Nostalgia Ahmad Fauzan bin Madrih.
11 Ogos 2005, tarikh terakhir bertemu dengan guru muda ini. Sehingga pada 27 Julai 2012 sebaik selesai membaca surah Yasin di beranda surau (yang tiba-tiba terniat memilih surah Yasin sebagai bacaan menunggu berbuka) saudara Surjana, mengirimkan sms berbunyi: Ahmad Fauzan bin Madrih telah kembali ke rahmatullah. Terlibat dengan kemalangan. 6.18 petang.
Sejuk hati terasa sayu sekali dengan berita kematian arwah kerana saya dengan Ahmad Fauzan antara pelajar yang paling lewat menghabiskan pengajian di UM berbanding rakan-rakan yang lain kemasukan 2000/2001. Pengalaman tahun terakhir cukup sepi dan terasing kerana ketiadaan rakan sekuliah yang lain dan ditengelami dengan ragam junior. Kami ditakdirkan memanjangkan tahun pengajian alasan peribadi masing-masing dan saya banyak fokus kepada dunia penulisan pada masa itu.
Ahmad Fauzan kelihatan begitu cekal untuk lulus dalam subjek terakhir dalam pengajian dan kami sama-sama berkerah tenaga bagi menghadapi madah Usul Fiqh III di bawah pengajaran Dato Paduka Mahmod Zuhdi. Akhirnya pada 11 Ogos 2005 kami berjaya mengambil ijazah di konvokensyen UM. Malam 11 Ogos tersebut saya diminta Ahmad Fauzan menghantar beliau dan ayahnya ke pusat bandar Kuala Lumpur. Saya baru pandai bawa kereta kerana hanya lulus lesen seminggu sebelum ke KL. Sebelum itu saya telah diberi penempatan mengajar di negeri Pulau Pinang.
Bila saya kenangkan arwah dari awal terima berita kematian - baru saya teringat pada malam saya hantar Ahmad Fauzan dan ayahnya ke pusat bandar Kuala Lumpur dengan pantas dia telah menolak stereng kereta saya ke tengah sedikit kerana saya telah termakan jalan ke tepi hampir ke bahu jalan yang dibenting konkrit batu. Maklumlah, saya baru seminggu dapat lesen terus bawa kereta ke tengah kosmopolitan KL.
Kalau tidak, mungkin saya akan dapat pengalaman melanggar bahu jalan sebaik dapat lesen P. Jadi itulah saat terakhir saya bersama arwah Ahmad Fauzan. Sebelum berpisah, ayahnya mengundang saya ke Sabah bila ada kelapangan.
Saya tinggalkan berpuluh kenangan bersama arwah dengan segulung ingatan yang sukar dikumal. Saya tahu orang yang amat berduka dengan kehilangannya iaitu adik perempuannya yang sama-sama belajar di kampus UM. Itulah mungkin kekuatan Ahmad Fauzan semasa menghabiskan subjek yang tertinggal kerana pelajar yang tertinggal akan berhadapan dengan kesukaran menghabiskan subjek akhirnya menyebabkan kegagalan memperolehi ijazah. Saya juga pada masa itu hanya diperkuatkan dengan semangat untuk membela nasib orang tua di kampung serta memikirkan soal bayaran balik PTPTN sekiranya gagal menghabiskan subjek terakhir.
Sekarang 7 tahun hampir berlalu, nostalgia bersama arwah adalah kenangan yang sukar dipadamkan. Ternyata arwah seorang yang menceriakan dan tidak pernah keluar sepatah perkataan yang menyakitkan dari mulutnya. Banyak rakan ditemui tetapi jarang yang memiliki perwatakan disenangi yang dingati. Paling terkilan, saya tidak cuba menghubunginya semasa melawati Sabah beberapa tahun lepas dalam lawatan bersama ahli koperasi sekolah. Semoa Allah memberkati roh arwah dan orang yang baik sepertinya sudah pasti beroleh kemenangan.
Al-fatihah untuk arwah Ahmad Fauzan bin Madrih...
Sahabatmu.
Muhd Shatar
Berita kemalangan arwah Ahmad Fauzan bin Madrih disiarkan dalam akhbar Borneo Post
TUARAN: Seorang guru agama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka di sini terbunuh setelah Proton Myvi yang dipandunya bertembung dengan Toyota Hilux di Kilometer 5.9 Jalan Sulaman, petang kelmarin.
Dikatakan mangsa dikenali sebagai Ahmad Fauzan Madrih, 33, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Menurut saksi kejadian, mangsa dipercayai tersalah masuk ke laluan bertentangan sebelum Toyota Hilux yang dinaiki oleh tiga lelaki tempatan merempuh kenderaan mangsa.