11 September 2013

Syukurlah: Kalimah Allah Hak Orang Islam di Malaysia

Alhamdulillah, 
Penantian yang benar melegakan dari Mahkamah Rayuan di Putrajaya (11.09.2013) mengembalikan hak umat Islam di Malaysia. Kalimah ALLAH hanya boleh digunakan bagi umat Islam bermakna God dalam Bible sangat berlainan untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai Allah. Alhamdulillah.
Namun, aku kecewa dek sebilangan umat Islam yang tidakpun mengambil tahu soal pengunaan kalimah Allah ini yang ingin disalahgunakan oleh pihak lain. Hari ini kemenangan kepada Islam dan kaum Melayu khususnya. Aku memetik sumber berita hari ini:

Menteri Dalam Negeri mengharamkan penggunaan kalimah `Allah’ dalam penerbitan mingguan Gereja Katolik atas dasar mementingkan keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Peguam Putrajaya, Suzana Atan memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini bahawa larangan itu diperintahkan kerana ia menyentuh sensitiviti agama Islam.
“Di negara ini, Allah ialah perkataan yang sensitif,” katanya ketika berhujah untuk membalikkan perintah Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan gereja menggunakan perkataan itu dalam bahagian bahasa Melayu Herald.
Populasi masyarakat Muslim di Malaysia kira-kira 60 peratus dan walaupun ini adalah negara sekular, Islam adalah agama rasminya.
Suzana turut menyentuh mengenai apa yang berlaku selepas Mahkamah Tinggi memutuskan perintah itu apabila berlaku kejadian seperti beberapa cubaan membakar gereja dan membaling kepala babi ke dalam masjid.
Kerajaan memfailkan dua afidavit, diperolehi daripada wartawan sebagai bukti baru untuk menyokong rayuannya.
“Pengharaman itu sebenarnya ialah tindakan awal Menteri,” katanya.
Suzana berkata, perkataan kalimah `Allah’ itu menimbulkan banyak kekeliruan di kalangan masyarakat Islam dan Kristian kerana ia membawa makna yang berbeza bagi kedua-dua kumpulan agama itu.
“Masyarakat Kristian percaya kepada Holy Trinity manakala bagi penganut Islam, hanya Allah Tuhan mereka,” katanya.
Suzana berkata, menteri juga mempunyai budi bicara mutlak mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) untuk mengenakan syarat ketika memberi kelulusan permit bagi penerbitan.
“Menteri boleh berbuat demikian untuk mengekalkan ketenteraman awam dan moraliti,” katanya dan menambah PPPA memperuntukkan kepada Menteri untuk menggunakan budi bicara dalam mengenakan syarat.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi silap apabila ia memerintahkan bahawa ia perlu ada berlakunya persengketaan awam dan gangguan sivil.
Suzana berkata, menteri tidak bertindak seperti robot tetapi menggunakan kuasanya dengan adil.
Isu kalimah `Allah' bermula pada awal 2009 apabila Menteri Dalam Negeri pada ketika itu mengugut untuk menarik balik permit Gerald kerana menggunakan perkataan itu yang merujuk kepada God, Tuhan Kristian.
Tindakan itu menyebabkan Gereja Katolik menyaman kerajaan kerana mencemar hak perlembagaan mereka.
Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman gereja dan membatalkan larangan menteri dalam negeri terhadap penggunaan kalimah `Allah' dalam Herald.
Antara lain, hakim Lau Bee Lan berkata, gereja mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam akhbarnya berasaskan kepada agama selain daripada Islam boleh diamalkan dengan aman dan harmoni.
Majlis agama Islam negeri Terengganu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Kedah dan Selangor, dan Persatuan Cina Muslim Malaysia adalah pihak-pihak dalam rayuan itu.
Peguam Mubashir Mansor, yang mewakili majlis Terengganu, berkata Herald turut disiarkan secara online dan penggunaan Allah itu boleh dibaca oleh masyarakat Islam.
Bagaimanapun, katanya, di Terengganu, ada enakmen yang melarang penggunaan perkataan itu di kalangan masyarakat bukan Islam.
“Enakmen itu berpelembagaan kerana tujuannya ialah menghentikan masyarakat bukan Islam daripada menyebarkan agama mereka kepada orang Islam,” katanya.
Mubashir berkata, bukan Islam mesti mendapatkan kebenaran daripada Pemerintah negeri jika mahu menggunakan perkataan itu.
“Penggunaan kalimah `Allah’ juga datang dengan budi bicara mutlak Pemerintah,” katanya.
Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang mewakili majlis Selangor, berkata Islam menikmati kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan.
Islam berada di bawah bidang kuasa negeri sementara Putrajaya menjaga agama di wilayah persekutuan.
“Kita boleh menggubal undang-undang untuk mentadbir Islam,” katanya dan menambah bukan Islam melakukan kesalahan jika menggunakan perkataan itu.
Beliau berkata, Allah adalah tuhan penganut Islam yang memberikan mereka al-Quran.
“Sekarang jika mana-mana orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah, dia adalah separuh Islam dan dia jadi sepenuhnya Islam jika menerima bahawa Muhammad itu nabinya,” katanya.
Abdul Aziz, yang juga bekas pengerusi MAS, berkata kitab Injil yang asli adalah dalam bahasa Hebrew (Ibrani) dan kemudian diterjemah kepada bahasa Greek dan Allah tidak pernah menjadi sebahagian daripada keimanan Kristian.
“Dalam negara ini, kitab Injil Bahasa Inggeris adalah versi terjemahan dan perkataan `Allah’ tidak ada di dalamnya,” katanya.
Peguam yang mewakili gereja akan menyampaikan hujahan selepas rehat tengah hari di hadapan panel hakim diketuai Datuk Seri Mohamad Apandi Ali. – 10 September, 2013.

Coretan; Muhd Shatar

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU