28 January 2010

Sehari 1 Hadis: Kelebihan Surah al-Kahfi


Daripada al-Barra r.a katanya : “ Di kala seorang lelaki membaca surah al-Kahfi tiba-tiba ia melihat binatang peliharaannya berlari dan ia melihat bagaikan sekumpulan mega atau awan lalu ia datang menemui Rasulullah SAW dan menyebutkan mengenainya kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda : “ Itu adalah as-Sakinah (ketenangan) yang turun bersama al-Quran atau turun di atas al-Quran.”

(Hadis Riwayat: Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)
Huraian Hadis:
Dalam surat al-Kahfi, diceritakan tentang kisah Ashaabul Kahfi, (pemuda-pemuda beriman), kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir a.s serta kisah DZulkarnain dan Ya'juj dan Ma'juj. Dalam beberapa hadith, Rasulullah SAW menggalakkan kita agar membaca dan menghafal surah ini kerana dengan membacanya dapat menghindarkan diri dari fitnah (musibah). Di dalam surah al-Kahfi ini terkandung isyarat penting mengenai Hari Akhirat, seperti mana yang dipelajari daripada kisah-kisah yang dipaparkan iaitu pengalaman Ashabul Kahfi yang tinggal dalam sebuah masyarakat yang kufur kepada Allah SWT, Nabi Musa a.s yang banyak belajar daripada Khidr dan tentang sebuah pemerintahan dalam kisah Dzulkarnain yang kesimpulannya dapat memberikan kita pengertian tentang nilai-nilai keimanan yang sebenar. Semua ini perlu direnungkan oleh seluruh umat Islam kerana apabila surat ini dibaca secara keseluruhannya akan tergambar kepada kita tentang perkaitannya dengan realiti semasa yang melalui yang tahap-tahap yang berbeza iaitu permulaan, perkembangan, dan berakhirnya dunia ini dengan kedatangan nabi Isa a.s sebelum kemunculan hari kiamat.

27 January 2010

Sehari 1 Hadis: Jangan Memilih Jalan Keburukan

Mahfumnya: Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayat, maka baginya dari pahala seperti pahala (sebanyak pahala) pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun.(Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Mahfumnya: Ibnu Mas’ud r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w. : “Tiada suatu jiwa yang terbunuh dengan penganiayaan, melainkan putera Adam yang pertama dahulu itu, mendapat bahagian dari penumpahan darah itu, kerana ia yang pertama membuka jalan untuk penumpahan darah.”(Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah kisah pembunuhan Qabil terhadap Habil kerana Qabil dengki terhadap Habil yang berkahwin dengan kembarnya yang lebih cantik.


Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

Sehari 1 Hadis: Saat Sampai Ajal

Hadis Nabi Muhammad SAW:

Dari Al-Bara' bin 'Azib r.a katanya: Kami telah keluar bersama-sama Nabi s.a.w, mengiringi jenazah seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu kami sampai ke kuburnya yang disediakan. Rasulullah s.a.w pun duduk lalu kami duduk disekelilingnya dengan keadaan tidak bergerak dan membisu; manakala Baginda s.a.w pula mencucuk-cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya.
Setelah itu Baginda s.a.w mengangkat kepalanya lalu bersabda: "Mintalah kamu perlindungan kepada Allah dari azab kubur", (diulanginya sabdanya itu) dua atau tiga kali; kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Sesungguhnya hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, putih bersih muka mereka, seolah-olah matahari, dengan membawa kain kapan bersama mereka dari kain-kain kapan syurga, dan Hanut (Pachai iaitu serbuk campuran dari benda-benda yang harum yang ditabur kepada mayat semasa dikapankan) dari yang ada di syurga, sehingga mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakulmaut a.s lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Wahai jiwa yang baik! Keluarlah (dan pada satu riwayat ada disebutkan: Orang yang hendak mati dihadiri - saat naza'nya - oleh Malaikat, maka sekiranya orang itu seorang yang salih, berkatalah Malaikat: "Keluarlah engkau….) menuju ke tempat keampunan dan keredhaan Allah".
Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu keluar - mengalir seperti mengalirnya setitik air dari mulut bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu Malakul maut mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya ditangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun lalu mereka mengambilnya kemudian meletakkannya di dalam kain kapan dan Hanut yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang harumnya seperti seharum-harum kasturi yang terdapat di atas muka bumi." Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang baik ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si anu anak si anu' (dengan menyebutkan sebaik-baik namanya yang biasa mereka menamakannya dengan nama-nama itu di dunia), (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama; setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan pintu untuk mereka; kemudian Malaikat-malaikat yang berkedudukan istimewa di sisi Tuhan dari penduduk tiap-tiap langit menghantar roh itu beramai-ramai hingga ke langit yang berikutnya, sehinggalah mereka berhenti membawanya di langit yang ketujuh.
Setelah itu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu): "Simpanlah suratan amal hambaKu ini dalam 'illiyyin (tempat simpanan surat amal orang-orang yang berbakti) dan bawalah dia balik ke bumi, kerana sesungguhnya Aku telah menciptakan manusia dari bumi, dan ke bumi juga Aku kembalikan mereka, serta dari bumi pula Aku keluarkan mereka sekali lagi".
Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan sesungguhnya orang yang kafir (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, hitam muka mereka, dengan membawa kain-kain kasar seperti kain kadut; lalu mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakal maut, lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Hai jiwa yang jahat! Keluarlah (dan pada satu riwayat disebutkan: Maka apabila orang itu orang jahat, berkatalah Malaikat: "Keluarlah engkau….) menuju ke tempat kebencian dan kemurkaan Allah".
Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu berselerak di merata jasadnya (kerana takut hendak keluar), lalu disentap rohnya itu oleh Malakul maut sebagaimana sebatang besi pembakar daging disentap dari segumpal bulu yang basah; Malakul maut pun mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun sehingga mereka meletakkannya dalam kain kasar yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang sebusuk-busuk bau bangkai yang ada di atas muka bumi.
Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang jahat ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si anu anak si anu," (dengan menyebutkan seburuk-buruk namanya yang biasa dipanggil dengan nama-nama itu di dunia); (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama, setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, tetapi tidak dibukakan baginya.
Kemudian Rasulullah s.a.w membaca (ayat 40 Surah al-A'raf ertinya): "…..Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga hingga unta masuk di lubang jarum…..". (Kemudian Baginda s.a.w bersabda): "Lalu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat: "Simpalah suratan amal jahatnya di dalam sijjin (tempat simpanan surat amal jahat orang-orang yang berdosa), yang letaknya di bumi yang terkebawah sekali. Lalu dicampakkan rohnya ke situ…….."

(Al-Bara' bin 'Azib r.a)
Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

26 January 2010

Minda Penulis Blog: Kutip Wang Perlu Lesen

Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

(Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengutip wang deposit tanpa lesen d aripada orang awam membabit lebih RM70 juta antara Februari dan Oktober 2008) Dia bertindak selaku pemilik syarikat Eastana Farm Industries Sdn. Bhd. didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat syarikat itu di alamat 47-1 Jalan TKS 7, Taman Komersial Senawang- Sumber Utusan Malaysia 26.01.10

Coretanku: Hari ini banyak syarikat pelaburan tumbuh bagaikan cendawan, hilang bagaikan ribut. Fasa pertama buka syarikat dalam mana-mana bidang. Cari dana pelaburan dari rakyat 1Malaysia.

Bila dah terlalu banyak dana mulai gelap mata. Akhirnya syarikat dihalang kerana melanggar peraturan perniagaan. Mngutip wang pelaburan tanpa lesen adalah satu kesalahan besar.
Maka syarikat terpaksa ditutup. Menderitanya para pelabur yang tak berdosa.



Sehari 1 Hadis: Perbuatan Yang Menghadirkan Bala

Hadith :
Ibnu Abbas menceritakan :”Nabi SAW berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran oleh baginda suara dua orang sedang disiksa dalam kuburnya. Maka bersabda Rasulullah SAW :”Keduanya disiksa bukanlah kerana dosa besar.” Kemudian baginda melanjutkan perkataannya,:”Yang seorang disiksa kerana kencing di tempat terbuka) dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan.” Sesudah itu baginda menyuruh supaya mengambil pelepah tamar lalu dipatah dua oleh baginda dan diletakkan di atas kedua kubur itu masing-masing satu pelepah. Seseorang pun bertanya:”Ya Rasulullah! Mengapa kamu lakukan seperti itu?” Jawab baginda “Mudah-mudahan kedua-duanya mendapat keringanan selama pelepah tamar itu tidak kering.”

(Bukhari)Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

22 January 2010

Sehari 1 Hadis: Jangan Ungkit Pemberian @ Sedekah






Dari ‘Asma binti Abu Bakar as-Siddiq r.a katanya, dia datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu dia bertanya:”Ya nabi Allah! Aku tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan selain yang diberikan Zuber (suamiku) kepaku (untuk belanja rumahtangga). Berdosakah aku apabila wang belanja itu kusedekahkan ala kadarnya ?”Jawab nabi s.a.w :”Sedekahkanlah ala kadarnya sesuai dengan kemampuanmu dan jangan menghitung-hitung kerana Allah akan menghitung-hitung pula pemberian-Nya kepadamu dan akan kedekut kepadamu.”

(Muslim)


Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

21 January 2010

Sehari 1 Hadis: 3 Golongan Ahli Syurga

Untuk menjadi ahli syurga



Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Ahli syurga itu ada tiga golongan iaitu orang yang memerintah yang bersifat adil dan dikurniakan taufiq, orang yang berperasaan kasih sayang serta berhati lembut kepada setiap kaum karabat dan sesama Islam, orang yang tidak suka meminta-minta dan berusaha mengelak daripada meminta-minta sedangkan ia mempunyai keluarga yang ramai”.

Riwayat Muslim



Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

20 January 2010

Sehari 1 Hadis: Menjaga Kecergasan Badan

Para pelajar yang dikasihi,
Membahagikan masa dengan aktiviti riadah yang boleh menyihatkan badan adalah merupakan cabang ibadat umum yang wajar diamalkan dalam kehidupan kita. Justeru, sebarang aktiviti yang dilakukan mesti diniatkan kerana Allah, maka bertambahlah pahala.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Allah lebih menyayangi orang Muk’min yang kuat daripada orang Muk’min yang lemah’. (Riwayat Muslim)
Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

Minda Penulis Blog: Hati-Hati Orang Felda Kemahang

Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

"Felda diarah bayar RM11 juta kepada 354 peneroka Kemahang 3, Kelantan oleh Mahkamah Persekutuan semalam. 600 orang kaum kerabat peneroka Felda Kemahang 3 berhimpun di depan mahkamah bagi meraikan kemenangan.
Coretanku: Lepas ini, warga Kemahang 3, kenduri sakan dengan pampasan tersebut. Jangan jadi jutawan segera di tanah Felda lain yang kaya-raya sekejap sahaja dengan sejumlah wang yang melimpah-ruah. Banyak sudah kes jutawan segera dah jatuh miskin sebab banyak duit dah kena tipu. Duit banyak tapi kemahiran menguruskan wang dan ilmu pengetahuan semasa kurang menjadikan mana-mana jutawan segera senang dimanipulasi.
Biasalah bila diwar-warkan mana-mana tempat ada jutawan segera, maka berbondong-bondong para taukeh yang masuk desa. Umpan mana-mana individu yang dah gelap mata dengan sejumlah wang yang banyak. Adalah salesman kereta, perabot, komputer, dan sebagainya yang peka dengan perkembangan ini.
Rezeki masing-masing, yang bijak membaca peluang. Bila dah kaya-raya semua orang mahu kawan, bila dah jatuh miskin - orang tenggok hujung mata tak termasuk kena umpat dan sebagainya.
Awas! Jutawan segera. Wang mesti disimpan dalam Tabung Haji. Demi sebuah masa depan yang diredai Allah.
Renungkan hadis ini:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat dan menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya. ”

Riwayat al-Ibn an-Najjar

19 January 2010

Sehari 1 Hadis: Cara Malaikat Mengambil Nyawa Manusia

Salam,
Para pelajar yang dikasihi Allah SWT:

Rasulullah s.a.w bersabda: "…..Dan apabila seseorang mukmin sampai masa matinya ia digembirakan oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya: Bahawa ia akan beroleh rahmat Allah dan keredhaan-Nya serta Syurga-Nya, maka pada ketika itu tidaklah ada sesuatu yang dicintai oleh orang itu lebih daripada menerima apa yang dihadapinya, lalu ia suka dan ingin mengadap Allah, dan Allah juga redha menerimanya dengan sebaik-baik sambutan; dan apabila seseorang yang kafir atau yang berdosa didatangi oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya, ia diberitahu bahawa ia akan beroleh azab seksa Allah dan kemurkaan-Nya, maka ketika itu tidaklah ada sesuatu yang dibencinya lebih daripada yang dihadapinya; dengan sebab itu maka ia merasa gerunan tidak suka mengadap Allah, dan Allah juga tidak redha ia mendekati rahmat-Nya apalagi mengadap-Nya."
Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

18 January 2010

Catatan: Kereta Yang Istimewa

Apa yang ada pada kereta?

Yang penting membawa kita dalam perjalanan yang lancar. Perodua Kancil cukup memenuhi kelayakan sebagai kereta kecil yang cerdik.
Penjimatan minyak yang cukup memadai dengan kelajuan, paling sesuai sebagai kenderaan jarak dekat.
Sepanjang aku menggunakan kereta ini, Alhamdulillah tidak pernah mengalami masalah.
Tiada peruntukkan untuk membaiki melainkan kos penyelenggaraan yang minima RM60 untuk 3 bulan. Menakjubkan!

Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai kenderaan yang melebihi dari keperluannya sendiri hendaklah bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai kenderaan dan sesiapa yang mempunyai lebihan bekalan makanan hendaklah ia bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan. Selanjutnya baginda menyebut bermacam-macam lagi harta benda yang baginda teringat hingga kami lihat bahawasanya tidak ada seorang pun dari kami yang benar-benar mempunyai kelebihan”

Hadith Riwayat Muslim

Blogger: Sahabat Yang Jauh

Usia pendewasaan adalah terlalu indah, tiada ternilai bandingannya. Melaluinya pasti merindui akan setiap halaman
pengalaman.

Usia setelah dewasa satu hala yang pasti.

Usia yang paling berbisa, penghidupan kampus yang banyak meninggalkan cerita terbaik.

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.”

(Riwayat Al-Tabrani)





Sehari 1Hadis: Memberi kelapangan Kepada Insan Lain

Salam kepada para pelajar yang dirahmati Allah,

Setiap hari yang pantas berlalu, kita haruslah cuba menjadi manusia yang boleh memberikan kelapangan kepada manusia lain dengan harapan kelapangan tersebut boleh digunakan untuk beribadat kepada Allah.


Maksud dari sebuah hadis:
Dari Abdullah bin Abu Qatadah r.a, katanya:”Abu Qatadah mencari seseorang yang berhutang kepadanya dan menghilangkan diri. Kemudian orang itu ditemuinya. Dia berkata kepada Abu Qatadah,:”Aku sedang dalam kesulitan.” Maka berkata Abu Qatadah:“Demi Allah! Demi Allah! Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,:”Sesiapa yang ingin dibebaskan Allah dari kesulitan pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelapangan bagi orang-orang yang dalam kesulitan atau membebaskannya dari hutang.”

(Muslim)
Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

15 January 2010

Sehari 1 Hadis: Pahala Melangkah Ke Masjid


Mencari pahala yang tak terhingga banyaknya:
Sebagaimana hadis:

Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya:”Rumah kami jauh dari masjid. Kerana itu kami ingin membeli rumah yang dekat dengan masjid. Tetapi Rasulullah s.a.w melarang kami, sabdanya:”Untuk setiap langkah yang kamu langkahkan ke masjid, kamu mendapat imbalan satu darjat.”

(Muslim)


Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

14 January 2010

Sehari 1 Hadis: Kepentingan Hati Yang Baik

Ingatlah! Sesungguhnya setiap penguasa (kerajaan), memiliki daerah terlarang. Ingatlah! Sesungguhnya daerah yang terlarang milik Allah adalah apa saja yang diharamkan-Nya. Ingatlah! Sesungguhnya di dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan jikalau ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya, tidak lain dan tidak bukan itulah yang dikatakan hati. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

13 January 2010

Sehari 1 Hadis: Jauhi Sifat Riak

Salam, para pelajar yang dikasihi Allah.

Sikap suka menunjuk-nunjuk adalah antara sifat mazmumah yang perlu dielakkan. Sebagai mana maksud sebuah hadis:

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Adakah kamu mahu aku memberitahu kamu tentang suatu perkara yang aku takuti ke atas kamu daripada dajal? Mereka menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah! Bagindapun berkata:” Syirik khafi iaitu seorang lelaki bangun bersembahyang lalu dia memperelokkan sembahyangnya kerana ada orang yang memerhatikannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Huraian:
1. Di antara tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu lebih suka menyembunyikan kebaikannya sebaliknya tidak suka jika kejahatannya disembunyikan. Dia melakukan kebaikan semata-mata kerana mahukan keredhaan daripada Allah S.W.T.

2. Sebaliknya riya’ pula adalah mencari sesuatu untuk keuntungan diri daripada amalan yang dilakukan di dunia sama ada untuk mendapatkan pujian, sanjungan, hadiah dan sebagainya bahkan hal ini termasuk dalam perbuatan syirik (syirik khafi).

3. Perbuatan riya’ (suka menunjuk-nunjuk), jika telah menjadi satu tabiat, lambat laun akan menyebabkan orang yang melakukannya dipandang hina oleh manusia lain. Oleh itu ubat riak ialah dengan menyembunyikan amalan yang ingin diserlahkan oleh nafsu kecuali amalan yang tidak dapat tidak, mesti dizahirkan seperti solat berjamaah, berpuasa dan yang seumpama dengannya.

4. Orang yang riak adalah termasuk orang yang munafik. Maka tiadalah pahala bagi perbuatan baik yang dilakukannya itu di sisi Allah S.W.T, sekalipun ia terpuji di mata manusia.

Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

12 January 2010

Sehari 1 Hadis: Soalan Di Hari Kiamat

Para pelajar yang dikasihi Allah,
sebagai umat Islam yang bermatlamatkan syurga sebagai tempat kediaman kita di alam yang kekal, kita perlu memastikan usia yang makin bertambah diisikan dengan perkara yang baik serta amalan ibadat kepada Allah. Ilmu yang ada perlu diamalkan. Harta yang ada perlu digunakan ke jalan yang diredhai. Tubuh badan yang sihat sekarang hendaklah digunakan untuk perkara yang disuruh oleh agama. Renungilah hadis ini:

Dari Abi Barzah al-Aslami, r.a, dari Nabi s.a.w, sabdanya : “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia dihabiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?’’ (Riwayat al-Tirmizi)
Huraian
1. Setiap orang akan disoal oleh Allah sebelum dimasuk ke syurga atau neraka
2. Ini menunjukkan kehidupan di dunia amat penting dan jangan disia-siakan usia yang ada
3. beramallah dengan mengerjakan segala yang disuruh dan menjauhi segala yang dilarang Allah.
Disusun oleh Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

11 January 2010

Minda Penulis Blog: Menternak Hantu Lebih Baik Dari Menternak Cacing


Oleh:
Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

Satu lagi khabar yang menggempakkan pembaca surat khabar hari ini. Kali ini pelabur kepada skim pelaburan penternakan cacing sekitar Kulim dan negeri berhampiran iaitu Pulau Pinang.
Aku pernah melewati bandar Kulim sekitar jalan Kulim Hi-Tech, ada pernah kuterlihat kain rentang jemputan menternak cacing.
Hampir setahun gembar-gembur ternak cacing berjalan dan biasalah adalah cerita yang kudengar, ada yang dah jadi kaya hasil ternak cacing ini.
Pernah kudengar ada yang dah kerugian kerana menternak lintah (yang awal lagi). Katanya lintah ini boleh dijual kerana ada pasaran, akhirnya aku dengar ramai yang dah berkubur sebab lintah tidak mahu membesar. Katanya jadi makanan burung yang berada di atas, sedang memerhati dengan rakus lintah yang merayap di tepi kolam seperti mat motor menunggu bebudak perempuan habis waktu sekolah.
Zaman berubah dari lintah kepada cacing.
Ada iklan yang pernah kudapat yang tertera: "Menternak cacing boleh jadi kaya, sila ikuti kursus menternak cacing dengan bayaran RM200.00".
Sebenarnya inilah perangkap. Apa tidaknya, mereka yang pergi kursus ditayang keuntungan yang berlipat kali ganda. Setelah nampak peserta sudah masuk perangkap, disuruhnya peserta keluarkan modal rm sekian-sekian untuk memulakan projek. Segala peralatan dan makanan cacing dibekalkan. Maka wujudlah usahawan cacing yang bakal dijeratoleh pengusaha kursus dengan pinjaman peribadi yang belum tentu terbayar.
Aku teringat sebuah cerpen "Menternak Hantu" tulisan penulis tersohor. Mungkin ramai yang mengenali Masli N.O seorang pejuang puisi yang tak pernah penat tulis puisi. Cerpennya bertajuk: Menternak Hantu ini telah berjaya memenangi hadiah utama HKSU. Rupanya menternak cacing sama dengan menternak hantu. Dua-dua sudah ghaib bersama duit pelabur.

Sehari 1 Hadis: Amalkan sikap suka menolong

Para pelajar sekalian,

Amalkan sikap suka menolong dalam diri kita. Membudayakan sifat suka membantu ataupun memudahkan urusan orang lain amat digalakkan dalam agama. Malah, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

Dari Abu Hurairah r.a, baginda bersabda: ‘Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya’. (HR. Muslim)

Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

07 January 2010

Godam: Herald-The Catholic Weekly versus Natrah

SEKALI lagi beberapa kelompok bangsa Melayu dan umat Islam negara ini gempar serta terasa diperkotak-katikkan apabila Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly. Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Hakim Bee Lan, membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan terbabit, hakikatnya suatu tamparan kerana kalimah Allah di semenanjung hanya digunakan oleh umat Islam. Meskipun penghakiman dibuat berdasarkan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, tetapi di bawah undang-undang yang sama, Artikel 3(1), status agama Islam sebagai agama rasmi negara diberi haknya, tetapi boleh diperlekehkan!
Sekalipun jika keputusan ini berubah selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, bangsa Melayu dan umat Islam negara ini perlu mengambil iktibar daripada peristiwa ini. Hakikat kalimah Allah membabitkan akidah umat Islam bukan saja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia dan God dalam bahasa Melayu akan diterjemahkan sebagai Tuhan selain Allah hanya hadir dalam kepercayaan umat Islam tidak boleh dinafikan walau sesiapa juga! Meskipun kelompok Melayu liberal melihat perkara ini sebagai remeh kerana hanya membabitkan persoalan bahasa, tetapi hakikat bersama-samanya hadir kepercayaan umat Islam, justeru wajib diberi perhatian kerana ia bakal mempengaruhi masa depan agama dan bangsa Melayu negara ini.
Alasan kalimah Allah sudah lama digunakan dalam Bible di Indonesia ekoran agama Kristian di sana disebarkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu sehingga kitab mereka diguna pakai di Sabah dan Sarawak, tidak boleh diterima sebagai hujah selain perlu dinilai sebaik-baiknya kerana tugas mubaligh memerangkap sasaran mereka! Perlu diingat dalam penterjemahan sesebuah karya, aspek budaya dan kepercayaan dalam teks yang diterjemah serta kedua-dua aspek terbabit dalam bahasa sasaran terjemahan perlu diambil kira bagi mengelakkan daripada berlakunya terjemahan semberono. Kelompok yang masih mahu mempertahankan bahawa perkataan Allah boleh dikongsi di kalangan penganut agama Samawi perlu mengambil kira aspek bahawa penganut Kristian hari ini menghayati fahaman dalam Bible yang sudah dipinda kandungannya. Justeru, Jesus dalam konteks mereka tidak akan sekali-kali sama dengan nabi Isa bagi umat Islam meskipun kedua-dua agama berkongsi nabi yang sama dan dalam Islam tidak ada konsep Allah sebagai Bapak, Allah sebagai Anak dan Roh yang Suci, seperti dalam Kristian!
Peristiwa ini juga seolah-olah mengulangi sejarah malang bangsa Melayu dan umat Islam dalam kes Natrah (Nadra@ Hurbedina Maria Hertogh @ Bertha) di Singapura apabila mahkamah Inggeris memberi kemenangan kepada Kristian @ penjajah, cuma berbeza dari segi reaksi. Keputusan mahkamah Inggeris dalam kes itu menyebabkan umat Islam tanpa mengira fahaman politik dan bangsa, bangkit menentang sehingga terjadi rusuhan besar-besaran pada 12 Disember 1950 sehingga 18 nyawa melayang, tetapi dalam kes Herald The Catholic Weekly, sebaliknya! Umat Islam dan bangsa Melayu negara ini masih berpecah dari segi pandangan selain reaksi secara kecil-kecilan saja meskipun hakikat agama mereka diperlekeh oleh undang-undang sivil dan nampak sangat sikap berlembut, terlalu bertolak ansur dan telus sejak sekian lama, akhirnya memakan diri! Jika penentangan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menyaksikan Keranda 152 diarak sekali lagi selepas pertama kali diarak pada 3 Mac 1967 kerana mahu memartabatkan bahasa Melayu, tetapi kes Herald The Catholic Weekly tidak! Orang Melayu dan umat Islam negara ini perlu mengambil iktibar daripada peristiwa ini bahawa mereka perlu bersatu demi menyelamatkan maruah agama dan bangsa serta tidak sekali-kali merelakan diri daripada terperangkap dalam sandiwara kelompok tertentu. Apakah hakim hanya akan mengambil kira penggunaan kalimah Allah oleh Gereja Katolik sebagai mengganggu ketenteraman sekiranya berlaku perarakan besar-besaran bangsa Melayu dan umat Islam di seluruh negara sehingga paderi hilang nyawa atau gereja dibakar sebagai tanda protes? Tidakkah peristiwa ini jelas menunjukkan agenda tersembunyi Gereja Katolik yang bermati-matian mahukan kalimah Allah sedangkan semua tahu ramai rakyat negara ini tanpa mengira agama dan bangsa, tergila-gilakan bahasa Inggeris dan mengapa dalam kes ini bahasa Melayu menjadi pilihan!
i

Sehari 1 Hadis: Kemahuan Manusia Mendedahkan Kepada Kefakiran

Para pelajar sekalian, jangan jadikan permintaan hawa nafsu sebagai tuhan yang berkuasa. Hawa nafsu perlu dikawal agar tidak menjadikan kehidupan kita hiruk pikuk dengan dosa. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud:
"Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku mengkhuatirkan atas kamu kalau dibentangkan dunia untuk kamu sebagaimana yang pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu membinasakan kamu sebagaimana dulu membinasakan mereka." – Riwayat Bukhari dan Muslim.
Pembaziran adalah antara perbuatan yang perlu dielakkan. Makanlah di dewan makan sekolah atau kantin dengan tidak gelojoh serta tidak berlaku pembaziran.

Allah berfirman dalam Surah Al-Israa' ayat 27 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya."
Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

06 January 2010

Sehari 1 Hadis: Sesal Dahulu Pendapatan Sesal Kemudian Tiada Gunanya

Para pelajar sekalian,
Kita wajar bersedia dengan pelbagai persiapan menjelang hari esok. Bagi pelajar perjuangan utama kalian adalah menuntut ilmu. Zaman sekarang memerlukan ilmu pengetahuan yang tercatat dalam setiap sijil. Semua pekerjaan yang dipohon bergantung kepada kecemerlangan sijil. Sekalipun ada yang berjaya tanpa tertulis dengan sekeping ijazah, namun alangkah baiknya kita bersedia dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran demi mencari masa depan yang cerah


Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Nabi s.a.w bersabda:”Setiap yang masuk ke dalam syurga diperlihatkan kepadanya tempat diamnya di dalam neraka jika seandainya dia melakukan kesalahan, supaya dengan itu bertambah syukurnya kepada Tuhan. Setiap orang yang masuk ke dalam neraka, diperlihatkan kepadanya tempat diamnya di dalam syurga jika seandainya dia melakukan perbuatan baik, supaya dengan itu timbul penyesalannya.”

(Bukhari)

Pepatah Arab berbunyi: "Agama menjadi sendi hidup, pengaruh menjadi penjaganya. Jika tidak bersendi, runtuhlah hidup dan kalau tidak berpenjaga, binasalah hayat. Kerana orang yang terhormat itu, kehormatannya itulah yang melarangnya berbuat jahat."
Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

05 January 2010

Jenis-Jenis Nafsu

1- Nafsu al-Mutmainnah ialah jiwa tenang, berserah kepada Allah, tidak berubah darjah keimanannya

2 - Nafsu al-Radiah (jiwa sentiasa reda dengan pemberian Allah, baik ataupun buruk)

3 - Nafsu al-Mardiah (peringkat penguasaan ke atas nafsu dimiliki wali dan sahabat nabi)

4 - Nafsu al-Kamil (nafsu yang sempurna dimiliki nabi dan rasul)

03 January 2010

2010: Keindahan Subuh Yang Permai


Pagi sabtu yang permai, waktu subuh mendingin meninggalkan sepohon ingatan, aku bangkit di sisi pagi.
Sikap Dengki Boleh Rosakkan Perpaduan Ummah
Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

PERBUATAN menzalimi hak dan mencemarkan kehormatan sesama umat Islam dan bukan Islam amat dilarang Allah. Perpaduan yang dianjurkan Islam mengajak seluruh umat Islam bersatu padu dan berusaha menghidupkan budaya hormat-menghormati serta amalan saling melengkapi mesti diutamakan dalam semua aspek kehidupan seharian seperti maksud firman Allah, "Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga dekat, dan jiran tetangga jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri" (An-Nisa, :36). Perbuatan zalim ditakrifkan sebagai tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Perbuatan seumpama menceritakan perihal sulit kerjaya rakan sekerja di luar lingkungan tempat kerja, memburuk-buruk rakan setugas dengan niat mencemarkan reputasinya, ataupun menggunakan kuasa dan kedudukan untuk menjadikan rakan sejawatan diberikan tugas di luar kemampuan atau di luar bidang tugasnya. Organisasi dan jabatan yang berjaya sebenarnya memerlukan perpaduan dan suasana harmonis yang berlangsung antara rakan sejawatan bagi membolehkan wujudnya persekitaran kerja yang mantap serta bersepadu. ;
Kerenah rakan sekerja antara virus paling berbahaya yang mampu merosakkan keberkesanan mana-mana matlamat organisasi sekiranya tidak segera diatasi majikan. Keprihatinan majikan dalam memerhatikan kerenah pekerja mengikut pengurusannya wajar ditekankan agar tidak berlaku sebarang unsur penindasan, manipulasi serta penganiayaan terhadap orang bawahannya. Allah Taala menciptakan manusia dalam pelbagai bentuk kebolehan, kemahiran yang berbeza dan sebagainya maka, menjadi tugas majikan untuk menggunakan variasi kebolehan pekerjanya
untuk menjana organisasi selain tidak memungkinkan wujudnya persekitaran yang tidak sihat. Allah dalam memastikan manusia tidak berlaku zalim ke atas sesama makhluknya menjelaskan dalam firman-Nya, "Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membuat kerosakan". (al-Qasas: 77). Sifat suka memperkecilkan kebolehan atau memperlekehkan orang lain adalah antara sifat keji yang perlu dielakkan. Barang kali terbitnya perasaan sombong, megah dan riak kerana golongan ini memiliki kelebihan yang diberikan Allah dalam takdirnya berbanding orang lain.
Sifat keji ini pasti membarah dalam diri menjadikan golongan itu lebih suka melihat orang lain dengan pandangan rendah dan hina sebagaimana maksud firman Allah, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".( Al-Hujuraat: 11). Umat Islam perlu menyedari amaran Allah mengenai bahaya sifat mazmumah. Setiap perbuatan zalim dilakukan bakal mengundang kemurkaan Allah serta tetap diberikan balasan yang setimpal. Firman-Nya, "Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui. (Luqman:16) Seterusnya kehidupan kita kelak tidak terlepas dari rentetan bala Allah lantaran perbuatan menzalimi manusia lain. Perlu diingat! Doa orang yang dizalimi tidak terhijab dengan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, " Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya (doa orang yang dizalimi itu) tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding." (Bukhari). Balasan bala atas orang menzalimi hak manusia lain ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan jagalah diri kamu daripada dosa yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya". ( Al-Anfal: 25)
(Disiarkan dalam Berita Harian 12.01.20109 (Sabtu)

01 January 2010

Sehari 1 Hadis: Hindar Perbuatan Menzalimi Orang Lain


Oleh Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya (doa orang yang dizalimi itu) tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding.” (Bukhari).

Dalam kehidupan seharian, kita mungkin terlupa untuk menjaga mulut dan tingkah laku kita agar tidak dianggap menzalimi orang lain. Komunti yang sentiasa berada di dalam kehidupan perlu djaga semoga dijauhi dari tersilap kata, fitnah, hinaan, dan sebagainya.


Perlu diingat, doa orang teraniaya amatlah mustajab.

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU