10 January 2012

Kemalangan ragut nyawa boleh dielak jika pemandu waspada, patuhi peraturan

Takbur, penting diri sendiri di jalan raya bukan amalan Islam
Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar (Tersiar di Berita Harian 2012/01/09) 

Kemalangan ragut nyawa boleh dielak jika pemandu waspada, patuhi peraturan

KEMALANGAN jalan raya yang membawa maut tidak dapat dielakkan jika itulah termaktub sebagai penyebab kembalinya hamba kepada Penciptanya. Namun, itu bukan alasan untuk terus menyerah kepada takdir kerana sebagai manusia kita perlu berusaha mencegah terbabit dalam kemalangan.
Pelbagai usaha hendaklah dilakukan seperti memastikan kenderaan diselenggara dengan baik, keadaan jalan raya bebas daripada unsur boleh menjurus berlakunya kemalangan seperti jalan berlubang selain sikap pemandu perlu berhemah ketika berada di jalan raya.
(Lukman berkata): Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkan (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus, lagi Maha Mengetahui. - Surah Lukman, ayat 16
Sikap takbur sering kali dilihat pada pemandu terutama mereka yang membawa kenderaan besar menyebabkan kenderaan bersaiz kecil berasa kerdil. Tetapi ada juga pemandu kereta bersaiz kecil menggunakan kelebihan itu untuk mencuri peluang hingga menimbulkan masalah kepada pemandu lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk ke dalam syurga, seseorang dalam hatinya sifat takbur (sombong) sekalipun seberat debu. Kemudian salah seorang sahabat bertanya: Sesungguhnya ada seseorang suka akan pakaiannya itu baik dan kasutnya baik. Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT itu indah dan suka kepada keindahan. Takbur itu menolak yang benar dan menghina orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Laporan kemalangan yang memberi gambaran mengerikan menunjukkan sikap pemandu tidak sabar ketika berada di jalan raya terutama mereka yang suka memotong walaupun di kawasan tidak dibenarkan atau dalam posisi berbahaya.

Tindakan melulu yang diambil untuk membelok ke kiri dan kanan tanpa memberi isyarat awal sebenarnya akan mengundang padah bukan saja pada diri sendiri, juga pengguna lain terutama penunggang motosikal.
Kecuaian pemandu sesuka hati membelok tanpa memikirkan pemandu kenderaan sehinggakan ada orang lain teraniaya adalah berdosa dan pasti mendapat pembalasan nanti.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Lukman berkata): Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkan (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Lukman, ayat 16)

Oleh itu, sebagai ingatan kepada semua, jangan pentingkan diri sendiri sebaliknya sentiasa bertanggungjawab ketika memandu apa juga kenderaan di jalan raya kerana nyawa adalah amanah perlu dipelihara.

Meletakkan rasa ihsan dan simpati kepada penunggang motosikal dan kenderaan kecil perlu dipupuk. Masih terdapat lori yang membawa batu, pasir, bahan keras dan ternakan tanpa ditutup kemas kelihatan di jalan raya yang akhirnya membawa malapetaka kepada pengguna lain.

Jadi, dalam mengharapkan statistik kemalangan diturunkan, beberapa usaha perlu dilaksanakan termasuk memastikan keadaan jalan raya selesa untuk kenderaan dan pemandu mematuhi undang-udang ditetapkan.

Pastinya semua pengguna jalan raya mahu hak keselesaan memandu dan bagi tujuan itu semua pihak perlu sentiasa bersikap timbang rasa supaya keselamatan ketika memandu terjamin dan sebarang perkara tidak diingini dapat dielak.

Masih berlaku sikap menangguk di air keruh apabila pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal dianiaya apabila paku atau minyak ditabur di laluan mereka. Tindakan itu mungkin menguntungkan di dunia tetapi balasan tetap menanti di akhirat.

Kejadian kemalangan yang terus dilaporkan sewajarnya menyedarkan masyarakat untuk mengubah sikap dan sentiasa berwaspada kerana kemalangan boleh berpunca daripada kelalaian kita atau oleh pemandu lain.

Mari kita renungi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada seorangpun di antara manusia ini kecuali (pada hari kiamat nanti) akan dipercayai oleh Allah SWT (dihadapkan ke mahkamah Allah). Maka pada waktu itu tidak ada orang lain sanggup menjadi jurubicara antara keduanya (sebagai orang ketiga atau peguam). Lalu orang dipercayai oleh Allah tadi akan melihat ke sebelah kanannya, maka tidak kelihatan melainkan hanya pahala kebaikan yang pernah dilakukannya ketika berada di dunia dulu. Dan apabila dia cuba melihat ke sebelah kiri pula, maka dia tidak melihat kecuali balasan perbuatan jahat yang pernah dilakukannya ketika berada di dunia dulu. Kemudian apabila dia melihat ke hadapan maka dia tidak melihat kecuali hanya api neraka. Maka tanamkanlah rasa takut terhadap api neraka dan jauhilah seksaannya walaupun kalau kamu hanya mampu bersedekah dengan sebelah buah kurma saja.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU