14 November 2013

Seandainya Salah Seorang dari Mereka adalah Anak Kita...

Salam budiman tuan dan puan,
 
Bila melihat situasi ini, hatiku merayap dengan sayu yang berlebihan. Memikirkan kalaulah anakku sedang meniti (seperti gambaran jambatan maut) sedangkan di bawahnya arus dengan kedalaman tidak diketahui - pasti aku tidak merelakan.
Alah tegal dek biasa - itulah ungkapan terbaik untuk para ibu dan bapa mereka. Kematian adalah yang pasti berlaku. Mencari pendekatan selamat adalah tanggungjawab ibu bapa dan pihak yang bergelar pemilik kuasa.
Aku melihat mereka diajar dengan begitu payah mengumal erti hidup yang penuh likuan untuk mengejar masa depan. Anak pendalaman seperti mereka lebih kuat jiwa dari kita. Sekitar zamanku sewaktu kanak-kanak di bangku Sekolah Rendah Bukit Panau tidak sehebat mereka. Aku berbasikal hanya sejauh 6 km dan ada waktu berjalan kaki atau mengheret basikal yang pancit tayar. Itulah cabaran agak kecil tidak besar seperti mereka di dalam gambar di atas.
Paling tidak, yang boleh membawa maut akan menungguku ialah ketika hendak melintas jalan besar menghubungkan Tanah Merah ke Pasir Mas yang sentiasa dipenuhi laluan kenderaan yang agak laju.
Jika diperbandingkan; kanak-kanak di atas lebih tabah dan kuat cabarannya.

Secebis gambar ini mendekatkan dengan sebuah perasaan sayu. Aku teringatkan anakku. Mereka seperti susuk anak. Tak  sabar melihat dunia mengikut kaca mata kehidupan mereka sendiri...

Coretan; MUHD SHATAR

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU