29 May 2010

Sehari 1hadis: Mengutamakan Matlamat Akhirat Lebih Utama

Diriwayatkan oleh Imam Al-Tirmizi bahawa Baginda bersabda:

“Sesiapa yang terbangun di pagi hari sedang akhirat menjadi hasrat terbesarnya nescaya Allah menghimpunkan segala masalahnya, memberikan kepuasan pada hatinya, dan datang kepadanya rezeki dunia tanpa bersusah payah mencarinya. Dan sesiapa yang terbangun pada pagi hari sedang dunia menjadi hasrat terbesarnya nescaya Allah akan mencerai-beraikan hartanya, meletakkan kemiskinan di depan matanya dan rezekinya tidak akan datang melainkan hanya sebanyak yang telah ditakdirkan untuknya.”


Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

28 May 2010

Dosa Sebesar Zarah Tetap Diadili Tuhan

Firman bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam kitab amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam kitab amalnya).” – (Surah al-Zalzalah: 7-8)


Sepanjang kehidupan ini, jangan kita melakukan kesalahan atau melemparkan tuduhan, tohmahan atau sebarang makian kerana itu adalah suatu dosa yang tetap dikira oleh Allah walau sebesar zarah.
Terutama dalam emel tanpa identiti yang sebenar. Kerana itu tetap satu kesalahan.



 
Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

27 May 2010

Meninggalkan Zuriat Yang Beriman

Allah SWT berfirman dalam Surah Ath-Thuur, ayat 21 yang bermaksud: “Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, kami hubungkan dengan mereka zuriat mereka dan kami tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal-amal mereka tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”.
Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

25 May 2010

6 Sifat buruk isteri yang mesti dirawat

Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar


6 Sifat buruk isteri yang mesti dirawat



1. Wanita Ananah: banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.
2. Wanita Mananah: suka membangkit-bangkit terhadap suami. wanita ini sering menyatakan,”Aku membuat itu keranamu”.
3. Wanita Hananah: menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.
4. Wanita Hadaqah: melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.
5. Wanita Baraqah: ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.
6. Wanita Syadaqah: banyak cakap tidak menentu lagi bising.


Dicatat oleh Imam Al-Ghazali

1Minggu Satu Hadis: Rahsia Terkandung Dalam Rahim

DARIPADA Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan Allah iaitu tiada mengetahui apa yang tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan Allah: tiada yang mengetahui apa akan terjadi esok hari melainkan Allah; tiada seorangpun yang mengetahui bila waktu hujan akan turun melainkan Allah; tiada seorang mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan Allah dan tiada yang mengetahui bila kiamat terjadi melainkan Allah.”


(Hadis Riwayat Bukhari)




Disusun oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

24 May 2010

Tazkirah Agama: Perbetulkan niat untuk bawa bekalan ke dunia akhirat

Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar
(Disiarkan dalam Berita Harian 2010/05/18)

Kehendak syahwat, godaan iblis jadi cabaran bawa manusia ke ruang keinsafan

KEHIDUPAN manusia di dunia ciptaan Allah bersifat sementara. Nabi Muhammad pernah mengibaratkan bahawa hayat manusia di atas muka bumi ini seperti seorang pengembara. Apabila tiba masanya, dia diminta pulang bersama tujuan pengembaraan.
Abdullah bin Umar berkata, Rasulullah memegang bahuku seraya berkata: “Jadikanlah diri kamu di atas muka bumi ini sebagai seorang perantau atau pengembara. Ibnu Umar berkata: Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu tunggu menjelang waktu pagi. Apabila kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu menjelang waktu petang. Gunakanlah peluang untuk beramal semasa kamu sihat untuk persediaan ketika kamu sakit dan semasa hidup untuk persediaan matimu.” – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Jelas, bekalan yang perlu dibawa ke negeri akhirat sebagai mana dikehendaki Allah bakal menentukan ke arah mana harus ditujui. Memilih syurga bererti memilih pengorbanan yang perlu dilakukan di dunia ini.

Pengorbanan untuk mencari jiwa yang murni dengan menjadi insan yang sentiasa melaksanakan perintah Allah dan menghindari larangan-Nya. Dua cabaran utama harus dihadapi iaitu kehendak syahwat dan godaan iblis yang berjanji untuk mengheret sebanyak mungkin manusia ke dalam kelompoknya.

Firman Allah bermaksud: “Syaitan menakut-nakutkan kamu dengan kemiskinan dan menggalakkan kamu berbuat kejahatan sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurniaan. Dan Allah Maha Luas kurniaan lagi Maha Mengetahui.” – (Surah al-Baqarah: 268)

Sebagai umat Islam, kita berpegang bahawa al-Mizan iaitu alat timbangan Allah mampu mengakses dan menimbang buku amalan catatan sama ada yang baik atau sebaliknya. Bergembiralah golongan yang menerima buku amalan dengan tangan kanan di hari akhirat kelak.
Umat Islam harus memahami segala tindakan, perbuatan, perkataan dan perwatakan peribadi adalah dikira ibadat jika diniatkan kepada Alah seperti firman bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam kitab amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam kitab amalnya).” – (Surah al-Zalzalah: 7-8)

Setiap amalan akan yang dicatatkan adalah bekalan untuk dibawa ke akhirat. Seorang penjual pasar malam yang menjalankan urus niaga dengan jujur dan mengutamakan keuntungan sederhana demi memenuhi keperluan pengguna pun turut dijanjikan pahala.
Seorang isteri mentaati perintah suami yang tidak bertentangan dengan syariat Islam serta melayan suami dengan baik, dijanjikan pahala dan keampunan Allah.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Wanita yang taat terhadap suaminya, diminta ampun oleh burung di angkasa, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan, selama wanita itu ada dalam kerelaan suaminya. Dan setiap wanita yang derhaka kepada suaminya, maka kepadanya laknat Allah, malaikat dan manusia semuanya. Dan setiap wanita yang bermuka masam pada suaminya, ia adalah dalam kemurkaan Allah hingga ia (wanita/isteri) bersenda gurau dengan suaminya dan ia meminta kerelaannya. Dan setiap wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, malaikat melaknat hingga ia pulang.” – (Hadis riwayat Al Bazzar)

Begitu juga perbuatan membuang benda boleh membahayakan orang ramai yang lalu-lalang di jalan. Harga keselamatan orang yang melalui jalan itu walaupun perbuatannya dianggap remeh, sebenarnya mengundang keampunan Allah kepada pelakunya.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Seorang lelaki melalui sebatang jalan dan ternampak ranting pokok yang berduri lalu dialihkannya ke tepi. Maka Allah melimpahkan kasihnya kepada lelaki itu dan diberikan keampunan ke atasnya.” – (Sahih al-Bukhari)

Menyesali waktu yang lepas adalah perkara sia-sia. Justeru, menjadikan hari ini sebagai permulaan untuk membetulkan kesilapan lalu adalah jawapan yang mungkin membawa kita ke ruang keinsafan dan mengundang perubahan.
Imam Hassan al-Banna menyatakan dalam kitabnya Risalah at-Ta’lim: “Kewajipan yang perlu kita sempurnakan adalah lebih banyak daripada masa yang kita ada. Maka sepatutnya tidak ada satu saat dibiarkan berlalu tanpa kita menggunakannya dengan melakukan perkara berfaedah.”
Menghampiri taubat dengan rasa ikhlas akan membuahkan sinar baru dalam kehidupan. Sejahat-jahat manusia seandainya taubatnya diterima Allah, pasti darjatnya mampu mencapai di kedudukan yang tinggi. Seseorang yang taubatnya diterima Allah seperti bayi baru dilahirkan.
Firman Allah bermaksud: “Hai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersama dengannya; cahaya mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka; mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah cahaya bagi kami dan ampunlah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” – (Surah at-Tahrim: 8)
Oleh itu, perbetulkan niat kerana Allah supaya bekalan yang dibawa di akhirat nanti dapat membantu saat ditanya Allah di hari akhirat apakah bekalan yang dibawa daripada pengembaraan di dunia ini.

Firman Allah bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia saja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?” – (Surah al-Mukminun: 115)
Sementara tubuh badan masih sihat dan ajal belum tiba, lakukan tugas mencari sebanyak mungkin bekalan untuk dibawa ke dunia akhirat serta pastikan bekalan itu mampu menjawab tujuan kita dilahirkan di dunia.

17 May 2010

Terkenang Masa Lalu: Selamat Hari Guru

Oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar



Suatu saat,
kutinggalkan usia kecil di perdu batang getah
menitik tetes-tetes
memercik kepenatan
bersama kasih di bawah bayangan daun-daun

Waktu pantas mendewasakan
meninggalkan batang-batang getah
berceracakan sedia menumpahkan susunya
pisau toreh ibu
tetap mengalirkan ingatan
hingga hari ini
aku beroleh dari kesusahan masa lalu

Bukit Mertajam

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU