyarakat untuk mengubah sikap dan sentiasa berwaspada kerana kemalangan boleh berpunca daripada kelalaian kita atau oleh pemandu lain.

Mari kita renungi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada seorangpun di antara manusia ini kecuali (pada hari kiamat nanti) akan dipercayai oleh Allah SWT (dihadapkan ke mahkamah Allah). Maka pada waktu itu tidak ada orang lain sanggup menjadi jurubicara antara keduanya (sebagai orang ketiga atau peguam). Lalu orang dipercayai oleh Allah tadi akan melihat ke sebelah kanannya, maka tidak kelihatan melainkan hanya pahala kebaikan yang pernah dilakukannya ketika berada di dunia dulu. Dan apabila dia cuba melihat ke sebelah kiri pula, maka dia tidak melihat kecuali balasan perbuatan jahat yang pernah dilakukannya ketika berada di dunia dulu. Kemudian apabila dia melihat ke hadapan maka dia tidak melihat kecuali hanya api neraka. Maka tanamkanlah rasa takut terhadap api neraka dan jauhilah seksaannya walaupun kalau kamu hanya mampu bersedekah dengan sebelah buah kurma saja.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

08 January 2012

LUKA PANJANG YALA - NARATHIWAT DAN PATTANI: TIADA PENGHUJUNG

Salam semua pembaca budiman,

Membaca pergolakan di selatan Thailand yang melibatkan tiga wilayah majoriti umat Islam mendiami penuh dengan emosi. Sebagai warga melayu di bumi Malaysia, persaudaraan seagama dan keturunan yang sama amat dirasai. Sebagai mana hadis Rasulullah :
"Seorang mukmin bagi seorang mukmin itu satu binaan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian dan orang Islam itu seperti satu badan jika sakit matanya sakitlah sekaliannya dan jika sakit kepalanya sakitlah sekaliannya."
Lihat peta kedudukan tiga wilayah yang bersempadan dengan Malaysia melalui Kedah, Perlis dan Kelatan. Kebanyakan orang melayu di selatan Thai berbahasa melayu mirip loghat Kelantan dikatakan mempunyai rumpun dan kebudayaan yang hampir sama.  

Masih anda ingat gambar di sebelah. Inilah Masjid Kerisik yang menyimpan sejarah darah tertumpah dan tangisan bonda tercinta terhadap anaknya. Tanggal 28 April 2004 di sinilah menyaksikan hampir 34 orang anak muda sekitar usia 16 - 34 tahun terbunuh dalam serangan berdarah tentera Thai ke atas sekumpulan pejuang Islam yang masuk berlindung di Masjid Kerisik. pada 28 April 2004


Gelimpangan mayat yang ditembak  oleh segerombalan tentera terhadap sekelompok kecil yang daif dan lemah. Sadis dan menyayat hati. Manusia kadang kala terlalu kejam dengan kuasa dimiliki.







Tragedi paling besar berlaku di Tak Bai pada April 2004 kita umat Islam berada dalam bulan ramadan. Tragedi berlaku melibatkan 1,500 orang menyertai demontrasi secara aman di hadapan Balai Polis Tak Bai bagi menyuarakan hak pembebasan 6 sukarelawan pertahanan kampung yang ditahan kerana dituduh membuat laporan palsu kepada polis melibatkan rompakan senapang patah yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Tujuh orang telah terbunuh di tempat kejadian. Sewaktu diikat tangan ke belakang kemudian diarahkan berbaring ke tanah sehinggalah diangkut ke sebuah tempat yang jauh memakan masa berjam-jam. Dilaporkan seramai 1000 orang penunjuk perasaan disusun secara berlapis di atas lori. Dilaporkan seramai 78 orang mati semasa berada di atas lori yang disusun sehingga muak kesemua isipadu sebuah lori. Bayangkan suadara, bagaimana lapisan manusia terbawah terhimpit dan sukar bernafas dalam perjalanan memakan masa berjam-jam. Manusiakah apakah yang membuat arahan kejam sebegini?
Hak bersuara telah dinafikan oleh pihak berkuasa, persoalannya mengapa begitu kejam diperlakukan terhadap mereka yang cuma berhimpun untuk menyuarakan bantahan secara aman dan tidak berbahaya. Adakah kerana mereka penganut Islam?








Kita tinggalkan kisah tragis di Tak Bai untuk  memperingati serangan ke atas sebuah masjid di Kampung Air Tempayan, Narathiwat. Tragedi pembunuhan berdarah di Masjid Al-Furqan berlaku pada 8 Jun 2009 jam 8.00 malam mengakibatkan 10 jemaah masjid terbunuh ketika menunaikan solat Isyak manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.
Selebihnya iaitu 12 orang lagi cedera dan telah dirawat di hospital. 
Pemandangan sejadah berdarah di permukaan lantai. Hati manakah yang tidak tergores. Pasti, isteri yang ditinggalkan meratap hiba, apatah lagi kanak-kanak yang bertanya tentang ayah, abang dan kakak.







Keesokkannya, kesemua mayat yang syahid dikebumikan secara beramai-ramai dalam kubur yang digali luas. Bahagialah sesiapa mati dalam keadaan beribadat kepada Allah.





Kematian kita bagaimana pula?


Disediakan oleh: Muhdlive

07 January 2012

Lukisan Pendamai Hati: Ilham Para Peyair


Kenangan Kecil

Rumahku
antara sungai mengalir dan denai kecil
menghubungkan rasa damai terpencil
akrab pepohon memberikan bahasa lain
milikku membesar dalam diam


Rumahku
antara usia kecil
menghubungkan rasa rindu 
air mengalir perlahan mengusik sayu
membesarkan pengalaman kecil 
di tengah kejauhan dan terasing.
Cetusan rasa: Muhdlive

01 January 2012

Catatan Puisi: Dari BuCu Langit


DARI BUCU LANGIT YANG DIBEDIL


Gelap langit dipecahkan butiran cahaya

berhamburai dan terburai 
dalam sorakan, tawa dan nyayian
remaja teruja dalam dakapan, pelukan dan percintaan
lagha seorang anak semakin lupa kejauhan malam
pesta cahaya mesti dirai
jarum detik tahun hadapan dinanti
muzik rancak hiburkan hati dan perasaan

Semalam...
aku tidak pasti 
berapa kos dibelanjakan untuk sebutir api
berapa kos dihabiskan untuk melangkah ke tempat nyanyi
berapa taman menjadi gelap, sunyi dan tersembunyi sedang menyaksi
berapa dara dikorbankan untuk semalam bermukah
dan berapa teruna dilenyapkan untuk jalan raya berdarah
dan berapa gelas arak kau teguk bersama pil dadah

Dari bucu langit yang dibedil
sekilas cahaya dan manusia berbondong
lupa dan alpa
soal agama, moral dan batasan sahsiah
dan berapa hayat masih ada untuk diperhitungkan...

Petikan sajak Anjan Ahzana bertajuk Dari Bucu Langit.

Semalam Daerahku Bagai Dibom: Tahun 2012 Hari Ini Bermula

Salam para pembaca budiman,

Tepat jam 11.59 menandakan hari pertama tahun 2012 akan bermula. Disertai letupan yang kuat dari segenap bucu langit hinggar binggar. Kalaulah ada mangsa rompakan, pencabulan atau kecemasan sudah pasti tidak didengari atau tidak diambil tahu sekejap oleh semua pihak.
Begitulah terjadi dalam letupan membakar Allahyarhamah Datuk Sosilawati bersama 3 rakan di sebuah ladang di Banting, Selangor.
Paling ditakuti ada mercun yang menerjah masuk ke mana-mana flat kediaman atau bangunan lalu terbakar, angkara siapa susah diketahui.
Sudah terbiasa di minda, ada sambutan tahun baru, merdeka dan sebagai pasti diraikan dengan mercun. Pesta perayaan seperti makin menggalakkan pembelian mercun. Tidak meriahkan hari raya tanpa membedil, bunga api atau letupan.
Minda masyarakat semakin dirosakkan dengan peruntukkan khusus untuk membazair. Paling penting - jangan latih dan ajarkan anak-anak kecil dengan mercun.

Tahun 2012, wajar direnung untuk memperbaiki diri kepada Allah melalui hubungan (ibadat) secara berterusan dan meningkatkan kekuatan daya tahan peribadi terhadap cabaran untuk terus hidup.
Solat wajib diutamakan dalam rutin harian di samping, tidak melakukan perkara mungkar dan sebaiknya cuba bersederhana dalam pergaulan, perbelanjaan, percakapan dan gaya hidup.
Semoga tahun 2012 merupakan permulaan yang baik untuk semua. Bermuhasabahah dan saling memperingati semasa kita.


Catatan Pagi Tahun Baru
Muhdlive

29 December 2011

Sumbangan Anda Diperlukan Untuk Jariah Ke Akhirat: Gaza Mapim perlu dana RM30 juta

Salam, para pembaca budiman.
Setiap sedekah yang kita salurkan dikira pahala yang beranak pinak. Sedekah juga seperti melepaskan pihak lain dari kesusahan dan pasti Allah melepaskan kita dari kesulitan. Jadi transfer sejumlah wang mengikut kadar kemampuan anda yang tidak dilihat oleh orang lain. Sila rujuk akaun bantuan di bawah rencana ini:

PETALING JAYA: Tabung Gaza Mapim memerlukan dana RM30 juta bagi menampung kos pembinaan Hospital Kanak-Kanak dan Materniti Gaza berikutan 27 hospital di wilayah Palestin itu rosak akibat dibedil termasuk ada yang musnah.
Pada awalnya, pembinaan hospital 10 tingkat dengan kapasiti 100 katil yang diterajui Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor itu menelan kos RM137 juta namun berikutan kesukaran mendapatkan dana, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) terpaksa merombak kembali perancangan itu.
                     Setiausaha projek pembinaan hospital itu, Dr Syed Abdul Khaliq Syed Abd Hamid berkata, dalam masa empat tahun ini pihaknya mensasarkan jumlah dana yang terkumpul hasil sumbangan rakyat Malaysia mencecah RM30 juta.
“Lokasi yang dipilih untuk pembinaan hospital 10 tingkat itu adalah kawasan yang paling jarang diserang tentera Israel yang mana serangan terakhir berlaku dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada majlis Bicara Rintihan Gaza di Yayasan Selangor, di sini, semalam.
Beliau berkata, selain itu Masjid An-Nasr berusia 500 tahun terletak di Beith Hanoun yang dibom pada 2006 sedang giat dibaik pulih sejak Mei lalu dan dijangka siap November ini namun masih kekurangan RM211,000 daripada jumlah keseluruhan kerja baik pulih itu sebanyak RM850,000.
Sementara itu, wartawan bebas, Nizal Mohamad yang menyertai pasukan sukarelawan Misi Ramadan di Gaza siri pertama dan kedua (RADIG) anjuran Mapim sebelum ini menyifatkan Gaza sebagai tempat paling aman meskipun negara itu sedang bergolak.
Nizal menyeru rakyat Malaysia supaya prihatin terhadap nasib rakyat Palestin di Gaza dalam usaha menjayakan pembinaan Hospital Kanak-Kanak dan Materniti Gaza dengan menghulurkan sumbangan kepada Tabung Gaza Mapim menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bernombor 08013010075820.
Orang ramai juga boleh menghulurkan sumbangan menampung kerja baik pulih Masjid An-Nasr menerusi akaun sama atau menghubungi Ketua Pengurusan Dana Projek Masjid, Abdul Aziz Abu Bakar di talian 019-6011617.

27 December 2011

Sehari Selepas 25 Disember 2011: Banjir Besar Melanda di Sarawak dan Air Pasang Di Pantai Timur

Salam,
Seperti diduga, bencana telah datang untuk manusia berfikir apa kesalahannya kepada Pencipta. Di mana berlaku, untuk siapa dan siapa yang terkorban hanyalah milik Pencipta. Manusia diberikan akal untuk berfikir dan wahyu sebagai pedoman.
Berita dari akhbar tempatan melaporkan 35 ribu penduduk terputus hubungan jalan darat berlaku di Kuching, Sarawak dengan kenaikan air sungai yang menjadi tulang belakang negeri Sarawak.Semalam juga dikatakan di pesisir Bachok, Kelantan terdapat keanehan air pasang berlaku mengejutkan penduduk sekitarnya.





Manakala air pasang yang melanda sekitar Bachok dan Dunggun sejak seminggu lalu yakni kawasan permukaan dan pesisir pantai dilanda musibah  fenomena mungkin agak kecil berbanding Tsunami 2004 lalu.
Kelihatan jalan yang terjejas teruk menghubungkan Pantai Teluk Lipat kampus UITM Dunggun.


Kita umat Islam wajar mengambil iktibar untuk kembali insaf dan sedar kewajipan sebagai hamba kepada Pencipta.

Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

26 December 2011

IKTIBAR SETIAP 25 DISEMBER: KEKUATAN DOA DAN TAKDIR SEBUAH PERTEMUAN

Salam
Tarikh keramat 25hb Disember 2004 menjadi igauan kepada mangsa ombak besar dikenali tsunami di negara kita dan di negara jiran terdekat.
Berbeza di negara Indonesia yang dilanda tsunami mengakibatkan lebih kurang 168 000 ribu nyawa terkorban dan kehilangan berpuluh-puluh penempatan bersama kaum keturunannya menjadikan keseluruhan mangsa tsunami di seluruh dunia kepada 230 000 ribu.
Kita lupakan tragedi 2004 yang lalu. Tarikh 25 hb Disember perlu dijadikan keinsafan agar segala tindak tanduk tidak bercanggah dengan hukum dan peraturan Allah.
Segala perancangan dan tindakan perlu kembali kepada kehendak al-Quran dan al-Sunnah.    
           Sebagi umat Islam, kekuatan doa dan penggantungan kepada pencipta adalah sesuatu yang perlu diutamakan dalam rutin kehidupan harian. Wajar kita sentiasa berdoa agar dijauhkan bala dari Allah serta mengharapkan kematian dengan cara yang mulia dan di tempat yang mulia.



Catatan: Muhdlive

23 December 2011

Catatan Destinasi: Bukit Fraser Yang Berbeza Sentuhan Dalaman

Salam

Catatan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Fraser:

Sebaik tamat Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPNM), bagi memenuhi hasrat lama untuk menerokai kesejukan sebuah pusat peranginan yang sering didengari lebih baik dari Cameron Highland, aku menyusuri keluar ibu kota Kuala Lumpur melalui susur keluar Rawang.
Perjalanan ke Bukit Fraser  bermula dari susur keluar ke Kuala Kubu Bharu dari Lebuhraya PLUS Utara Selatan. Bagi yang datang dari bandar Rawang boleh terus ke Kuala Kubu Bharu melalui Serendah, Antara Gapi dan Rasa lebih 40 minit perjalanan menaiki kereta.

Apabila sampai di pekan Kuala Kubu Bharu anda boleh siap-siap membeli makanan ringan dan apa-apa keperluan kerana apabila sampai di puncak Bukit Fraser semuanya akan menjadi mahal dan lebih dari biasa.
Anda juga boleh membeli makanan kerana Restoren Nasi Kandar banyak kelihatan di pekan ini selain beberapa buah bank seperti Maybank, BSN, Agro Bank dan Bank Islam.

Dari pekan Kuala Kubu Bharu anda perlu memilih papan arah Bukit Fraser yang senang dilihat. Jarak dari pekan Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser lebih kurang 40 km. Setelah melalui jalan bengkang bengkuk dan melalui sebuah empangan lebih kurang 30 km anda akan bertemu satu pintu masuk untuk naik ke atas Bukit Fraser. Jarak dari pintu masuk ini ke puncak Bukit Fraser lebih kurang 10 km yang mana jalannya sehala dan sempit untuk muat sebuah kenderaan sahaja. Di tepinya sangat curam namun demikian banyak pokok yang menghalang penglihatan ke bawah.

Dalam kelajuan 30 km sejam anda perlu memandu dengan berhati-hati kerana tersilap mengendalikan streng menyebabkan anda terperusuk ke celah gaung.

Akhirnya bertemulah anda dengan pemandangan yang lain dari biasa... Puncak Bukit Fraser  

Menara jam ini adalah mercu tanda pertama bagi setiap mata memandang dan membuat tafsiran Bukit Fraser. Di tepinya bangunan kecil berupa Pejabat Pos, Klinik Kesihatan, Balai Polis dan beberapa unit kedai cenderamata. Di hadapan Pejabat Pos tersergam bangunan unik binaannya, Puncak Inn yang menyediakan penginapan.

Pengunjung tidak perlu risau kerana banyak rumah rehat kerajaan di sini dengan harga berpatutan.


Sebaik sahaja menjelajahi pelusuk Bukit Fraser, terdetik di hati betapa luas ciptaan Allah di daratan khususnya gunung ganang. Terbina kekaguman kepada pencipta yang telah memahatkan gunung sebagai kekuatan kepada alam hamparan ini.

Dari tangan manusia, ada yang meruntuhkan bukit untuk diambil isinya terdiri dari tanah, pasir, dan sebagainya lalu hilanglah pasak bumi.
Aku terfikir, berlaku banjir tidak serata hari ini disebabkan kerana hilangnya gunung sebagai paku bumi.
Dahulu hanya di sebelah pantai timur semenanjung Malaysia terbiasa dengan banjir kini, semua negeri di Malaysia terdedah kepada banjir.

Dicatat oleh: Muhdlive

Catatan Pengalaman: Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ke3

Salam,

Bermula dari 16 - 18 disember 2011 yang lalu, pengendali blog berpeluang menyertai Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN)Kali Ke3 di Akademi Kenegaraan BTN, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur.
Perhimpunan yang kali ketiga diadakan setelah kejayaan Persatuan Penulis Nasional (PENA) di Biro Penulis Muda menganjurkan beberapa siri perhimpunan seperti di Tanjung Pia, Johor 2005 dan di Melaka pada tahun 2008.

Perhimpunan kali ini dirasmikan buat kali pertamanya dalam sejarah penganjuran PENA oleh Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak di Hotel Intercontinental, Ampang pada malam 16hb yang lalu menyaksikan banyak suntikan dana diberikan kepada PENA, ITBM dan PNB bagi tujuan penerbitan karya penulis muda. Hampir keseluruhan RM 5 juta telah diperuntukkan bagi tujuan tersebut. 


17 Disember 2011 (Sabtu)
8.30 - 10.00 pagi: Ucaptama "Pengarang Muda dan Makna Diri"
Oleh: Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar
Pengerusi: Dr Mohamad Saleeh Rahamad

10.00 - 10.20 pagi:
Jamuan pagi

10.20 pagi - 12.30 tgh hari:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja I:
"Pengarang Muda di Tengah Cabaran Intelektual, Kreativiti dan Pertembungan Pandangan Alam" 

12.30 tgh hari - 2.30 petang:
Makan tengah hari 
                                                                 
2.30 - 3.30 petang:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja II: "Tradisi dan Pengalaman Kepengarangan Islam Sebagai Teras Pemikiran dan Pengucapan" 
3.30 - 3.45 petang:
Minum petang

3.45 - 5.15 petang:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja III:
"Perkembangan Pengarang Muda Kontemporari: 
Antara Tanggungjawab Sosial dan Individu"

8.30 - 11.00 malam:
Malam Genta Puisi ASWARA - PENA

18 Disember 2011 (Ahad)
8.30 - 10.00 pagi:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja IV:
"Pengarang Muda dan Faham Dasar Kebudayaan Kebangsaan"

10.00 - 10.15 pagi:
Minum pagi

10.15 pagi - 11.45 tgh hari:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja V:
"Perkembangan Pengarang Muda Mutakhir"

11.45 pagi - 12.30 tgh hari:
Pembentangan Resolusi dan Majlis Penutup

12.30 tgh hari - 1.30 petang:
Makan tengah hari

1.30 petang:
Penangguhan PPMN III


Berikut ialah teks Resolusi Perhimpunan Muda Nasional III:

Perhimpunan Penulis Muda Nasional III atau PPMN III yang telah diadakan pada 16 hingga 18 Disember 2011 bertempat di Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur mendapati aspek peribadi pengarang tidak dapat dipisahkan dengan tanggungjawab sosial. Sebuah negara yang maju dan stabil pada masa hadapan akan bergantung kepada generasi muda yang berakhlak mulia, berwawasan tinggi, positif menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan serta mempunyai pandangan alam yang berteraskan Rukunegara dan Perlembagaan Persekutuan. Penulis muda pula, sebagai agen penting, harus memberikan peluang untuk melahirkan masyarakat yang bertamadun. Untuk melaksanakan hal tersebut, pelbagai usaha perlu dilakukan agar cita-cita kita untuk melahirkan sebuah negara yang seimbang pencapaian material dan kerohaniannya, PPMN kali ketiga dengan ini membuat ketetapan seperti berikut:
1. Memanfaatkan nilai-nilai sejagat/universal sebagai teras pemikiran dan pengucapan dalam pengkaryaan selaras dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Rukunegara.
2. Kerajaan Malaysia mesti mewartakan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai satu manifestasi kerangka kebudayaan yang jelas.
3. Menerima nilai-nilai asing yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan Negara dan Rukunegara bagi tujuan memperkukuh perpaduan dalam masyarakat.
4. Kementerian Pelajaran perlu memartabatkan sastera kebangsaan dalam sistem pendidikan negara dengan menekankan aspek kesusasteraan dan saintifik secara seimbang agar para pelajar mendapat pendedahan kepada kedua-dua disiplin tersebebut.
5. Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara dan agensi kerajaan yang terbabit mesti menyediakan geran penyelidikan, zamalah, penerbitan dan memberi peluang kepada penulis muda yang berbakat untuk menyertai aktiviti peringkat serantau dan antarabangsa bagi mengukuhkan intelektualiti dan kreativiti.
6. Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara dan agensi kerajaan yang berkaitan perlu mewujudkan program pertemuan penulis muda peringkat Asean untuk mempertemukan penulis muda serantau bagi merapatkan hubungan kebudayaan serantau.
7. Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mesti memberikan biasiswa kepada penuntut cemerlang dan penulis lepasan sekolah untuk menuntut dalam bidang kesusasteraan sama ada di dalam negeri atau di luar negara.
8. Agensi-agensi kerajaan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak perlu memperbanyak peruntukan untuk menyemarakkan aktiviti kesusasteraan, kebudayaan, pemikiran dan penerbitan penulis untuk mengukuhkan hubungan yang sedia ada antara penulis di Sarawak, Sabah dan Semenanjung.

15 December 2011

Kenduri Kahwin Bukan Medan Tunjuk Hebat

Kenduri Kahwin Bukan Medan Tunjuk Hebat

Tersiar dalam Berita Harian (2011/12/15)

Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar

MENGADAKAN majlis perkahwinan bertujuan meraikan pasangan yang bernikah dan menghebahkan berita gembira itu kepada saudara-mara serta masyarakat sekeliling. Makluman itu juga bagi mengelak fitnah serta prasangka dalam masyarakat.

Namun, matlamat majlis perkahwinan kini sudah jauh menyimpang daripada tujuan asal apabila wujud perasaan ingin memastikan kenduri yang diadakan lebih meriah daripada orang lain dan memiliki kelainan.
Menganjurkan majlis gilang-gemilang secara besar-besaran tidak dihalang tetapi sebaiknya niat hendaklah menepati kehendak syarak dan tidak menyebabkan timbul masalah kemudian hari seperti menanggung hutang.
Sesungguhnya orang yang boros itulah saudara syaitan. Dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya. Surah al-Isra, Ayat 27
Bahkan, digalakkan mereka yang berkemampuan untuk mengadakan majlis untuk meraikan serta menjamu tetamu tanpa mengira latar belakang serta pangkat bagi meluaskan pahala bersedekah.

Bagaimanapun, tidak dinafikan, masyarakat hari ini berlumba-lumba menganjurkan majlis kenduri walaupun sedar perancangan dibuat ada kalanya melampaui kemampuan semata-mata ingin menyaingi orang lain.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang boros itulah saudara syaitan. Dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra, ayat 27)

Mengadakan majlis walimatul urus adalah sunat muakad kepada golongan yang mampu. Daripada Anas Malik, Rasulullah SAW melihat di kepala Abdul Rahman Auf kesan kuning, lalu Baginda bertanya: “Kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab: Wahai Rasulullah aku telah berkahwin dengan seorang perempuan dengan mas kahwin satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas. Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul Rahman Auf dan berkata: Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.” (Muttafaqun alaih)
Malangnya, majlis perkahwinan masa kini sudah bermula dengan bibit awal pembaziran melalui kad undangan yang dicetak eksklusif dan mahal harganya. Itu belum mengambil kira pakaian pengantin, pelamin, solekan, hantaran, tema, sistem bunyi dan cenderahati untuk tetamu.

Semua persediaan walaupun untuk barangan kecil akan membabitkan kos yang ada kalanya membebankan pengantin dan keluarga tetapi hendak juga disediakan kerana semua pasangan yang berkahwin melakukan perkara sama.

Fenomena majlis kenduri yang gah dan penuh pembaziran wajar dielak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Walimah pada hari pertama adalah suatu hal yang benar. Pada hari kedua adalah suatu perkenalan, sedangkan hari ketiga adalah pamer dan mencari kemasyhuran.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Sebaik perancangan untuk pengantin selain menganjurkan majlis perkahwinan secara besar-besaran ialah persediaan menempuh alam hidup berumah tangga. Ini termasuk merancang kewangan keluarga.

Jika semua simpanan dihabiskan untuk majlis perkahwinan, bagaimana dengan pelan membina kehidupan berkeluarga. Bebanan hutang hanya akan mendatangkan masalah kepada pasangan suami isteri yang baru mengenal alam rumah tangga. Adalah tidak wajar mereka dibebankan dengan masalah kewangan majlis kenduri.

Oleh itu, di sebalik keghairahan merancang majlis perkahwinan, sebaiknya bakal suami isteri mempersiapkan diri dengan memahami tugas serta tanggungjawab yang perlu dipikul bagi memastikan rumah tangga disinari kasih sayang dan persefahaman.

Pasangan bakal berkahwin jangan terlalu mengikut perasaan sebaliknya meneladani konsep perkahwinan yang sederhana dianjurkan Nabi Muhammad SAW.

Sikap bersederhana mengelak umat Islam terjerumus pembaziran yang hanya akan merugikan bukan saja dari aspek mengadakan majlis perkahwinan, juga dalam pelbagai tuntutan kehidupan yang lain.

Kemeriahan majlis perkahwinan bukan terletak pada mahalnya kos penganjuran kerana majlis yang sederhana juga boleh meninggalkan kesan mendalam kepada tetamu jika dilaksanakan mengikut syariat Islam melalui amalan gotong royong serta hubungan bermasyarakat.

Keberkatan dalam rumah tangga bermula dari majlis perkahwinan sederhana serta mas kahwin berpatutan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya wanita paling diberkati dan menjadi keutamaan adalah yang paling rendah mas kahwinnya.” (Hadis riwayat Ibn Hibban)

13 December 2011

Info Agama: Puasa hari Asyura peluang tingkat takwa

Dietik dari Ruangan Agama Berita Harian
(2011/12/06)

Oleh Hasliza Hassan

 

TARIKH 10 Muharam mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan bersama seperti dicatatkan Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Mukasyafatul Qulub. Antara peristiwa dikaitkan dengan tarikh itu ialah dicipta Nabi Adam dan dimasukkan Adam ke dalam syurga.

Dicipta arasy, kursi, langit, matahari, bulan, bintang; dilahirkan Nabi Ibrahim; diselamatkan Nabi Ibrahim daripada api Namrud; selamatnya Musa dan pengikutnya; lemasnya Firaun; dilahirkan Nabi Isa dan mendaratnya kapal Nabi Nuh di atas bukit Judy.
Peristiwa lain ialah Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar; dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun; Nabi Ya’kub dapat melihat kembali selepas buta; dikeluarkan Nabi Yusuf dari telaga buta; disembuhkan Nabi Ayub daripada penyakitnya dan hujan yang pertama dari langit membasahi bumi.
Peristiwa paling popular dan sering menjadi perbahasan menjelang 10 Muharam ialah terbunuhnya cucu Nabi SAW, Saidina Hussain di Karbala.

Selain memperingati peristiwa itu, kedatangan 10 Muharam turut dirai umat Islam dengan melakukan puasa sunat atau lebih dikenali sebagai hari Asyura. Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam berpuasa pada hari itu kerana ia mempunyai kelebihan.

Daripada Aisyah, katanya: “Biasanya orang Quraisy ketika jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Nabi SAW pun berpuasa. Ketika tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga.” (Hadis riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, katanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan buatlah perbezaan padanya (daripada) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” (Hadis riwayat Ahmad) Ulama menyebut, hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu’a (9 Muharam) untuk membezakan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam).

Digalakkan juga berpuasa pada 9 Muharam sebagai langkah berhati-hati kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Dengan itu, hari 9 Muharam dalam pengiraan adalah hari ke-10 Muharam.

Bagi maksud menyambung puasa hari Asyura dengan satu hari puasa lain kerana tegahan Rasulullah SAW iaitu berpuasa satu hari saja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidak menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari pada hari Asyura.
Imam Syafie menyebutkan dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imlak disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu’a), ke-10 (Asyura) dan ke-11 Muharam.

Abu Qatadah al-Anshari berkata, Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab Baginda: “Semoga dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang. Kemudian Nabi ditanya pula puasa hari Asyura (10 Muharam). Jawab Baginda: “Semoga dapat menghapuskan dosa tahun lalu.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya termasuk peluang melakukan amal ibadat tertentu dengan pahala berlipat ganda berbanding amalan dilakukan pada waktu biasa. Contohnya, Allah memuliakan bulan Muharam dan menggalakkan kita berpuasa sunat.

Diriwayatkan daripada Mu’awiyah Abu Sufyan, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ini adalah hari Asyura dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa sedangkan aku berpuasa. Maka sesiapa yang hendak berpuasa maka berpuasalah dan sesiapa mahu (tidak berpuasa) maka berbukalah dia (boleh tidak berpuasa).” (Hadis riwayat Bukhari)

Peluang ini mungkin dipandang remeh bagi orang yang tidak mengetahui kelebihannya tetapi hakikat itulah nilai yang menentukan sejauh manakah kepekaan seseorang Muslim mencari keredaan Allah SWT dengan tidak mensia-siakan nikmat sihat dan kelapangan waktu dikurniakan padanya.

Oleh itu, marilah bersama menyahut seruan Rasulullah SAW ini mudah-mudahan ketakwaan kita kepada Allah SWT semakin meningkat.