13 December 2011

Info Agama: Puasa hari Asyura peluang tingkat takwa

Dietik dari Ruangan Agama Berita Harian
(2011/12/06)

Oleh Hasliza Hassan

 

TARIKH 10 Muharam mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan bersama seperti dicatatkan Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Mukasyafatul Qulub. Antara peristiwa dikaitkan dengan tarikh itu ialah dicipta Nabi Adam dan dimasukkan Adam ke dalam syurga.

Dicipta arasy, kursi, langit, matahari, bulan, bintang; dilahirkan Nabi Ibrahim; diselamatkan Nabi Ibrahim daripada api Namrud; selamatnya Musa dan pengikutnya; lemasnya Firaun; dilahirkan Nabi Isa dan mendaratnya kapal Nabi Nuh di atas bukit Judy.
Peristiwa lain ialah Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar; dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun; Nabi Ya’kub dapat melihat kembali selepas buta; dikeluarkan Nabi Yusuf dari telaga buta; disembuhkan Nabi Ayub daripada penyakitnya dan hujan yang pertama dari langit membasahi bumi.
Peristiwa paling popular dan sering menjadi perbahasan menjelang 10 Muharam ialah terbunuhnya cucu Nabi SAW, Saidina Hussain di Karbala.

Selain memperingati peristiwa itu, kedatangan 10 Muharam turut dirai umat Islam dengan melakukan puasa sunat atau lebih dikenali sebagai hari Asyura. Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam berpuasa pada hari itu kerana ia mempunyai kelebihan.

Daripada Aisyah, katanya: “Biasanya orang Quraisy ketika jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Nabi SAW pun berpuasa. Ketika tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga.” (Hadis riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, katanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan buatlah perbezaan padanya (daripada) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” (Hadis riwayat Ahmad) Ulama menyebut, hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu’a (9 Muharam) untuk membezakan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam).

Digalakkan juga berpuasa pada 9 Muharam sebagai langkah berhati-hati kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Dengan itu, hari 9 Muharam dalam pengiraan adalah hari ke-10 Muharam.

Bagi maksud menyambung puasa hari Asyura dengan satu hari puasa lain kerana tegahan Rasulullah SAW iaitu berpuasa satu hari saja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidak menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari pada hari Asyura.
Imam Syafie menyebutkan dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imlak disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu’a), ke-10 (Asyura) dan ke-11 Muharam.

Abu Qatadah al-Anshari berkata, Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab Baginda: “Semoga dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang. Kemudian Nabi ditanya pula puasa hari Asyura (10 Muharam). Jawab Baginda: “Semoga dapat menghapuskan dosa tahun lalu.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya termasuk peluang melakukan amal ibadat tertentu dengan pahala berlipat ganda berbanding amalan dilakukan pada waktu biasa. Contohnya, Allah memuliakan bulan Muharam dan menggalakkan kita berpuasa sunat.

Diriwayatkan daripada Mu’awiyah Abu Sufyan, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ini adalah hari Asyura dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa sedangkan aku berpuasa. Maka sesiapa yang hendak berpuasa maka berpuasalah dan sesiapa mahu (tidak berpuasa) maka berbukalah dia (boleh tidak berpuasa).” (Hadis riwayat Bukhari)

Peluang ini mungkin dipandang remeh bagi orang yang tidak mengetahui kelebihannya tetapi hakikat itulah nilai yang menentukan sejauh manakah kepekaan seseorang Muslim mencari keredaan Allah SWT dengan tidak mensia-siakan nikmat sihat dan kelapangan waktu dikurniakan padanya.

Oleh itu, marilah bersama menyahut seruan Rasulullah SAW ini mudah-mudahan ketakwaan kita kepada Allah SWT semakin meningkat.

10 December 2011

Catatan Puisi:Permukaan Air


PERMUKAAN AIR
 
Pada permukaan air
terlukis wajah
kusimpan riak
jangan berkocak
aku takut kehilangan
tenang, di raut jiwa
hanya Tuhan mengetahui.
Di desa kurasa amat terpencil dan begini sunyi. 

Petikan sajak Anjan Ahzana bertajuk Permukaan Air.

Untuk dapatkan buku Kumpulan Puisi Tamtama karya Anjan Ahzana sila klik di sisi
 

Sumbangan Kekal Anda Ke Akhirat Sebelum Meninggal Dunia

Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

08 December 2011

Mendalami al-Quran bina kekuatan kepercayaan terhadap agama

Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar

MEMILIKI kekuatan kepercayaan terhadap Allah mampu membina asas kepatuhan tinggi dalam jiwa seseorang kepada pencipta seterusnya menjadikan dirinya terikat dengan sesuatu diyakini tepat dan benar.
                   Keyakinan terhadap Islam sebagai agama, ikutan dan pegangan sebagai pilihan kerana ia dari Tuhan melalui perutusan rasulnya telah dibuktikan melalui penurunan ayat suci al-Quran yang dipenuhi kebenaran. Bukti kebenaran al-Quran diperkatakan di serata dunia. Mengambil beberapa contoh seperti teori bumi dan semua planet lain berputar mengelilingi matahari, fenomena air laut dan air sungai tidak bercampur, antara bukti kebenaran mengagumkan dalam al-Quran ditemui saintis hari ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka apabila langit telah terbelah dan menjadi merah mawar seperti (kilapan) minyak.” (Surah al-Rahman, ayat 37)
Sesetengahnya beriman kepada Allah kerana takjub kebenaran kandungan al-Quran dan sesetengahnya mencari hujah meremehkan dengan pelbagai alasan.
                    Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah (tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda (kebesaran-Nya) kepada orang yang mengetahui.” (Surah Yunus, ayat 5)
Hasil pembacaan dan pengkajian maksud al-Quran, sudah pasti melahirkan keinsafan, kekaguman yang akhirnya perlahan-lahan membentuk kekuatan kepercayaan terhadap Islam. Kesedaran seperti ini mampu melahirkan rasa penyerahan, ketaatan serta kepatuhan terhadap hukum agama.
                   Membina asas kekuatan kepercayaan terhadap Islam, boleh dicapai melalui kefahaman mendalam ayat suci al-Quran dan hadis Rasulullah SAW kerana setiap orang Islam dituntut mencari ilmu.
                   Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan.” (Hadis riwayat Abu ad-Darda)
Justeru, kehidupan harian perlu diisi benih keilmuan yang sekarang ini boleh diperoleh melalui pelbagai cara seperti pembacaan buku ilmiah, laman blog dakwah yang diketahui umum penulisnya selain mengikuti siaran di televisyen yang kian bertambah dengan program berunsur agama.
                   Perkembangan ini petanda baik ke arah menyebarluaskan kefahaman agama dan dakwah kepada masyarakat. Sistem pendidikan melalui sukatan mata pelajaran pendidikan Islam khususnya sekolah menengah wajar mengutamakan kesedaran pelajar mengenai kebenaran al-Quran disertakan bukti penemuan saintis. Usaha mendekatkan pelajar dengan kefahaman al-Quran bukan sekadar hanya boleh membaca al-Quran malah perlu lebih menjurus kepada pengkajian maksud al-Quran secara saintifik supaya kekuatan kepercayaan terhadap pencipta terbina kukuh.
                   Umat Islam di negara ini sama ada remaja, muda dan pertengahan usia seperti mengabaikan keinginan mengetahui maksud ayat suci al-Quran apatah lagi bertindak mengkaji untuk mengambil iktibar, ilmu dan mencari kebenaran dalam kehidupan mencabar masa.
                   Jelas, banyak kemungkaran terserlah di serata pelosok negara seperti buang bayi, zina, jenayah rogol, maksiat, pendedahan aurat, pergaulan bebas sehinggalah rasuah, penyelewengan kuasa, bermula dari kurangnya keyakinan terhadap agama.
                   Memisahkan diri dengan al-Quran ibarat memencilkan diri daripada berhubung dengan ilmu luas yang terkandung dalam kitab Allah itu. Jika kita menganggap mereka yang terkurung itu jumud, maka samalah dengan kita jika masih mengurungkan diri daripada al-Quran.
                  Selebihnya, hidup dalam belenggu kejumudan akal sering terikat dengan perkara negatif dan tidak bermanfaat sedangkan masa berlalu begitu pantas. Lalu, bagaimanakah persediaan untuk menghadapi alam akhirat tanpa kekuatan kepercayaan kepada Allah

07 December 2011

Berbakti Kepada Kedua Ibu Bapa

Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar
(Tersiar dalam iLuvIslam 23.09.2011)

Seorang anak kebiasaan akan lebih menghargai ibu bapanya setelah dia memiliki cahaya mata yang pertama. Betapa rumitnya membesarkan bayi yang baru dilahirkan hinggalah usia meningkat dari tahun ke tahun dipenuhi dengan pelbagai cabaran.
Saat itulah, baru menceritakan semula penat lelah ibu dan bapa yang membesarkannya suatu ketika dahulu. Selain, kepayahan ketika mengandung hinggalah tiba waktu melahirkan.
Pengorbanan ibu bapa sebenarnya telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman ayat: 14)
Maka, soal kebaktian seorang anak terhadap ibu bapanya perlu diutamakan dan diletakkan sebagai tugas yang penting untuk dilaksanakan. Menjelang hari tua, ibu dan bapa kita akan lebih mendalam kerinduan terhadap anak yang pernah dibesarkannya.
Tahap sensitifnya akan cepat terasa sekiranya anak yang dijaga bersikap kurang menyenangkan, atau melakukan perbuatan yang mengguriskan hati. Kita sebagai anak harus sedar akan kewajipan mentaati dan membahagiakan hati kedua ibu bapa. Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Surah al-Isra' ayat: 23)
Maksud "berbuat baik kepada kedua ibu bapa" sebagai mana yang disebutkan dalam ayat suci al-Quran selain dari menjaga tingkah laku, perkataan dan perbuatan dari sebarang kekasaran yang boleh melukai hati keduanya, kita dituntut untuk menjaga ibu bapa setelah mereka berada di usia yang tua.
Menjelang saat-saat hari tua adalah penantian kehidupan yang menggusarkan fikiran. Pasti semua ibu bapa akan kerisauan mengingatkan tentang kehidupan hari tua kelak. Dalam Islam, anak lelaki yang paling berkewajipan menjaga ibu bapanya berbanding dengan anak perempuan. Seorang ibu boleh membesarkan anaknya yang ramai, sebaliknya anak-anak yang ramai belum pasti dapat memelihara kedua ibu bapanya.
Maka, antara jalan untuk tergolong sebagai orang-orang yang beriman ialah keutamaan melihat ibu bapa sebagai tanggungjawab yang besar yang perlu dilaksanakan. Kegagalan berbakti kepada ibu bapa boleh mengakibatkan kita sukar untuk sampai ke pintu syurga sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka)." (Riawayat Muslim)
Menyentuh tentang jasa ibu bapa terhadap anaknya terlalu banyak. Sudah pasti, para ibu dan bapa akan menitiskan air mata jikalau ditanya tentang pengorbanan untuk membesarkan anak apatah lagi bagi golongan yang hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan dengan seratus peratus menggunakan kudrat sendiri untuk membela dan membesarkan anak-anaknya.
Ada sedikit perbezaan berbanding para ibu hari ini yang banyak bergantung kepada pembantu rumah serta penggunaan alat teknologi yang membantu meringankan beban atau tugas seorang ibu.
Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sebaik selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku? Jawab Ibnu Umar: Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.
Justeru, berbuat baik serta melayan kedua ibu bapa dengan nilai budi bahasa yang sopan adalah amalan yang terpenting untuk disemat di hati.
Sebagai seorang anak kewajipan mendoakan ibu bapanya  perlu diamalkan setiap hari. Apatah lagi sekiranya  kedua telah meninggal dunia. Doa anak yang soleh akan terus-menerus sampai kepada ibu bapanya yang berada di alam kubur. Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : 'Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Isra' ayat : 24)
Pengorbanan ibu dan bapa yang tidak terkira nilainya dan amat tidak wajar dipandang remeh atau ringan oleh anak-anak. Apabila keduanya menghampiri daerah usia yang lanjut, bermusyarawarahlah sesama adik-beradik untuk saling berbakti selagi usia ibu bapa kita belum terhenti.
Para isteri perlu menyedari hakikat kewajipan suami terhadap orang tuanya dengan merelakan suami menunaikan tugasnya terhadap kedua ibu bapanya dengan sempurna sekalipun memerlukan masa, wang dan pengorbanan lain. Menghalang suami dari berbakti kepada kedua ibu bapanya di hari tua adalah satu pilihan yang kejam.
Mengambil hak seorang ibunya yang benar-benar mengharapkan adanya anak yang akan mengingati jasa dan pengorbanan silam dengan menjaganya saat-saat tidak berkeupayaan adalah satu sifat yang tidak berperikemanusiaan. Alangkah baiknya sekiranya masih ada isteri akan mengingatkan suami akan kewajipan menjaga orang tuanya.
Kita perlu mengambil iktibar dari apa yang berlaku pada Alqamah, seorang pemuda yang hidup pada zaman Rasulullah SAW. Dia tidak dapat mengucap kalimah syahadah lantaran sikapnya yang mengutamakan isteri daripada ibunya. Sedangkan Alqamah merupakan seorang yang taat kepada perintah Allah, rajin menunaikan solat, suka bersedekah dan sering berpuasa.
Lantas, Rasululllah SAW memanggil ibunya bagi mendapatkan keampunan, sebaliknya ibunya menolak kerana masih berkecil hati dengan sikap Alqamah yang mengutamakan isterinya.   Akhirnya Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah hidup-hidup di hadapan ibunya jika ibunya tidak memaafkannya.
Akhirnya tindakan Rasulullah SAW itu menyebabkan ibunya segera memaafkannya dan seterusnya Alqamah dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah.
Sebaik sahaja Alqamah dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di kuburnya lalu bersabda bermaksud: "Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya."(Hadis riwayat Abu al-Laith)
Para isteri perlu lebih memahami hak-hak ibu ke atas anaknya yang diberi keutamaan dalam Islam. Lantaran, anak-anak kita juga akan bertindak dengan apa yang pernah kita perlakukan terhadap ibu bapa  kerana kesaksamaan Allah yang maha adil. Justeru, isteri harus bersikap reda dengan ruang-ruang yang perlu dipenuhi oleh suami terhadap ibu bapanya.
Kehadiran anak adalah sesuatu yang berharga di hari tua. Nabi Ibrahim meluahkan kesyukuran kepada Allah kerana diberi anak yang bakal menemani di hari tua sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud:
Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.  (Surah Ibrahim, ayat 3

(Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

27 November 2011

Kecantikan Yang Tidak Dirasakan - Bila Lumrah Dalam Kehidupan

Salam, Kecantikan menjadi biasa bila lumrah mata memandang, kehidupan bersama lautan jauh berbeza kehidupan kita di dataran. Deretan rumah di pesisir Pulau Omadai, sebuah pulau kecil di Semporna, Sabah memberikan anak-anak kecil sejumlah pengalaman bersama air. Keriangan zaman kanak-kanak besar erti membenihkan ingatan yang tak terpadam.  Mereka mengingatkan kita kepada kita di masa kecil. Mungkin sama latarnya berbeza.           Cetusan ilham... pengendali blog)


 (Pulau Omadai antara pulau kecil di perairan Semporna merupakan titik penting sejarah Semporna. Ini kerana Pulau Omadai merupakan tempat asal suku kaum Bajau yang mendiami Semporna. Orang Bajau di Pulau Omadai merupakan pelaut/ nelayan yang gigih dan aktif dalam perdagangan hasil laut dan seringkali berurusan dengan lain-lain kepulauan termasuklah tanah besar Semporna. Bukti-bukti terhadap kenyataan ini dapat diperhatikan menerusi ukiran/tulisan di batu nisan dan lain-lain artifak yang jelas menandakan mereka ini beragama Islam). Sedikit maklumat dan gambar dipetik dari internet.

25 November 2011

Catatan Destinasi: Orang Asli Bateq & Penghidupan Dipenuhi Patang Larang

Salam,
Pengendali blog e-Pendidikan Islam
berpeluang mengkaji penempatan orang asli kaum Bateq di sekitar Taman Negara Kuala Tahan, Pahang sempena kursus kecergasaan fizikal Unit Ko-Kurikulum selama 3 hari di sana. Justeru di sini disertakan beberapa catatan perjalanan.

17.11.2011
Bas bertolak dari Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur pada jam 10.00 malam. Sampai di Hentian R&R Rawang terlebih dahulu sebelum terus membelok ke Lebuhraya Karak untuk memilih ke Jerantut. Bas selamat di masjid pekan Jerantut bagi membolehkan solat subuh ditunaikan. Surah sajdah kedengaran dengan merdu sebaik sahaja melangkah turun dari bas. Bagi sesetengah masjid sudah menjadi kelaziman bacaan surah sajdah setiap pagi jumaat (penghulu segala hari dalam Islam). 

Pagi yang lembut, disertakan 
angin berhempas membawa dingin
cerah tanah di Jerantut
mengembalikan wajah sebenar sebuah pekan
pendalaman,
agak tenang menyambut suasana pagi.

(Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut, Pahang Darul Makmur)

18. 11.2011
Dari pekan Jerantut bas meneruskan perjalanan tepat jam 8 pagi ke Jeti Kuala Tembeling melalui jarak lebih kurang 16 km. Di Jeti Kuala Tembeling pelancong boleh memilih untuk ke Taman Negara Kuala Tahan dengan menaiki bot dengan kadar bayaran RM35.00 seorang memakan masa hampir 3 jam untuk sampai. Pelancong juga boleh memilih meneruskan perjalanan melalui jalan darat sejauh 75 km memakan masa selama 2 jam kerana keadaan jalan yang sedikit berliku dan berbukit yang dikelilingi pokok-pokok dan tanaman kelapa sawit.

Bas kami sampai di Kuala Tahan pada jam 11.00 pagi untuk menginap di Hotel TRV yang berada tidak jauh dari jeti Kuala Tahan. Taman Negara Kuala Tahan hanya dipisahkan dengan sungai dengan tempat penginapan kami. Setengah dari kami telah menaiki bot dari jeti Kuala Tembeling agak lewat sampai ke Hotel TRV.

19.11.2011

Bermula seawal pukul 7 pagi kami mula menerokai Taman Negara Kuala Tahan dengan menjejaki Titian Konopi yang terpanjang di dunia (550m) tergantung lebih kurang 45 meter di atas tanah tanpa sebarang paku digunakan hanyalah menggunakan teknologi ikatan tempatan.

Sebaik selesai mengharungi pendakian Bukit Teresek barulah kami menaiki bot untuk ke penempatan orang asli kaum Bateq di pesisiran Sungai Tembeling. Hampir setengah jam dari jeti Kuala Tahan untuk sampai ke penempatan orang asli Bateq dengan menaiki bot.  Menyusuri Sungai Tembeling agak berliku dan arus deras merupakan antara cabaran yang dinantikan.

Perkampungan orang asli Bateq boleh kelihatan di pesisir sungai. Tidak begitu ramai komunitinya. Anak-anak kecil kaum Bateq sekitar usia 3-6 tahun ada yang bermain di tepi sungai tanpa sebarang pengawasan. Barang kali mereka ini sudah serasi dan tidak bermain air hingga ke tengah sungai yang dalam.

Tok batin yang mewakili orang asli kaum Bateq, boleh memahami dan bertutur dalam bahasa melayu. Menurut jurupandu kami, tok batin orang asli Bateq telah lanjut usia mencapai 80 an. Dari pemerhatian kami, biarpun usianya lanjut namun kelihatan usianya sekitar 50 an. Bukan sesuatu yang menghairankan kerana mengikut pemakanan mereka yang jauh terhindar dari racun dan pelbagai bahan makanan yang mengandungi kimia seperti yang kita hadapi sekarang.

Ada beberapa perkara yang dapat dipelajari dari orang asli kaum Bateq ini. Demonstrasi membuat api dengan hanya menggunakan kayu diperbuat dari pokok meranti digeselkan dengan rotan sebesar jari telunjuk beberapa minit sudah cukup menghasilkan serbuk bara api kecil kemudian diletakkkan ke dalam sabut kering sebelum dihembus dengan perlahan-lahan maka keluarlah asap disusuli api. Semuanya memerlukan teknik dan kesabaran hanya dimiliki orang asli kaum Bateq.

Kematian Orang Asli Bateq
Cara pengkebumian mayat orang asli Bateq mengikut mitos dan tradisi kepercayaan tersendiri. Mayat akan dibalut dengan kulit pokok kayu dan akan diangkat ke atas pokok tertentu untuk diletakkan di antara celah dahan. Selang beberapa bulan (dikatakan 3 bulan) beberapa orang tua dari kalangan orang asli Bateq akan datang melihat di bawah pokok kayu yang diletakkan mayat di atasnya. Mengikut kepercayaan mereka kalaulah ada serpihan tulang, tengkorak atau kerangka badan jatuh ke bumi bermakna orang tersebut sewaktu hidup banyak melanggar peraturan hidup (banyak melakukan dosa).




(Gambar akan dimuat turun)
Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

Hadis Hari Ini: Petua Kemurahan Rezeki

Mencari Kemurahan Rezeki

Dari Anas bin Malik r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

Sesiapa yang ingin supaya dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, 
maka hendaklah dia memperhubungkan silaturrahim (hubungan kasih sayang).”                                                                                                          
(Riwayat Bukhari)

22 November 2011

Sembang Cuti Sekolah: Mengapa Penyokong Team Indonesia Benci Team Malaysia?

Oleh: Muhdlive

Salam kepada semua pembaca,
Peperiksaan bagi kertas Pendidikan Islam SPM berakhir semalam. Ada soalan ramalan dalam blog ini telah menepati ramalan dan ada yang tersasar.
Hakikat ramalan yang kadang kala tepat atau tidak menjadi. Insahnya malam tadi, enak sekali menyaksikan maruah Malaysia diterjemahkan dalam realiti sang pemenang yang sebenar. Kalau dalam perlawanan peringkat kumpulan apabila team Malaysia menang 1-0 ke atas team Indonesia, para media di sana sekadar mengatakan pasukan Indonesia yang skuad kedua sahaja. Itu adalah alasan untuk menjadi kalah.
           Dalam banyak perlawanan bola sepak melibatkan pasukan negara - baru malam tadi terbersit kagum kepada pasukan negara kerana dalam kekuatan penyokong Indonesia sedikitpun tidak mempengaruhi minda para pemain negara.
Lebih bertuah, pengadil dari Jepun bijak memainkan peranan untuk mengawal keadaan dan segala tindakan beliau tepat dan tidak mencetuskan banyak provokasi atau mengundang ketidakpuasan hati melainkan orang yang buta dalam peraturan permainan atau golongan lebih bersifat fanatik.
         Pada awalnya, melihat gol awal dari team Indonesia seperti ada kenduri besar akan berlaku getus hatiku ditambah sorakan kuat dan bersemangat peyokong di Stadium Bung Karno yang bergelora, namun gol awal telah menjadikan corak permainan team Indonesia lemah dan gagal menguasai padang. Harimau Malaya seperti bangkit dari tidur terus garang mencari gol penyamaan.
Aku percaya kelibat pemain baru seperti Zubir memberikan rangsangan yang berbeza dalam perlawanan akhir cukup berbeza dengan perlawanan sebelum ini.  Pertama kali menyaksikan kelibat dan kelincahan beliau di sayap padang memberikan impak berbeza.
Sehingga gol penyamaan Asra cukup mendiamkan suasana penyokong Indonesia yang semakin gelisah dengan tekanan dari team Malaysia yang luar biasa corak dan kawalan di bahagian tengah.
Sebaik gol penyamaan, barulah terdetik team Malaysia ada harapan yang sebelum ini terasa suram. Di hadapan lebih seratus ribu penyokong, agak sukar pemain Malaysia mengharapkan kemenangan ditambah provokasi media Indonesia yang memandang rendah skuad Malaysia.
Tamat perlawanan sebenar, maka detik paling mencemaskan bagi jantung sesiapa yang inginkan pasukan pilihannya menang. Seperti kata Zainal Abidin Hassan yang sedang membuat ulasan di TV1 bersama Hafizal Ahmad meramalkan Khairul Fahmi akan menjadi wira penyelamat. Tepat sekali dan aku juga menyangkakan sedemikan memikirkan pengalaman Khairul Fahmi yang sudah begitu luas dalam pelbagai keadaan dan tekanan.  
(Penyokong Indonesia diam saat-saat akhir gawang mereka terdedah kepada gol)

Ternyata Khairul Fahmi Che Mat membuktikan beliau pilihan pertama penjaga gawang paling selamat untuk team Malaysia sejak penalti pertama tangan dan tekaan beliau hampir tepat cuma gagal menepis kemas jaringan penalti pertama pemain Indonesia. Kegagalan penalti ketiga pemain Indonesia juga boleh dikatakan kepintaran aksi Khairul Fahmi seperti ingin menutup minda dan akhirnya kaki pemain tersebut tersasar ke tiang gol.
(Wira sebenar team Malaysia Khairul Fahmi Che Mat yang tangkas menepis penalti kelima pemain Indonesia)

Pemain kelima Indonesia yang mengambil penalti seperti sudah dijangka oleh Kahirul Fahmi yang seakan dapat meneka tepat arah mana bola akan dilencongkan dan akhirnya dia adalah wira pada perlawanan malam tadi.

Sudah pasti penyokong Indonesia masih dalam berantakan. Cuma media massa di Indonesia meskipun team mereka kalah pasti mereka tidak akan menambahkan lagi derita sebalik cuma memenangkan dengan laporan berita yang memihak kepada mereka cukup berbeza yang berlaku di Malaysia. Bila team kalah, keesokkannya siap dengan tajuk yang memburukkan lagi kekalahan. Fenomena sekarang mungkin sudah berubah. Kafe Sukan dan Formasi sudah terkedepan dalam menyuarakan penambahbaikan mutu bola sepak, dan dari sedia ulasan serta laporan. Pastinya facebook para peminat bola sepak tanah air telah membetulkan sedikit sebanyak.
Hafizal Ahmad, Zainal Abidin Rawop, pengacara Kafe Sukan (terlupa nama) begitu yakin dengan arena bola sepak ditambah kehadiran Rizal Hashim yang lantang dan berani serta bernas dalam menyuarakan pandangan dan ketidakpuasan hati. Masihku ingat pandangan keras beliau bertajuk Menjilat Luka Ciptaan Rajagobal (baca: blog beliau) sekurang-kurang boleh mengubah situasi dan masa depan bola sepak di negara kita.

Mengapa penyokong Indonesia benci kita - perlu dibincang dengan sejelasnya. Kemenangan malam tadi adalah kemenangan untuk maruah Malaysia yang sering diaibkan penyokong Indonesia. Tahniah team Malaysia. Anda layak digelar Harimau Malaya.

Cetusan hati:
Pengendali Blog...

17 November 2011

Rencana Agama: Pengorbanan Saksi Diberi Ganjaran Dunia, Akhirat

Pengorbanan Saksi Diberi Ganjaran Dunia, Akhirat
Oleh: Muhammad Abdullah @ Ab Shatar                      (Rencana agama pengendali blog tersiar di ruangan agama Berita Harian hari ini)


2011/11/17

PENGORBANAN dan liabiliti seorang saksi di negara kita sememangnya berat. Atas faktor itulah, ada yang tidak mahu menjadi saksi dalam pelbagai kes dan kejadian biarpun menjadi orang pertama atau paling berhak menyatakan kebenaran dengan kesaksian.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah SWT, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah SWT lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah SWT sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Nisa, ayat 135)
Tanggapan menjadi saksi akan berdepan pelbagai masalah wajar dikikis kerana jika tanggapan ini menguasai minda masyarakat maka sukar pihak terbabit menyelesaikan kes selain banyak individu tidak mendapat pembelaan sementara penjenayah bebas.
Di sebalik kesukaran dan kepayahan dihadapi seseorang yang bergelar saksi, sebenarnya dia sudah menunaikan tuntutan agama Allah SWT serta memenuhi hak manusia lain. Kesanggupan mengambil tanggungjawab sebagai saksi pasti dibalas ganjaran pahala.

Malah, saksi akan dipermudahkan Allah SWT segala urusannya kerana sikap sanggup berkorban masa dan khidmat sebagai saksi sehingga dapat menyenangkan pihak lain seumpama bersedekah.

Bersesuaian maksud hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah: “Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan dunia, Allah SWT akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada dalam kesempitan, melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah SWT akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah SWT pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya.” (Hadis riwayat Muslim)

Kehadiran saksi yang jujur memberikan keterangan akan dapat menegakkan keadilan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang beriman hendaklah kamu jadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah SWT, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 8)
Pihak bertanggungjawab sentiasa menjaga keselamatan saksi dan kerahsiaan mereka. Bagaimanapun, itu belum cukup memberi kefahaman untuk menggalakkan masyarakat tampil menjadi saksi.

Justeru, usaha perlu dilakukan supaya masyarakat faham tanggungjawab untuk tampil memberikan maklumat supaya siasatan dapat dilakukan lebih terperinci dan pada masa sama, masyarakat diyakinkan dengan aspek keselamatan diberikan kepada saksi.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai sesuatu perkara perlu diberi galakan untuk ke depan kerana ada mengambil ringan perkara itu disebabkan tidak mahu menyusahkan diri terutama apabila membabitkan kes mahkamah.

Selain itu, saksi perlu mengutamakan kebenaran ketika memberikan kesaksian lantaran amaran dan azab Allah SWT bagi sesiapa yang tidak jujur dan benar dalam keterangan sehingga menjadi fitnah atau menzalimi kepada pihak lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah an-Nur, ayat 19)

Catatan Ilusi: TENTANG SUNYI

MEMINGGIRKAN SUNYI MEMILIH SENDIRI


Kehidupan yang terpinggir
atau kita memilih sendiri terpencil
sesunyi begini kadang kala lebih bererti
jauh hinggar suara manusia memalsukan
kenyataan atau sikap
hidup ini kadang kala perlu begini
begitu daun-daun luruhnya
mengeringkan ingatan
ada luluhawa gelisah
berpadu di jiwa
saat angin membawa  pergi
daun kering; kau sangka tidak bermakna
di kerusi itu boleh menumpangkan gelora
dalam diam mentafsir
makna hidup di tangan Tuhan Yang Esa.

Petikan sajak Anjan Ahzana bertajuk Meminggirkan Sunyi Memilih Sendiri  

Untuk dapatkan buku Kumpulan Puisi Tamtama karya Anjan Ahzana sila klik di sisi
 

11 November 2011

Sebelum SPM Bermula: Persediaan Rohani dan Psikologi

Salam para pelajar,

SPM akan tiba 14 hb November ini. Masih ada sisa waktu 2 hari lagi. Jangan panik, saat akhir ini detik jam dirasakan pantas. Sebagai umat Islam, konsep tawakal kepada Allah perlu dimaknakan dan dizahirkan dalam hati. Perlu ingat - segala usaha yang telah dilakukan pasti diberikan setimpalnya oleh Tuhan yang Esa,
Bersujudlah dengan tenang dengan merebahkan dahi memohon hidayah dan rahmat nescaya dengan keduanya kejayaan dan keselamatan akan terpelihara,
Solat tahajud dan hajat adalah ruang mencari ketenangan.

Selamat berjaya.
Pengendali Blog e-Pendidikan Islam

08 November 2011

Nota Ringkas Penting SPM Pendidikan Islam 2011: Akidah Tingkatan 5

1.
Sebutkan 3 kumpulan ajaran sesat di Malaysia selain Qadyani, Taslim dan Bahai? : Jawapan:1. Ayah Pin 2. Haji Kahar 3. Hassan Anak Rimau
2.
Solat dengan niat. Amalan ibadat sesat ini diamalkan oleh kumpulan ........................ Jawapan: Taslim
3.
Akidah bermaksud ................................. Jawapan: Pegangan
4
Tiga kesan buruk ajaran sesat kepada individu?
Jawapan: 1. Membuang masa dengan amalan tidak berfaedah
2. Terabai tanggungjawab terhadap keluarga
3. Minda tertutup  
5
Siapakah pengasas ajaran sesat Taslim? Jawapan: Muhammad bin Shafie (Haji Muhammad Matahari)
6
Kiblat di Acre merupakan ciri kumpulan ........................ Jawapan: Bahai
7
Kitab ............................  merupakan kitab suci ajaran Bahai. Jawapan: al-Bayan
8
Kitab ............................ merupakan kitab suci ajaran Qadyani. Jawapan: Tazkirah
9
Kumpulan ............................ mengubah bentuk ibadat seperti puasa 19 hari. Jawapan: Bahai
10
.................. merupakan kumpulan yang bercita-cita menjadikan Saidina Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW. Jawapan: Syiah
11
Alam ini bersifat baqa (berkekalan tanpa kiamat) merupakan asas pegangan kumpulan ............................ dan ......................................... Jawapan: Bahai dan Qadyani
12
Syiah terbahagi kepada tiga sebutkan. Jawapan: 1. Imam Dua Belas 2. Zaidiyah 3. Batiniah
13
Nikah batin diamalkan oleh kumpulan ajaran sesat? Jawapan: Taslim
14
.................... orang yang keluar dari agama Islam. Jawapan: Murtad
15
Tiga kesan buruk ajaran sesat kepada masyarakat? Jawapan:
1. Keruntuhan institusi kekeluargaan seperti penceraian
2. Perpaduan dan keharmonian negara tergugat
3. Berlaku keganasan oleh pengikut ajaran sesat
15
Syiah Batiniah antaran kumpulan syiah yang radikal dan paling  ....................... Jawapan: sesat
17
............................... ulama solehin yang hidup sebelum kurun ke tiga hijrah iaitu para sahabat, tab’in,  dan atba atbi’in. Jawapan: Salaful al-Saleh
18
Di mana asalnya Taslim? Jawapan: Kg Seronok Bayan Lepas, Pulau Pinang.
19
Pengasasnya Imam Mahdi, Nabi dan Jelmaan Tuhan Krisnan. Merujuk kepada kumpulan ............ Jawapan: Qadyani
20
Imam boleh bertambang dan boleh berkurang. Pegangan ini diamalkan dalam kumpulan mana? Jawapan: Ahli Sunnah Wal Jamaah

Untuk mendapatkan jawapan sila emel Jawapan Soalan Akidah Tingkatan 5 (07.11.2011) ke muhd.live@yahoo.com.

Disediakan oleh En Muhammad Abdullah @ Ab Shatar. Digalakkan menyunting bahan ini bagi tujuan pembelajaran dalam kelas dan dilarang menyunting bagi tujuan komersial kerana penulis ini membukukan nota dan soalan ini.

05 November 2011

Salam Aidiladha: Perkara Utama Di Pagi Yang Indah

Salam 
Pengendali Blog e-Pendidikan Islam mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada semua pembaca yang telah mengunjungi, diharapkan apa yang dicatat dan dikemukakan dalam blog ini hanyalah sekadar perkongsian ilmu, idea dan maklumat. Tidak lebih dari itu.
Saya juga mengucapkan terima kasih atas komen, cadangan, pendapat dari pihak pembaca dalam memantapkan lagi penulisan dalam blog ini.
Justeru, mengambil peluang pada pagi Aidiladha marilah kita menghayati sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (Adiladha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka barangsiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnahku. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban”. 
(Riwayat al-Bukhari)


Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

04 November 2011

Teks Pengerusi Majlis Restu Sek Men Teknik Seberang Perai

Assalamualaikum,

(Lafaz pembuka ucapan dan selawat shifa)

Alhamdulillah, Kita merafakkan kesyukuran di atas limpah kurnia dari Allah SWT, dapat sama-sama kita berkumpul di surau al-Amin, SMT Seberang Perai ini, dengan selamat dan sejahtera pada pagi yang redup nan permai diberkati.

Majlis Restu yang setiap tahun diadakan sebagai persediaan terakhir dan sebagai tanda pengharapan manusia kepada Khalik (Pencipta) untuk bertawakal kepada-Nya setelah segala usaha dilakukan oleh para pelajar, barisan guru SMTSPP serta ibu bapa khususnya dalam memastikan anak-anak kita – anak didik kita semua akan mencapai kejayaan cemerlang dalam SPM kelak.

Demi Tuhan yang berada di atas – Maha Mengetahui dan Maha Mengasihani. Melaui doa dan harapan yang kita sama-sama lafazkan ke hadrat Ilahi dalam Majlis Restu ini diharapkan dapat mengelakkan dan menghindari segala apa kemungkinan yang buruk menimpa para pelajar dan sekolah tercinta ini. Kita amat mengharapkan anak-anak, para pelajar kita ini akan selamat sehinggalah selesai menjawab peperiksaan SPM.

Demi Tuhan yang berada di atas – Maha Pemurah lagi Maha Mendengar,
Kita juga berdoa dan amat mengharap, sisa-sisa waktu yang ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak didik kita yang dikasihi Allah Sekalian. Semoga apa yang diajarkan oleh para guru, apa yang dibaca dan dihafal oleh para pelajar semua sampai ke dalam dewan peperksaan SPM kelak. Sedikitpun tidak tercicir.
Demi Tuhan yang berada di atas – Maha Bijaksana lagi Maha Luas Pengetahuan.

Dalam kesempaatan ini, dalam pertemuan bermakna ini marilah kita sama-sama melapangan dada saling memaafkan dan merelakan antara guru dan para pelajar serta ibu bapa yang hadir pada pagi ini semoga keberkatannya untuk manfaat bersama bagi mencari landasan hidup yang berjaya. Beroleh kecemerlangan di dunia dan mengecapi syurga Tuhan di akhirat.

Untuk meneruskan majlis:

Dijemput wakil pelajar Megat Muhammad Nur Arif Saifuddin bin Kamarulzaman untuk memberikan sedikit ucapan.

Terima kasih diucapkan kepada Megat Muhammad Nur Arif Saifuddin bin Kamarulzaman di atas ucapan tadi.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan aluan dari Tuan Pengetua SMTSPPP. Majlis dengan segala hornatnya menjemput, En. Hussin Marican bin Hassan untuk memberikan ucapan.

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Pengetua di atas ucapan tadi.

Bagi meneruskan majlis restu kita pada hari ini:

Para guru dijemput memenuhi dan berbaris di bahagian hadapan surau.
Guru lelaki dijemput ke sebelah kanan surau.
Mohon kerjasama guru perempuan ke sebelah kiri surau .
Para pelajar diminta berbaris untuk memohon restu dari semua guru.

(Teks ini digunakan di SMT Seberang Perai: bagi tujuan Majlis Restu yang diadakan setiap penghujung tahun .Disediakan oleh En. Muhammad bib Abdullah @ Ab Shatar pada 4 hb November 2011 di surau al-Amin, SMT Seberang Perai Pulau Pinang)

03 November 2011

Qurban Di Palestian 2011

Memberi kegembiraan kepada saudara seIslam adalah kewajipan...
Terima kasih kepada para dermawan yang telah bersama menjayakan projek ini...
  Qurban di Palestin
  2011...



Hanya 4 hari lagi untuk anda melakukan ibadah Qurban di Palestin... kami menerima sehingga 5/11/2011(SABTU)
1 bahagian lembu RM1,400.00
Seekor Lembu RM9,800
Seekor kambing RM1,200.00
Sadaqah Qurban RM350.00
serta sumbangan umum RM5/10/50 dsb
Layari; www.amanpalestin.net

Keterangan lanjut hubungi;

No. 1, Jalan 3/3B, Seksyen 3,
43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.

Tel: +6 03 8926 7019 (Pejabat)
Fax: +6 03 8925 9963

Bank Islam (M) Berhad:        12029010047880
Maybank (M) Berhad:            562263010787
Bank Muamalat (M) Berhad: 1207005133717
RHB Islamic Bank:                 21245760004907

Aman Palestin Berhad
D

27 October 2011

Kuasa Pengguna Boleh Turunkan Harga Kalau Bersatu

Salam,

Petikan akhbar semalam sepatutnya diberikan perhatian oleh semua rakyat Malaysia. Kebanyakan dari kita lebih suka hanya berkata tentang kenaikan harga tetapi sekadar cakap-cakap di pejabat, warung makan atau di taman permainan.

 Cuepacs minta boikot kenaikan harga barang melampau

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu semua pengguna bersama-sama memboikot barangan yang harganya naik melampau sebagai tanda bantahan terhadap peniaga.

Presidennya Omar Osman berkata, badan itu bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan berkumpul di Plaza Tol Sungai Besi pada petang Ahad bagi melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenaikan harga begitu drastik.

“Cuepacs juga akan mengedarkan 30,000 risalah berkenaan kenaikan harga barang terutamanya 17 barang kawalan, dan risalah itu akan menyenaraikan jenis barang yang mengalami kenaikan harga melampau dan perlu diboikot,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Pengguna di Wisma Cuepacs di sini hari ini.

Omar berkata pengguna mempunyai kuasa amat besar dalam dunia perniagaan, sekiranya semua pengguna bersatu hati dan bersama-sama memboikot kenaikan harga barang ini akan memberikan kesan kepada peniaga.

“Bila kita bersatu hati boikot kenaikan harga ini, peniaga akan rasa tergugat dan mereka akan sedar kuasa pengguna, perkara ini pernah dilakukan dulu dan ada kesannya,” katanya.

Omar berkata usaha memboikot kenaikan harga barang ini akan berterusan sehingga berakhirnya musim perayaan dan bukan sahaja terhad untuk pengguna di kawasan Lembah Kelang tetapi turut meliputi seluruh pengguna di negara ini.

Beliau turut menggesa supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna meningkatkan lagi aktiviti pemantauan supaya lebih agresif bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

“Daripada aduan yang diterima terdapat juga barang kawalan dinaikkan harga, jadi pemantauan perlu lebih kerap dijalankan,” katanya.
Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU