18 March 2012

Jalan Pintas Wanita ke Syurga

Jalan Pintas Wanita ke Syurga

Oleh Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Tersiar dalam Berita Harian pada 12/03/2012)

 

KEADILAN bagi kaum lelaki dan perempuan dipelihara dengan maha halus lagi maha teliti dari kekuasaan sifat Allah Taala. Di bawah tapak kaki masing-masing, terdapat syurga maha indah. Syurga anak lelaki atau perempuan di bawah tapak kaki ibu. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami yang ditaati. Maha kebijaksana kekuasaan Allah Taala yang mencipta hukum dan putaran ketetapan ini. Dalam menjalani kehidupan berumahtangga, terlalu berat cabaran dan masalah yang timbul sebenarnya sangat memerlukan keperihatinan untuk memahami setiap apa berlaku dengan sabar, dan penuh reda. Isteri perlu menyedari hakikat bahawa lelaki adalah pemimpin kepada rumahtangga, dan tidaklah perlu berhasrat mengambil hak mutlak ini seandainya apa yang diperintahkan oleh suami tidak bertentangan dengan syariat Islam. Firman Allah SWT: “Lelaki adalah pemimpin bagi wanita dengan kelebihan diberikan oleh Allah SWT” ( Surah An-Nisa: ayat 34).
Suami mempunyai ruang-ruang perlu dipenuhi untuk menunaikan kewajipan lain yang diperintahkan oleh Allah Taala, seperti kewajipan menjaga orang tua, menunaikan fardu kifayah seperti menguruskan jenazah, melaksanakan hak kejiranan, hak kemasyarakatan serta ada kewajipan bersama dalam peranan dan tanggungjawab menjaga hal keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat. Selain, terdapat tuntutan utama iaitu berdakwah di jalan Allah mengikut kemampuan. Hakikat ini perlu difahami isteri tentang kewajipan besar suaminya bukan sekadar kepada keluarga namun kepada agama, bangsa dan tanah air.
Nusyuz atau perbuatan derhaka oleh isteri sebagaimana difahami oleh masyarakat kita hari ini hanya berlaku sekiranya isteri enggan menunaikan permintaan suami ke tempat tidur tanpa alasan munasabah. Mengikut hukum syarak, keenganan isteri boleh dikatakan derhaka. Ketidakperihatan isteri terhadap keinginan dan seks suami berupaya melahirkan bibit-bibit perselisihan faham, prasangka dan sekiranya dibiarkan berlarutan nescaya menyumbang berlaku keretakkan dalam rumahtangga. Terlalu besar dosa bagi isteri yang enggan melayan kemahuan suami sebagaimana hadis:
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, dia enggan, lalu suaminya tidur dalam keadaan marah, para malaikat melaknatnya hingga ke subuh. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini secara jelas menunjukkan bahawa isteri perlu memberikan layanan yang paling baik, sopan dan manis kepada suami untuk tidur bersama-sama semoga terhindar dari apa dikatakan derhaka. Syurga dijanjikan kepada para isteri yang melayani kemahuan seks suaminya dengan baik sehinggakan suaminya tidur dengan senang. Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya:
“Mana-mana wanita yang tidur dalam keadaan diredai suaminya maka dia berhak mendapat syurga”. (Riwayat Tarmizi, Ibn Majah)
Sikap menolak kehendak suami secara kerap tanpa ada sebab munasabah, bakal merubah emosi lelaki tidak keharuan, tidak terkawal dan membentuk tindakan kasar serta sukar mengawal kemarahan ditambah lagi dengan kemunculan bisikan iblis yang bertambah mudah membakar kemarahan agar menjadi lebih parah.
Lihatlah betapa besarnya ganjaran kepada isteri yang mentaati perintah suaminya. Sikap merendah diri para isteri untuk menghormati dan melayani kehendak dan keperluan suami amatlah dituntut kerana kaum perempuan paling mudah untuk masuk syurga dengan hanya mentaati suami sebagaimana dijanjikan Allah Taala.
Kaum lelaki sebenarnya dipertanggungjawabkan oleh Allah Taala dengan pelbagai tugas, selain ketua dalam menguruskan rumahtangga yang merangkumi kewajipan mentarbiah isteri dan anak-anak supaya akur dengan penghidupan Islam dari segi ibadat wajib yang ditunaikan serta kewajipan lain seperti menutupi aurat.
Kegagalan suami menegur dan mengawal dengan membiarkan anak dan isterinya terbiar aurat di mata masyarakat serta tidak menghalang batas-batas pergaulan anak di bawah jagaan adalah satu dosa yang tak tertanggung.
Kaum lelaki ditaklifkan oleh Allah dengan pelbagai tanggungjawab, bukan sekadar pemimpin kepada sebuah rumahtangga namun, ada tugas lain yang dituntut dalam Islam. Antara pokok persoalan yang bakal didepani di hadapan Allah Taala untuk sampai ke pintu syurga adalah tentang tugas lain sebagai khalifah di muka bumi seperti tanggungjawab dakwah terhadap agamanya, usia muda yang digunakan. Apakah tanggungjawab terhadap saudara seagama yang lain sewaktu hayatnya, sumbangan kepada negara dan sebagai pemimpin yang punya pelbagai persoalan mesti dijawab.
Beban begitu banyak sebenarnya perlu dipikul oleh kaum lelaki di atas muka bumi ini bukan setakat beban tugas sebagai suami atau bapa kepada anak-anaknya merangkumi aspek-aspek yang lain termasuklah kemestian solat berjemaah di masjid, berbuat baik kepada jiran tetangga, keperihatinan kepada golongan miskin, serta keperluan berfungsi sebagai anggota masyarakat serta adanya kewajipan melaksanakan fardu kifayah seperti menguruskan kematian, melaksanakan amal maaruf dan nahi mungkar bahkan adanya pelbagai tuntutan lain yang harus disedari. Maka, agak sukar bagi kaum lelaki memasuki syurga Allah Taala selagi perkara-perkara ini tidak dilaksanakan.
Lantaran, saranan dan peluang kepada kaum wanita untuk memasuki syurga Allah dengan harus diberikan perhatian dan menjadi keutamaan. Tiada jalan mudah ke syurga melainkan memerlukan pengorbanan dan keimanan yang kuat selain, mentaati suami adalah jalan alternatif membolehkan sampai ke syurga dengan cepat. Namun demikian kaum wanita juga perlu menjaga hal fardu yang lain seperti solat dan mengekalkan kehormatan diri dengan akhlak sempurna bersama memastikan aurat terjaga sebagai syarat yang lain perlu dipatuhi sebagaimana hadis: Sabda Rasulullah: “Jika seorang perempuan telah sembahyang lima waktu, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya pasti dia masuk syurga dari berbagai pintu yang dikehendakinya.” (Riwayat Ibnu Hibban)

No comments:

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU