31 July 2012

Apa khabar saudara kita di Mynmar. Khabarnya sungguh diperlaku tragis

Apakah yang terjadi sekarang di sana?

Paling mendera mataku pabila gambar ini akhirnya sampai ke depan kaca mata kita. Aku cuba bayangkan situasi di Mynmar seperti gambar remaja lelaki seperti ditetak di belakang bahu, membara marahku, cuma setakat menaipkan keluhan.
Aku cuba bayangkan situasi itu berlaku di tempatku, melibatkan kaum kerabatku dan sebagainya. Alangkah pilu dan sadis untuk dipersembahkan sebagai realiti. Ketika kita diralitkan dengan juadah berbuka yang berlebihan, keseronokan memilih baju raya ataupun sibuk melihat FAM dengan KAFA bertengkar mengenai insiden Ghaddar vs Bunyamin, Amri Yahya dan Nasriq Baharum, mereka di sana diperlakukan kerana golongan Rohingya adalah tertindas bertiketkan orang pelarian.
Di bulan ramadan, hatiku sebagai umat Islam saudara memunajatkan doa agar Allah selamatkan mereka dari terus dizalimi dan Allah hancurkan golongan zalim dengan bala yang lebih dahsyat. Doa senjata kita, untuk umat Islam Rohingya yang dizalimi fizikal dan mental. Ya Allah, hanya itulah terdaya kulakukan.

Coretan: Muhd Shatar

30 July 2012

Lelaki Terakhir Meninggalkan UM dan Paling Awal Mengadap Ilahi

Nostalgia Ahmad Fauzan bin Madrih.

11 Ogos 2005, tarikh terakhir bertemu dengan guru muda ini. Sehingga pada 27 Julai 2012 sebaik selesai membaca surah Yasin di beranda surau (yang tiba-tiba terniat memilih surah Yasin sebagai bacaan menunggu berbuka)  saudara Surjana, mengirimkan sms  berbunyi: Ahmad Fauzan bin Madrih telah kembali ke rahmatullah. Terlibat dengan kemalangan. 6.18 petang.

Sejuk hati terasa sayu sekali dengan berita kematian arwah kerana saya dengan Ahmad Fauzan antara pelajar yang paling lewat menghabiskan pengajian di UM berbanding rakan-rakan yang lain kemasukan 2000/2001. Pengalaman tahun terakhir cukup sepi dan terasing kerana ketiadaan rakan sekuliah yang lain dan ditengelami dengan ragam junior. Kami ditakdirkan memanjangkan tahun pengajian alasan peribadi masing-masing dan saya banyak fokus kepada dunia penulisan pada masa itu.

Ahmad Fauzan kelihatan begitu cekal untuk lulus dalam subjek terakhir dalam pengajian dan kami sama-sama berkerah tenaga bagi menghadapi madah Usul Fiqh III di bawah pengajaran Dato Paduka Mahmod Zuhdi. Akhirnya pada 11 Ogos 2005 kami berjaya mengambil ijazah di konvokensyen UM.  Malam 11 Ogos tersebut saya diminta Ahmad Fauzan menghantar beliau dan ayahnya ke pusat bandar Kuala Lumpur. Saya baru pandai bawa kereta kerana hanya lulus lesen seminggu sebelum ke KL. Sebelum itu saya telah diberi penempatan mengajar di negeri Pulau Pinang.

Bila saya kenangkan arwah dari awal terima berita kematian - baru saya teringat pada malam saya hantar Ahmad Fauzan dan ayahnya ke pusat bandar Kuala Lumpur dengan pantas dia telah menolak stereng kereta saya ke tengah sedikit kerana saya telah termakan jalan ke tepi hampir ke bahu jalan yang dibenting konkrit batu. Maklumlah, saya baru seminggu dapat lesen terus bawa kereta  ke tengah kosmopolitan KL.

Kalau tidak, mungkin saya akan dapat pengalaman melanggar bahu jalan sebaik dapat lesen P. Jadi itulah saat terakhir saya bersama arwah Ahmad Fauzan.  Sebelum berpisah, ayahnya mengundang saya ke Sabah bila ada kelapangan.

Saya tinggalkan berpuluh kenangan bersama arwah dengan segulung ingatan yang sukar dikumal. Saya tahu orang yang amat berduka dengan kehilangannya iaitu adik perempuannya yang sama-sama belajar di kampus UM. Itulah mungkin kekuatan Ahmad Fauzan semasa menghabiskan subjek yang tertinggal kerana pelajar yang tertinggal akan berhadapan dengan kesukaran menghabiskan subjek akhirnya menyebabkan kegagalan memperolehi ijazah. Saya juga pada masa itu hanya diperkuatkan dengan semangat untuk membela nasib orang tua di kampung serta memikirkan soal bayaran balik PTPTN sekiranya gagal menghabiskan subjek terakhir.

Sekarang 7 tahun hampir berlalu, nostalgia bersama arwah adalah kenangan yang sukar dipadamkan. Ternyata arwah seorang yang menceriakan dan tidak pernah keluar sepatah perkataan yang menyakitkan dari mulutnya. Banyak rakan ditemui tetapi jarang yang memiliki perwatakan disenangi yang dingati. Paling terkilan, saya tidak cuba menghubunginya semasa melawati Sabah beberapa tahun lepas dalam lawatan bersama ahli koperasi sekolah. Semoa Allah memberkati roh arwah dan orang yang baik sepertinya sudah pasti beroleh kemenangan.

Al-fatihah untuk arwah Ahmad Fauzan bin Madrih...

Sahabatmu.
Muhd Shatar

Berita kemalangan arwah Ahmad Fauzan bin Madrih disiarkan dalam akhbar Borneo Post
TUARAN: Seorang guru agama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka di sini terbunuh setelah Proton Myvi yang dipandunya bertembung dengan Toyota Hilux di Kilometer 5.9 Jalan Sulaman, petang kelmarin.
Dikatakan mangsa dikenali sebagai Ahmad Fauzan Madrih, 33, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Menurut saksi kejadian, mangsa dipercayai tersalah masuk ke laluan bertentangan sebelum Toyota Hilux yang dinaiki oleh tiga lelaki tempatan merempuh kenderaan mangsa.

  

10 July 2012

10 Hari Lagi Umat Islam Menunggu Berpuasa

Salam pembaca budiman,


Pada 19hb Julai 2012, umat Islam akan menyambut kedatangan bulan penuh keberkatan. Pada hari tersebut merupakan tarikh melihat anak bulan di seluruh dunia bagi umat Islam. Bermakna hampir 10 hari lagi tinggal untuk menikmati makan pada waktu siang. Namun, kekuatan berpuasa di bulan ramadan akan menjadikan kita boleh menjalankan akitiviti harian tanpa keletihan tanpa makan di waktu pagi atau tengah hari. Justeru bersahur adalah salah faktor yang menjadikan kita tidak terlalu kelaparan di sebelah siang. 

08 July 2012

Jalan Ke Syurga: Catatan Petang Ahad


Salam para pelajar, saudaraku sekalian.

Alhamdulillah, perjalanan  kita sebagai manusia diberi Allah usia yang boleh lagi melihat panorama alam saujana indah.

Kekuatan fizikal dan tenaga masih dipinjamkan Allah SWT membolehkan kita bergerak, melintasi satu persatu anak tangga kehidupan.

Paling penting, Allah tidak memberikan kita penyakit yang menjadikan kita kaku, tidak mampu bergerak atau hanya duduk di kerusi roda. Mungkin ketika itu teringatkan nikmat tenaga dan kesihatan dipinjamkan Allah SWT.
Ya! Hari ini kita sihat, kuat dan bebas menikmati panorama Allah yang luas dan cantik. Lihat sahaja gambar ini, bukankah tenang hati melihatnya, barang kali syurga Allah 100 kali ganda indah dan takjub. Lantas kesihatan dan kekuatan fizikal sekarang perlu digunakan tidak lain hanyalah beribadat untuk-Nya.


Coretan ilham : Muhd Shatar
Gambar: Sumber internet

06 July 2012

Layakkah Buatku Memohon Syurga Allah!


Salam buat pembaca sekalian,

Semalam hari nisfu sya'aban dan pun telah berlalu, ada yang berpuasa dan pada sebelah malamnya pula telah bangkit berdoa agar seluruh dosa yang pernah dilakukan terampun. Hari ini dan jaraknya  dengan kedatangan ramadan sebuah bulan penuh limpah keberkatan semakin hampir. Kerinduan untuk menikmati rahmah dan peluang pengampunan kian terbuka luas. Bulan promosi untuk meningkatkan pahala dari Allah agar akuan simpanan kekal ke akhirat kian bertambah. Sekurang-kurangnya dengan jumlah tersebut kita boleh memohon satu tiket ke syurga Allah SWT.

Seandainya malam ini malaikat Izrail datang menjemput, layakkan kita ke syurganya paling tidak terselamat dari azab api neraka yang dijanjikan...

Coretan Ilham: Muhd Shatar

01 July 2012

Terimakah Akan Tuhan, Solat Yang Kupersembahkan?

Salam para pelajar yang dirahmati Allah SWT,


Dalam kehidupan seharian, solat adalah perkara utama yang mesti ditegakkan. Berdepan dengan hasutan liar dari segerombolan syaitan yang menjanjikan manusia supaya menangguhkan solat dengan pelbagai cara dan teknik sebagaimana biasa digunakan dalam iklan terpapar di papan iklan atau kain rentang tentang promosi harga runtuh atau ada diskaun besar-besaran yang kononnya menguntungkan pembeli.
Para pelajar sekalian, tanggungjawab terhadap solat amat besar dan menjadi ringan untuk diutamakan apabila memperingati balasan azab kepada golongan yang ingkar bersolat sedangkan nikmat pemberian Allah tidak terkira. Amat penting ialah jangan gemar menangguhkan ibadat solat kerana diyakini membawa kepada pengabaian.

Kelebihan solat kepada perwatakan seseorang jelas berbeza dengan orang yang tidak solat baik dari segi raut wajah, tutur kata dan pilihan tindakan. Jadi, janganlah kita termasuk dalam golongan yang tidak ingkar menunaikan solat kepada Allah SWT kerana balasan azabnya tak tertanggung di akhirat.

Perkara yang perlu difikirkan, adakah solat yang ditunaikan akan diterima Allah kerana sempurna dan khusuknya pabila berhadapan dengan Tuhan dalam lima kali pertemuan wajib dan pertemuan sunat yang lain.

Coretan: Muhd Shatar

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU