10 March 2014

Gundah Bulan Terselam Cinta Kepada Khaliq

Bulan Terasa Gundah Di Atas Kepala

Malam ini aku biarkan minda berkeliaran. Gundah apakah yang memburu jiwaku. Aku menyusun helaian lama kenangan satu persatu kerana setiap manusia akan mahu memilih suatu masa merenung sejarah dirinya.
Sejenak aku terbayang kehidupan kecil di kampung tercinta. Di sebuah rumah papan pasti jendela terkuak pada waktu malam. Kerana kipas masih belum ada, kalau ada di kedai sekalipun mana mungkin boleh jadi milik keluarga kami yang amat sederhana.
Ruang malam hanya berlegar di rumah hingga mata sukar terlelap. Aku belajar menjadi manusia berfikir dalam sunyi berlebihan.

Bagaimana hendak kembali menikmati kehidupan kampung kerana kini kebanyakan kampung sudah dipengaruhi cara hidup orang kota. Pun begitu, masih ada suasana seperti terakam dalam gambar. Saudara-saudaraku di pendalaman seperti Dabong, Manek Urai, Mengkebang, Laloh, Batu Melintang dan banyak lagi di sebelah Kelantan mungkin menikmati suasana malam indah begini.
Sunyi berlebihan membuatkan anak gadis teringin mencuba kehidupan kota. Tanpa bekalan ilmu dan sedikitnya kebolehan menguruskan ketahanan diri - maka meningkatlah gejala kurang sihat. Anak kampung yang baik pekerti sampai ke bandar seperti wajah lain menerpa; terpinga-pinga dalam kecantikan neon.
Sunyi berlebihan, aku teringat diriku di ibu kota sekitar tahun 2000. Dari situlah aku mula mengenal sunyi. Menikmati sunyi di tengah bingit kota. Mencari sunyi hingga lahir kalimah puisi.

Coretan: Muhd Shatar

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU