27 January 2012

Rencana Agama: Hubungan Baik Sesama Siswa Patut Diutamakan

Hubungan baik sesama siswa patut diutamakan

 

KETIKA ini puluhan ribu mahasiswa dengan pelbagai kecenderungan, keinginan, matlamat dan gaya penampilan sedang membina kecerdikan sebelum diijazahkan dengan pelbagai ilmu di menara gading. Kehidupan mereka di kampus tersedia dengan cabaran, likuan dan dugaan. Bergantung kepada kecenderungan mereka memilih untuk bertembung dengan isu semasa, kepemimpinan, keilmuan, pergerakan politik, perjuangan peribadi dan selebihnya kelompok kecelaruan mencari pengertian hidup atau membiarkan masa menentukan perjalanan mereka. Kelompok mahasiswa aktif berpersatuan giat dalam merancakkan suasana kampus dengan pelbagai aktiviti keilmuan, kemasyarakatan dan pembangunan potensi diri terkecuali daripada tergolong dalam kelompok kecelaruan peribadi.
                        Golongan mahasiswa yang tiada matlamat, visi dan penampilan intelektual ini terdedah kepada dunia luar bersifat negatif seperti terbabit dengan budaya liar, seks bebas, pesta hiburan, murtad, jual maruah, hedonisme dan sebagainya. Terlalu bahaya sekiranya kuatnya falsafah keseronokan jiwa lebih mencengkam pemikiran pelajar dan mereka meletakkan keutamaan dalam kehidupan kampus. Terpinggirnya mereka daripada aktiviti kampus yang lebih tertumpu kepada pemupukan ilmu dan kekuatan agama menjadikan kelompok ini kian terbiar dan berhadapan kemusnahan masa depan.
                      Sebaik menjejak kaki di kampus, mahasiswa dihidangkan dengan pelbagai kemelut yang menguji tahap keimanan, kemantapan jati diri dan kekuatan rohani. Bila berjauhan daripada keluarga, kebebasan dimiliki bukanlah tiket mendapatkan kepuasan diri secara mutlak.
                        Mendekati rakan yang elok akhlaknya dan kuat ibadatnya kepada Allah SWT antara cara membina ketahanan diri daripada melakukan perbuatan mungkar. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya; dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan dunia ini, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas. (Surah al-Kahfi: ayat 28)
                        Sebenarnya peluang dan dasar keterbukaan kehidupan kampus perlu direbut oleh siswa sebagai persediaan ke arah kerjaya dengan memperoleh pengalaman pengurusan persatuan, kepemimpinan, penerbitan, pembinaan rangkaian perniagaan serta pembinaan penampilan diri yang terbuka dan bijak.
                        Pemandangan kurang menyenangkan apabila kita melihat ada sebilangan siswa dalam kelompok yang tidak mencerminkan kebijaksanaan daripada pertuturan, pemakaian, pergaulan dan cara bertindak. Golongan inilah antara prospek kelompok boleh dipergunakan oleh mana-mana pihak yang melihat mereka mudah dipengaruhi dan boleh diaruskan akal dan pilihan tindakan.
                        Dalam konteks Islam, keperluan wujudnya golongan melakukan amal makruf dan nahi mungkar di dalam sesebuah penempatan, kawasan dan komuniti. Dalam masyarakat kampus, penempatan siswa yang datang dari pelbagai kelompok, daerah dan pedalaman terpencil akan membawa masuk ke kampus dengan pelbagai gelagat, budaya serta bentuk cara hidup bervariasi. Semuanya terkandung nilai kebaikan mahupun tidak bermoral. firman Allah SWT: “Dan hendaklah (sebahagian) kamu menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh yang makruf serta melarang daripada yang mungkar. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Ali Imran 3:104)
                   Oleh itu, perlulah mahasiswa membentuk kumpulan memainkan peranan mengajak rakan seperjuangan ke arah kebaikan serta menasihati atau istilah ‘mendekati’ kelompok terbabit melalui pendekatan sederhana dan berhikmah, bukan memilih untuk menghukum, memberi label, memulau dan memisahkan kelompok ini daripada aktiviti yang dianjurkan.
                   Kecenderungan pimpinan mahasiswa dalam kelompoknya atau mana-mana persatuan memisahkan atau memberikan tanggapan negatif kepada segelintir siswa dilihat bermasalah, kecelaruan peribadi dan kelihatan berbeza penampilan melangkau norma wajar diperbetulkan. Kita khuatir dengan pemulauan dan pemisahan dalam konteks hubungan sesama pelajar menjadikan kelompok ini terdedah mencari perlindungan luar berbaur maksiat, penyalahgunaan dadah, dan lebih parah apabila memilih untuk murtad.
                   Menghidupkan suasana hubungan sesama pelajar terjalin dengan harmoni menjadi tanggungjawab utama ke arah menjadikan mahasiswa lebih dihormati, lebih terarah kepada ilmu dan kekuatan ilmu. Selagi wujudnya kegagalan membentuk suasana baik di kampus, maka peningkatan kes tidak bermoral, salah laku dan kadar jenayah sosial dalam kalangan mahasiswa terus diperkatakan.
                   Sebaiknya kepemimpinan di kampus menekankan aspek hubungan baik sesama pelajar dan memberi penekanan kepada matlamat persatuan adalah menyatupadukan masyarakat pelajar untuk mengelakkan wujudnya kelompok kecelaruan peribadi.
                   Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa antara kalian melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)


20 January 2012

Duka Kashmir: Kami Sering Memetik Bunga Pengubat Sengsara

Petikan sajak Anjan Ahzana:


Mereka pengutip kecantikan
musim beralih ke panas
menukarkan rindu kepada setia

Kesengsaraan di hadapan
terluka, terkoyak jiwa
mendengar tangis
isteri kehilangan suami
anak kehilangan bapa
dibunuh tanpa perikemanusiaan
hanya kerana inginkan kedaulatan
Kahsmir, bunga-bunga sentiasa berwarna
mereka mengutip untuk mengubati luka.

Untuk dapatkan buku karya penulis Anjan Ahzana sila klik di sini

15 January 2012

Bangga buat maksiat antara petanda dunia akhir zama

Oleh Ustaz Zaman
Berita Harian (2012/01/14)

SETIAP individu mempunyai masa silam yang sudah dilalui sama ada baik atau buruk, dosa atau pahala yang diperoleh. Namun, perkara dosa yang telah dilakukan tidak perlu diungkit apatah lagi menyebarkan kepada orang lain kerana berbangga dengan maksiat itu.

Islam menganjurkan umatnya melupakan masa silam yang penuh kegelapan dengan bertaubat dan kembali ke pangkal jalan kerana semua manusia akan melalui kesilapan dalam perjalanan kehidupan mereka.
Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang menghadapi masalah ini (dosa lampau), maka hendaklah memohon supaya ditutup oleh Allah SWT.” (Hadis riwayat Malik dan Hakim)
Sabda Baginda SAW lagi: “Setiap anak Adam akan melakukan kesalahan dan sebaik-baik mereka ialah yang bertaubat.”

Kita hendaklah yakin dengan rahmat dan keampunan Allah SWT kerana kita sentiasa diberi peluang untuk berbuat demikian walaupun dalam keadaan genting.

Firman Allah SWT: “Dan apabila mereka melakukan perkara dosa atau menzalimi diri sendiri, lalu segera mengingati Allah dan bertaubat atas segala kesalahan mereka.” (Surah Al-Imran, ayat 135)

Sebuah hadis qudsi dari Baginda SAW yang bermaksud: “Allah bersabda: Wahai anak Adam, jika kamu banyak berdosa sehingga menjangkau langit sekalipun dosamu itu, lalu kamu memohon keampunan-Ku, nescaya akan Ku perkenankan.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Daripada Umar, bahawa beliau sedang masuk kepada seorang Ansar yang sedang nazak dan di sisinya Baginda SAW. Baginda menyuruh dia bertaubat tetapi mulutnya sudah tidak dapat berkata-kata tetapi matanya mengarah ke langit seolah-olah menyahut seruan Baginda SAW. Lalu Umar melihat Baginda tersenyum dan Umar RA bertanya: Kenapa engkau tersenyum wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Pesakit ini tidak dapat bertutur tetapi memberi isyarat dengan matanya dengan hati yang tulus suci lalu beliau diampunkan.” (Durratul Majalis).

Janganlah sekali-kali kita sebarkan apa yang sudah terlanjur dalam kehidupan kerana ia akan menimbulkan fitnah dan seterusnya melunturkan semangat serta azam untuk maju pada masa depan. Perkara itu tidak perlu dibanggakan kerana soal maruah dan kehormatan menyerlahkan kelemahan.

Ingatlah bahawa berbangga dengan maksiat adalah satu dosa dan inilah fenomena yang akan berlaku ketika dunia berada di akhir zaman. Apa lagi perkara maksiat itu dilakukan secara terang-terangan dan dianggap perkara biasa dalam sesebuah masyarakat.

Inilah perkara dibimbangi Baginda SAW ketika datangnya peristiwa hampirnya kiamat yang membawa petanda demikian. Melakukan maksiat secara terang-terangan adalah salah satu petanda daripada tanda kiamat.

Baginda SAW berkata, keadaan itu kini sudah menular dalam kalangan masyarakat di mana kita dapati maksiat menjadi perkara biasa malah menjadi satu kebanggaan jika maksiat itu diketahui umum.

Kemajuan teknologi digunakan untuk merealisasikan penyebaran ini dengan merakam aksi panas untuk tatapan umum atau melalui e-mel, telefon dan lain-lain. Ini menjadi satu perkara biasa dalam masyarakat.

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Ketika dunia berada hampir di penghujungnya, kamu dapati maksiat dilakukan secara terang terangan. Zina dilakukan dengan sewenang-wenangnya persis seperti perilaku haiwan. Yang tinggal hanyalah manusia yang keji dan buruk perangainya. Ketika itulah berlakunya kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam adalah agama yang prihatin, menjaga serta berusaha menutup keburukan orang lain dalam mencari keredaan Allah SWT dan sentiasa berpegang kepada prinsip menjaga keaiban serta nasihat menasihati antara satu sama lain.

Mereka yang berusaha menutup keaiban orang lain akan mendapat anugerah terbaik di akhirat kelak di mana segala keburukannya akan ditutup oleh Allah SWT.

Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang menutup keaiban seseorang semasa di dunia, maka Allah SWT akan menutup keaibannya di akhirat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibnu Hajar berpendapat bahawa maksud hadis ini adalah berusaha menutup keaiban orang lain supaya tidak diketahui orang ramai. Sikap suka mencari keburukan orang lain dan menyebarkannya dengan tujuan buruk adalah perkara dibenci Allah SWT dan haram hukumnya di sisi agama Islam.

Daripada Nafi’ dan Ibnu Umar, Baginda SAW naik mimbar dan menyeru dengan suara yang lantang dalam sabda: “Wahai mereka yang mengaku dirinya beriman, janganlah kamu menyusahkan orang lain, janganlah kamu memalukan mereka serta berusaha mencari keburukan mereka serta menyebarkannya kerana Allah tidak akan melepaskan kamu dan keburukanmu akan terserlah walau di mana kamu berada.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP)

14 January 2012

Fitnah menerusi laman sosial gugat keharmonian

Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar (Disiarkan di Berita Harian pada 12.01.2012)

Salah guna teknologi terkini boleh rosakkan pemikiran, gaya hidup dan maruah

PENGHUJUNG zaman sering diperkatakan dengan kedatangan fitnah sama ada besar atau kecil, ianya cukup berbahaya menggugat keharmonian umat Islam. Dalam perhubungan seharian membabitkan tutur kata berbentuk percakapan, bisikan, gurauan, sindiran, kiasan dan bermacam lagi. Semua mesti ditekankan aspek penyaringan daripada terdapat unsur fitnah, tohmahan, umpatan, hinaan ataupun kejian. Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. - (Surah al-Nur, ayat 11) Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah an-Nur, ayat 19)

Zaman pertukaran teknologi masa kini menyaksikan pelbagai peringkat masyarakat, tidak mengira usia, kedudukan dan latar belakang semakin serasi dengan penggunaan teknologi moden terkini iaitu internet.

Kesemuanya boleh dicapai di mana saja berada dalam apa juga keadaan melalui telefon bimbit atau komputer riba dalam pelbagai saiz dan bentuk yang menarik, senang dibawa ke mana.

Penerimaan internet sebagai media baru perhubungan, komunikasi dan sebaran am menjangkau jutaan pengguna seperti Google, Yahoo, MSN dengan pelbagai perisian antaranya facebook (FB), wordpress, friendster, myspace, twitter dan bermacam saluran lain.

Setiap kemudahan teknologi menjanjikan manfaat walaupun tidak dinafikan turut terkandung seribu satu keburukan jika tidak dikawal sebaiknya berupaya merosakkan cara pemikiran, gaya hidup dan maruah.

Kebaikan pelbagai kemudahan di internet yang melangkaui sempadan ternyata memudahkan lagi proses perbincangan ilmu, isu dan topik semasa, penyebaran maklumat, hebahan atau undangan secara lebih meluas serta pantas.
Malah, kemudahan itu turut membina tali persaudaraan dengan mendekatkan yang jauh selain membuka ruang berbicara. Bagaimanapun, hakikat ada yang menyalahgunakan kemudahan itu tidak dapat ditolak.
Justeru, komuniti alam maya sentiasa diingatkan supaya bertanggungjawab di atas setiap tindakan mereka. Selain menjaga batas perhubungan, Islam turut menegah pengguna mengeluarkan kata-kata berunsur memfitnah, mengaibkan dan membuat tuduhan boleh menjurus kepada perpecahan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.” (Surah al-Nur, ayat 11)

Wujud kecenderungan dalam komuniti laman sosial sekarang ini menyebarkan fitnah atau membuat tuduhan melulu terhadap pihak lain dengan tujuan yang hanya mereka tahu. Ada juga menggunakannya untuk menjalinkan hubungan yang dilarang.

Malah, sifat keterbukaan yang tidak ditapis serta dikawal menyebabkan berlaku insiden penyebaran gambar tidak sepatutnya sama ada oleh pemilik laman itu sendiri atau dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Sepasang kekasih sewaktu awal percintaan sering melengkapkan kenangan melalui foto peribadi akhirnya bila berkelahi masing-masing mula menjatuhkan imej pasangan meskipun gambar itu terlalu peribadi atau sangat bertentangan dengan hukum agama.
Sekeping gambar terlalu peribadi tersiar di internet boleh menjatuhkan maruah diri dalam pelbagai keadaan atau situasi. Khalayak luar tidak akan mentafsir mengikut situasi, tetapi lebih menghukum kesilapan dan membuat tafsiran berdasarkan pandangan sendiri.

Umat Islam berkewajipan menghalusi segala berita, khabar atau kenyataan supaya tidak menimbulkan kemudaratan dalam masyarakat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menampakkan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Awasi diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu adalah pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikan diri kamu bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

13 January 2012

Realiti Kejahatan Dan Kezaliman Tentera Amerika: Keji

Salam para pembaca budiman,           siri kejahatan tentera Amerika bukanlah terlalu asing untuk diperkatakan. lihat sajalah kisah jahat tentera Amerika di Iraq, Afganistan dan di Pusat Tahanan   Teluk Guantanamo sering dihiasi penderaan luar sifat kemanusiaan. Orang Islam diperlakukan dengan pelbagai siksaan fizikal, psikologi dan mental. Penjara di Iraq pernah menyaksikan deraan yang tidak bertamadun dari askar Amerika laknatullah. Tindakan beberapa askar Amerika kencing ke atas pejuang Afganistan wajib diberikan perhatian dan turut dirasakan dalam hati umat Islam sejagat. Marilah kota sama-sama berdoa agar tentera Amerika diberikan balasan setimpal dengan kezaliman mereka...  Muhdlive  

10 January 2012

Kemalangan ragut nyawa boleh dielak jika pemandu waspada, patuhi peraturan

Takbur, penting diri sendiri di jalan raya bukan amalan Islam
Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar (Tersiar di Berita Harian 2012/01/09) 

Kemalangan ragut nyawa boleh dielak jika pemandu waspada, patuhi peraturan

KEMALANGAN jalan raya yang membawa maut tidak dapat dielakkan jika itulah termaktub sebagai penyebab kembalinya hamba kepada Penciptanya. Namun, itu bukan alasan untuk terus menyerah kepada takdir kerana sebagai manusia kita perlu berusaha mencegah terbabit dalam kemalangan.
Pelbagai usaha hendaklah dilakukan seperti memastikan kenderaan diselenggara dengan baik, keadaan jalan raya bebas daripada unsur boleh menjurus berlakunya kemalangan seperti jalan berlubang selain sikap pemandu perlu berhemah ketika berada di jalan raya.
(Lukman berkata): Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkan (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus, lagi Maha Mengetahui. - Surah Lukman, ayat 16
Sikap takbur sering kali dilihat pada pemandu terutama mereka yang membawa kenderaan besar menyebabkan kenderaan bersaiz kecil berasa kerdil. Tetapi ada juga pemandu kereta bersaiz kecil menggunakan kelebihan itu untuk mencuri peluang hingga menimbulkan masalah kepada pemandu lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk ke dalam syurga, seseorang dalam hatinya sifat takbur (sombong) sekalipun seberat debu. Kemudian salah seorang sahabat bertanya: Sesungguhnya ada seseorang suka akan pakaiannya itu baik dan kasutnya baik. Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT itu indah dan suka kepada keindahan. Takbur itu menolak yang benar dan menghina orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Laporan kemalangan yang memberi gambaran mengerikan menunjukkan sikap pemandu tidak sabar ketika berada di jalan raya terutama mereka yang suka memotong walaupun di kawasan tidak dibenarkan atau dalam posisi berbahaya.

Tindakan melulu yang diambil untuk membelok ke kiri dan kanan tanpa memberi isyarat awal sebenarnya akan mengundang padah bukan saja pada diri sendiri, juga pengguna lain terutama penunggang motosikal.
Kecuaian pemandu sesuka hati membelok tanpa memikirkan pemandu kenderaan sehinggakan ada orang lain teraniaya adalah berdosa dan pasti mendapat pembalasan nanti.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Lukman berkata): Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkan (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Lukman, ayat 16)

Oleh itu, sebagai ingatan kepada semua, jangan pentingkan diri sendiri sebaliknya sentiasa bertanggungjawab ketika memandu apa juga kenderaan di jalan raya kerana nyawa adalah amanah perlu dipelihara.

Meletakkan rasa ihsan dan simpati kepada penunggang motosikal dan kenderaan kecil perlu dipupuk. Masih terdapat lori yang membawa batu, pasir, bahan keras dan ternakan tanpa ditutup kemas kelihatan di jalan raya yang akhirnya membawa malapetaka kepada pengguna lain.

Jadi, dalam mengharapkan statistik kemalangan diturunkan, beberapa usaha perlu dilaksanakan termasuk memastikan keadaan jalan raya selesa untuk kenderaan dan pemandu mematuhi undang-udang ditetapkan.

Pastinya semua pengguna jalan raya mahu hak keselesaan memandu dan bagi tujuan itu semua pihak perlu sentiasa bersikap timbang rasa supaya keselamatan ketika memandu terjamin dan sebarang perkara tidak diingini dapat dielak.

Masih berlaku sikap menangguk di air keruh apabila pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal dianiaya apabila paku atau minyak ditabur di laluan mereka. Tindakan itu mungkin menguntungkan di dunia tetapi balasan tetap menanti di akhirat.

Kejadian kemalangan yang terus dilaporkan sewajarnya menyedarkan masyarakat untuk mengubah sikap dan sentiasa berwaspada kerana kemalangan boleh berpunca daripada kelalaian kita atau oleh pemandu lain.

Mari kita renungi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada seorangpun di antara manusia ini kecuali (pada hari kiamat nanti) akan dipercayai oleh Allah SWT (dihadapkan ke mahkamah Allah). Maka pada waktu itu tidak ada orang lain sanggup menjadi jurubicara antara keduanya (sebagai orang ketiga atau peguam). Lalu orang dipercayai oleh Allah tadi akan melihat ke sebelah kanannya, maka tidak kelihatan melainkan hanya pahala kebaikan yang pernah dilakukannya ketika berada di dunia dulu. Dan apabila dia cuba melihat ke sebelah kiri pula, maka dia tidak melihat kecuali balasan perbuatan jahat yang pernah dilakukannya ketika berada di dunia dulu. Kemudian apabila dia melihat ke hadapan maka dia tidak melihat kecuali hanya api neraka. Maka tanamkanlah rasa takut terhadap api neraka dan jauhilah seksaannya walaupun kalau kamu hanya mampu bersedekah dengan sebelah buah kurma saja.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

08 January 2012

LUKA PANJANG YALA - NARATHIWAT DAN PATTANI: TIADA PENGHUJUNG

Salam semua pembaca budiman,

Membaca pergolakan di selatan Thailand yang melibatkan tiga wilayah majoriti umat Islam mendiami penuh dengan emosi. Sebagai warga melayu di bumi Malaysia, persaudaraan seagama dan keturunan yang sama amat dirasai. Sebagai mana hadis Rasulullah :
"Seorang mukmin bagi seorang mukmin itu satu binaan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian dan orang Islam itu seperti satu badan jika sakit matanya sakitlah sekaliannya dan jika sakit kepalanya sakitlah sekaliannya."
Lihat peta kedudukan tiga wilayah yang bersempadan dengan Malaysia melalui Kedah, Perlis dan Kelatan. Kebanyakan orang melayu di selatan Thai berbahasa melayu mirip loghat Kelantan dikatakan mempunyai rumpun dan kebudayaan yang hampir sama.  

Masih anda ingat gambar di sebelah. Inilah Masjid Kerisik yang menyimpan sejarah darah tertumpah dan tangisan bonda tercinta terhadap anaknya. Tanggal 28 April 2004 di sinilah menyaksikan hampir 34 orang anak muda sekitar usia 16 - 34 tahun terbunuh dalam serangan berdarah tentera Thai ke atas sekumpulan pejuang Islam yang masuk berlindung di Masjid Kerisik. pada 28 April 2004


Gelimpangan mayat yang ditembak  oleh segerombalan tentera terhadap sekelompok kecil yang daif dan lemah. Sadis dan menyayat hati. Manusia kadang kala terlalu kejam dengan kuasa dimiliki.







Tragedi paling besar berlaku di Tak Bai pada April 2004 kita umat Islam berada dalam bulan ramadan. Tragedi berlaku melibatkan 1,500 orang menyertai demontrasi secara aman di hadapan Balai Polis Tak Bai bagi menyuarakan hak pembebasan 6 sukarelawan pertahanan kampung yang ditahan kerana dituduh membuat laporan palsu kepada polis melibatkan rompakan senapang patah yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Tujuh orang telah terbunuh di tempat kejadian. Sewaktu diikat tangan ke belakang kemudian diarahkan berbaring ke tanah sehinggalah diangkut ke sebuah tempat yang jauh memakan masa berjam-jam. Dilaporkan seramai 1000 orang penunjuk perasaan disusun secara berlapis di atas lori. Dilaporkan seramai 78 orang mati semasa berada di atas lori yang disusun sehingga muak kesemua isipadu sebuah lori. Bayangkan suadara, bagaimana lapisan manusia terbawah terhimpit dan sukar bernafas dalam perjalanan memakan masa berjam-jam. Manusiakah apakah yang membuat arahan kejam sebegini?
Hak bersuara telah dinafikan oleh pihak berkuasa, persoalannya mengapa begitu kejam diperlakukan terhadap mereka yang cuma berhimpun untuk menyuarakan bantahan secara aman dan tidak berbahaya. Adakah kerana mereka penganut Islam?








Kita tinggalkan kisah tragis di Tak Bai untuk  memperingati serangan ke atas sebuah masjid di Kampung Air Tempayan, Narathiwat. Tragedi pembunuhan berdarah di Masjid Al-Furqan berlaku pada 8 Jun 2009 jam 8.00 malam mengakibatkan 10 jemaah masjid terbunuh ketika menunaikan solat Isyak manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.
Selebihnya iaitu 12 orang lagi cedera dan telah dirawat di hospital. 
Pemandangan sejadah berdarah di permukaan lantai. Hati manakah yang tidak tergores. Pasti, isteri yang ditinggalkan meratap hiba, apatah lagi kanak-kanak yang bertanya tentang ayah, abang dan kakak.







Keesokkannya, kesemua mayat yang syahid dikebumikan secara beramai-ramai dalam kubur yang digali luas. Bahagialah sesiapa mati dalam keadaan beribadat kepada Allah.





Kematian kita bagaimana pula?


Disediakan oleh: Muhdlive

07 January 2012

Lukisan Pendamai Hati: Ilham Para Peyair


Kenangan Kecil

Rumahku
antara sungai mengalir dan denai kecil
menghubungkan rasa damai terpencil
akrab pepohon memberikan bahasa lain
milikku membesar dalam diam


Rumahku
antara usia kecil
menghubungkan rasa rindu 
air mengalir perlahan mengusik sayu
membesarkan pengalaman kecil 
di tengah kejauhan dan terasing.

Karya: Anjan Ahzana

Untuk mendapatkan buku Kumpulan Puisi TAMTAMA karya Anjan Ahzana sila klik di sini

01 January 2012

Catatan Puisi: Dari BuCu Langit


DARI BUCU LANGIT YANG DIBEDIL


Gelap langit dipecahkan butiran cahaya

berhamburai dan terburai 
dalam sorakan, tawa dan nyayian
remaja teruja dalam dakapan, pelukan dan percintaan
lagha seorang anak semakin lupa kejauhan malam
pesta cahaya mesti dirai
jarum detik tahun hadapan dinanti
muzik rancak hiburkan hati dan perasaan

Semalam...
aku tidak pasti 
berapa kos dibelanjakan untuk sebutir api
berapa kos dihabiskan untuk melangkah ke tempat nyanyi
berapa taman menjadi gelap, sunyi dan tersembunyi sedang menyaksi
berapa dara dikorbankan untuk semalam bermukah
dan berapa teruna dilenyapkan untuk jalan raya berdarah
dan berapa gelas arak kau teguk bersama pil dadah

Dari bucu langit yang dibedil
sekilas cahaya dan manusia berbondong
lupa dan alpa
soal agama, moral dan batasan sahsiah
dan berapa hayat masih ada untuk diperhitungkan...

Petikan sajak Anjan Ahzana bertajuk Dari Bucu Langit.

Untuk dapatkan buku Kumpulan Puisi Tamtama karya Anjan Ahzana sila klik di sisi
 

Semalam Daerahku Bagai Dibom: Tahun 2012 Hari Ini Bermula

Salam para pembaca budiman,

Tepat jam 11.59 menandakan hari pertama tahun 2012 akan bermula. Disertai letupan yang kuat dari segenap bucu langit hinggar binggar. Kalaulah ada mangsa rompakan, pencabulan atau kecemasan sudah pasti tidak didengari atau tidak diambil tahu sekejap oleh semua pihak.
Begitulah terjadi dalam letupan membakar Allahyarhamah Datuk Sosilawati bersama 3 rakan di sebuah ladang di Banting, Selangor.
Paling ditakuti ada mercun yang menerjah masuk ke mana-mana flat kediaman atau bangunan lalu terbakar, angkara siapa susah diketahui.
Sudah terbiasa di minda, ada sambutan tahun baru, merdeka dan sebagai pasti diraikan dengan mercun. Pesta perayaan seperti makin menggalakkan pembelian mercun. Tidak meriahkan hari raya tanpa membedil, bunga api atau letupan.
Minda masyarakat semakin dirosakkan dengan peruntukkan khusus untuk membazair. Paling penting - jangan latih dan ajarkan anak-anak kecil dengan mercun.

Tahun 2012, wajar direnung untuk memperbaiki diri kepada Allah melalui hubungan (ibadat) secara berterusan dan meningkatkan kekuatan daya tahan peribadi terhadap cabaran untuk terus hidup.
Solat wajib diutamakan dalam rutin harian di samping, tidak melakukan perkara mungkar dan sebaiknya cuba bersederhana dalam pergaulan, perbelanjaan, percakapan dan gaya hidup.
Semoga tahun 2012 merupakan permulaan yang baik untuk semua. Bermuhasabahah dan saling memperingati semasa kita.


Catatan Pagi Tahun Baru
Muhdlive

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU