Salam 1 Bahasa, |
Bagi mengabadikan ucapan Presiden Pena pada 16 hb November 2013 di Rumah PENA, izinkan saya memuatkan di blog ini.
Ucapan Presiden PENA Dr Mohamad Saleeh Rahamad
dalam Mesyuarat Agung Tahunan PENA ke-50
pada 16 November 2013 di Rumah PENA,
961-7, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur,
pukul 11:00 pagi.
1. Bersyukurlah kita ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan perhimpunan di dewan Rumah PENA yang baru siap dibina ini untuk menjalankan satu lagi tanggungjawab, yakni melaksanakan Mesyuarat Agung PENA yang ke-50. Pertama kali dewan ini digunakan selepas siap pembinaannya adalah pada bulan Ramadan lepas apabila kami menganjurkan majlis berbuka puasa, tarawih dan baca puisi Ramadan anjuran bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Selepas itu beberapa acara telah diadakan termasuk bengkel taklimat penilai manuskrip ITBM-PENA, sambutan pelajar sekolah, perkhemahan GPMS UiTM, majlis aidilfitri MABOPA, dan pada malam tadi dan malam ini teater monolog Khalid Salleh juga dengan kerjasama ITBM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
2. Kami cuba mengoptimumkan ruang yang indah ini untuk manfaat sastera dan sasterawan, penulis dan dunia penerbitan. Tetapi penggunaan dewan ini juga memerlukan biaya yang besar untuk bayaran utiliti dan penjagaannya, maka kami telah membuka pintu kepada pihak luar untuk menggunakannya dengan kadar sumbangan yang munasabah. Ruang yang sederhana ini bukan segala-galanya tetapi persekitaran yang menghijau dan luas serta landskap yang indah dipeluk belukar sepulau di tengah kota Kuala Lumpur menjadi daya tarikan yang luar biasa untuk penganjuran majlis keraian.
3. Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah menyalurkan dana pemulihan Rumah PENA. Dengan dana pemulihan itu kami berjimat sehabis mungkin untuk melaksanakan projek pembaikan rumah induk serta dapat pula membina dewan tambahan, landskap dan pentas baca puisi bagi menggantikan pentas lama yang sudah reput. Pentas itu telah kami namakan “Panggung Sutung Umar RS” pada suatu majlis baca puisi sempena Bulan Bahasa Kebangsaan pada 4 Oktober 2013. Nama Sutung Umar RS diabadikan bagi menghargai usaha beliau membina pentas asal dahulu.
4. Kami juga dalam proses meminta persetujuan daripada Dato’ Ahmad Sebi Abu Bakar untuk mengabadikan nama beliau pada dewan ini sebagai tanda ingatan atas bakti beliau mendapatkan Rumah PENA dalam bentuk pinjaman daripada kerajaan Persekutuan ini. Di samping itu, perlahan-lahan kami akan mengabadikan nama tokoh PENA mahupun judul karya yang menjadi ikon sastera kita pada tempat-tempat tertentu di Rumah PENA ini. Biarpun PENA diterajui oleh golongan pelapis yang masih muda, kami tidak akan melupakan sumbangan tokoh-tokoh terdahulu yang terlalu banyak baktinya.
Hadirin yang dihormati,
5. Bagi pihak PENA, saya mengalu-alukan kedatangan semua ahli PENA yang datang dari seluruh negara dengan biaya sendiri. Khusus kepada ahli PENA yang datang dari jauh, kami memohon maaf kerana tidak berupaya membiayai kos perjalanan dan persediaan diri, tidak seperti parti politik yang kaya. Hanya ucapan terima kasih dapat kami berikan daripada lubuk hati yang penuh keharuan kerana kesanggupan mereka mendatangi majlis ini.
6. Kami berdoa semoga tuan-tuan dan puan-puan dilindungi Allah SWT dalam perjalanan datang dan pulang serta dianugerahi kesihatan yang baik, keselamatan diri dan kemurahan rezeki. Allah sahajalah yang membalas segala pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan. Inilah bukti setiakawan yang tiada taranya, satu sifat yang sangat penting dalam ikatan berpersatuan. Tanpa pengorbanan, hayat sesebuah persatuan tidak akan kekal lama.
7. Setelah berkumpul di sini marilah kita pererat hubungan batiniah dengan keikhlasan, marilah kita bina rangkaian kerjasama demi memajukan persuratan dan bahasa kita. Jika bukan kita yang membela bahasa dan persuratan kita siapakah yang sudi melakukannya? Dan jika kita bersendirian memencakkan silat di gelanggang pertarungan sedangkan dalam masa yang sama saudara dan rakan sendiri menghunjamkan belati ke tubuh kita dari segenap sudut, maka akan kecundanglah kita, belum pun sempat musuh sebenar menyentuh kita.
8. Tetapi inilah yang kita depani kini. Tatkala pihak lain bersatu tenaga memperjuangkan legasi bangsa mereka yang secara langsung mencabar ketuanan kita, kita sesama sendiri saling bertingkah pendapat, saling mencurahkan minyak dan api. Penyakit bangsa kita yang masih tidak sembuh ialah suka memalitkan nista ke tubuh saudara sendiri disebabkan sifat dengki dan cemburu yang tidak kunjung padam.
9. Di samping itu, paling menyakitkan apabila ada orang Melayu yang tidak henti-henti memasakkan pendapatnya bahawa bahasa Inggeris perlu menjadi medium bagi pengajaran sains dan matematik di sekolah. Orang ini mengaku bahawa pandangannya supaya bahasa Melayu dilupuskan dalam bidang pengajian mata pelajaran kritikal itu adalah untuk kemajuan bangsanya. Pandangannya itu tidak pernah berhenti dilontarkan seolah-olah dia sahajalah yang benar manakala nasionalis lain yang membela bahasa Melayu berada di pihak yang salah; seolah-olah dia sahajalah yang mahu melihat bangsa Melayu maju dalam hidup, manakala nasionalis bahasa tidak ada hasrat ke arah itu. Sampai sekarang pandangannya itu sentiasa disegarkan dan diberi tempat; sampai sekarang dia tidak percaya bahawa pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran mengakibatkan sekian ramai pelajar tidak mencapai kejayaan dalam peperiksaan; sampai sekarang dia tidak nampak bahawa berjuta-juta rakyat akan menjadi mangsa dalam percaturan berat sebelah dan pemikiran miring sebegitu. Dia cuma nampak kejayaan yang akan dikecapi oleh segelintir pelajar di kota-kota sebagai gambaran kejayaan seluruh pelajar di negara ini.
10. Dalam hubungan ini, PENA berpendirian teguh untuk mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik, malahan PENA mahu supaya pendidikan di negara ini meneruskan agenda pemartabatan bahasa Melayu.
11. Walaupun memperjuangkan bahasa Melayu dalam pendidikan, PENA tidak pula menolak kepentingan bahasa Inggeris. Oleh itu, dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris (MBMMBI) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan perlu disokong. Namun begitu, kaedah pengajaran bahasa Inggeris perlu dibaiki bagi mencapai matlamat pengajaran.
12. Di samping itu, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan perkhidmatan awam mestilah dilaksanakan dengan sempurna menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 yang telah ditandatangi oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Haji Abu Bakar bin Haji Abdullah pada 28 Oktober 2011. Pekeliling ini sudah memperincikan tatacara penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan termasuk dalam surat yang dihantar ke luar negara berserta terjemahannya. Tetapi dalam audit bahasa yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka masih banyak agensi kerajaan yang tidak melaksanakan ketetapan itu. Apakah maknanya sebuah peraturan rasmi jika tidak dilaksanakan dan tidak pula dikuatkuasakan?
13. Di samping agensi penuh kerajaan, syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kerajaan atau GLC (Government Linked Companies) juga terlalu angkuh dengan legasi keinggerisan sehinggakan bahasa Melayu dipandang sebagai tidak ada nilainya dalam urusan mereka. Persepsi berdasarkan pemerhatian serta pengalaman individu dapat mengesahkan dakwaan ini. Dalam mesyuarat mahupun dalam surat-menyurat bahasa Inggeris menjadi medium yang wajib, manakala bahasa Melayu terpinggir. Adakah tokoh-tokoh peneraju itu faham bahawa keistimewaan yang diperoleh mereka untuk menjadi peneraju syarikat berkenaan ada atas ihsan orang Melayu yang menjadi pendukung kerajaan? Kedudukan mereka sebagai ketua eksekutif bukannya suatu hak tetapi suatu keistimewaan. Oleh itu, mereka perlu sedar bahawa mereka bertanggungjawab memelihara maruah peribumi, khususnya bahasa Melayu.
14. Pendukung GLC ini juga sewajibnya membalas balik keistimewaan yang diperoleh dengan menyediakan dana khas untuk membantu pertumbuhan bahasa, sastera, budaya, dan penerbitan buku dalam bahasa Melayu. Kerajaan perlu membuat ketetapan dan mengarahkan semua GLC menyediakan peruntukan khas yang boleh disalurkan kepada agensi yang berfungsi dalam hal-ehwal kebahasaan, persuratan, dan penerbitan buku dalam bahasa Melayu.
15. Dalam konteks penerbitan buku berbahasa Melayu, suatu pelan tindakan yang tetap perlu dirangka dan dilaksanakan. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, para penulis di negara ini sudah menerima manfaat daripada dana kerajaan bagi penerbitan dan pembelian buku. Selain DBP yang sudah sekian lama menjalankan fungsinya sebagai badan induk pengembang bahasa, sastera dan penerbitan, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan ITBM juga telah mencerahkan sedikit nasib para penulis. PNM dengan dana pembelian bukunya telah menyokong penerbit dan penulis. Begitu juga ITBM dengan projek penerbitan yang digerakkan bersama PENA telah turut menyumbangkan kebahagiaan walaupun kecil, kepada penulis.
16. Namun begitu, berbeza daripada PNM dan DBP yang menerima peruntukan tahunan daripada kerajaan, ITBM sebagai GLC tidak memiliki keistimewaan itu. Mujurlah ada suntikan dana sebanyak RM5 juta daripada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib; dapatlah mereka menerbitkan buku daripada genre yang tidak digemari oleh penerbit swasta tetapi penting dalam pertumbuhan sastera yang bermutu. Tetapi setelah dua tahun berlalu, kita masih tertanya-tanya, adakah kerajaan akan menyalurkan dana khas itu lagi atau menyediakan peruntukan tahunan secara tetap kepada ITBM bagi meneruskan projek tersebut? Di sini kami menyeru kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri supaya membantu penulis melalui kaedah perkongsian pintar antara ITBM dengan PENA ini. Malahan, tanpa PENA diturutsertakan pun tidak mengapa, asalkan ITBM dengan kegigihan peneraju utamanya Encik Mohd Khair Ngadiron diberi kesempatan untuk meneruskan projek penerbitan buku berbahasa Melayu mahupun terjemahan untuk mengangkat martabat sastera kita.
17. Dalam beberapa tahun telah kita lihat bukti kesungguhan ITBM menyemarakkan dunia penerbitan dan penggalakan aktiviti persuratan tanah air. Pihak yang berwibawa seperti ini perlu dibantu kerana kita yakin mereka akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Hadiin yang dikasihi,
18. Kami berpandangan demikian dengan tulus hati demi kemajuan bangsa dan negara ini. Kami yakin bahawa kemajuan yang dicapai dalam persuratan dan bahasa Melayu bukanlah suatu lakaran imej kemegahan bahkan berfungsi sebagai peneguh dan pelestari kewujudan bangsa peribumi di tanah air ini.
19. Peminggiran bahasa dan persuratan Melayu di tanah air ini akan menimbulkan kesan jangka panjang yang menyakitkan dan membunuh bangsa kita. Kejatuhannya akan memudahkan pihak lain naik mengambil alih hak dan ketuanan, manakala anak bangsa kita akan menggelupur mencari udara untuk bernafas sebagaimana dahulu, sebelum tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia.
20. Setelah sekian banyak anak peribumi yang mendapat pendidikan dalam bahasa Melayu memperoleh kedudukan yang tinggi, mempertingkatkan status kehidupan dan strata sosialnya, tentulah tidak adil untuk mengatakan bahawa bahasa Melayu menyebabkan kemunduran umat Melayu di negara.
Hadirin yang terhormat
21. Dalam perjuangan menegakkan maruah bangsa melalui bahasa dan persuratan ini kita perlu bersatu padu, baik sesama persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan yang bergerak secara sukarela mahupun antara persatuan dengan agensi kerajaan dan GLC yang menjadikan bidang ini sebagai ranah komoditi mereka. PENA tidak mewakili seluruh badan penulis di negara ini kerana kedudukannya cuma sebagai entiti kecil sebagaimana persatuan penulis yang lain, tetapi kelebihannya ialah taraf nasional yang dimilikinya.
22. Dengan bertaraf nasional PENA sentiasa dilihat sebagai persatuan yang bertanggungjawab sebagai penyuara aspirasi bangsa. Oleh itu, PENA perlu sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan bertindak segera apabila timbul isu yang menggugat kedudukan bahasa dan persuratan, mahupun dunia pendidikan.
23. Sekali lagi saya tegaskan bahawa dalam soal memperjuangkan maruah bangsa ini kita perlu bersatu, bukannya mengecam dan membidas rakan-rakan persatuan yang tidak sealiran cara dan kaedah gerakannya. Perbezaan kaedah bukanlah masalah yang besar asalkan matlamatnya sama. Dengan mewujudkan persefahaman dan persahabatan yang erat nescaya suara kita menjadi lebih digeruni.
Hadirin yang budiman,
24. Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memperjuangkan bahasa dan persuratan Melayu di negara ini. Sebagai persatuan yang sentiasa mengharapkan sokongan dan bantuan daripada pihak lain untuk bergerak, PENA dengan rendah hati merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada DBP yang tidak pernah jemu membantu PENA apabila kami memohon bantuan, dan tentu sahaja ITBM, rakan kongsi kami yang sentiasa membawa PENA bersama-sama dalam aktiviti mereka yang bersifat nasional. Anehnya perkongsian pintar antara PENA dengan ITBM bersifat berat sebelah, yakni hanya ITBM yang menghulurkan bantuan sedangkan PENA hanya menumpang nama. Terima kasih kepada media massa yang bersimpati kepada persuratan seperti media Kumpulan Utusan, Radio IKIM, Radio dan TV Bernama, ASTRO, dan khususnya akhbar Berita Harian yang selama ini begitu gigih menyokong dunia persuratan. Kami dengan ini merakamkan penghargaan yang tertinggi kepada akhbar Berita harian, khususnya editor ruangan sasteranya yang telah memperlihatkan kesungguhan luar biasa menghidupkan sastera dan bahasa Melayu.
25. Kami sedar bukan mudah bagi media massa menyediakan ruangan khusus untuk sastera kerana telah wujud persepsi janggal bahawa sastera tidak mempunyai khalayak pembaca yang besar. Oleh itu, ruangan yang mempromosikan sastera tidak dapat disediakan seluas ruangan hiburan, sukan, fesyen dan lain-lain. Dalam konteks ini, untuk membantu media massa menyediakan ruangan sastera secara tekal pada setiap hari, perlulah ada usaha daripada DBP atau syarikat korporat dan GLC untuk membeli ruangan dalam akhbar bagi penyiaran berita tentang sastera. Bantuan dan sokongan seperti perlu selagi peneraju media massa tidak nampak potensi sastera sebagai pembeli khalayak pembaca.
26. Khusus kepada ahli jawatankuasa PENA, dengan tulus ikhlas saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada mereka yang sentiasa bersama-sama saya menggerakkan PENA. Tanpa mereka PENA tidak akan hidup dengan tenaga seorang presiden.
27. Terima kasih juga kepada semua ahli PENA dan yang bukan ahli sekalipun tetapi sentiasa menyokong setiap aktiviti PENA. Seperti yangs aya katakan tadi, kita perlu bersatu jika mahu menghidupkan perjuangan ini.
28. Bagi pihak AJK PENA 2012-2014, saya memohon maaf kepada semua pihak atas kelemahan dan kesilapan kami semasa menerajui badan penulis yang tua ini. Kami berada di sini hanya buat sementara waktu, dan apabila ada pihak lain yang mahu mengambil alih tugas ini kami, atau lebih tepat saya sendiri, akan berundur dengan rela hati. Sememangnya tidak wajar dan tidak molek bagi seseorang untuk memegang jawatan terlalu lama kerana semakin lama memegang jawatan akan semakin banyak kesilapan sendiri tidak disedari lagi. Semakin lama memegang kuasa seseorang pemimpin mungkin akan terjebak dalam sindrom ayam jantan yang sifat buruknya dipantunkan orang:
Sungai kantan bertembok batu,
Tempat orang membuat perahu;
Ayam jantan memang begitu,
Pandai berkokok bertelur tak tahu.
Boleh jadi juga orang seperti itu akan hanya kelihatan hebat tetapi keupayaannya sudah tumpul sebagaimana diibaratkan:
Sungguh kuat terbang tekukur,
Sayup bunyi mendayu-dayu;
Sungguhpun tajam pisau cukur,
Tapi tak boleh memotong kayu.
Tetapi alangkah baiknya jika sumbangan kita benar-benar ikhlas dan memberikan manfaat kepada masyarakat kerana orang Melayu sedia dengan pakaian adabnya yang sentiasa mengenang budi:
Kalau ada peria pahit,
Belanga baru jerang udang;
Kalau ada budi baik,
Jadi abu dikenang orang.
Sekian, ampun maaf atas kesilapan dan kelemahan diri saya sepanjang menerajui PENA dan sepanjang ucapan ini.
Wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh.
(Saya telah menghadirkan diri ke Rumah Pena, Kuala Lumpur bagi menyokong idealisma persatuan. Pengalaman dua siang dan sata malam di sana sangat berharga- Muhd Shatar)