09 November 2013

Keajaiban Islam, Mayat Guru Pengajar Al-Quran dan Kisah Isteri Taat Suami Tak Mereput; Kisah di Kg Batu Badak, Segamat, Johor

Salam 1 pengajaran,

Pembaca budiman, khususnya para pelajar dikasihi Allah sekalian,

Saya memetik kisah ini dari dua akhbar utama di negara kita. Harian Metro dan Berita Harian (09.12.2013). Sebagai pengajaran dan ikhtiar untuk merubah diri kepada individu yang lebih baik, kisah sebegini amat perlu dihayati dalam mencari keinsafan.

Pelajar sekalian, kematian adalah perkara yang sangat elok diingati setiap masa. Justeru apabila ada kematian kita diwajibkan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan jika tiada keuzuran dibenarkan syarak.
Kisah arwah Maheran binti Jaaffar, 74, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 2006.Kuburnya digali untuk dipindahkan ke tempat yang lain bagi tujuan pelebaran jalan Segamat- Ledang. Kuburnya antara 350 kubur lain yang terpaksa dipindahkan. Jenazah arwah Maheran binti Jaaffar dipindahkan ke Tanah Perkuburan Kg Alai (tidak jauh dari situ). Sewaktu menguruskan penggalian kubur arwah Maheran binti Jaaffar para petugas tercium bau wangi dan didapati mayat arwah Maheran binti Jaaffar masih elok biarpun dikebumikan sejak tahun 2006.
Keadaan mayat yang berbau wangi dan tak mereput.
Ini satu keajaiban yang jarang berlaku kepada mayat-mayat lain yang dikuburkan. Alhamdulillah, inilah yang kita mahukan - siapa yang tidak mahu mati dalam keredaan Allah bersama perjuangan kepada agama.
Dikatakan arwah Maheran binti Jaaffar sewaktu hayatnya sering mengajar al-Quran kepada kanak-kanak di kampung beliau selain, mempunyai perwatakan pendiam.
              Menurut laporan akhbar, hasil dari maklumat dari kaum keluarganya, arwah Maheran binti Jaaffar seorang isteri yang taat kepada suami. Ya, saya pun membaca satu hadis yang menceritakan tentang kelebihan isteri yang taat kepada suami layak mendapatkan syurga. Berapa ramai isteri pada hari ini yang kerap melukakan hati suaminya dengan kata-kata kasar apatah lagi melepasi batas yang dikatakan sempadan derhaka (nusyuz). Lihat hadis dilampirkan di bawah.
Selain itu, arwah Maheran binti Jaaffar seorang yang taat kepada suruhan agama, banyak bersedekah serta mengamalkan zikir.

Bahkan dikatakan tidak akan bersarapan selagi belum berzikir.

Antara hadis menyebut tentang pentingnya isteri mentaati suami;
 
1. Baginda Nabi Muhammad S.A.W bersabda bermaksud: "Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya."    (Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban) 

 2. Baginda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:
"Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?" Baginda menjawab : "Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya."                      (Riwayat Muslim)

3. Daripada Anas, Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Riwayat Imam Ahmad)

Kisah ini amat berguna untuk direnungkan. Menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama adalah satu kemestian. Kewajipan isteri mentaati suami adalah satu kefahaman kepada para isteri. Bersedakah juga memberikan kelebihan besar buat orang yang benar ikhlas. Mudah-mudahan mayat kita juga tidak mereput suatu masa nanti.

Coretan waktu lapang; Muhd Shatar

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU