18 October 2013

Hari ini 13 Zulhijah - Hari Terakhir Melakukan Ibadat Korban Sehingga Terbenam Matahari

Salam 13 Zulhijah,

Pada fajar yang terbit tadi - aku melihat sebuah kehilangan. Kerugian kepada orang yang tidak melakukan ibadat korban kali ini meskipun dia berkemampuan. Waktu korban akan tamat pada saat terbenam matahari akhir petang nanti. Hari dalam islam bertukar pada waktu maghrib. Jadi lepas maghrib nanti dikira 14 Zulhijah.

Kelmarin, ibadat korban dilaksanakan di sekolahku untuk kakitangan, guru dan semua yang berada di sekolah ini. Hikmahnya cukup bermakna. Berlaku keakraban kepada semua guru, staf dan para pekerja yang selama ini tidak berkesempatan bertegur sapa.






Aktiviti-aktiviti yang diaturkan dalam agama Islam cukup memberikan impak kepada keseluruhan manusia dan alam. Cuma kita jarang memikirnya.














Antara syarat sah sembelihan bagi binatang ialah;
i. Binatang mati dengan sekali sembelihan
ii. Putus urat halkum dan merih
iii. Binatang yang halal

Manakala bagi syarat sah bagi peyembelih ialah;
i. Islam
ii. Tidak berada dalam ihram haji atau umrah

* Perempuan diharuskan melakukan sembelihan







Perbezaan sembelihan biasa dengan sembelihan untuk akikah & kurban ada sedikit perbezaan. Ramai pelajar keliru dengan dua perkara ini.

Hukum Sembelihan biasa; Wajib
Hukum Ibadat Korban dan Akikah; Sunat Muakad

Sembelihan biasa:
i. Kesemua binatang halal

Ibadat korban dan akikah
i. Hanya binatang ternakan (al-an`am)

Sembelihan biasa:
ii. Boleh disembelih pada bila-bila masa

Ibadat korban
ii. Pada 10 - 11 - 12 dan 13 Zulhijah sahaj
Ibadat Akikah
ii. Bila ada kelahiran anak

Cara pembahagian daging korban;

1/3 - untuk fakir miskin
1/3 - untuk orang ramai
1/3 - untuk orang yang melakukan ibadat korban

Cara pembahagian daging akikah;
Disunatkan dimasak manis untuk jamuan.


 Coretan; Muhd Shatar

16 October 2013

Kronologi Ibadat Haji - Nota Ringkas Buat Calon SPM Pendidikan Islam

Salam budiman buat para pelajar.
Bulan ini bulan Zulhijah yang mana ada kronologi berkenaan dengan ibadat haji yang bakal dilakukan para jemaah. Musim haji dikira sejak 1 Syawal lagi untuk para jemaah berniat mengerjakan ibadat haji. Pengetahuan tetang musim haji dan bukan musim haji akan dapat menentukan jenis cara mengerjakan ibadat haji sama ada Ifrad, Tamatuk atau Qiran. 

Saya mulakan dengan peristiwa berlaku pada;

KRONOLOGI PERTAMA

9 Zulhijah (14 Oktober 2013)


Kelihatan para jemaah wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijah di Arafah, Mekah.
Wukuf merupakan salah satu rukun haji yang perlu dilaksanakan bermula pada 9 Zulhijjah dan jemaah mesti melaksanakannya dengan berada di Arafah walaupun hanya untuk seketika.  

Sebaik maghrib para jemaah akan berangkat ke Mudzalifah (jaraknya 8 km dari Arafah) untuk bermalam. Para jemaah juga akan mengutip batu-batu kecil untuk melontar jamrah di Mina pada keesokan harinya. Batu yang perlu dikutip sebanyak 70 biji. Secara ringkas kegunaannya;

1. 7 biji batu untuk dilontar di Jamrahtul Aqabah pada 10 Zulhijah
2. 7 biji X 3 jamrah = 21 dilontar pada ketiga jamrah pada 11 Zulhijah
3. 7 biji X 3 jamrah = 21 dilontar pada ketiga jamrah pada 12 Zulhijah
4. 7 biji X 3 jamrah = 21 dilontar pada ketiga jamrah pada 13 Zulhijah

Jumlah batu dilontarkan ialah: 7 + 21 + 21 + 21 = 70 biji anak batu
 

KRONOLOGI KEDUA

10 Zulhijah (15 Oktober 2013)

Ketika kita di Malaysia sedang berhari raya pertama Aidiladha di Mekah, para jemaah akan melaksanakan ibadat melontar di Jamratul Aqabah (di Mina) terlebih dahulu. Di Mina ada tiga jamrah yang akan dilaksanakan oleh para jemaah iaitu ibadat melontar iaitu di Ula, Wusta dan Aqabah. Para jemaah dikehendaki melontar di ketiga jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijah. 
Inilah ibadat melontar di Jamrahtul Aqabah pada 10 Zulhijah yang terletak di Mina.
Para jemaah perlu melontar di Jamrahtul Aqabah sahaja pada 10 Zulhijah yakni hari raya Aidiladha kemudian bermalam juga di Mina.

Urutan ibadat yang berlaku pada 10 Zulhijah juga boleh diringkaskan seperti berikut;

i. Melontar di Jamrahtul Aqabah
ii. Menyembelih binatang korban
iii. Mencukur rambut 
iv. Tawaf Ifadah (tawaf rukun)
v. Saie dari Bukit Safa ke Marwa

KRONOLOGI KETIGA
 
11 Zulhijah (16 Oktober 2013)

Gambar ini menunjukkan ketiga-tiga Jamrah yang mana para jemaah dikehendaki melontar di ketiga-tiga jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijah.
Pada hari 11 Zulhijah - para jemaah dikehendaki melontar pada ketiga-tiga jamrah ini. Kemudian bermalam di Mina. 


KRONOLOGI KEEMPAT

12 Zulhijah (17 Oktober 2013)
Pada hari 12 Zulhijah - para jemaah dikehendaki melontar pada ketiga-tiga jamrah ini. Kemudian bermalam di Mina.


KRONOLOGI KELIMA

13 Zulhijah (18 Oktober 2013)

Pada hari 13 Zulhijah - para jemaah dikehendaki melontar pada ketiga-tiga jamrah ini. Kemudian bermalam di Mina.
Syarat Melontar Di Ketiga Jamrah Pada 11, 12 dan 13 Zulhijah

1. Masa melontar apabila gelincir matahari pada 11 dan 12 sehingga terbit fajar dan pada 13 Zulhijah bermula gelincir matahari sahaja sehingga terbenam matahari.

2. Mula melontar di Jamrahtul Ula, diikuti Wusta kemudian Aqabah pada  11, 12 dan 13 Zulhijah

3. Melontar dengan tangan sahaja dengan gaya melontar bukan cara membaling.


MAKSUD ISTILAH

- Tahalul Awal; keluar dari ihram haji selepas melakukan 2 dari perkara berikut;
i. Melontar di Jamrahtul Aqabah
ii. Bercukur
iii. Tawaf Ifadah

Para jemaah dibenarkan melakukan perkara yang dilarang ketika berihram kecuali 3 larangan berikut;

i. Tidak boleh berkahwin, menikahkan dan wakil nikah
ii. Tidak boleh melakukan permulaan kepada persetubuhan dan bercumbu-cumbuan
iii. Tidak boleh bersetubuh.

- Tahalul Thani; keluar dari ihram haji setelah melakukan kesemua 3 perkara ini;
i. Melontar di Jamrahtul Aqabah
ii. Bercukur
iii. Tawaf Ifadah

Selesai melaksanakan tiga perkara ini, para jemaah barulah boleh melakukan kesemua larangan dalam ihram.

Bersambung...

Soalan mungkin boleh dikeluarkan dalam tajuk ibadat haji bagi SPM 2013;

1. Sebutkan jenis tawaf?

2. Nyatakan tiga larangan dalam ihram haji kepada jemaah selepas tahalul awal?

3. Bilakah jemaah haji boleh melakukan tahalul thani?

4. Wukuf di Padang Arafah pada .....................

5. Ramli telah mengerjakan ibadat haji. Dia terlupa melakukan tawaf Ifadah. Nyatakan hukum haji bersama alasan?

6. Che Husain mengerjakan ibadat haji. Dia terlupa untuk wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijah dari waktu Zuhur hingga ke terbit fajar. Nyatakan hukum haji bersama alasan?

7. Azhan mengerjakan ibadat haji. Dia terlupa untuk melontar di Jamrahtul Aqabah pada 10 Zulhijah. Nyatakan hukum haji bersama alasan?

8. Cara melaksanakan ibadat haji ada tiga iaitu Ifrad, Tamatuk dan Qiran. Ramli melakukan ibadat umrah pada 27 ramadan kemudian berniat mengerjakan ibadat haji sebaik masuk bulan Syawal. Nyatakan jenis hajinya?

9. Di manakah tempat berniat ihram bagi jemaah dari Malaysia yang mendarat di lapangan terbang Madinah?

10. Sebutkan rukun haji yang kelima?

11. Apakah sah melakukan tawaf tanpa berwuduk. Nyatakan hukum dan alasan?

12. Apakah sah melakukan saie tanpa berwuduk. Nyatakan hukum dan alasan?

13. Cara mengerjakan haji manakah yang tidak dikenakan dam?

14. Nafar Awal ialah ..............

15. Lafaz yang diucapkan oleh para jemaah sepanjang melakukan ibadat haji disebut ...................

15. Melakukan haji pihak orang lain disebut .....................

16. Adakah sah sekiranya dia melakukan upah haji bagi pihak orang lain sedangkan dia belum melaksanakan haji bagi pihak dirinya?

17. Perkara dilarang semasa dalam ihram bagi lelaki sahaja ialah;

18. Selepas memakai ihram dan berniat mengerjakan haji di miqat...................... maka jemaah hari terikat dengan peraturan dan larangan semasa dalam ihram.

19.  Sebutkan syarat-syarat Nafar Awal?

20. Sebutkan waktu musim haji? 

Untuk dapatkan jawapan sila taip Jawapan Ibadat Haji 2013 ke emel pengendali blog muhd.live@yahoo.com atau klik di sini untuk mendapatkan fail jawapan.
 

Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

15 October 2013

Lafaz Takbir Raya

Salam Aidiladha.

Pada Hari Raya Haji terutamanya disunatkan bertakbir setiap kali selepas solat fardu, sebaik dari subuh pada Hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar pada 13 Zulhijjah.

Semoga aidiladha kali ini membetulkan cara hidup berlandaskan syariat.





 Coretan; Muhd Shatar

14 October 2013

Boikot Maxis: Hot Tiket Senang-Senang Ditamatkan Pengeluaran Sedangkan Penguna Masih Banyak Baki Panggilan dan SMS

Salam penyatuaan hak pengguna,

Ketika menyemak bagi kredit bagi pengguna Hot Tiket <012> hatiku menjadi sangat sakit hati. Apa tidaknya jumlah panggilan yang boleh digunakan 240 minit atau lebih kurang 2 jam berserta jumlah 947 sms akan dilupuskan jika tidak diperbaharui Hot Tiket yang baru.
SEDANGKAN sudah puas satu pekan Bukit Mertajam aku tanya kat tuan punya kedai telefon bimbit, semua jawapan tidak ada stok kad Hot Tiket. Sungguh jahat permainan kaum kapitalis MAXIS ini. Tak cukup lagi aku pergi ke pekan Kepala Batas, Perai, Sungai Dua, dan bermacam kedai.

Benar, kaum kapitalis ini perlu diajar. Kalaulah semua pengguna kad Hot Tiket sepertiku ini akan menukarkan kepada telco lain seperti Celcom, Digi dan banyak lagi kat pasaran ada baiknya. Tapi kalau aku seorang boikot tiada guna rasanya. Kepada semua pembaca dan para pengguna kad Hot Tiket - baik kita pakat untuk tukar telco Maxis kepada telco lain. Tak kira Digi atau Celcom - esok atau lusa aku akan tukar dari Maxis pengkianat marhean. Cara kapitalis ambik untung dengan mudah. Tamatkan penggunaan Hot Tiket kemudian buka kad baru.


Akhir kata; Tahniah Maxis - anda berjaya menelan bulat-bulat hak kami...

Coretan; Muhd Shatar

Esok Raya: Siapa Layak Berkorban Tapi Tak Tunai Korban = Kena Cepat Insaf

Salam pagi Isnin,

Kelebihan menunaikan ibadat qurban boleh dilihat dalam hadis:

Sebuah hadis menyebut  :
ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari qurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" 
(Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud) 

Esok, 10 Zulhijah. Peluang 4 hari dalam setahun untuk melakukan ibadat qurban perlu diutamakan dalam kehidupan kita sebagai mukmin. Kadang kala kita terlupa meletakkan keutamaan melakukan ibadat qurban sebagai amalan yang dilihat penting atau lebih berhak dilakukan pada 10 Zulhijah ini.
Firman Allah yang bermaksudnya;

Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu dirikanlah solat kerana Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” 

(Surah al-Kauthar : ayat 1-2)

Justeru, perlu kita memikirkan soal perbelanjaan untuk perkara lain telah dilaksanakan dengan jayanya oleh kita. Bila masuk bab ibadat qurban, kita wajib menyimpan azam untuk tetap menunaikan kerana KITA MAMPU...

Coretan: Muhd Shatar

 

09 October 2013

Ustaz Azhar Idrus Kini Pelakon Filem

Salam Oktober,

Lebih sejuta peminat Ustaz Azhar Idrus sedang menanti kemunculan lakonan pendakwah ini. Jangan pandang negatif dengan filem. Filem yang baik - ada cerita yang baik,  kalau ingin berbentuk Islamik mestilah ada adab dan semuanya berpandukan syariat. Tentu pilihan Ustaz Azhar ada hujah dan kewajaran dalam usaha dakwah. Saya sangat berpositif bahawa tindakan ini biarpun mengejutkan! Siapa sangka Ustaz yang awalnya menjadikan surau-surau kecil di sekitar Terengganu dan kerap diundang ke masjid di Kelantan tiba-tiba ditawarkan berlakon dalam filem.

Fenomena Ustaz Azhar sangat mengujakan. Berbekalkan seraut wajah cukup bercahaya, mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW dengan menyimpan janggut kelihatan Ustaz Azhar (UAI) digemari anak muda, hinggalah orang tua..

UAI dilihat bijak berhujah, kata-katanya secara mudah difahami dengan pelbagai perumpamaan diungkapkan menjadi fatwa beliau paling popular dihayati.

Semua orang berilmu diperlukan sumbangannya dalam menyebarkan dakwah. Tokoh kelihatan digemari orang muda ini wajar dijadikan contoh. Lebih baik, gerombolongan orang muda akan turut beribadat wajib solat fardu dan ibadat lain hasil cenderung dengan idola yang baik ini daripada terus hanyut dengan permainan dunia yang lain.

Coretan: Muhd Shatar

01 October 2013

Sekotak rokok 20 batang = Sekampit beras Jati 5 kilo

Salam oktober,

1 Oktober, 
Memetik tajuk penting hari ini di dada akhbar;
Pengeluar rokok, British American Tobacco Berhad (BAT Malaysia) dan JT International Berhad (JTI) mengumumkan kenaikan harga rokok keluaran syarikat masing-masing sebanyak RM1.50 hingga RM2 sekotak.
Ini menjadikan harga rokok seperti Dunhill, Kent, Winston, Salem dan Camel untuk 20 batang sekotak berharga RM10.50 hingga RM12 berkuat kuasa serta-merta bermula semalam. (Kosmo 01102013).
 Jadi, Winston 20 batang ini berharga RM12.00 sekotak Syukur - aku tidak termasuk dalam kalangan orang yang memperuntukkan rezeki bulanan bagi tujuan merokok. 


Sekampit beras berjenama Jati berat 5 kilo harganya  lebih kurang RM 12.90.  


Sesekali apabila mengenangkan para pelajar di bangku sekolah sudahpun menjadi penagih tegar kepada Winston, Camel dan pelbagai jenama rokok sedangkan bapanya kerja sebagai tukang sapu, tukang cuci, operator pengeluaran kilang yang bermatian untuk meraih rezeki... anak-anak dengan lahap menghabiskan satu puntung ke satu puntung rokok... malangnya.

Coretan: Muhd Shatar




26 September 2013

Kematian Ustaz Azizan; al-Fatihah untuk kesejahteraan rohnya...

Salam buat pembaca budiman,


Sebaik mendengar khabar berita kematian
bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak,  sebagai umat Islam ucapan al-Fatihah adalah hadiah
arwah.
Tan Sri Azizan Abdul Razak 69, telah disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada pukul 11.05 minit pagi tadi (26.09.2013).

Semoga roh beliau ditempatkan Allah bersama kelompok orang-orang yang beriman. Amin

 

22 September 2013

Pekan Lama Sungai Besi; Ada Nostalgia Suatu Ketika Dahulu

Salam Ahad yang lapang,

Pabila membelek akhbar Berita Ahad (22.09.2013) pagi ini - sebuah rencana tentang pekan lama Sungai Besi. Hatiku terusik. Serasa ada beberapa kenangan menyelinap ke kamar ingatanku kini seperti seekor ular. 
Pekan lama Sungai Besi pasti tidak melupakan aku tentang beberapa perkara. Kedai gambar yang aku ziarahi untuk mendapatkan foto sebagai syarat kemasukan ke Universiti Malaya pada tanggal 1998. Kedai gunting rambut kepunyaan orang melayu di tepi jalan sebelum sampai ke pekan Sungai Besi.

Rasanya kedai gambar itu berada ada di jajaran kedai 7 Eleven ini. Semuanya kerana kebetulan abang sulungku tinggal di Pansapuri Desa Tasik yang lebih kurang 5 kilometer dari Pekan Lama Sungai Besi. Jadi - buat beberapa purnama dan hampir beberapa tahun aku menumpang hidup dan berulang alik dari kampus UM ke Sungai Besi sehinggalah dia berpindah ke Rawang pada tahun 2002.   

Paling istimewa, di sinilah aku pernah menunaikan solat jumaat di dalamnya sebelum dirobohkan.

Sebaik membaca rencana di Berita Ahad, aku segar memperingati ulang-alikku ke sana dengan beberapa kenangan yang belum diselesaikan...




Coretan; Muhd Shatar

14 September 2013

Buku Tulisan Pengendali Blog e-Pendidikan Islam: Diterbitkan oleh ITBM dengan judul, Kalaulah Cermin Sisi Bersuara; Laluan ke Sebuah Buku


Salam Sabtu yang begitu lapang, Terima kasih kepada semua yang mengendalikan penerbitan buku ini.

12.09.2013 - Penulis antara puncak kegembiraan adalah karya tersiar. Di ruangan akhbar, majalah atau mana-mana penerbitan. Alhamdulillah dan terima kasih tidak terhingga kepada pihak ITBM yang memberi peluang kepada saya dengan menerbitkan sajak saya ke dalam sebuah buku yang dijudulkan Kalaulah Cermin Sisi Bersuara. Terkandung di dalamnya 54 buah sajak. Mengkritik fenomena dalam masyarakat bukanlah bererti kita maksum, cuma diharapkan peringatan kepada diri sendiri serta ingin berkongsi dengan khalayak lain. Diharapkan pembaca berhak mendapatkan manfaat. Terima kasih kepada MK Riza selaku orang dari pihak ITBM yang menangani naskah sajak ini dengan baik serta semua editor yang pernah berbudi memilih untuk menyiarkan sajak saya semasa di bawah kendalinya. Salam budiman. Untuk maklumat lanjut boleh terus ke www.itbm.com.my (Institud Terjemahan Buku Malaysia).



Laluan ke Sebuah Buku
(sekadar berkongsi pengalaman menulis...)


Saya melalui beberapa episod yang manis, ada yang terlalu pahit dan kini sukar dilupakan. Laluan saya sebagai penulis banyak cabang dan berliku sebelum bertemu dalam arus yang memudahkan kelancaran sajak-sajak tersiar di media cetak. Menulis sajak bukan senang, ia bermula dari pertembungan emosi dan kekayaan perbendaharaan diksi yang dimiliki. Emosi mencetus rasa sedih, marah, kekacauan dalam jiwa dan rindu terangkum sepi yang berlebihan yang akhirnya dapat diilhamkan sebagai keluhan, luahan, nurkilan yang mungkin menepat sebuah sajak yang baik.
Syukur, sejak di bangku sekolah rendah (Zaman bersekolah rendah di Sek Keb Bukit Panau) saya sudahpun boleh membaca novel. Seingat saya di darjah 5 dan 6 saya sudahpun meminjam novel yang agak tebal dari perpustakaan sekolah. Minat membaca ketika itu cukup subur. Ditambah lambakan buku-buku abang sulung saya yang merupakan anak kampung yang berjaya ke universiti pada tahun 1990 an, telah menjadi santapan minda saya. Budak kampung yang dapat peluang belajar di universiti tahun 1990 an cukup istemewa dan bertuah. Jadi buku abang saya seperti Pepatah-Petitih Jilid 1 dab 2 yang lazimnya menjadi bahan bacaan budak u tahun 1980 an,  sangat berkesan menghidupkan akal saya agar terasang berfikir tentang masyarakat dan survival bangsa. Kisah lucu berupa sindiran dan lukisan kartun yang terdapat dalam buku  Pepatah-Petitih Jilid 1 dab 2 menambahkan kefahaman saya terhadap kritikan Pak Sako (Ishak Haji Muhammad) terhadap individu tertentu ataupun bangsa sendiri.
Terus terang saya katakan, keberkesanan tulisan Pak Sako dalam Pepatah-Petitih Jilid 1 dab 2 yang menjadi bahan bacaan saya sejak di bangku sekolah lagi secara tidak langsung menjadikan saya insan berfikir dan kuat naluri sayangkan bangsa. Cerita Pak Sako membeli petai dari orang yang menjaja dari rumah ke rumah telah hidup dalam minda saya sehingga merasang saya mengemari petai sebagai ulaman malahan rajin menjeruknya. Begitu hebatnya tulisan mempengaruhi cara berfikir pembaca. Saya terfikir bagaimanalah kehidupan remaja dan kanak-kanak yang terbaca bahan-bahan cerita yang tidak bermutu, picisan dan kisah erotik nescaya mampu merosakkan akal mudanya.
Novel yang melatari pemikiran saya ketika itu seperti Badai Semalam (kuat berpengaruh tahun 90 an dalam keluarga saya), Seorang Tua di Kaki Gunung dan Tebaran Malam.

Laluan Sajak ke Media Cetak

Saya bernasib baik kerana menerima takdir bersajak di kampus Universiti Malaya. Peluangnya cukup terbuka. Saya melalui zaman menghantar kiriman melalui pos di mana sajak-sajak yang tersiar antara 2002-2003 adalah hasil dari kiriman secara pos. Saya masih ingat ketika mengitrimkan sajak dan cerpen ke majalah Tunas Cipta (terbitan DBP) saya akan membuat salinan lengkap bersama biodata dikepilkan bersama disket ke dalam sampul besar. Saya juga akan menyertakan buliten persatuan yang saya kendalikan yang mana tercatat nama saya sebagai editor untuk membuktikan saya adalah penulis kepada editor. Pada masa itu editor majalah Tunas Cipta, En Zulkifli Salleh amat perihatin dan memberikan peluang yang banyak kepada saya dengan menerbitkan karya saya dengan agak kerap. Antara tahun 2002-2003 karya saya antara terbanyak tersiar di majalah Tunas Cipta.

Laluan ke Sebuah Buku

Saya juga bertuah ada rakan-rakan penulis yang hebat seperti Muhd Lutfi Ishak, Jimadie Shah, Wan Azman Wan Mamat, Mohd Dahari Zaharia. Saudara Lutfi dibawa Jimadie ke rumah sewa kami di Pantai Indah, Pantai Dalam adalah merupakan medium saya kepada penulisan sajak yang baik.  Melalui Amaruszati Nur Rahim yang membawa saya ke Rumah Gapena buat kali pertama menemukan semula saya dengan Lutfi sehingga berkawan akrab. Mengenali Amaruszati juga buat kali pertama sebaik mengikuti S.M Noor ke Jakarta pada tahun pertengahan 2002. 
Saya sukar memulakan komunikasi apatah lagi untuk bertanya dengan ulama sastera yang hebat ketika itu seperti Zean Kasturi, Shamsuddin Othman, Zainal Rasyid Ahmad dan T. Alias Taib. Saya ada kelemahan untuk memulakan pertanyaan kepada orang hebat-hebat ini tentang karya yang baik. Jadi, Lutfi adalah medium dalam menyampaikan ilmu menulis sajak yang baik kepada saya. Lutfi jujur akan mengatakan itu, ini dan setiap apa yang diterima dari orang-orang hebat sastera tentang sajak yang baik bersama sanadnya. Mungkin apa yang disampaikan Lutfi menjadikan lebih berfikir dalam menulis sajak.
          Saat yang masih terngiang di ingatan setiba hari Ahad. Kebiasaan Ahad hari indah dan bahagia buat penulis kerana pagi itu akan menerbitkan sajak yang dihantar di laman akhbar. Ucapan tahniah terpapar di skrin hanset nokia 3310 menandakan ada sajak kita tersiar. Sehingga petang sms akan diterima menandakan karya kita dibaca kawan-kawan. Kedatangan sms (tahniah) menandakan kita ramai kawan penulis. Mungkin kini (2013) suasana berbeza. Saya perlu berlari awal pagi Ahad untuk mengetahui sajak tersiar...
  

Terima kasih kepada para editor

Sehingga 2005 - Saya sejujurnya amat berterima kasih kepada para editor yang penuh budiman menyiarkan karya saya antara Ahmad Baei di Majalah Dewan Agama dan Falsafah, Zulkifli Salleh dan Zaharuddin Abdulrahman, Ritah Yahya di Tunas Cipta, (Ku Seman Ku Hussein, Lukman Hakim, Azman Ismail) di akhbar Mingguan Malaysia, editor Berita Minggu (Sutung Umar R.S) dan lain-lain lagi.  

Coretan; Muhd Shatar

13 September 2013

Soalan Ramalan SPM Pendidikan Islam 2013: Kerajaan Bani Umaiyah



  1. ……………………………….…………….. adalah khalifah yang mengasaskan kerajaan Bani Umaiyah.
  2. Nama kerajan Bani Umaiyah diambil sempena nama ……….................………………. Muawiyah bin Abu Suffian
  3. Bilangan khalifah kerajaan Bani Umaiyah ialah ................................... orang.
  4. Tempoh pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah ialah  ....................... tahun.
  5. Kerajaan Bani Umaiyah bermula selepas kewafatan khalifah ......................................... yang merupakan salah satu Khulafa al-Rasyidin.
  6. Pusat pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah terletak di .........................................
  7. ..................................................... adalah khalifah terakhir kerajaan Bani Umaiyah.
  8. ........................................ adalah majlis rundingan antara Khalifah Ali bin Abi Thalib dan Muawiyah bin Abi Suffian bagi menyelesaikan perang saudara antara kedua belah pihak mereka.
  9. .......................................................... adalah wakil kepada Muawiyah bin Abi Suffian dalam perundingan Majlis Tahkim
  10. Kerajaan Bani Umaiyah telah menjadikan sistem ....................................... dalam urusan pelantikan khalifah.
  11. Pada pemerintahan khalifah .............................................................. telah berlaku zaman kemajuan kerajaan Bani Umaiyah
  12. Kerajaan Islam sebelum kerajaan Bani Umaiyah ialah kerajaan .................................................
  13. Tahun terakhir pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah pada ......................... Hijrah.
  14. Umar bin Abdul Aziz merupakah khalifah ke .................. kerajaan Bani Umaiyah.
  15. Umar al-Khattab merupakah salah seorang khalifah pada zaman kerajaan Islam yang berpusat di ................................................. .
  16. Perang saudara yang berlaku di antara Saidina Ali bin Abu Thalib dan Muawiyah bin Abi Suffian ialah perang Jamal dan perang ..........................................
  17. Pada tahun ......................... Hijrah bermula kerajaan Bani Umaiyah.
  18. Khalifah Umar bin Abdul Aziz digelar Khulafa al-Rasyidin yang ke ........... oleh sejarahwan Islam kerana corak kepimpinannya menyamai cara Khulafa al-Rasyidin.
  19. Kota ................................... adalah pusat pengetahuan di Eropah pada zaman kerajaan Bani Umaiyah
  20. Terdapat ....................... buah perpustakaan di Andalusia, Sepanyol yang dibina oleh kerajaan Islam.
  21. Saidina Hassan bin Ali sanggup menyerahkan kuasa kepada Muawiyah bin Abi Suffian dengan syarat memerintah kerajaan Islam dengan berpandukan al-Quran dan .......................... .
  22. Sistem pelantikan khalifah pada zaman Khulafa al-Rasyidin berdasarkan .............................................. berbeza pada zaman kerajaan Bani Umaiyah.
  23. Golongan ...................................................... muncul kerana tidak bersetuju dengan penubuhan Majlis Tahkim oleh Saidina Ali bin Abi Thalib.
  24. Khalil bin Ahmad dan Sibawaih adalah tokoh ilmu ........................................... pada zaman kerajaan Bani Umaiyah.
  25. Tokoh ilmu tafsir al-Quran pada zaman kerajaan Bani Umaiyah ialah .............................................. yang telah menghasil kitab tafsir al-Tabari.
  26. Kerajaan Bani Umaiyah mengalami kejatuhan akibat dari kelalaian ............................... dalam urusan pentadbiran berlandaskan agama.
  27. Angkatan tentera pada zaman kerajaan Bani Umaiyah terdiri dari angkatan tentera berkuda, angkatan tentera berkenderaan dan angkatan tentera ....................................................... 
  28. Corak ketenteraan zaman kerajaan Bani Umaiyah ditiru dari negara .......................
  29. .................................................... berperanan menguruskan semua pendapatan dan perbelanjaan negara pada zaman kerajaan Bani Umaiyah.
  30. Hassan Basri dan Wasil bin Atta’ adalah tokoh ilmu ...................................... pada zaman kerajaan Bani Umaiyah.
  31. Kerajaan Bani Umaiyah yang berpusat Gardova, Andalusia (Sepanyol) telah diasaskan oleh ...................................................................... pada tahun 137 Hijrah.
  32.  Pasukan yang diletakkan di bahagian kiri dalam strategi peperangan angkatan tentera kerajaan Bani Umaiyah dinamakan sebagai ................................
  33. Pada kerajaan Bani Umaiyah bilangan kapal perang sebanyak ...................... buah.
  34. Pengkalan tentera kerajaan Bani Umaiyah berpusat di  ................................
  35. ............................................ berperanan mentadbir dan menguruskan hal ehwal ketenteraan.
  36. Penglima perang pada zaman kerajaan Bani Umaiyah iaitu Musa bin Nasir telah berjaya membuka .................................
  37. ......................................................................... telah berjaya membuka Andalusia.
  38. Cara pemilihan tentera kerajaan Bani Umaiyah berbentuk sukarela dan ...................................... .
  39. Tentera dilatih pada zaman kerajaan Bani Umaiyah pada musim panas dan musim ............................... .
  40. ................................................................ telah berjaya mencipta sistem baris dalam bacaan al-Quran.
  41. Al-Tadwin bermaksud  ............................................ wujud pada zaman kerajaan Umaiyah kerana kegiatan penulisan, pembukuan dan pembinaan perpustakaan.
  42. Kharaj, Zakat, Jizyah, Ushur, Fa’i dan ......................................... merupakan sumber kewangan kerajaan Bani Umaiyah.
  43. .......................................... kadar harta tertentu yang dikeluarkan oleh orang Islam dengan syarat tertentu. 
  44. Orang kafir ............................. ialah orang kafir yang menetap di negara Islam tetapi tidak mengikut perjanjian dengan kerajaan Islam.
  45. Contoh ilmu akli yang berkembang pada zaman kerajaan Bani Umaiyah seperti ................................... .
  46. Al-Muqaddimah ialah pasukan dalam angkatan tentera yang diletakkan di bahagian ...............................
  47. Penduduk di .......................... dan golongan Syiah melantik Hasan bin Ali sebagai khalifah selepas pembunuhan Khalifah Ali bin Abi Thalib.
  48. Pusat penyebaran ilmu pada zaman kerajaan Bani Umaiyah berlaku di Kota .................................
  49. Imam Abu Hanifah dan Imam ............................... merupakan tokoh ilmu fekah dan hadis pada zaman kerajaan Bani Umaiyah.
  50. Al-Farazdak, Jarir Amru bin Abi Rabiah dan Jamil al-Azri antara  ........................ di istana khalifah.
  51. Ilmu berasaskan kepada wahyu Allah disebut sebagai ilmu ....................................
Bagi mendapatkan jawapan: Sila hantar emel Skema Jawapan Kerajaan Bani Umaiyah (2013) ke muhd.live@yahoo.com. 
Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU