23 November 2013

Bolehkah Kita Halalkan 3 Ekor Ikan Kalau Dicuri?

Salam pagi sabtu, (19 Muharam 1435H)

Pabila meneliti kes terpencil yang tersiar di laman akhbar di negara kita, saya rasa dipertanggungjawab menyuarakan isu ini buat pembaca budiman sekalian.
Isu kecurian di Kios Jual Ikan Kampung Pandan 2, Kampung Pandan 2, Jalan Bypass  Kuantan pada 19 November lepas lebih kurang jam 8 malam benar-benar meresahkan hati dan membuatkan saya lebih banyak berfikir.
Ya - masalah kecurian terlalu meningkat angkanya. Berbalik kepada kes kecurian melibatkan pemuda usia 30 tahun dari Sungai Isap Perdana yang mencuri 3 ekor ikan di sebuah kios. Latarnya mengikut rekod tiada kes dilakukan sebelum ini.
Kematian isterinya pada Oktober lepas, mungkin dia (si pelaku) masih merasa kehilangan dalam kehidupan seharian selain, ditambah anak kecil usia baru berusia dua bulan terpaksa dijaganya. Bayangkan seorang bapa hendak menguruskan bayi kecil tanpa pengetahuan dan sifat keibuaan lahiriah sebagai perempuan.
Saya cukup simpati dengan takdirnya (kematian isteri ketika anak masih dua bulan mengenal dunia), kisahnya menganggu tidur saya. Barang kali sebagai seorang pengarang sajak - hati saya benar-benar lebih terasa. Justeru pada awal pagi ini - saya mencoretkan di sini sebagai iktibar atau renungan buat kita semua.
Dia dihukum penjara selama 3 minggu dari tarikh penahanan (19.11.13) bermakna 21 hari anak kecilnya tiada kasih dari seorang bapa. Barang kali ada pembaca merasakan hukuman tidak setimpal mahupun bersetuju. Dia dan mana-mana kes kecurian seperti mencuri tepung susu boleh dibicarakan di bawah (Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan) yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun. Saya kerap meneliti kes kecurian benda agak kecil tetap menjadi kesalahan seperti beberapa peket tepung susu untuk anak, 2 atau tiga tin susu Milo dan banyak lagi. Semua tetap kesalahan. Cuma sebagai pemilik kepada kecurian bagi harta yang sedikit ditambah situasi pelaku yang cukup tertekan (bagi saya si pelaku ini dalam tertekan - anak kecil sedang menangis, ketiadaan penjaga dek isteri meninggal - mungkin tiada pekerjaan yang tetap) maka aspek si pelaku ini wajar diambil kira. Bagaimana anda jika berada di situasi si pelaku ini.

Maka halalkan atau berbincang secara baik terhadap pelaku. Mudahan dia insaf kita beroleh pahala. Saya terfikir perlu ada satu prosedur undang-undang bagi kes melibatkan kecurian benda yang sedikit nilai (3 ekor ikan = RM 3) yang lebih kepada nasihat terlebih dahulu sebagai pengajaran kerana sebaik dipenjara rekod bernama banduan akan menimbulkan masalah kepada masa depan si pelaku ini.

Kes sebegini pernah saya ikuti dan menguatkan semangat untuk dipotretkan sebagai sebuah sajak bertajuk (Di Muka Pengadilan Manusia) kemudian  tersiar di Dewan Sastera (Keluaran Julai 2013).

Coretan simpati: Muhd Shatar

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU