09 September 2009

Hantaran Tinggi Sukarkan Perkahwinan

Oleh : Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar
Tersiar di Utusan Malaysia : 17/09/2003

MENGAPA wang hantaran perkahwinan semakin tinggi pada zaman sekarang hingga menyusahkan golongan muda Islam untuk mendirikan rumah tangga demi memenuhi naluri seks secara halal?
Wang hantaran yang tinggi bagi golongan yang berada tidaklah menjadi masalah, tapi anak-anak muda yang baru menamatkan pengajian tidak mampu menyediakan wang yang banyak untuk kos perkahwinan.
Kini ditambah pula kesukaran mendapat pekerjaan sesudah tamat pengajian menambahkan lagi kerumitan untuk mendirikan rumah tangga. Usia sudah layak untuk berumahtangga, tapi beban yang berat untuk mengumpul wang yang banyak menjadi satu kesukaran untuk menunaikan fitrah yang halal ini.
Ini mungkin terjadi kepada muda-muda yang tersepit dalam masalah kewangan. Maka pilihan terakhir mungkin dengan memilih cara tidak halal untuk memenuhi tuntutan naluri ini.
Sejumlah wang yang besar terpaksa dihabiskan bagi mendirikan rumah tangga sekarang bukan sekadar untuk wang hantaran, malah terpaksa membiayai keperluan adat yang lain.
Pada zaman Rasulullah urusan perkahwinan dijalankan secara sederhana tanpa unsur pembaziran serta tidak membebankan, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Sahl bin Saad r.a.
``Pada satu ketika seorang perempuan datang berjumpa Rasulullah s.a.w seraya berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk menyerahkan diriku kepadamu. Lalu Rasulullah s.a.w memandang kepadanya sambil mendongak dan memerhatikan dengan teliti kemudian baginda mengangguk-anggukkan kepalanya.
``Apabila perempuan itu mendapati Rasulullah s.a.w diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk. Lalu bangunlah seorang sahabat dan berkata: Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya, kahwinkanlah aku dengannya.
``Rasulullah s.a.w segera bertanya: Adakah engkau memiliki sesuatu yang boleh dijadikan mas-kahwin? Sahabat itu menjawab: Tidak ada.
``Baginda bersabda: Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan mas-kahwin. Lantas sahabat tersebut pulang, kemudian beliau kembali menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dijadikan mas-kahwin.
``Maka Rasulullah s.a.w berkata lagi: Carilah walaupun sebentuk cincin besi.
``Lalu sahabat tersebut pulang dan datang kembali serta berkata: Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi, tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya. (Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badannya.)
``Rasulullah s.a.w berkata: Apa yang engkau boleh buat dengan kain engkau itu. Sekiranya engkau memakai kain itu, perempuan tersebut tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain tersebut engkau tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai.
`` Sahabat itu duduk lama kemudian bangun. Rasulullah s.a.w memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ.
``Setelah itu Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya dia dipanggil. Apabila sahabat tersebut sampai, Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah yang engkau miliki daripada Al-Quran?
``Sahabat tersebut menjawab: Aku hafaz surah itu dan surah ini. Sahabat berkenaan menghitungnya.
``Rasulullah berkata: Pergilah! Engkau telah memilikinya bermaskahwinkan ayat atau surah Al-Quran yang engkau hafaz.''
Kita maklum bahawa kehidupan kota yang terdedah kepada pergaulan bebas sudah ke tahap yang agak membimbangkan ditambah lagi penghijrahan tenaga muda ke kawasan bandar untuk memenuhi peluang kerja.
Maka adalah penting bagi golongan muda untuk mendirikan rumah tangga awal bagi mengelakkan diri daripada terdedah kepada zina. Oleh itu adalah perlu ikatan perkahwinan dipermudahkan untuk mengelakkan golongan muda tercebur ke dalam perzinaan.
Perlu ada unsur kawalan wang hantaran oleh pihak berkuasa agama untuk menentukan kadar yang mesra pengantin. Jika dibiarkan terus hantaran tinggi menjadi budaya dalam masyarakat, maka akan bertambah kelompok orang muda yang terpinggir daripada perkahwinan.
Adalah menjadi tanggungjawab bersama semua pihak untuk menggembalikan semula apa yang disarankan oleh Rasulullah tentang mempermudahkan urusan perkahwinan.

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU