17 May 2014

Salam Sabtu: Peranan Media Memartabatkan Kemuliaan Guru

Salam muhibah,

Sudah lama tidak meluangkan masa mencoret sesuatu di blog ini. Semalam hari guru. Semoga kemuliaan guru terus dijaga dan dijadikan perkara utama dalam minda seorang pendidik, pelajar, masyarakat dan khususnya media. 
Banyak pendedahan dibuat oleh media berkaitan salah laku guru yang akhirnya sedikit sebanyak mengurungkan kemuliaan guru sebagai sebuah institusi penting kepada masyarakat. Tidak dinafikan ada segelintir permasalahan guru kepada ketidakakuran pekeliling kerajaan dan kanun undang-undang. Ya, guru manusia biasa dan tidak dapat lari dari mendedahkan diri kepada kesalahan.
             
Kedudukan guru dalam masyarakat sangat teruja. Mengambil kira apa yang berlaku kepada guru hari ini yang kebanyakan aktif dalam soal persekitaran kehidupan. Di taman perumahan ada guru yang memainkan peranan membimbing masyarakat dengan mengetuai, atau menggerakkan aktiviti pengimarahan kejiranan, keagamaan dan kebudayaan. Guru diketahui individu yang terlatih bercakap di khalayak mungkin membantu dalam memberikan idea, bertindak sebagai jurucakap atau salah seorang pembina kesatuan antara ahli komuniti.
Memetik sebaris sajak Usman Awang bertajuk Guru Oh! Guru;
semakin jauh guru di pendalaman semakin bererti kepada masyarakat. 
Penelaaah Usman Awang terhadap martabat guru sangat tinggi kerana keberadaan guru di kawasan kampung sudah pasti mampu menjana pemikiran, perkembangan dan keharmonian dengan ilmu, tenaga dan kemahiran yang ada pada pendidik.
               Semalam 16 mei, hari dikhaskan kepada semua guru. Cukup besar penghargaan ini daripada pihak pemerintah.  Jiwa pendidik adalah antara cabaran utama kepada semua guru hari ini. Semua orang ingin jadi guru. Ditambah pula, pada masa ini gajinya agak berpatutan, atau berlebihan dan mungkin tidak mencukupi bagi pandangan seseorang guru. Pedulikan soal gaji. Apa sahaja kerja kalau dilakukan dengan penuh ikhlas akan mendapat keberkatan Allah.
              Guru pada hari menghadapi segala kerumitan dalam berhadapan dengan telatah pelajar yang makin berbeza pada waktu dahulu. Sejauh mana penghormatan pelajar kepada guru hari ini boleh dilihat dengan kes-kes yang ditimbulkan di media  cetak. Pelajar tendang guru, maki, mengumpat, memperlekehkan dan memandang rendah adalah antara cabaran utama. Saya pasti jika ada sedikit kebolehan guru menangani soal dengan berhikmah akan terbit hasilnya. Soalnya sejauh mana kesabaran guru terjawab.
              Imej guru pada hari ini makin terhakis akibat media masa dengan sewenangnya menjadikan guru sebagai tajuk utama untuk melariskan jualan akhbar. Guru ada takrifnya. Bukan semuanya boleh dikaitkan dengan guru. Mensensasikan nama guru dengan kes salah laku secara terbuka tanpa ada batasan dan keinginan media menjadikan sebagai tajuk utama dengan jelas meruntuhkan martabat dan imej pendidik. Biarpun guru di sekolah swasta/tadika/pusat tuisyen dan sebagainya yang membuka peluang kepada sesiapa sahaja dengan tiba-tiba bergelar guru tetap akan diketengahkan oleh media dengan tajuk guru begitu atau begini. Tanyalah akhbar Metro yang menggungguli kerja-kerja cepat dan segera dalam meruntuhkan nama baik guru biarpun belum terbukti bersalah.
                Pernah saya alami dalam tahun-tahun berkhidmat, kes kecuaian guru begitu cepat diketengahkan dalam akhbar sedangkan bila disiasat semuanya tidak berasas dan hanyalah tuduhan melulu. Ada baiknya orang media lebih berhati-hati dan mendengar kedua belah pihak sebelum ghairah menjadikan salah satu tajuk akhbar yang sensasi.

Salam perkongsian; Muhd Shatar


SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU