19 January 2011

Sedekah Jariah: Membantu Umat Islam Yang Dilanda Musibah

DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah ada bersabda, bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang salih yang berdoa untuknya.” – (Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad. Mustika Hadis 3:312)

Untuk mendermakan jariah anda boleh masukan wang anda ke akuan Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah (Bank Islam di nombor 02011010080175).



Baca laporan berita ini untuk mendapatkan penjelasan.
ALOR SETAR 18 Jan. - Warga Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah di Jalan Sungai Korok,
Lebuh Raya Sultan Abdul Halim menerima bantuan sebanyak RM10,000 bagi membaik pulih sebahagian bangunannya yang terbakar pada Ahad lalu.

Bantuan segera itu disumbangkan oleh Badan Perhubungan UMNO Kedah melalui Pengerusinya, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah yang disampaikan kepada Mudir maahad itu, Syeikh Mohamad Rodi Abdul Rahman Al-Hafiz, di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, sumbangan awal itu bagi meringankan beban pihak terbabit membaiki kelas dan membeli peralatan untuk membolehkan 65 pelajarnya mengikuti pengajian seperti biasa.

"Kita akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membantu maahad ini selain bantuan daripada Jabatan Agama Islam negeri," katanya selepas melawat maahad tersebut di sini, hari ini.
Dalam kejadian kebakaran kira-kira pukul 10.45 pagi Ahad lalu, tiga buah kelas di tingkat atas bangunan maahad itu musnah dijilat api dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Ahmad Bashah berkata, pihaknya akan mengatur lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ke maahad tersebut untuk melihat sendiri keadaannya.

Menurutnya, maahad yang beroperasi sejak 1998 itu mempunyai rekod pencapaian cemerlang apabila sebanyak 50 lepasan pusat itu telah berjaya melanjutkan pengajian ke universiti di Timur Tengah termasuk Universiti Al-Azhar di Mesir dalam jurusan Al-Quran Wal Qiraat.

Sementara itu, Mohamad Rodi berkata, sumbangan segera tersebut akan digunakan untuk membaiki kelas dan bangunan yang terbakar bagi memastikan pembelajaran pelajar-pelajarnya berjalan seperti sedia kala.

"Buat masa ini, pelajar sijil tahfiz sebanyak 33 orang terpaksa belajar sementara waktu menumpang di surau berdekatan manakala 32 pelajar diploma tahfiz mengikuti pelajaran di kelas biasa," katanya.

Beliau berkata, nilai kerugian akibat kerosakan bangunan dan kelas dianggarkan sebanyak RM150,000 manakala kerugian kemusnahan buku, meja, bangku dan peralatan kelas dianggarkan bernilai RM20,000.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada UMNO Kedah dan pihak lain serta pelbagai individu yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban membaik pulih bangunan tahfiz tersebut yang mempunyai tujuh orang tenaga pengajar tetap dan empat orang ustaz sambilan.
"Bebanan dan tanggungjawab kami rasa terubat dengan adanya bantuan ini yang memberi semangat kepada kami atas sokongan daripada pelbagai pihak," katanya.
Mohamad Rodi berkata, maahad tersebut mempunyai pelajar dari seluruh negara dan beberapa negara Asia Tenggara berusia antara 13 hingga 19 tahun dengan 11 orang daripadanya pelajar perempuan.
Mengenai pencapaian maahad itu, menurutnya, 30 bekas pelajarnya kini melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dalam jurusan Al-Quran Wal Qiraat dengan seorang daripadanya pernah diberi penghormatan menjadi imam hafiz 30 juzuk sepanjang Ramadan lalu di sebuah masjid di Mesir.
Beliau berkata, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada mahaad itu boleh menderma melalui akaun Bank Islam di nombor 02011010080175.

Sumber Utusan Malaysia
19.01.2011