06 July 2014

Remaja Palestin Dibakar Hidup-Hidup Kita Umat Islam Ditenggelami Sorakan Di Brazil

Salam Ahad,

Menyaksikan bola sepak tiada siapa yang boleh menahan getarnya, debarnya atau kehangatannya. Semua golongan berhak menonton selagi ada batas-batas yang dijagai. Apatah berlaku di bulan ramadan yang mulia ini...
Kisah malang buat Neymar yang huha-huha dibualkan di serata tempat, pejabat, ruang legar atau kedai mamak. Biarkan Nyemar dalam sedikit kesakitan yang akan sembuh tidak lama lagi.

Di tengah keralitan mata-mata dunia fokus kepada pasukan pilihan masing-masing bagaimana pula dengan kisah tragis yang menimpa 3 remaja Palestin yang dikatakan sedang dibakar hidup-hidup oleh pelampau Yahudi.
Inilah saat ditunggu kaum Yahudi untuk terus melakukan kezaliman ke atas umat islam dan umat manusia lain yang sedang dialpakan dengan sebutir bola.

Inilah Muhammad Husain Abu Khidir yang dipercayai diseksa sebelum dibakar hidup-hidup oleh pelampau Yahudi...

Mohon kita turut mengambil tahu akan hal ini biarpun dengan doa kita alunkan kepada syahid ini..


Coretan luka; Muhd Shatar

14 June 2014

Bagaimana Kanak-Kanak Memilih Makanan Kerana Inginkan Alat Permainan?

Salam kelapangan...

Kisah pengeluar bihun Cap Masjid belum reda. Penggunaan logo masjid (tempat ibadat orang Islam) pasti menarik perhatian pelanggan menginginkan produk halal yang terbaik. 
Mengapa pengeluar bukan beragama Islam cukup berminat dengan logo masjid. Tentunya mudah dipasarkan dan beroleh keuntungan.
Sudah lama dan banyak pemilik kilang-kilang kecil menggunakan teknik ini. Dulu pernah gempar mee sanggul keluaran sebuah kilang juga menggunakan lambang masjid. Halalnya cuma dicap dengan tulisan jawi. Bukan logo halal Jakim yang kita dikenali.
Maka kita yakin  kuasa membeli masih menjadi milik orang Islam (kaum melayu) di negara ini. Kuasa membeli mampu memufliskan mana-mana pengeluar makanan yang ingkar dengan peraturan penyediaan makanan untuk orang Islam.

Cukupkan di plastik pembalut dilekatkan logo halal sebegini oleh pengeluar, pembuat, dan mana-mana perusahaan milik orang bukan Islam. Tedapat banyak makanan yang diplastikan sama ada roti, kek, maruku, kacang dan lain-lain lagi berselerekan di mana-mana premis kedai.
Bolehkan kita yakin dengan halal yang dipamirkan untuk mengambil langkah membelinya untuk disuapkan kepada anak-anak?
Tentu tidak bagi orang yang benar-benar beriman.

Mesin-mesin yang tersedia di depan kedai runcit sering kali memerangkap kanak-kanak sekolah rendah dan yang masih keliru dengan istilah halal atau tidak. Kanak-kanak akan sanggup memasukkan dua keping syiling 50 sen bagi mendapat alat permainan yang terbungkus dalam bola plastik. Ini mungkin tidak memberikan kesan besar kerana hanya melibatkan alat permainan sahaja. Bagaimana pula jika disertakan dengan gula-gula, coklat ataupun bahan makanan.
Gambar ini sebagai contoh dan hiasan sahaja.
Banyak produk alat permainan yang dibalut dengan kotak yang cantik akan disertakan dengan bahan makanan. Banyak syarikat yang diyakini halal kerana tertera logo JAKIM. Tetapi banyak jga produk sebegini yang tiada langsung tanda halal tetapi menjadi perhatian dan tarikan kanak-kanak di sekolah. Ibu bapa wajar menanamkan keutamaan melihat label halal dalam diri anak-anak yang dihantar ke sekolah agar mereka mampu memilih yang halal sebagai bahan untuk disuapkan ke mulut.


Coretan Muhd Shatar 

07 June 2014

Ekspedisi Menawan Gunung Ledang: Misi Yang Dibantu Pertolongan Allah SWT

Salam

Perkongsian 1

Pagi 31 Mei 2014 menjadi tarikh kenangan bernilai buat kami yang akan menawan Gunung Ledang sebagai mana yang telah dirancangkan berbulan-bulan.

Jam 8.00 pagi kami bergambar di hadapan pejabat pengurusan Taman Negara Gunung Ledang.

Semuanya teruja dan bersemangat untuk memulakan pendakian...




Terlebih dahulu - senaman ringkas yang penting untuk memanaskan anggota badan. Khabarnya tempoh pendakian akan memakan masa selama 5 jam untuk sampai ke puncak...









Secara keseluruhan para pendaki akan menghadapi 8 chek point (CP). Kami sudah berada di CP 6 di Gua Kambing. Khabarnya kami akan berdepan dengan cabaran paling getir di CP 7 iaitu Batu Hampar. Hampir 6 CP kami redah dengan pelbagai cara.







Antara cara pendakian dengan menggunakan tangga yang disediakan... Cara ini tidaklah begitu mencabar..











Ini boleh dikatakan sedikit mencabar... Kami banyak bergantung kepada tali yang disediakan sepanjang laluan...









Berehat seketika untuk mencari tenaga baru. Para pelajar lebih mendahului...










Sebaik hampir melepasi CP 6... kami semakin dengan dengan CP7. Berehat seketika di Taman Bongsai setelah benar-benar teruja dengan pendakian 90 darjah untuk sampai ke sini.










Inilah yang dikatakan paling sukar untuk sampai ke CP7. Batu Hampar ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental bagi melepasi pendakian dalam kedudukan 90 darjah sejauh lebih kurang 20-30 meter hanya menggunakan tali...












Kami benar-benar teruja yang terpaksa dihadapi dengan bertawakal kepada Allah SWT.

















Akhirnya kami sampai ke kemuncaknya. Dikaburi kabus sejuk dingin menyebabkan kami gagal menikmati pemandangan sekitar Selat Melaka dan Tangkak...








Kami berada di CP 8... Puncak Mahligai pada ketinggian 1268 meter....





















17 May 2014

Salam Sabtu: Peranan Media Memartabatkan Kemuliaan Guru

Salam muhibah,

Sudah lama tidak meluangkan masa mencoret sesuatu di blog ini. Semalam hari guru. Semoga kemuliaan guru terus dijaga dan dijadikan perkara utama dalam minda seorang pendidik, pelajar, masyarakat dan khususnya media. 
Banyak pendedahan dibuat oleh media berkaitan salah laku guru yang akhirnya sedikit sebanyak mengurungkan kemuliaan guru sebagai sebuah institusi penting kepada masyarakat. Tidak dinafikan ada segelintir permasalahan guru kepada ketidakakuran pekeliling kerajaan dan kanun undang-undang. Ya, guru manusia biasa dan tidak dapat lari dari mendedahkan diri kepada kesalahan.
             
Kedudukan guru dalam masyarakat sangat teruja. Mengambil kira apa yang berlaku kepada guru hari ini yang kebanyakan aktif dalam soal persekitaran kehidupan. Di taman perumahan ada guru yang memainkan peranan membimbing masyarakat dengan mengetuai, atau menggerakkan aktiviti pengimarahan kejiranan, keagamaan dan kebudayaan. Guru diketahui individu yang terlatih bercakap di khalayak mungkin membantu dalam memberikan idea, bertindak sebagai jurucakap atau salah seorang pembina kesatuan antara ahli komuniti.
Memetik sebaris sajak Usman Awang bertajuk Guru Oh! Guru;
semakin jauh guru di pendalaman semakin bererti kepada masyarakat. 
Penelaaah Usman Awang terhadap martabat guru sangat tinggi kerana keberadaan guru di kawasan kampung sudah pasti mampu menjana pemikiran, perkembangan dan keharmonian dengan ilmu, tenaga dan kemahiran yang ada pada pendidik.
               Semalam 16 mei, hari dikhaskan kepada semua guru. Cukup besar penghargaan ini daripada pihak pemerintah.  Jiwa pendidik adalah antara cabaran utama kepada semua guru hari ini. Semua orang ingin jadi guru. Ditambah pula, pada masa ini gajinya agak berpatutan, atau berlebihan dan mungkin tidak mencukupi bagi pandangan seseorang guru. Pedulikan soal gaji. Apa sahaja kerja kalau dilakukan dengan penuh ikhlas akan mendapat keberkatan Allah.
              Guru pada hari menghadapi segala kerumitan dalam berhadapan dengan telatah pelajar yang makin berbeza pada waktu dahulu. Sejauh mana penghormatan pelajar kepada guru hari ini boleh dilihat dengan kes-kes yang ditimbulkan di media  cetak. Pelajar tendang guru, maki, mengumpat, memperlekehkan dan memandang rendah adalah antara cabaran utama. Saya pasti jika ada sedikit kebolehan guru menangani soal dengan berhikmah akan terbit hasilnya. Soalnya sejauh mana kesabaran guru terjawab.
              Imej guru pada hari ini makin terhakis akibat media masa dengan sewenangnya menjadikan guru sebagai tajuk utama untuk melariskan jualan akhbar. Guru ada takrifnya. Bukan semuanya boleh dikaitkan dengan guru. Mensensasikan nama guru dengan kes salah laku secara terbuka tanpa ada batasan dan keinginan media menjadikan sebagai tajuk utama dengan jelas meruntuhkan martabat dan imej pendidik. Biarpun guru di sekolah swasta/tadika/pusat tuisyen dan sebagainya yang membuka peluang kepada sesiapa sahaja dengan tiba-tiba bergelar guru tetap akan diketengahkan oleh media dengan tajuk guru begitu atau begini. Tanyalah akhbar Metro yang menggungguli kerja-kerja cepat dan segera dalam meruntuhkan nama baik guru biarpun belum terbukti bersalah.
                Pernah saya alami dalam tahun-tahun berkhidmat, kes kecuaian guru begitu cepat diketengahkan dalam akhbar sedangkan bila disiasat semuanya tidak berasas dan hanyalah tuduhan melulu. Ada baiknya orang media lebih berhati-hati dan mendengar kedua belah pihak sebelum ghairah menjadikan salah satu tajuk akhbar yang sensasi.

Salam perkongsian; Muhd Shatar


22 April 2014

Dari Kuala Lumpur ke Ipoh: Di Gopeng, Permukaan Malam Agak Kabur

Salam,

Dalam sebulan dua ini, banyak tragedi kedengaran. Tragedi pesawat MH370 belum terungkai, kemalangan bas sana sini, dan kapal tenggelam di Korea. Semua berakhir dengan kematian secara pukal.
Terbaru dan masih belum agak lewat untuk diperkatakan tentang kemalangan tokoh peguam,
Karpal Singh di lebuh raya PLUS Utara ke Selatan (di KM305). Aku masih terngiang-ngiang apabila kemalangan berlaku sejurus selepas aku baharu sahaja melalui laluan tersebut pada waktu malam sebaik tamat menjalani kursus Penataran Modul Akademik KVSK bagi Kolej Vokasional di Melaka.
Pada sebelah malam 10 hb April (malam jumaat) aku bersama seorang guru bertolak dari Pantai Dalam, KL sebaik maghrib. Lebih kurang pukul 10.30 malam aku menghampiri Gopeng, suasana agak gelap kerana tiada lampu di tepi jalan yang dipasang. Banyak percakapan kami berdua di atas kereta berkisar tentang kemalangan dan AES di km 336. Paling menakutkan kami ialah apabila di hadapan terdapat lori yang sukar dilihat.
Kebanyakan belakang lori hanya ada dua lampu merah yang agak rendah dan kurang menyinar. Aku hampir juga terpaksa menekan brek secara tiba-tiba dek kewujudan lori yang sukar dikesan mataku.
Pengalaman memandu kereta di waktu malam di atas lebuh raya sangat menakutkan. Acap kali kelihatan kebanyakan lori hanya dipasang lampu merah agak kecil dan terhad cahayanya. Paling berbahaya apabila lori menukar lorong kanan secara tiba-tiba menyebabkan kenderaan di belakang yang sedang memecut akan hilang kawalan. Kiri dan kanan ada kenderaan maka, wujudlah kemalangan...
Saya merasakan perlu ada satu kajian mendalam berkaitan lori yang menggunakan lebuh raya pada waktu malam. Belakang lori perlu ada lampu merah yang lengkap di bawah dan di atas agar senang dicamkan oleh pemandu di belakang. Saya percaya sesiapa yang sering memandu di lebuh raya samada PLUS atau yang lain keupayaan mengecam lori di hadapan adalah pengalaman benar-benar menakutkan. 

Coretan pendapat;
Muhd Shatar





17 April 2014

Sesuatu Yang Sukar Untuk Dilihat: Di Laluan Kota Melaka

Malam merayap dengan pantas ke dalam minda...













Di sini ada kubur-kubur tidak kesunyian dengan kenderaan...













Hanya tinggal berapa kaki persegi dengan bibir jalan...













Diharapkan pihak berkuasa dapat menyelamatkan tapak perkuburan ini dengan adanya tembok yang sesuai serta dilihat Tanah Perkuburan Islam terjaga dan dimuliakan...

Coretan jalan-jalan ke Melaka,
Muhd Shatar

12 April 2014

PERJALANAN KURSUS PENATARAN KSKV MODUL AKADEMIK BAGI KOLEJ VOKASIONAL

Salam Sabtu

LAPORAN MESYUARAT PENATARAN KSKV MODUL AKADEMIK BAGI KOLEJ VOKASIONAL DAN ILP KOHORT 2014

7-10 April 2014
Mahkota Hotel Melaka, Kota Melaka.

MAKLUMAT UMUM

1.     Kursus Pendidikan Islam hanya berjalan dari Semester 1 hingga 4 sahaja. (dikendalikan pensyarah Pendidikan Islam)
2.     Semester 5 untuk Kursus Pendidikan Islam dikhususkan untuk modul Insaniah. (dikendalikan pensyarah Pendidikan Islam)
3.     Semester 6 untuk Kursus Pendidikan Islam dikhususkan untuk modul Bahasa Arab (*Tenaga pengajar akan dihantar pihak BBTV atau calon tenaga pengajar yang berkebolehan ada di kolej).
4.     Semester 7 untuk Kursus Pendidikan Islam dikhususkan untuk Tamadun Islam (*dikendalikan pensyarah yang dipilih dari bidang Sejarah).

PANITIA PENDIDIKAN ISLAM

-         Penerangan JU (Syed Syarim bin Shayid dari KV Seri Manjong, Perak)
-         Perbincangan DSKV P.I terkini
-         Cara pengisian markah Pentaksiran Berterusan (PB)
-         Cara pelaksanaan Ujian Lisan Hafazan/Tilawah/Amali Solat
-         Merangka soalan untuk setiap topik Modul Pendidikan Islam bagi Semester 1
-         Perbezaan Face To Face dengan Non Face To Face sebagai perkiraan jam kredit.
-          Pensyarah ada keperluan dan boleh mengadakan kem/lawatan/program luar/kegiatan/kajian/kursus/ekplorasi/ekspedisi yang digabungjalin dengan bab dalam modul Pendidikan Islam sebagai satu Non Face To Face. Contoh Ekspedisi Menawan Gunung Ledang & Terapi Solat, Ekplorasi Meredah Gua Tempurung & Aplikasi Solat Musafir.

JADUAL DAN TARIKH PENTING PENTAKSIRAN
Pentaksiran Berterusan (PBS)
Pentaksiran Berpusat
Latihan/Kuiz ( Minggu 1 – 14) (100%)
Ujian 1 (Bertulis) Minggu 15 (60%)
Ujian Tilawah/Hafazan/Amali Solat/Sahsiah/Kehadiran/Penglibatan (100%)
(Tarikh Siap - Minggu 14)
Ujian 2 (Lisan)     Minggu 15  (20%)
Folio (100%)
(Tarikh Siap – Minggu 14)

Jumlah Markah 300%
Jumlah Markah                    (80%)
Dikecilkan menjadi (30%)
Diserahkan kepada SU peperiksaan pada Minggu 15.
Diserahkan kepada SU peperiksaan dalam markah asal pada Minggu 16.

Disediakan oleh:

MUHAMMAD BIN ABDULLAH @ AB SHATAR
Wakil Pendidikan Islam
KV Seberang Perai Pulau Pinang


02 April 2014

27 March 2014

Laporan Mesyuarat Ketua Warden: Hotel Katerina Batu Pahat, Johor (25-27 Mac 2014)

Salam perkongsian maklumat,

Menghadiri mesyuarat ketika dalam waktu cuti persekolahan antara perkara yang tidak ingin berlaku. Pun begitu jika telah diarahkan maka tanggungjawab wajb dilaksanakan. Yang Menurut Perintah adalah prinsip asas penjawat awam.
Hasil dari mesyuarat yang dihadiri, saya telah perkemaskan untuk bacaan para warden lain.
Menjadi warden sangat perlu mengutamakan SOP kerana zaman ini 
saman dari waris sangat ketara. Sedikit kecuaian/ketidakakuran pihak sekolah maka akan ada dorongan dari para peguam yang sangat melihat peluang mengambil keuntungan hasil kesilapan penjawat awam. Maka berwaspada dengan ancaman ini.


MAKLUMAT PENTING ISU/MESEJ/SARANAN/INTIPATI UTAMA SEPANJANG
MESYUARAT KETUA-KETUA WARDEN
25-27MAC 2014

Hotel Katerina Batu Pahat, Johor


1.       Buku Laporan Harian Warden
- Wajib diisi oleh warden bertugas mengikut hari (Kewajipan seperti mengisi buku RP)
- Disahkan Ketua Warden  (Ketua Unit Pengurusan Asrama) setiap hari
- Disahkan TPSA KV seminggu sekali
- Disahkan Pengarah KV sebulan sekali

2.  Surat Kebenaran Waris
- Hanya layak ditandatangani oleh warden jika melibatkan aktiviti dalam sekolah sahaja.
- Ibu bapa/waris yang berhak menandatangani Surat Kebenaran Waris bagi setiap aktiviti yang akan disertai pelajar.
- Guru yang ingin membawa pelajar mengikuti setiap aktiviti dijalankan di luar sekolah perlu menyerahkan Surat Kebenaran Waris kepada pelajar 2 minggu lebih awal dari tarikh yang ingin dijalankan.
- Warden boleh menolak untuk menandatangani Surat Kebenaran Waris jika diminta berbuat demikian disebabkan faktor beban tanggungjawab jika berlaku sebarang perkata tidak diingini.

3. Surat Kebenaran Pengarah KV untuk Warden Menggunakan Kenderaan Sendiri Bagi Tujuan Menghantar Pelajar Dalam Kes Kecemasan/Disiplin/Salahlaku   
- Warden tidak boleh membawa pelajar dengan kenderaan sendiri tanpa Surat Kebenaran Pengarah KV
-          Pengarah KV boleh keluarkan Surat Kebenaran kepada Warden untuk membawa pelajar dengan kenderaan sendiri.
4. Jadual Bertugas Warden
-  Warden wajib berada di kawasan sekolah mengikut waktu yang dijadualkan. Kesalahan sangat besar jika warden bertugas tiada di asrama sewaktu pelajar ada di asrama walaupun melibatkan hari cuti persekolahan. Kewajipan ini akan terhapus sebaik semua pelajar meninggalkan asrama.
- Warden perlu memaklumkan kepada Ketua Warden jika ada hal yang menyebabkan ketidakbolehadaan di asrama bagi membolehkan pengantian warden lain bertugas.

5. Buku Undang-Undang Peraturan Asrama
- Wajib diedarkan kepada semua pelajar di asrama.
- Warden perlu perhalusi isi kandungannya agar tidak melakukan ketidakakuran.

6. Prosedur Kes Salahlaku/Disiplin Pelajar
- Warden/Ketua Warden perlu siasat kes dengan teliti mengikut SOP
- Serah hasil siasatan kepada Lembaga Disiplin
- Ketua Warden hanya berhak menyuarakan bentuk hukuman tetapi yang memutuskannya ialah Lembaga Disiplin.

7. Warden Wajib Melaksanakan Tugas  Ikut SOP/Rutin Harian
- Zaman waris/ibu bapa menyaman penjawat awam yang tidak ikut prosedur dalam menjalankan tugas
- Perihatin dengan makanan pelajar di Dewan Makan. Periksa dewan makan dan berhak merasai makanan yang disediakan oleh pihak Dewan Makan.
- Warden berperananan menganjurkan aktiviti mengikut biro masing-masing kerana itu adalah sebahagian hak pelajar seperti sukan, riadah, lawatan, rekreasi, kesenian, kerohanian dan lain-lain lagi.
-  Menghidupkan aktiviti kerohanian seperti solat berjemaah di surau. (Pesan En. Abdul Rahman Makbul; kemenjadian pelajar bermula di surau). Semua warden berkewajipan menjaga solat berjemaah/sahsiah pelajar tanpa mengira bidang tugas di sekolah. Bukan warden dari guru agama sahaja.
- Wajib berada di asrama pada setiap hari ahad sebelum jam 6.00 petang dan berada di asrama setelah kesemua pelajar pulang ke kampung.
- Merancang usaha ke arah mengawal masalah disiplin pelajar seperti gejala menghisap rokok, buli, curi, ugut, kongsi gelap dan lain-lain lagi.

8. Segala Aktiviti Pelajar Yang Dijalankan Tidak Boleh Melebihi Jam 10.00 Malam
- Sebarang aktiviti pelajar dihadkan sehingga jam 10.00 malam, kesalahan besar jika apa-apa perkara tidak diingini sebaik selepas jam 10.00 malam terhadap pelajar.

9.  Warden/Guru Tidak boleh Merotan Tanpa Surat Kebenaran Merotan Dari Pengarah KV
- Hanya warden yang diberi surat kebenaran dari Pengarah KV sahaja boleh merotan.
- Hak merotan masih terikat dengan syarat-syarat. (Rujuk Unit Disiplin Sekolah)

10. Ketua Unit Pengurusan Asrama adalah merangkumi tugas Ketua Warden Asrama
 - (Diperjelaskan oleh En. Abdul Rahman Makbul kerana banyak KV masih wujud dua jawatan berbeza antara Ketua Warden dan Ketua Unit Pengurusan Asrama)
- Jawatan Ketua Warden untuk KV dibubarkan dan hanya digunapakai di Sekolah Asrama bukan KV.

11. Ucapan tahniah dan terima kasih dari semua BBTV atas kesudian para guru memegang jawatan Warden yang tidak digemari guru lain dan sangat berisiko pada zaman ibu bapa mencari  kecuaian kita para para warden.

Disediakan oleh:

Wakil KV SEBERANG PERAI: En Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

17 March 2014

Ahad Cuti: Ziarahi Pekan Buku Parit Buntar

Salam 

Kelmarin, pagi ahad menjadi lebih bermakna. Acara Pekan Buku di Parit Buntar tersedia aktiviti hujung  minggu yang dinanti-nanti. 

Kelapangan menjadikan manusia tercari-cari apa yang perlu dihabiskan untuk bersama keluarga.

Baca buku satu pelayaran yang lebih jauh dari percutian biasa.


Kelmarin, di sekitar pingiran Sungai Kerian berlangsung Pekan Buku anjuran BANTU sebuah NGO yang mengumpulkan para pembaca buku, aktiviti keilmuan dan terselit acara kanak-kanak mewarna. Pastinya ibu bapa lebih berminat memerhatikan anak-anak melukis dengan sebuah harapan

Tiada saat lebih membahagiakan dengan meluangkan masa dengan anak yang dikasihi setelah lima hari sibuk dengan urusan kerja...


Kelmarin,

Buku-buku disusun untuk dibaca oleh semua pengunjung yang datang. Acara ini terbuka untuk semua tanpa bayaran. Bahkan ada jamuan disediakan oleh beberapa pihak yang mengambil bahagian.





Kelmarin, di pinggiran Sungai Kerian ada acara baca puisi. Meskipun tidak ramai pembaca sajak, cukuplah berkumandang suara nyaring memecahkan sunyi pekan Parit Buntar.

Kelihatan seorang guru sedang mendeklamasikan sajak...





Kelmarin, di sana para penduduk di sekitar Parit Buntar, Nibong Tebal dan yang berminat dapatlah menikmati satu acara yang bagus jika dibandingkan dengan pesta hiburan lain...

Sebuah pekan akan terasa maknanya jika acara sebegini wujud di tengahnya. Kelihatan presiden kepada bandan NGO BANTU memberikan ucapan.




Kelmarin, bahan bacaan yang tersedia percuma - membantu menggalakan minat membaca kepada semua golongan...









Coretan: Muhd Shatar

10 March 2014

Gundah Bulan Terselam Cinta Kepada Khaliq

Bulan Terasa Gundah Di Atas Kepala

Malam ini aku biarkan minda berkeliaran. Gundah apakah yang memburu jiwaku. Aku menyusun helaian lama kenangan satu persatu kerana setiap manusia akan mahu memilih suatu masa merenung sejarah dirinya.
Sejenak aku terbayang kehidupan kecil di kampung tercinta. Di sebuah rumah papan pasti jendela terkuak pada waktu malam. Kerana kipas masih belum ada, kalau ada di kedai sekalipun mana mungkin boleh jadi milik keluarga kami yang amat sederhana.
Ruang malam hanya berlegar di rumah hingga mata sukar terlelap. Aku belajar menjadi manusia berfikir dalam sunyi berlebihan.

Bagaimana hendak kembali menikmati kehidupan kampung kerana kini kebanyakan kampung sudah dipengaruhi cara hidup orang kota. Pun begitu, masih ada suasana seperti terakam dalam gambar. Saudara-saudaraku di pendalaman seperti Dabong, Manek Urai, Mengkebang, Laloh, Batu Melintang dan banyak lagi di sebelah Kelantan mungkin menikmati suasana malam indah begini.
Sunyi berlebihan membuatkan anak gadis teringin mencuba kehidupan kota. Tanpa bekalan ilmu dan sedikitnya kebolehan menguruskan ketahanan diri - maka meningkatlah gejala kurang sihat. Anak kampung yang baik pekerti sampai ke bandar seperti wajah lain menerpa; terpinga-pinga dalam kecantikan neon.
Sunyi berlebihan, aku teringat diriku di ibu kota sekitar tahun 2000. Dari situlah aku mula mengenal sunyi. Menikmati sunyi di tengah bingit kota. Mencari sunyi hingga lahir kalimah puisi.

Coretan: Muhd Shatar

09 March 2014

Jangan Mengharap Jawatan: Antara Amanah dan Cabaran Kerjaya



Salam Ahad, 
Pagi yang kehausan embun, kakiku melangkah melepasi fajar subuh di permukaan padang. Di sini permukimanku sejak 8 tahun. Ya, sudah lebih 8 tahun aku bertugas di sini. 8 tahun juga aku bergelar warden. Alhamdulillah, pahit maung telah kutelan dalam menguruskan para pelajar dalam usia belasan tahun dengan pelbagai ragam dan gelagat. Banyak pengalaman yang kupelajari dari warden lain. Kes disiplin pelajar umapama rutin harian yang tidak perlu dibincangkan. Mungkin suatu hari akan kubukukan kes-kes disiplin yang pernah kutangani bersama para warden lain. Selama 8 tahun banyak aku belajar dari warden berpengalaman seperti Cikgu Rahman, Cikgu Rohaizat, Cikgu Azhar (sejak 2008 berpindah ke tempat lain), Cikgu Ahmad Zoon (sudah meninggal), dan warden lain yang agak sebaya. 

Bercakap tentang jawatan warden yang tugasnya jarang diingini para guru lain dan isu melibatkan warden agak sensasi diutarakan di kolum surat pembaca media cetak. Beban tugasnya lebih berat dari guru. Ya, apabila memohon jawatan dari kerajaan dan layak memperolehinya - inilah yang disedari, kita yang meminta dan ramai di luar sana mengimpikan jawatan dalam kerajaan. 
 
“Janganlah kamu meminta jawatan kepimpinan (dalam politik). Apabila jawatan tersebut diberikan kepada kamu disebabkan kamu memintanya, maka jawatan tersebut akan menjadi bebanan bagi kamu. Tetapi sekiranya jawatan tersebut diberikan bukan kerana permintaan kamu, maka kamu akan dibantu dalam menguruskannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 20/302, no. 6132)

Semoga taufik dan hidayah Allah Taala akan sentiasa menerangi tindakan dan keputusan yang dibuat. Kerja sebagai warden asrama, kita perlu bergerak secara berkumpulan. Sebarang keputusan dan tindakan akan lahir menghikmahkan natijah yang berkesan kepada pelajar. Kekuatan akan menjelma jika para warden bersatu hati, bergerak dengan kata sepakat dan seiring semangat dalam membasmi tiap-tiap racun yang merosakkan minda dan sahsiah pelajar. Benar kata pepatah melayu yang mengumpamakan sebatang lidi mudah dipatahkan jika dibandingkan dengan seikat lidi. Kita perlu bergerak bersama... Insak Allah tercapai hasrat Asrama Terbaik Yang Dirahmati Allah. 

Coretan: Muhd Shatar 

08 March 2014

Hari Ini Beijing Menangis: Kita Memohon Agar Terselamat

Salam Sabtu yang sangat mengharukan,

Tiba masa nahas tetap berlaku, sesiapa pun tak terduga tarikhnya. 
Pihak MAS mengesahkan penumpang pesawat tersebut terdiri daripada warganegara China 152 orang termasuk seorang bayi, Malaysia 38 orang, Indonesia 12 orang, Australia 7 orang, Perancis 3 orang, Amerika Syarikat 3 orang termasuk seorang bayi, New Zealand 2 orang, Ukraine 2 orang, CKanada 2 orang, Russia 1 orang, Itali 1 orang, Taiwan 1 orang, Belanda 1 orang dan Austria 1 orang. Memetik dari sumber (http://www.themalaysianinsider.com).

Orang yang menanti tetap mengharapkan batang tubuh yang disayangi kekal tiba. Takdir selalu memisahkan antara realiti dan sempadan ketentuan sebenar. Perkara yang paling tidak disukai manusia adalah perpisahan. Kini ia sedang terjadi... Mohon keajaiban menentukan ada takdir yang diingini. Kini Beijing menangis dan kita tetap mengharapkan ada jawapan yang positif untuk pesawat MH370.

Coretan: Muhd Shatar



27 February 2014

Di Hadapan Jalan Stulang Laut, Pulau Kita

Petikan sebuah sajak bertajuk Di hadapan Jalan Stulang Laut Pulau Kita di ruangan akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 24.11.2013.
Kembara di negeri Johor tidak sampai ke kemuncak kalau tidak sampai di persiaran yang terletak berhampiran Jalan Stulang Laut bagi menyaksikan Pulau Singapura yang tidak jauh kelihatan.  Aku menghabiskan beberapa waktu untuk merenung Temasik yang merupakan sebahagian besar dari naungan Kerajaan Johor. Dari jalan Stulang Laut kelihatan mercu bangunan di Singapura terpacak agam.

Coretan: Muhd Shatar

04 February 2014

Febuari Dingin - Angin Sejuk Sekali

Salam selasa,

Memasuki febuari ini aku menyaksikan darjah kesejukan cukup berbeza. Ada nikmat ketika ditampar angin yang menjamah sum-sum tulang ketika menaiki motor di awal pagi. Tiada apa-apa yang dapat kukatakan waktu ini. Agaknya masih tidak terlambat untuk mengulas isu seorang guru di SKC Khai Meng, Sungkai, Perak yang
telah mengarahkan pelajar yang gagal menyiapkan kerja rumah bulan lalu agar menjadi seperti lembu. Bertindak mendenda pelajar agar melakonkan seperti lembu adalah satu pilihan tindakan yang agak bukan biasa maksudnya. Apa maksudnya - hanyalah guru tersebut mengetahui niatnya. Kita mentafsir dengan pelbagai andaian. Betul atau tidak, setiap manusia berbeza tafsiran. Guru berhak mendenda pelajar - tetapi masih ada cara lain yang wajar. Aku teringat kes pengetua mengarahkan beberapa pelajar agar makan di bilik persalinan.
Bukan tandas ya! Tindakan pengetua ini telah membangkitkan sejumlah demostrasi di luar pagar sekolah. Bangsaku sememangnya bertolak ansur. Meskipun 2 pelajar ini diarahkan menjadi lembu tetap dapat diterima secara hati terbuka. Tiada demostrasi di hadapan sekolah. Ini hakikat kemelayuan yang menjadi separuh budi budiman kita. Kita banyak berbicara di atas rasa kemanusian biarpun tindakan biadap datangnya secara dirancang oleh pihak tertentu.
Bayangkan kalaulah guru melayu bertindak demikian terhadap dua pelajar berbangsa cina. Barangkali seluruh persatuan cina bangkit mempersoalkan dengan segenap pertanyaan. Tunggu dan lihat isu yang akan timbul - dan lihatlah keegoannya...

Coretan: Muhd Shatar

26 January 2014

Bulan Putih, Cahaya Sangat Dingin Paginya

Salam malam Isnin,

Di negeri permukimanku, hujan agak lama tidak turun. Rumput di padang letaknya di hadapan kediamanku seakan kering, tandus kehausan air. Cuaca sememangnya berbeza. Esok pagi - sejuk menyusuk tulang, biarpun bukan kerana hujan. Negeriku ini tanah rantauan tempat mencari rezeki. Syukur tidak terhingga kepada Tuhan. Berbekalkan gaji seorang penjawat awam pada masa ini sudah lebih dari mencukupi jika dibandingkan dengan saudara-saudaraku yang berkerja di KFC, Mc Donalds, Tesco sebagai pembantu mahupun ada yang berkerja di kedai Cina berhampiran.
Di kilang-kilang, ada banyak berita kurang enak yang kudengar. Diskriminasi pemilihan jawatan untuk kaum sekulitku terus terang dipermainkan. Secara jelasnya pemilik kilangnya siapa? Bagaimana nasib pekerja kontrak di kilang-kilang yang dibayar gaji mengikut jumlah hari bekerja. Kalaulah tidak bekerja - tiadalah tercatat dalam kad perakam waktu.
Belum lagi dikira nasib kakak-kakak yang setiap awal pagi memakai baju biru menunggu van kilang. Di bahu mereka ada sejumlah nyawa yang tergantung. Selalu kulihat ketabahan mereka berdiri di tepi jalan untuk menantikan kehadiran van kilang. Sejumlah gaji akan dipotong untuk pengangkutan.
Mereka diisi penuh untuk dihantar ke kilang di Kulim Hi-tech, Perai, Juru Auto City, Batu Muang, Seagate, Bayan Lepas dan bermacam kawasan perkilangan. Selalu kulihat mata-mata kepenatan setelah 12 jam berkerja bagai robot. Inilah hakikat dan takdir bagi setiap insan.
Syukur Tuhan, aku terpilih untuk berada di zon sederhana sebagai penjawat awam, tetapi jiwaku masih berlegar tentang kisah para pekerja kelas bawahan. Seringku beritahu para pelajarku. Lihat tukang sapu yang sedang membersihkan longkang dari sampah sarap. Mereka seperti kedua orang tua kita. Justeru jangan susahkan mereka untuk mengutip sisa sarap dari tangan kita. Permudahkan urusan mereka. Sudah pasti Allah membalasnya biarpun sedikit jasa.

Coretan Malam: Muhd Shatar

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU