28 December 2013

Jumaat Pertama di Johor: Tunggu Lembaran 2014

Salam pagi sabtu,

Ruang sekolah sunyi dan sepi, lenyap bayang-bayang pelajar dari kaca mataku. Rumah di kawasan sekolah menjadi terasing pabila ketiadaan pelajar. 5 hb januari  tidak lama lagi pasti kawasan ini kembali bergempita. Di saujana padang sekolah, kelihatan rumput makin kering, kehausan air. Sudah lama bumi ini tidak menerima hujan.
Alhamdulillah, di Johor  akan berlaku satu perubahan besar pada hari jumaat. Jemaah tidak akan tergesa-gesa untuk meninggalkan masjid semata kembali ke alam pekerjaan. Tiada lagi telatah manusia sibuk dengan urusan masing-masing sebaik tamat menunaikan solat Jumaat. Kalau ada pun tidak menunjukkan fenomena biasa pada tahun-tahun sebelum ini.
Syukur dan tahniah kepada pihak yang menjayakan penukaran cuti pada ahad kepada jumaat. Jasa kalian sangat diucapkan rasa lega dan syukur.
Diharapkan ada lagi anjakan perubahan. Sebaik solat jumaat kita ingin lihat ada fenomena budaya membaca al-Quran atau kemunculan aktiviti baru keagamaan yang sebelum ini ditiadakan. Apa salahnya dirancang program berunsur keagamaan yang boleh menarik minat remaja, belia dan orang tua. Inssak Allah semua diharapkan akan ada berlaku di bumi Johor...

Coretan; Muhd Shatar

25 December 2013

Sepagi Sekuliah di Masjid Tok Lebai Hashim; Pertemuan dengan Mantan Mudir

Salam penuh kelapangan.

Pagi tadi, Alhamdulillah aku beroleh nikmat menunaikan solat subuh berjemaah di Masjid Tok Lebai Hashim. Paling bertuah, penyampai kuliah subuh hari ini sangat tidak disangka Tuan Guru Nik Razi bin Nik Mat, mantap mudir Maahad Muhamadi Lelaki Kota Bharu sewaktu aku berada di tingkatan 4 dan 5 di sekolah tersebut.
Menatap wajah orang soleh lebih baik dan tersangat sejuk di jiwa. Wajah yang sama dilihat pada tahun 1997 di perkarangan sekolah Maahad Muhammadi.
Beliau memulakan kuliah dengan membacakan beberapa ayat al-Quran dengan lunak sebagai mukadimah.
Ada lima pesanan utama dari kuliah beliau;
1. Jangan lupa solat berjemaah di masjid
2. Mesti baca al-Quran setiap hari
3. Sebelum tidur solat witir terlebih dahulu
4. Kehidupan di dunia yang singkat.

Alhamdulillah, sepagi dengan permulaan kata-kata yang baik, sentuhan kalbu dari suara yang kadang kala menikam dan menjadikan kita sekejap bermuhasabah.

Syukur Allah, pagi tadi aku diundang menjadi tetamu-Mu di Masjid Tok Lebai Hashim.

Coretan: Muhd Shatar

03 December 2013

Pabila Anggur Berbuah: Buah-buahan Disebut Dalam al-Quran

Salam Selasa,

Dalam seminggu ini, banyak perkara yang baik, kontroversi dan sadis menyelubungi pemikiran kita di tanah air tercinta ini.
Ustaz Kazim dilantik MT UMNO, secara positifnya dapat memberikan nasihat berguna kepada pentadbiran kerajaan sedia ada. Diharapkan Ustaz Kazim ada kekuatan menegur dan memberikan cara terbaik kepada sistem pemerintaan sekarang. Pabila ada ulama bersuara, banyaklah hikmahnya. Kita tunggu dan lihat natijah dan kesan yang baik hasil pelantikan Ustaz Kazim Elias ini.
Tiga hari lepas, kematian serentak 3 adik beradik di Kedah perlu dijadikan titik tolak. Mengapa jenayah kejam ini dilakukan.
Pelbagai teori akan menjadi gambaran di minda kita. Persoalannya mengapa jenayah semakin kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Pabila banyak kelonggaran wujud dalam masyarakat sememangnya titik tolak berlakunya bibit jenayah dan malapetaka.
Saya masih ingat akan pesan orang-orang tua dahulu, anak-anak mesti balik sebelum maghrib. Ibu bapa dahulu akan riuh sekampung kalau anak remaja belum pulang sebaik maghrib. Bahkan ada istilah lahir bagi mana-mana remaja atau orang dewasa yang balik selepas maghrib. Amat kurang manis kalaulah waktu azan maghrib masih kelihatan anak-anak berjalan pulang ke rumah. Jiran-jiran akan bertanya sebab apa, kenapa dan untuk apa?
Zaman sekarang, ramai yang tidak indahkan soal waktu maghrib yang perlu dijaga. Malahan berduyun-duyun manusia berkeliaran pada waktu maghrib untuk ke pasar malam, pesta dan mana-mana ada acara keraian.
Pabila maghrib sebenarnya lebih utama berada di rumah atau masjid untuk meluangkan masa beribadat, membaca al-quran ataupun mendengar kuliah. Pendapat saya kalaulah ada kesedaran di kalangan masyarakat untuk menjaga anak-anak balik sebelum maghrib untuk beribadat, dan menambahkan ilmu nescaya gejala maksiat, persundalan dan jenayah akan dapat dikurangkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Kemudian, Kami tumbuhkan untuk kamu dengan air itu, kebun-kebun tamar (kurma) dan anggur. Kamu beroleh dalam kebun-kebun itu (berbagai jenis lagi) buah-buahan yang banyak dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu. (Surah al-Mukminum ayat 19)

Sekadar coretan: Muhd Shatar

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU