02 August 2009

Jangan Bermain Dengan Cinta

Salem,
Para pelajar yang dikasihi sekalian,
Waktu remaja adalah waktu yang paling rumit untuk dilalui. Saya akui bahawa perubahan hormon yang berlaku menjadikan kamu tidak stabil dalam apa juga tindakan. Malah ada perasaan yang baru akan muncul di gerbang usia, yang perlu kamu berjuang untuk menafikannya. Inilah yang bakal menguji kekuatan minda dan keimanan kepada Allah Taala. Apatah lagi sebagai seorang Islam kita harus menjaga batas-batas pergaulan supaya tidak melampau batas.
Dalam pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi (tiada pertalian), tidak dibenarkan berlaku sentuh menyentuh, pegang memegang, cuit mencuit dan seumpamanya walaupun dalam keadaan bergurau dan hubungan yang rapat termasuk bertunang.
Dari Maqil bin Yasar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sekiranya ditikam di kepala seseorang kamu dengan sebatang besi adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh.” (Hadis Riwayat Baihaqi) .
Selain itu, sesorang perempuan yang baik tidak akan menggunakan bahasa yang merdu ataupun lembut dengan mana-mana lelaki bukan mahram kerana suara perempuan adalah aurat dan kalau tidak dijaga dengan baik nescaya akan menarik perhatian lelaki ataupun ghairah shahwat.
Firman ALLAH SWT di dalam surah al-Ahzab, ayat 32, maksudnya:
Wahai isteri-isteri Nabi! Kamu semua bukanlah seperti mana perempuan-perempuan yang lain jika kamu tetap bertaqwa. Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya, berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).)

Imam Ibnu Kathir mantafsirkan ayat di atas dengan menyatakan bahawa ianya adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh Allah kepada para isteri Rasulullah SAW dan juga kepada para wanita mukminah iaitu hendaklah berbicara dengan orang lain (lelaki) tanpa suara merdu iaitu janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya.
Justeru, berhati-hatilah kita dalam pergaulan jangan sampai perasaan CINTA yang dialami oleh kita menguasa iman lalu kita senang diajak syaitan untuk melakukan maksiat.

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU