25 November 2011

Catatan Destinasi: Orang Asli Bateq & Penghidupan Dipenuhi Patang Larang

Salam,
Pengendali blog e-Pendidikan Islam
berpeluang mengkaji penempatan orang asli kaum Bateq di sekitar Taman Negara Kuala Tahan, Pahang sempena kursus kecergasaan fizikal Unit Ko-Kurikulum selama 3 hari di sana. Justeru di sini disertakan beberapa catatan perjalanan.

17.11.2011
Bas bertolak dari Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur pada jam 10.00 malam. Sampai di Hentian R&R Rawang terlebih dahulu sebelum terus membelok ke Lebuhraya Karak untuk memilih ke Jerantut. Bas selamat di masjid pekan Jerantut bagi membolehkan solat subuh ditunaikan. Surah sajdah kedengaran dengan merdu sebaik sahaja melangkah turun dari bas. Bagi sesetengah masjid sudah menjadi kelaziman bacaan surah sajdah setiap pagi jumaat (penghulu segala hari dalam Islam). 

Pagi yang lembut, disertakan 
angin berhempas membawa dingin
cerah tanah di Jerantut
mengembalikan wajah sebenar sebuah pekan
pendalaman,
agak tenang menyambut suasana pagi.

(Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut, Pahang Darul Makmur)

18. 11.2011
Dari pekan Jerantut bas meneruskan perjalanan tepat jam 8 pagi ke Jeti Kuala Tembeling melalui jarak lebih kurang 16 km. Di Jeti Kuala Tembeling pelancong boleh memilih untuk ke Taman Negara Kuala Tahan dengan menaiki bot dengan kadar bayaran RM35.00 seorang memakan masa hampir 3 jam untuk sampai. Pelancong juga boleh memilih meneruskan perjalanan melalui jalan darat sejauh 75 km memakan masa selama 2 jam kerana keadaan jalan yang sedikit berliku dan berbukit yang dikelilingi pokok-pokok dan tanaman kelapa sawit.

Bas kami sampai di Kuala Tahan pada jam 11.00 pagi untuk menginap di Hotel TRV yang berada tidak jauh dari jeti Kuala Tahan. Taman Negara Kuala Tahan hanya dipisahkan dengan sungai dengan tempat penginapan kami. Setengah dari kami telah menaiki bot dari jeti Kuala Tembeling agak lewat sampai ke Hotel TRV.

19.11.2011

Bermula seawal pukul 7 pagi kami mula menerokai Taman Negara Kuala Tahan dengan menjejaki Titian Konopi yang terpanjang di dunia (550m) tergantung lebih kurang 45 meter di atas tanah tanpa sebarang paku digunakan hanyalah menggunakan teknologi ikatan tempatan.

Sebaik selesai mengharungi pendakian Bukit Teresek barulah kami menaiki bot untuk ke penempatan orang asli kaum Bateq di pesisiran Sungai Tembeling. Hampir setengah jam dari jeti Kuala Tahan untuk sampai ke penempatan orang asli Bateq dengan menaiki bot.  Menyusuri Sungai Tembeling agak berliku dan arus deras merupakan antara cabaran yang dinantikan.

Perkampungan orang asli Bateq boleh kelihatan di pesisir sungai. Tidak begitu ramai komunitinya. Anak-anak kecil kaum Bateq sekitar usia 3-6 tahun ada yang bermain di tepi sungai tanpa sebarang pengawasan. Barang kali mereka ini sudah serasi dan tidak bermain air hingga ke tengah sungai yang dalam.

Tok batin yang mewakili orang asli kaum Bateq, boleh memahami dan bertutur dalam bahasa melayu. Menurut jurupandu kami, tok batin orang asli Bateq telah lanjut usia mencapai 80 an. Dari pemerhatian kami, biarpun usianya lanjut namun kelihatan usianya sekitar 50 an. Bukan sesuatu yang menghairankan kerana mengikut pemakanan mereka yang jauh terhindar dari racun dan pelbagai bahan makanan yang mengandungi kimia seperti yang kita hadapi sekarang.

Ada beberapa perkara yang dapat dipelajari dari orang asli kaum Bateq ini. Demonstrasi membuat api dengan hanya menggunakan kayu diperbuat dari pokok meranti digeselkan dengan rotan sebesar jari telunjuk beberapa minit sudah cukup menghasilkan serbuk bara api kecil kemudian diletakkkan ke dalam sabut kering sebelum dihembus dengan perlahan-lahan maka keluarlah asap disusuli api. Semuanya memerlukan teknik dan kesabaran hanya dimiliki orang asli kaum Bateq.

Kematian Orang Asli Bateq
Cara pengkebumian mayat orang asli Bateq mengikut mitos dan tradisi kepercayaan tersendiri. Mayat akan dibalut dengan kulit pokok kayu dan akan diangkat ke atas pokok tertentu untuk diletakkan di antara celah dahan. Selang beberapa bulan (dikatakan 3 bulan) beberapa orang tua dari kalangan orang asli Bateq akan datang melihat di bawah pokok kayu yang diletakkan mayat di atasnya. Mengikut kepercayaan mereka kalaulah ada serpihan tulang, tengkorak atau kerangka badan jatuh ke bumi bermakna orang tersebut sewaktu hidup banyak melanggar peraturan hidup (banyak melakukan dosa).




(Gambar akan dimuat turun)
Disediakan oleh: Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Dilarang menyunting atau diambil bagi tujuan komersial peribadi tetapi digalakkan bagi tujuan pembelajaran para pelajar).

No comments:

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU