Beri label negatif mempersenda boleh cetus permusuhan
Oleh Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar (Tersiar di Berita Harian 2012/02/24)
KEWUJUDAN segelintir manusia bersifat mazmumah seperti cepat berhasad, kuat berdengki, menimbulkan khianat, menyembunyikan kenyataan sebenar, suka melihat individu dicela, dipulau, diperkatakan peribadinya dan dinafikan hak seterusnya tersisih adalah sukar dibendung.
Kehadiran golongan ini sukar dielakkan di dalam komuniti perjawatan, masyarakat, persekitaran tempat kerja dan penempatan manusia. Menangani golongan ini terlalu sukar kerana sifat sedemikian hanya dapat diatasi dengan memiliki kesedaran beragama dan rasa tanggungjawab sebagai mukmin sejati yang mengetahui natijah timbul akibat sesuatu tindakan, perbuatan dan amalan negatif dilakukan seperti maksud hadis Rasulullah SAW.
Daripada Abu Hurairah ra bahawa sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Janganlah kamu dengki-mendengki, janganlah tipu-menipu, janganlah benci-membenci, janganlah berpaling muka, dan janganlah berjual beli di atas jualan orang lain. Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam dengan orang Islam adalah bersaudara. Mereka tidak boleh menzalimi, tidak boleh membiarkan dalam kehinaan, tidak boleh berbohong dan menghina sesama Islam. Takwa itu ada di sini. Kata Nabi Muhammad SAW menepuk sebanyak tiga kali ke dadanya. Memadai seseorang itu dianggap jahat apabila dia menghina saudaranya. Setiap orang Islam ke atas orang Islam lain haram darah, harta dan kehormatan. (Riwayat Muslim)
Janganlah kamu dengki-mendengki, janganlah tipu-menipu, janganlah benci-membenci, janganlah berpaling muka, dan janganlah berjual beli di atas jualan orang lain. Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. - Riwayat Muslim
Dalam menjalani kehidupan seharian di rumah, pejabat, masjid, kampus dan taman perumahan biasanya wujud pengasingan aktiviti disebabkan beberapa alasan seperti perbezaan fahaman parti, minat, kecenderungan serta tingkat kedudukan dan pangkat seseorang. Jelas, perpecahan umat Islam kerana pergeseran politik, menimbulkan keretakan, perselisihan dan prasangka sejak dulu lagi sudah cukup menjadi barah terhadap perkembangan kemasyarakatan di negara kita.
Selain itu, ada manusia memiliki kedudukan, atau lebih berkuasa dalam masyarakat sering mengeluarkan kenyataan, pendapat dan tanggapan label yang boleh memecahbelahkan perpaduan tanpa memikirkan kesannya. Paling keji, apabila ada sesetengah pihak sanggup mencipta istilah dan memberi label lebih menjurus kepada maksud negatif yang boleh melahirkan pelbagai fahaman, persepsi dan tafsiran bersifat liar dan tidak tepat kepada seseorang yang ditujukan.
Individu yang diberikan label tertentu, atau ungkapan buruk sudah pasti akan menerima hukuman selamanya dan istilah itu akan merantai kehidupannya. Sikap gemar melabel dengan ungkapan tidak baik ini sudah cukup berkesan dalam memecahbelahkan keharmonian masyarakat dan memberikan tekanan kuat kepada golongan yang ditujukan. Justeru, orang berkedudukan atau berpengaruh perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan, pendapat dan tafsiran tertentu kerana apa diperkatakan olehnya akan menjadi pegangan yang diikuti orang ramai.
Larangan amalan, perbuatan, dan perkataan yang mengandungi unsur penghinaan, celaan dan bahan cemuhan dijelaskan dalam ayat al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11).
Dalam persekitaran tempat kerja juga wujud budaya melabel bertujuan menghalang saingan dalam mengharapkan imbuhan, jawatan, anugerah dan pembahagian tugas. Dalam hal ini, jika seseorang pekerja diberikan label tertentu oleh pihak berpengaruh, individu itu biasanya akan tersisih atau dipinggirkan pekerja lain, malah tidak mendapat perhatian dari pihak pengurusan.
Justeru, pembinaan falsafah kemuliaan diri boleh dibina dengan sentiasa memahami maksud ayat al-Quran yang boleh menjadikan seseorang berfungsi dengan baik walau di mana dia berada, bekerja dan bergaul. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa juga. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawatan, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri”. (Surah an-Nisa, ayat 36)
No comments:
Post a Comment