23 December 2011

Catatan Destinasi: Bukit Fraser Yang Berbeza Sentuhan Dalaman

Salam

Catatan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Fraser:

Sebaik tamat Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPNM), bagi memenuhi hasrat lama untuk menerokai kesejukan sebuah pusat peranginan yang sering didengari lebih baik dari Cameron Highland, aku menyusuri keluar ibu kota Kuala Lumpur melalui susur keluar Rawang.
Perjalanan ke Bukit Fraser  bermula dari susur keluar ke Kuala Kubu Bharu dari Lebuhraya PLUS Utara Selatan. Bagi yang datang dari bandar Rawang boleh terus ke Kuala Kubu Bharu melalui Serendah, Antara Gapi dan Rasa lebih 40 minit perjalanan menaiki kereta.

Apabila sampai di pekan Kuala Kubu Bharu anda boleh siap-siap membeli makanan ringan dan apa-apa keperluan kerana apabila sampai di puncak Bukit Fraser semuanya akan menjadi mahal dan lebih dari biasa.
Anda juga boleh membeli makanan kerana Restoren Nasi Kandar banyak kelihatan di pekan ini selain beberapa buah bank seperti Maybank, BSN, Agro Bank dan Bank Islam.

Dari pekan Kuala Kubu Bharu anda perlu memilih papan arah Bukit Fraser yang senang dilihat. Jarak dari pekan Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser lebih kurang 40 km. Setelah melalui jalan bengkang bengkuk dan melalui sebuah empangan lebih kurang 30 km anda akan bertemu satu pintu masuk untuk naik ke atas Bukit Fraser. Jarak dari pintu masuk ini ke puncak Bukit Fraser lebih kurang 10 km yang mana jalannya sehala dan sempit untuk muat sebuah kenderaan sahaja. Di tepinya sangat curam namun demikian banyak pokok yang menghalang penglihatan ke bawah.

Dalam kelajuan 30 km sejam anda perlu memandu dengan berhati-hati kerana tersilap mengendalikan streng menyebabkan anda terperusuk ke celah gaung.

Akhirnya bertemulah anda dengan pemandangan yang lain dari biasa... Puncak Bukit Fraser  

Menara jam ini adalah mercu tanda pertama bagi setiap mata memandang dan membuat tafsiran Bukit Fraser. Di tepinya bangunan kecil berupa Pejabat Pos, Klinik Kesihatan, Balai Polis dan beberapa unit kedai cenderamata. Di hadapan Pejabat Pos tersergam bangunan unik binaannya, Puncak Inn yang menyediakan penginapan.

Pengunjung tidak perlu risau kerana banyak rumah rehat kerajaan di sini dengan harga berpatutan.


Sebaik sahaja menjelajahi pelusuk Bukit Fraser, terdetik di hati betapa luas ciptaan Allah di daratan khususnya gunung ganang. Terbina kekaguman kepada pencipta yang telah memahatkan gunung sebagai kekuatan kepada alam hamparan ini.

Dari tangan manusia, ada yang meruntuhkan bukit untuk diambil isinya terdiri dari tanah, pasir, dan sebagainya lalu hilanglah pasak bumi.
Aku terfikir, berlaku banjir tidak serata hari ini disebabkan kerana hilangnya gunung sebagai paku bumi.
Dahulu hanya di sebelah pantai timur semenanjung Malaysia terbiasa dengan banjir kini, semua negeri di Malaysia terdedah kepada banjir.

Dicatat oleh: Muhdlive

Catatan Pengalaman: Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ke3

Salam,

Bermula dari 16 - 18 disember 2011 yang lalu, pengendali blog berpeluang menyertai Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN)Kali Ke3 di Akademi Kenegaraan BTN, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur.
Perhimpunan yang kali ketiga diadakan setelah kejayaan Persatuan Penulis Nasional (PENA) di Biro Penulis Muda menganjurkan beberapa siri perhimpunan seperti di Tanjung Pia, Johor 2005 dan di Melaka pada tahun 2008.

Perhimpunan kali ini dirasmikan buat kali pertamanya dalam sejarah penganjuran PENA oleh Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak di Hotel Intercontinental, Ampang pada malam 16hb yang lalu menyaksikan banyak suntikan dana diberikan kepada PENA, ITBM dan PNB bagi tujuan penerbitan karya penulis muda. Hampir keseluruhan RM 5 juta telah diperuntukkan bagi tujuan tersebut. 


17 Disember 2011 (Sabtu)
8.30 - 10.00 pagi: Ucaptama "Pengarang Muda dan Makna Diri"
Oleh: Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar
Pengerusi: Dr Mohamad Saleeh Rahamad

10.00 - 10.20 pagi:
Jamuan pagi

10.20 pagi - 12.30 tgh hari:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja I:
"Pengarang Muda di Tengah Cabaran Intelektual, Kreativiti dan Pertembungan Pandangan Alam" 

12.30 tgh hari - 2.30 petang:
Makan tengah hari 
                                                                 
2.30 - 3.30 petang:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja II: "Tradisi dan Pengalaman Kepengarangan Islam Sebagai Teras Pemikiran dan Pengucapan" 
3.30 - 3.45 petang:
Minum petang

3.45 - 5.15 petang:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja III:
"Perkembangan Pengarang Muda Kontemporari: 
Antara Tanggungjawab Sosial dan Individu"

8.30 - 11.00 malam:
Malam Genta Puisi ASWARA - PENA

18 Disember 2011 (Ahad)
8.30 - 10.00 pagi:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja IV:
"Pengarang Muda dan Faham Dasar Kebudayaan Kebangsaan"

10.00 - 10.15 pagi:
Minum pagi

10.15 pagi - 11.45 tgh hari:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja V:
"Perkembangan Pengarang Muda Mutakhir"

11.45 pagi - 12.30 tgh hari:
Pembentangan Resolusi dan Majlis Penutup

12.30 tgh hari - 1.30 petang:
Makan tengah hari

1.30 petang:
Penangguhan PPMN III


Berikut ialah teks Resolusi Perhimpunan Muda Nasional III:

Perhimpunan Penulis Muda Nasional III atau PPMN III yang telah diadakan pada 16 hingga 18 Disember 2011 bertempat di Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur mendapati aspek peribadi pengarang tidak dapat dipisahkan dengan tanggungjawab sosial. Sebuah negara yang maju dan stabil pada masa hadapan akan bergantung kepada generasi muda yang berakhlak mulia, berwawasan tinggi, positif menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan serta mempunyai pandangan alam yang berteraskan Rukunegara dan Perlembagaan Persekutuan. Penulis muda pula, sebagai agen penting, harus memberikan peluang untuk melahirkan masyarakat yang bertamadun. Untuk melaksanakan hal tersebut, pelbagai usaha perlu dilakukan agar cita-cita kita untuk melahirkan sebuah negara yang seimbang pencapaian material dan kerohaniannya, PPMN kali ketiga dengan ini membuat ketetapan seperti berikut:
1. Memanfaatkan nilai-nilai sejagat/universal sebagai teras pemikiran dan pengucapan dalam pengkaryaan selaras dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Rukunegara.
2. Kerajaan Malaysia mesti mewartakan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai satu manifestasi kerangka kebudayaan yang jelas.
3. Menerima nilai-nilai asing yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan Negara dan Rukunegara bagi tujuan memperkukuh perpaduan dalam masyarakat.
4. Kementerian Pelajaran perlu memartabatkan sastera kebangsaan dalam sistem pendidikan negara dengan menekankan aspek kesusasteraan dan saintifik secara seimbang agar para pelajar mendapat pendedahan kepada kedua-dua disiplin tersebebut.
5. Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara dan agensi kerajaan yang terbabit mesti menyediakan geran penyelidikan, zamalah, penerbitan dan memberi peluang kepada penulis muda yang berbakat untuk menyertai aktiviti peringkat serantau dan antarabangsa bagi mengukuhkan intelektualiti dan kreativiti.
6. Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara dan agensi kerajaan yang berkaitan perlu mewujudkan program pertemuan penulis muda peringkat Asean untuk mempertemukan penulis muda serantau bagi merapatkan hubungan kebudayaan serantau.
7. Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mesti memberikan biasiswa kepada penuntut cemerlang dan penulis lepasan sekolah untuk menuntut dalam bidang kesusasteraan sama ada di dalam negeri atau di luar negara.
8. Agensi-agensi kerajaan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak perlu memperbanyak peruntukan untuk menyemarakkan aktiviti kesusasteraan, kebudayaan, pemikiran dan penerbitan penulis untuk mengukuhkan hubungan yang sedia ada antara penulis di Sarawak, Sabah dan Semenanjung.

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU