17 September 2009

Hantaran tinggi bukan alasan untuk tidak berkahwin

SAYA tertarik dengan pendapat yang dilontarkan oleh Muhammad bin Abdullah, berkaitan isu hantaran perkahwinan yang dikatakan tinggi dan menyukarkan proses sebuah perkahwinan. Apa sebenarnya yang beliau cuba sampaikan kepada kita?
Saya tak nampak sebarang bebanan yang berkaitan dengan faktor hantaran dalam sebuah perkahwinan. Tetapi saya melihat bebanan sebenar sebuah perkahwinan itu adalah daripada aspek tanggungjawab dan kemampuan pasangan untuk membina institusi kekeluargaan.
Jika pasangan tidak bersedia untuk menerajui sebuah keluarga dan tidak mampu untuk menampung kehidupan bersama, itulah yang menjadi pokok persoalan.
Hantaran mahal mestilah dilihat daripada aspek perbelanjaan untuk mengadakan kenduri kahwin. Apabila memperkatakan mengenai kos perbelanjaan kenduri, kita melihat daripada jumlah jemputan. Keduanya pula, kita menganjak kepada aspek bagaimana pula cara kita akan melakukan kenduri tersebut, sama ada secara katering atau bergotong-royong dengan jiran tetangga. Dan daripada perkara inilah yang selalunya pihak keluarga sebelah perempuan khususnya, meletakkan jumlah belanja hantaran yang mengikut peredaran zaman dan masa. Harga barang waktu dahulu dan sekarang adalah sangat berbeza.
Isu hantaran adalah isu yang sangat terpencil. Banyak lagi isu yang perlu diberi perhatian seperti keganasan dan penderaan dalam perkahwinan, isteri yang ditinggalkan serta anak-anak yang terbiar yang lebih memerlukan perhatian kita. Dan juga permasalahan sosial yang berlaku sekarang juga wajar diberi penekanan.
Kita juga tidak dapat menafikan bahawa terdapat anak muda kita yang melakukan hubungan terlarang di luar perkahwinan, tetapi adakah perkara yang mereka lakukan itu disebabkan masalah hantaran ataupun kegagalan mengawal nafsu? Dan adakah pasangan yang melakukan perkara terkutuk itu memang sudah bercadang untuk mendirikan rumahtangga ataupun telah berjumpa dengan kedua-dua belah pihak keluarga untuk berkahwin? Nafsu dan hantaran merupakan dua unsur yang berbeza dan tidak boleh dikaitkan.
Memang benar, salah satu sebab pasangan mendirikan rumahtangga adalah untuk mengelakkan maksiat, tetapi perkahwinan itu adalah satu daripada sunah Rasulullah. Dan perkahwinan juga merupakan satu cara membina institusi kekeluargaan yang sihat dalam memupuk rasa tanggungjawab, kasih sayang dan melahirkan anak-anak yang soleh. Di manakah nilai positif dan kebaikan sebuah perkahwinan jika hanya untuk memenuhi nafsu seks semata-mata.
Apabila pasangan berniat untuk mendirikan rumahtangga walau susah macam mana sekalipun, percayalah bahawa niat yang baik akan dipermudahkan oleh Allah kerana Allah sentiasa menolong umatnya yang membuat kebaikan. Perkahwinan itu adalah satu perkara yang baik dan diredhai oleh Allah.
Jika kita beriman, kita mesti mempercayai pertolongan Allah. Tiada apa yang mudah dalam kehidupan di dunia ini jika kita tidak berusaha. Ini termasuklah untuk mendirikan rumahtangga. - FARAH TAIB, Kuala Lumpur.

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU