07 January 2010

Godam: Herald-The Catholic Weekly versus Natrah

SEKALI lagi beberapa kelompok bangsa Melayu dan umat Islam negara ini gempar serta terasa diperkotak-katikkan apabila Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly. Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Hakim Bee Lan, membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan terbabit, hakikatnya suatu tamparan kerana kalimah Allah di semenanjung hanya digunakan oleh umat Islam. Meskipun penghakiman dibuat berdasarkan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, tetapi di bawah undang-undang yang sama, Artikel 3(1), status agama Islam sebagai agama rasmi negara diberi haknya, tetapi boleh diperlekehkan!
Sekalipun jika keputusan ini berubah selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, bangsa Melayu dan umat Islam negara ini perlu mengambil iktibar daripada peristiwa ini. Hakikat kalimah Allah membabitkan akidah umat Islam bukan saja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia dan God dalam bahasa Melayu akan diterjemahkan sebagai Tuhan selain Allah hanya hadir dalam kepercayaan umat Islam tidak boleh dinafikan walau sesiapa juga! Meskipun kelompok Melayu liberal melihat perkara ini sebagai remeh kerana hanya membabitkan persoalan bahasa, tetapi hakikat bersama-samanya hadir kepercayaan umat Islam, justeru wajib diberi perhatian kerana ia bakal mempengaruhi masa depan agama dan bangsa Melayu negara ini.
Alasan kalimah Allah sudah lama digunakan dalam Bible di Indonesia ekoran agama Kristian di sana disebarkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu sehingga kitab mereka diguna pakai di Sabah dan Sarawak, tidak boleh diterima sebagai hujah selain perlu dinilai sebaik-baiknya kerana tugas mubaligh memerangkap sasaran mereka! Perlu diingat dalam penterjemahan sesebuah karya, aspek budaya dan kepercayaan dalam teks yang diterjemah serta kedua-dua aspek terbabit dalam bahasa sasaran terjemahan perlu diambil kira bagi mengelakkan daripada berlakunya terjemahan semberono. Kelompok yang masih mahu mempertahankan bahawa perkataan Allah boleh dikongsi di kalangan penganut agama Samawi perlu mengambil kira aspek bahawa penganut Kristian hari ini menghayati fahaman dalam Bible yang sudah dipinda kandungannya. Justeru, Jesus dalam konteks mereka tidak akan sekali-kali sama dengan nabi Isa bagi umat Islam meskipun kedua-dua agama berkongsi nabi yang sama dan dalam Islam tidak ada konsep Allah sebagai Bapak, Allah sebagai Anak dan Roh yang Suci, seperti dalam Kristian!
Peristiwa ini juga seolah-olah mengulangi sejarah malang bangsa Melayu dan umat Islam dalam kes Natrah (Nadra@ Hurbedina Maria Hertogh @ Bertha) di Singapura apabila mahkamah Inggeris memberi kemenangan kepada Kristian @ penjajah, cuma berbeza dari segi reaksi. Keputusan mahkamah Inggeris dalam kes itu menyebabkan umat Islam tanpa mengira fahaman politik dan bangsa, bangkit menentang sehingga terjadi rusuhan besar-besaran pada 12 Disember 1950 sehingga 18 nyawa melayang, tetapi dalam kes Herald The Catholic Weekly, sebaliknya! Umat Islam dan bangsa Melayu negara ini masih berpecah dari segi pandangan selain reaksi secara kecil-kecilan saja meskipun hakikat agama mereka diperlekeh oleh undang-undang sivil dan nampak sangat sikap berlembut, terlalu bertolak ansur dan telus sejak sekian lama, akhirnya memakan diri! Jika penentangan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menyaksikan Keranda 152 diarak sekali lagi selepas pertama kali diarak pada 3 Mac 1967 kerana mahu memartabatkan bahasa Melayu, tetapi kes Herald The Catholic Weekly tidak! Orang Melayu dan umat Islam negara ini perlu mengambil iktibar daripada peristiwa ini bahawa mereka perlu bersatu demi menyelamatkan maruah agama dan bangsa serta tidak sekali-kali merelakan diri daripada terperangkap dalam sandiwara kelompok tertentu. Apakah hakim hanya akan mengambil kira penggunaan kalimah Allah oleh Gereja Katolik sebagai mengganggu ketenteraman sekiranya berlaku perarakan besar-besaran bangsa Melayu dan umat Islam di seluruh negara sehingga paderi hilang nyawa atau gereja dibakar sebagai tanda protes? Tidakkah peristiwa ini jelas menunjukkan agenda tersembunyi Gereja Katolik yang bermati-matian mahukan kalimah Allah sedangkan semua tahu ramai rakyat negara ini tanpa mengira agama dan bangsa, tergila-gilakan bahasa Inggeris dan mengapa dalam kes ini bahasa Melayu menjadi pilihan!
i

Sehari 1 Hadis: Kemahuan Manusia Mendedahkan Kepada Kefakiran

Para pelajar sekalian, jangan jadikan permintaan hawa nafsu sebagai tuhan yang berkuasa. Hawa nafsu perlu dikawal agar tidak menjadikan kehidupan kita hiruk pikuk dengan dosa. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud:
"Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku mengkhuatirkan atas kamu kalau dibentangkan dunia untuk kamu sebagaimana yang pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu membinasakan kamu sebagaimana dulu membinasakan mereka." – Riwayat Bukhari dan Muslim.
Pembaziran adalah antara perbuatan yang perlu dielakkan. Makanlah di dewan makan sekolah atau kantin dengan tidak gelojoh serta tidak berlaku pembaziran.

Allah berfirman dalam Surah Al-Israa' ayat 27 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya."
Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU