Ucapan Presiden PENA Dr Mohamad Saleeh Rahamad
dalam Mesyuarat Agung Tahunan PENA ke-50
pada 16 November 2013 di Rumah PENA,
961-7, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur,
pukul 11:00 pagi.
1. Bersyukurlah kita ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan perhimpunan
di dewan Rumah PENA yang baru siap dibina ini untuk menjalankan satu
lagi tanggungjawab, yakni melaksanakan Mesyuarat Agung PENA yang ke-50.
Pertama kali dewan ini digunakan selepas siap pembinaannya adalah pada
bulan Ramadan lepas apabila kami menganjurkan majlis berbuka puasa,
tarawih dan baca puisi Ramadan anjuran bersama Institut Terjemahan dan
Buku Malaysia (ITBM). Selepas itu beberapa acara telah diadakan termasuk
bengkel taklimat penilai manuskrip ITBM-PENA, sambutan pelajar sekolah,
perkhemahan GPMS UiTM, majlis aidilfitri MABOPA, dan pada malam tadi
dan malam ini teater monolog Khalid Salleh juga dengan kerjasama ITBM
dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
2. Kami cuba
mengoptimumkan ruang yang indah ini untuk manfaat sastera dan
sasterawan, penulis dan dunia penerbitan. Tetapi penggunaan dewan ini
juga memerlukan biaya yang besar untuk bayaran utiliti dan penjagaannya,
maka kami telah membuka pintu kepada pihak luar untuk menggunakannya
dengan kadar sumbangan yang munasabah. Ruang yang sederhana ini bukan
segala-galanya tetapi persekitaran yang menghijau dan luas serta
landskap yang indah dipeluk belukar sepulau di tengah kota Kuala Lumpur
menjadi daya tarikan yang luar biasa untuk penganjuran majlis keraian.

3. Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih
kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah
menyalurkan dana pemulihan Rumah PENA. Dengan dana pemulihan itu kami
berjimat sehabis mungkin untuk melaksanakan projek pembaikan rumah induk
serta dapat pula membina dewan tambahan, landskap dan pentas baca puisi
bagi menggantikan pentas lama yang sudah reput. Pentas itu telah kami
namakan “Panggung Sutung Umar RS” pada suatu majlis baca puisi sempena
Bulan Bahasa Kebangsaan pada 4 Oktober 2013. Nama Sutung Umar RS
diabadikan bagi menghargai usaha beliau membina pentas asal dahulu.
4. Kami juga dalam proses meminta persetujuan daripada Dato’ Ahmad Sebi
Abu Bakar untuk mengabadikan nama beliau pada dewan ini sebagai tanda
ingatan atas bakti beliau mendapatkan Rumah PENA dalam bentuk pinjaman
daripada kerajaan Persekutuan ini. Di samping itu, perlahan-lahan kami
akan mengabadikan nama tokoh PENA mahupun judul karya yang menjadi ikon
sastera kita pada tempat-tempat tertentu di Rumah PENA ini. Biarpun PENA
diterajui oleh golongan pelapis yang masih muda, kami tidak akan
melupakan sumbangan tokoh-tokoh terdahulu yang terlalu banyak baktinya.
Hadirin yang dihormati,
5. Bagi pihak PENA, saya mengalu-alukan kedatangan semua ahli PENA yang
datang dari seluruh negara dengan biaya sendiri. Khusus kepada ahli
PENA yang datang dari jauh, kami memohon maaf kerana tidak berupaya
membiayai kos perjalanan dan persediaan diri, tidak seperti parti
politik yang kaya. Hanya ucapan terima kasih dapat kami berikan daripada
lubuk hati yang penuh keharuan kerana kesanggupan mereka mendatangi
majlis ini.
6. Kami berdoa semoga tuan-tuan dan puan-puan
dilindungi Allah SWT dalam perjalanan datang dan pulang serta
dianugerahi kesihatan yang baik, keselamatan diri dan kemurahan rezeki.
Allah sahajalah yang membalas segala pengorbanan tuan-tuan dan
puan-puan. Inilah bukti setiakawan yang tiada taranya, satu sifat yang
sangat penting dalam ikatan berpersatuan. Tanpa pengorbanan, hayat
sesebuah persatuan tidak akan kekal lama.
7. Setelah berkumpul
di sini marilah kita pererat hubungan batiniah dengan keikhlasan,
marilah kita bina rangkaian kerjasama demi memajukan persuratan dan
bahasa kita. Jika bukan kita yang membela bahasa dan persuratan kita
siapakah yang sudi melakukannya? Dan jika kita bersendirian memencakkan
silat di gelanggang pertarungan sedangkan dalam masa yang sama saudara
dan rakan sendiri menghunjamkan belati ke tubuh kita dari segenap sudut,
maka akan kecundanglah kita, belum pun sempat musuh sebenar menyentuh
kita.
8. Tetapi inilah yang kita depani kini. Tatkala pihak
lain bersatu tenaga memperjuangkan legasi bangsa mereka yang secara
langsung mencabar ketuanan kita, kita sesama sendiri saling bertingkah
pendapat, saling mencurahkan minyak dan api. Penyakit bangsa kita yang
masih tidak sembuh ialah suka memalitkan nista ke tubuh saudara sendiri
disebabkan sifat dengki dan cemburu yang tidak kunjung padam.
9. Di samping itu, paling menyakitkan apabila ada orang Melayu yang
tidak henti-henti memasakkan pendapatnya bahawa bahasa Inggeris perlu
menjadi medium bagi pengajaran sains dan matematik di sekolah. Orang ini
mengaku bahawa pandangannya supaya bahasa Melayu dilupuskan dalam
bidang pengajian mata pelajaran kritikal itu adalah untuk kemajuan
bangsanya. Pandangannya itu tidak pernah berhenti dilontarkan
seolah-olah dia sahajalah yang benar manakala nasionalis lain yang
membela bahasa Melayu berada di pihak yang salah; seolah-olah dia
sahajalah yang mahu melihat bangsa Melayu maju dalam hidup, manakala
nasionalis bahasa tidak ada hasrat ke arah itu. Sampai sekarang
pandangannya itu sentiasa disegarkan dan diberi tempat; sampai sekarang
dia tidak percaya bahawa pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai medium
pengajaran mengakibatkan sekian ramai pelajar tidak mencapai kejayaan
dalam peperiksaan; sampai sekarang dia tidak nampak bahawa berjuta-juta
rakyat akan menjadi mangsa dalam percaturan berat sebelah dan pemikiran
miring sebegitu. Dia cuma nampak kejayaan yang akan dikecapi oleh
segelintir pelajar di kota-kota sebagai gambaran kejayaan seluruh
pelajar di negara ini.
10. Dalam hubungan ini, PENA berpendirian
teguh untuk mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam
mata pelajaran sains dan matematik, malahan PENA mahu supaya pendidikan
di negara ini meneruskan agenda pemartabatan bahasa Melayu.
11. Walaupun memperjuangkan bahasa Melayu dalam pendidikan, PENA tidak
pula menolak kepentingan bahasa Inggeris. Oleh itu, dasar memartabatkan
bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris (MBMMBI) yang dilaksanakan
oleh Kementerian Pendidikan perlu disokong. Namun begitu, kaedah
pengajaran bahasa Inggeris perlu dibaiki bagi mencapai matlamat
pengajaran.
12. Di samping itu, penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi dalam urusan perkhidmatan awam mestilah
dilaksanakan dengan sempurna menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9
Tahun 2011 yang telah ditandatangi oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia, Tan Sri Haji Abu Bakar bin Haji Abdullah pada 28 Oktober
2011. Pekeliling ini sudah memperincikan tatacara penggunaan bahasa
Melayu dalam urusan rasmi kerajaan termasuk dalam surat yang dihantar ke
luar negara berserta terjemahannya. Tetapi dalam audit bahasa yang
dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka masih banyak agensi kerajaan
yang tidak melaksanakan ketetapan itu. Apakah maknanya sebuah peraturan
rasmi jika tidak dilaksanakan dan tidak pula dikuatkuasakan?
13. Di samping agensi penuh kerajaan, syarikat-syarikat yang berkaitan
dengan kerajaan atau GLC (Government Linked Companies) juga terlalu
angkuh dengan legasi keinggerisan sehinggakan bahasa Melayu dipandang
sebagai tidak ada nilainya dalam urusan mereka. Persepsi berdasarkan
pemerhatian serta pengalaman individu dapat mengesahkan dakwaan ini.
Dalam mesyuarat mahupun dalam surat-menyurat bahasa Inggeris menjadi
medium yang wajib, manakala bahasa Melayu terpinggir. Adakah tokoh-tokoh
peneraju itu faham bahawa keistimewaan yang diperoleh mereka untuk
menjadi peneraju syarikat berkenaan ada atas ihsan orang Melayu yang
menjadi pendukung kerajaan? Kedudukan mereka sebagai ketua eksekutif
bukannya suatu hak tetapi suatu keistimewaan. Oleh itu, mereka perlu
sedar bahawa mereka bertanggungjawab memelihara maruah peribumi,
khususnya bahasa Melayu.
14. Pendukung GLC ini juga sewajibnya
membalas balik keistimewaan yang diperoleh dengan menyediakan dana khas
untuk membantu pertumbuhan bahasa, sastera, budaya, dan penerbitan buku
dalam bahasa Melayu. Kerajaan perlu membuat ketetapan dan mengarahkan
semua GLC menyediakan peruntukan khas yang boleh disalurkan kepada
agensi yang berfungsi dalam hal-ehwal kebahasaan, persuratan, dan
penerbitan buku dalam bahasa Melayu.
15. Dalam konteks
penerbitan buku berbahasa Melayu, suatu pelan tindakan yang tetap perlu
dirangka dan dilaksanakan. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan,
para penulis di negara ini sudah menerima manfaat daripada dana kerajaan
bagi penerbitan dan pembelian buku. Selain DBP yang sudah sekian lama
menjalankan fungsinya sebagai badan induk pengembang bahasa, sastera dan
penerbitan, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan ITBM juga telah
mencerahkan sedikit nasib para penulis. PNM dengan dana pembelian
bukunya telah menyokong penerbit dan penulis. Begitu juga ITBM dengan
projek penerbitan yang digerakkan bersama PENA telah turut menyumbangkan
kebahagiaan walaupun kecil, kepada penulis.
16. Namun begitu,
berbeza daripada PNM dan DBP yang menerima peruntukan tahunan daripada
kerajaan, ITBM sebagai GLC tidak memiliki keistimewaan itu. Mujurlah ada
suntikan dana sebanyak RM5 juta daripada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd
Najib; dapatlah mereka menerbitkan buku daripada genre yang tidak
digemari oleh penerbit swasta tetapi penting dalam pertumbuhan sastera
yang bermutu. Tetapi setelah dua tahun berlalu, kita masih
tertanya-tanya, adakah kerajaan akan menyalurkan dana khas itu lagi atau
menyediakan peruntukan tahunan secara tetap kepada ITBM bagi meneruskan
projek tersebut? Di sini kami menyeru kepada kerajaan, khususnya
Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri supaya membantu penulis
melalui kaedah perkongsian pintar antara ITBM dengan PENA ini. Malahan,
tanpa PENA diturutsertakan pun tidak mengapa, asalkan ITBM dengan
kegigihan peneraju utamanya Encik Mohd Khair Ngadiron diberi kesempatan
untuk meneruskan projek penerbitan buku berbahasa Melayu mahupun
terjemahan untuk mengangkat martabat sastera kita.
17. Dalam
beberapa tahun telah kita lihat bukti kesungguhan ITBM menyemarakkan
dunia penerbitan dan penggalakan aktiviti persuratan tanah air. Pihak
yang berwibawa seperti ini perlu dibantu kerana kita yakin mereka akan
melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Hadiin yang dikasihi,
18. Kami berpandangan demikian dengan tulus hati demi kemajuan bangsa
dan negara ini. Kami yakin bahawa kemajuan yang dicapai dalam persuratan
dan bahasa Melayu bukanlah suatu lakaran imej kemegahan bahkan
berfungsi sebagai peneguh dan pelestari kewujudan bangsa peribumi di
tanah air ini.
19. Peminggiran bahasa dan persuratan Melayu di
tanah air ini akan menimbulkan kesan jangka panjang yang menyakitkan
dan membunuh bangsa kita. Kejatuhannya akan memudahkan pihak lain naik
mengambil alih hak dan ketuanan, manakala anak bangsa kita akan
menggelupur mencari udara untuk bernafas sebagaimana dahulu, sebelum
tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia.
20. Setelah
sekian banyak anak peribumi yang mendapat pendidikan dalam bahasa Melayu
memperoleh kedudukan yang tinggi, mempertingkatkan status kehidupan dan
strata sosialnya, tentulah tidak adil untuk mengatakan bahawa bahasa
Melayu menyebabkan kemunduran umat Melayu di negara.
Hadirin yang terhormat
21. Dalam perjuangan menegakkan maruah bangsa melalui bahasa dan
persuratan ini kita perlu bersatu padu, baik sesama persatuan atau
pertubuhan bukan kerajaan yang bergerak secara sukarela mahupun antara
persatuan dengan agensi kerajaan dan GLC yang menjadikan bidang ini
sebagai ranah komoditi mereka. PENA tidak mewakili seluruh badan penulis
di negara ini kerana kedudukannya cuma sebagai entiti kecil sebagaimana
persatuan penulis yang lain, tetapi kelebihannya ialah taraf nasional
yang dimilikinya.
22. Dengan bertaraf nasional PENA sentiasa
dilihat sebagai persatuan yang bertanggungjawab sebagai penyuara
aspirasi bangsa. Oleh itu, PENA perlu sentiasa peka dengan perkembangan
semasa dan bertindak segera apabila timbul isu yang menggugat kedudukan
bahasa dan persuratan, mahupun dunia pendidikan.
23. Sekali
lagi saya tegaskan bahawa dalam soal memperjuangkan maruah bangsa ini
kita perlu bersatu, bukannya mengecam dan membidas rakan-rakan persatuan
yang tidak sealiran cara dan kaedah gerakannya. Perbezaan kaedah
bukanlah masalah yang besar asalkan matlamatnya sama. Dengan mewujudkan
persefahaman dan persahabatan yang erat nescaya suara kita menjadi lebih
digeruni.
Hadirin yang budiman,
24. Dalam kesempatan
ini saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak
yang telah memperjuangkan bahasa dan persuratan Melayu di negara ini.
Sebagai persatuan yang sentiasa mengharapkan sokongan dan bantuan
daripada pihak lain untuk bergerak, PENA dengan rendah hati merakamkan
ucapan terima kasih tidak terhingga kepada DBP yang tidak pernah jemu
membantu PENA apabila kami memohon bantuan, dan tentu sahaja ITBM, rakan
kongsi kami yang sentiasa membawa PENA bersama-sama dalam aktiviti
mereka yang bersifat nasional. Anehnya perkongsian pintar antara PENA
dengan ITBM bersifat berat sebelah, yakni hanya ITBM yang menghulurkan
bantuan sedangkan PENA hanya menumpang nama. Terima kasih kepada media
massa yang bersimpati kepada persuratan seperti media Kumpulan Utusan,
Radio IKIM, Radio dan TV Bernama, ASTRO, dan khususnya akhbar Berita
Harian yang selama ini begitu gigih menyokong dunia persuratan. Kami
dengan ini merakamkan penghargaan yang tertinggi kepada akhbar Berita
harian, khususnya editor ruangan sasteranya yang telah memperlihatkan
kesungguhan luar biasa menghidupkan sastera dan bahasa Melayu.
25. Kami sedar bukan mudah bagi media massa menyediakan ruangan khusus
untuk sastera kerana telah wujud persepsi janggal bahawa sastera tidak
mempunyai khalayak pembaca yang besar. Oleh itu, ruangan yang
mempromosikan sastera tidak dapat disediakan seluas ruangan hiburan,
sukan, fesyen dan lain-lain. Dalam konteks ini, untuk membantu media
massa menyediakan ruangan sastera secara tekal pada setiap hari,
perlulah ada usaha daripada DBP atau syarikat korporat dan GLC untuk
membeli ruangan dalam akhbar bagi penyiaran berita tentang sastera.
Bantuan dan sokongan seperti perlu selagi peneraju media massa tidak
nampak potensi sastera sebagai pembeli khalayak pembaca.
26.
Khusus kepada ahli jawatankuasa PENA, dengan tulus ikhlas saya
mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada mereka yang sentiasa
bersama-sama saya menggerakkan PENA. Tanpa mereka PENA tidak akan hidup
dengan tenaga seorang presiden.
27. Terima kasih juga kepada semua
ahli PENA dan yang bukan ahli sekalipun tetapi sentiasa menyokong setiap
aktiviti PENA. Seperti yangs aya katakan tadi, kita perlu bersatu jika
mahu menghidupkan perjuangan ini.
28. Bagi pihak AJK PENA
2012-2014, saya memohon maaf kepada semua pihak atas kelemahan dan
kesilapan kami semasa menerajui badan penulis yang tua ini. Kami berada
di sini hanya buat sementara waktu, dan apabila ada pihak lain yang mahu
mengambil alih tugas ini kami, atau lebih tepat saya sendiri, akan
berundur dengan rela hati. Sememangnya tidak wajar dan tidak molek bagi
seseorang untuk memegang jawatan terlalu lama kerana semakin lama
memegang jawatan akan semakin banyak kesilapan sendiri tidak disedari
lagi. Semakin lama memegang kuasa seseorang pemimpin mungkin akan
terjebak dalam sindrom ayam jantan yang sifat buruknya dipantunkan
orang:
Sungai kantan bertembok batu,
Tempat orang membuat perahu;
Ayam jantan memang begitu,
Pandai berkokok bertelur tak tahu.
Boleh jadi juga orang seperti itu akan hanya kelihatan hebat tetapi keupayaannya sudah tumpul sebagaimana diibaratkan:
Sungguh kuat terbang tekukur,
Sayup bunyi mendayu-dayu;
Sungguhpun tajam pisau cukur,
Tapi tak boleh memotong kayu.
Tetapi alangkah baiknya jika sumbangan kita benar-benar ikhlas dan
memberikan manfaat kepada masyarakat kerana orang Melayu sedia dengan
pakaian adabnya yang sentiasa mengenang budi:
Kalau ada peria pahit,
Belanga baru jerang udang;
Kalau ada budi baik,
Jadi abu dikenang orang.
Sekian, ampun maaf atas kesilapan dan kelemahan diri saya sepanjang menerajui PENA dan sepanjang ucapan ini.
Wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh.
(Saya telah menghadirkan diri ke Rumah Pena, Kuala Lumpur bagi menyokong idealisma persatuan. Pengalaman dua siang dan sata malam di sana sangat berharga-
Muhd Shatar)