18 October 2013

Hari ini 13 Zulhijah - Hari Terakhir Melakukan Ibadat Korban Sehingga Terbenam Matahari

Salam 13 Zulhijah,

Pada fajar yang terbit tadi - aku melihat sebuah kehilangan. Kerugian kepada orang yang tidak melakukan ibadat korban kali ini meskipun dia berkemampuan. Waktu korban akan tamat pada saat terbenam matahari akhir petang nanti. Hari dalam islam bertukar pada waktu maghrib. Jadi lepas maghrib nanti dikira 14 Zulhijah.

Kelmarin, ibadat korban dilaksanakan di sekolahku untuk kakitangan, guru dan semua yang berada di sekolah ini. Hikmahnya cukup bermakna. Berlaku keakraban kepada semua guru, staf dan para pekerja yang selama ini tidak berkesempatan bertegur sapa.






Aktiviti-aktiviti yang diaturkan dalam agama Islam cukup memberikan impak kepada keseluruhan manusia dan alam. Cuma kita jarang memikirnya.














Antara syarat sah sembelihan bagi binatang ialah;
i. Binatang mati dengan sekali sembelihan
ii. Putus urat halkum dan merih
iii. Binatang yang halal

Manakala bagi syarat sah bagi peyembelih ialah;
i. Islam
ii. Tidak berada dalam ihram haji atau umrah

* Perempuan diharuskan melakukan sembelihan







Perbezaan sembelihan biasa dengan sembelihan untuk akikah & kurban ada sedikit perbezaan. Ramai pelajar keliru dengan dua perkara ini.

Hukum Sembelihan biasa; Wajib
Hukum Ibadat Korban dan Akikah; Sunat Muakad

Sembelihan biasa:
i. Kesemua binatang halal

Ibadat korban dan akikah
i. Hanya binatang ternakan (al-an`am)

Sembelihan biasa:
ii. Boleh disembelih pada bila-bila masa

Ibadat korban
ii. Pada 10 - 11 - 12 dan 13 Zulhijah sahaj
Ibadat Akikah
ii. Bila ada kelahiran anak

Cara pembahagian daging korban;

1/3 - untuk fakir miskin
1/3 - untuk orang ramai
1/3 - untuk orang yang melakukan ibadat korban

Cara pembahagian daging akikah;
Disunatkan dimasak manis untuk jamuan.


 Coretan; Muhd Shatar

16 October 2013

Kronologi Ibadat Haji - Nota Ringkas Buat Calon SPM Pendidikan Islam

Salam budiman buat para pelajar.
Bulan ini bulan Zulhijah yang mana ada kronologi berkenaan dengan ibadat haji yang bakal dilakukan para jemaah. Musim haji dikira sejak 1 Syawal lagi untuk para jemaah berniat mengerjakan ibadat haji. Pengetahuan tetang musim haji dan bukan musim haji akan dapat menentukan jenis cara mengerjakan ibadat haji sama ada Ifrad, Tamatuk atau Qiran. 

Saya mulakan dengan peristiwa berlaku pada;

KRONOLOGI PERTAMA

9 Zulhijah (14 Oktober 2013)


Kelihatan para jemaah wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijah di Arafah, Mekah.
Wukuf merupakan salah satu rukun haji yang perlu dilaksanakan bermula pada 9 Zulhijjah dan jemaah mesti melaksanakannya dengan berada di Arafah walaupun hanya untuk seketika.  

Sebaik maghrib para jemaah akan berangkat ke Mudzalifah (jaraknya 8 km dari Arafah) untuk bermalam. Para jemaah juga akan mengutip batu-batu kecil untuk melontar jamrah di Mina pada keesokan harinya. Batu yang perlu dikutip sebanyak 70 biji. Secara ringkas kegunaannya;

1. 7 biji batu untuk dilontar di Jamrahtul Aqabah pada 10 Zulhijah
2. 7 biji X 3 jamrah = 21 dilontar pada ketiga jamrah pada 11 Zulhijah
3. 7 biji X 3 jamrah = 21 dilontar pada ketiga jamrah pada 12 Zulhijah
4. 7 biji X 3 jamrah = 21 dilontar pada ketiga jamrah pada 13 Zulhijah

Jumlah batu dilontarkan ialah: 7 + 21 + 21 + 21 = 70 biji anak batu
 

KRONOLOGI KEDUA

10 Zulhijah (15 Oktober 2013)

Ketika kita di Malaysia sedang berhari raya pertama Aidiladha di Mekah, para jemaah akan melaksanakan ibadat melontar di Jamratul Aqabah (di Mina) terlebih dahulu. Di Mina ada tiga jamrah yang akan dilaksanakan oleh para jemaah iaitu ibadat melontar iaitu di Ula, Wusta dan Aqabah. Para jemaah dikehendaki melontar di ketiga jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijah. 
Inilah ibadat melontar di Jamrahtul Aqabah pada 10 Zulhijah yang terletak di Mina.
Para jemaah perlu melontar di Jamrahtul Aqabah sahaja pada 10 Zulhijah yakni hari raya Aidiladha kemudian bermalam juga di Mina.

Urutan ibadat yang berlaku pada 10 Zulhijah juga boleh diringkaskan seperti berikut;

i. Melontar di Jamrahtul Aqabah
ii. Menyembelih binatang korban
iii. Mencukur rambut 
iv. Tawaf Ifadah (tawaf rukun)
v. Saie dari Bukit Safa ke Marwa

KRONOLOGI KETIGA
 
11 Zulhijah (16 Oktober 2013)

Gambar ini menunjukkan ketiga-tiga Jamrah yang mana para jemaah dikehendaki melontar di ketiga-tiga jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijah.
Pada hari 11 Zulhijah - para jemaah dikehendaki melontar pada ketiga-tiga jamrah ini. Kemudian bermalam di Mina. 


KRONOLOGI KEEMPAT

12 Zulhijah (17 Oktober 2013)
Pada hari 12 Zulhijah - para jemaah dikehendaki melontar pada ketiga-tiga jamrah ini. Kemudian bermalam di Mina.


KRONOLOGI KELIMA

13 Zulhijah (18 Oktober 2013)

Pada hari 13 Zulhijah - para jemaah dikehendaki melontar pada ketiga-tiga jamrah ini. Kemudian bermalam di Mina.
Syarat Melontar Di Ketiga Jamrah Pada 11, 12 dan 13 Zulhijah

1. Masa melontar apabila gelincir matahari pada 11 dan 12 sehingga terbit fajar dan pada 13 Zulhijah bermula gelincir matahari sahaja sehingga terbenam matahari.

2. Mula melontar di Jamrahtul Ula, diikuti Wusta kemudian Aqabah pada  11, 12 dan 13 Zulhijah

3. Melontar dengan tangan sahaja dengan gaya melontar bukan cara membaling.


MAKSUD ISTILAH

- Tahalul Awal; keluar dari ihram haji selepas melakukan 2 dari perkara berikut;
i. Melontar di Jamrahtul Aqabah
ii. Bercukur
iii. Tawaf Ifadah

Para jemaah dibenarkan melakukan perkara yang dilarang ketika berihram kecuali 3 larangan berikut;

i. Tidak boleh berkahwin, menikahkan dan wakil nikah
ii. Tidak boleh melakukan permulaan kepada persetubuhan dan bercumbu-cumbuan
iii. Tidak boleh bersetubuh.

- Tahalul Thani; keluar dari ihram haji setelah melakukan kesemua 3 perkara ini;
i. Melontar di Jamrahtul Aqabah
ii. Bercukur
iii. Tawaf Ifadah

Selesai melaksanakan tiga perkara ini, para jemaah barulah boleh melakukan kesemua larangan dalam ihram.

Bersambung...

Soalan mungkin boleh dikeluarkan dalam tajuk ibadat haji bagi SPM 2013;

1. Sebutkan jenis tawaf?

2. Nyatakan tiga larangan dalam ihram haji kepada jemaah selepas tahalul awal?

3. Bilakah jemaah haji boleh melakukan tahalul thani?

4. Wukuf di Padang Arafah pada .....................

5. Ramli telah mengerjakan ibadat haji. Dia terlupa melakukan tawaf Ifadah. Nyatakan hukum haji bersama alasan?

6. Che Husain mengerjakan ibadat haji. Dia terlupa untuk wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijah dari waktu Zuhur hingga ke terbit fajar. Nyatakan hukum haji bersama alasan?

7. Azhan mengerjakan ibadat haji. Dia terlupa untuk melontar di Jamrahtul Aqabah pada 10 Zulhijah. Nyatakan hukum haji bersama alasan?

8. Cara melaksanakan ibadat haji ada tiga iaitu Ifrad, Tamatuk dan Qiran. Ramli melakukan ibadat umrah pada 27 ramadan kemudian berniat mengerjakan ibadat haji sebaik masuk bulan Syawal. Nyatakan jenis hajinya?

9. Di manakah tempat berniat ihram bagi jemaah dari Malaysia yang mendarat di lapangan terbang Madinah?

10. Sebutkan rukun haji yang kelima?

11. Apakah sah melakukan tawaf tanpa berwuduk. Nyatakan hukum dan alasan?

12. Apakah sah melakukan saie tanpa berwuduk. Nyatakan hukum dan alasan?

13. Cara mengerjakan haji manakah yang tidak dikenakan dam?

14. Nafar Awal ialah ..............

15. Lafaz yang diucapkan oleh para jemaah sepanjang melakukan ibadat haji disebut ...................

15. Melakukan haji pihak orang lain disebut .....................

16. Adakah sah sekiranya dia melakukan upah haji bagi pihak orang lain sedangkan dia belum melaksanakan haji bagi pihak dirinya?

17. Perkara dilarang semasa dalam ihram bagi lelaki sahaja ialah;

18. Selepas memakai ihram dan berniat mengerjakan haji di miqat...................... maka jemaah hari terikat dengan peraturan dan larangan semasa dalam ihram.

19.  Sebutkan syarat-syarat Nafar Awal?

20. Sebutkan waktu musim haji? 

Untuk dapatkan jawapan sila taip Jawapan Ibadat Haji 2013 ke emel pengendali blog muhd.live@yahoo.com atau klik di sini untuk mendapatkan fail jawapan.
 

Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

15 October 2013

Lafaz Takbir Raya

Salam Aidiladha.

Pada Hari Raya Haji terutamanya disunatkan bertakbir setiap kali selepas solat fardu, sebaik dari subuh pada Hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar pada 13 Zulhijjah.

Semoga aidiladha kali ini membetulkan cara hidup berlandaskan syariat.





 Coretan; Muhd Shatar

14 October 2013

Boikot Maxis: Hot Tiket Senang-Senang Ditamatkan Pengeluaran Sedangkan Penguna Masih Banyak Baki Panggilan dan SMS

Salam penyatuaan hak pengguna,

Ketika menyemak bagi kredit bagi pengguna Hot Tiket <012> hatiku menjadi sangat sakit hati. Apa tidaknya jumlah panggilan yang boleh digunakan 240 minit atau lebih kurang 2 jam berserta jumlah 947 sms akan dilupuskan jika tidak diperbaharui Hot Tiket yang baru.
SEDANGKAN sudah puas satu pekan Bukit Mertajam aku tanya kat tuan punya kedai telefon bimbit, semua jawapan tidak ada stok kad Hot Tiket. Sungguh jahat permainan kaum kapitalis MAXIS ini. Tak cukup lagi aku pergi ke pekan Kepala Batas, Perai, Sungai Dua, dan bermacam kedai.

Benar, kaum kapitalis ini perlu diajar. Kalaulah semua pengguna kad Hot Tiket sepertiku ini akan menukarkan kepada telco lain seperti Celcom, Digi dan banyak lagi kat pasaran ada baiknya. Tapi kalau aku seorang boikot tiada guna rasanya. Kepada semua pembaca dan para pengguna kad Hot Tiket - baik kita pakat untuk tukar telco Maxis kepada telco lain. Tak kira Digi atau Celcom - esok atau lusa aku akan tukar dari Maxis pengkianat marhean. Cara kapitalis ambik untung dengan mudah. Tamatkan penggunaan Hot Tiket kemudian buka kad baru.


Akhir kata; Tahniah Maxis - anda berjaya menelan bulat-bulat hak kami...

Coretan; Muhd Shatar

Esok Raya: Siapa Layak Berkorban Tapi Tak Tunai Korban = Kena Cepat Insaf

Salam pagi Isnin,

Kelebihan menunaikan ibadat qurban boleh dilihat dalam hadis:

Sebuah hadis menyebut  :
ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari qurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" 
(Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud) 

Esok, 10 Zulhijah. Peluang 4 hari dalam setahun untuk melakukan ibadat qurban perlu diutamakan dalam kehidupan kita sebagai mukmin. Kadang kala kita terlupa meletakkan keutamaan melakukan ibadat qurban sebagai amalan yang dilihat penting atau lebih berhak dilakukan pada 10 Zulhijah ini.
Firman Allah yang bermaksudnya;

Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu dirikanlah solat kerana Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” 

(Surah al-Kauthar : ayat 1-2)

Justeru, perlu kita memikirkan soal perbelanjaan untuk perkara lain telah dilaksanakan dengan jayanya oleh kita. Bila masuk bab ibadat qurban, kita wajib menyimpan azam untuk tetap menunaikan kerana KITA MAMPU...

Coretan: Muhd Shatar

 

09 October 2013

Ustaz Azhar Idrus Kini Pelakon Filem

Salam Oktober,

Lebih sejuta peminat Ustaz Azhar Idrus sedang menanti kemunculan lakonan pendakwah ini. Jangan pandang negatif dengan filem. Filem yang baik - ada cerita yang baik,  kalau ingin berbentuk Islamik mestilah ada adab dan semuanya berpandukan syariat. Tentu pilihan Ustaz Azhar ada hujah dan kewajaran dalam usaha dakwah. Saya sangat berpositif bahawa tindakan ini biarpun mengejutkan! Siapa sangka Ustaz yang awalnya menjadikan surau-surau kecil di sekitar Terengganu dan kerap diundang ke masjid di Kelantan tiba-tiba ditawarkan berlakon dalam filem.

Fenomena Ustaz Azhar sangat mengujakan. Berbekalkan seraut wajah cukup bercahaya, mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW dengan menyimpan janggut kelihatan Ustaz Azhar (UAI) digemari anak muda, hinggalah orang tua..

UAI dilihat bijak berhujah, kata-katanya secara mudah difahami dengan pelbagai perumpamaan diungkapkan menjadi fatwa beliau paling popular dihayati.

Semua orang berilmu diperlukan sumbangannya dalam menyebarkan dakwah. Tokoh kelihatan digemari orang muda ini wajar dijadikan contoh. Lebih baik, gerombolongan orang muda akan turut beribadat wajib solat fardu dan ibadat lain hasil cenderung dengan idola yang baik ini daripada terus hanyut dengan permainan dunia yang lain.

Coretan: Muhd Shatar

01 October 2013

Sekotak rokok 20 batang = Sekampit beras Jati 5 kilo

Salam oktober,

1 Oktober, 
Memetik tajuk penting hari ini di dada akhbar;
Pengeluar rokok, British American Tobacco Berhad (BAT Malaysia) dan JT International Berhad (JTI) mengumumkan kenaikan harga rokok keluaran syarikat masing-masing sebanyak RM1.50 hingga RM2 sekotak.
Ini menjadikan harga rokok seperti Dunhill, Kent, Winston, Salem dan Camel untuk 20 batang sekotak berharga RM10.50 hingga RM12 berkuat kuasa serta-merta bermula semalam. (Kosmo 01102013).
 Jadi, Winston 20 batang ini berharga RM12.00 sekotak Syukur - aku tidak termasuk dalam kalangan orang yang memperuntukkan rezeki bulanan bagi tujuan merokok. 


Sekampit beras berjenama Jati berat 5 kilo harganya  lebih kurang RM 12.90.  


Sesekali apabila mengenangkan para pelajar di bangku sekolah sudahpun menjadi penagih tegar kepada Winston, Camel dan pelbagai jenama rokok sedangkan bapanya kerja sebagai tukang sapu, tukang cuci, operator pengeluaran kilang yang bermatian untuk meraih rezeki... anak-anak dengan lahap menghabiskan satu puntung ke satu puntung rokok... malangnya.

Coretan: Muhd Shatar




SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU