13 September 2009

MENCARI CIRI-CIRI PROFESSIONAL DALAM KERJAYA DALAM ISLAM

Oleh Ust Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar(muhd@live.com.my)


Islam dalam sebuah pakej lengkap, merentasi segala perkara, merangkumi segala aspek dalam kehidupan, malah dalam bidang kerjaya, Islam amat menekankan betapa perlunya sikap profesional dalam melakukan sesuatu kerjaya. Seperti mana difahami, kerja adalah satu amanah yang diperlu dilaksanakan setelah berlaku perlantikan oleh mana-mana majikan. Manakala pengertian profesionalisme ialah sifat-sifat (kemampuan, kemahiran, cara pelaksanaan sesuatu dan lain-lain), sebagaimana yang sewajarnya terdapat pada atau dilakukan oleh seseorang profesional. (Kamus Dewan DBP : Edisi Ketiga)
Islam mengariskan etika yang tertentu bagi menyedarkan penganutnya supaya apabila menjalankan tugas (kerjaya) haruslah mengutamakan aspek-aspek yang tertentu seperti :

-menepati masa
-hormati-menghormati
-berhikmah
-jujur dan bertanggungjawab
-berdisiplin dan kemas
-cuba memahami masalah sedalamnya
-berkeyakinan
-tenang apabila berhadapan dengan masalah

Setiap pekerjaan ada matlamatnya yang tersendiri – justeru seseorang individu harus berusaha untuk mencapai matlamat dan visi majikan atau ketua sesebuah bahagian. Bermakna sikap atau budaya berkerja bersungguh harus dimiliki dan dilakukan dengan baik. Islam amat menitikberatkan tentang kewajipan berkerja dengan bersungguh-sungguh demi mengubah keadaan diri atau nasib sesebuah bangsa sebagai mana firman Allah :
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesautu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
(ar-Ra’du 13 : 11)
Apabila membicarakan tentang pekerjaaan, maka akan wujud pula sebuah masyarakat dalam sesebuah tempat pekerjaan. Di sini jugalah menguji sejuah mana kemampuan sikap profesional sesama rakan sekerja. Kita akan berhadapan dengan pelbagai ragam dan gelagat rakan setugas yang kadang kala boleh menimbulkan ketegangan atau perbalahan atau sikap bermasam muka jika sebarang bentuk urusan dalam perkerjaan tidak dapat disalurkan atau cara berinteraksi secara positif dan baik.
Apatah lagi jika terdapat pula segelintir pekerja yang malas dan suka mengambil kesempatan dengan melepaskan beban kerja kepada pekerja lain. Sikap melepaskan beban tugas atau tidak melaksanakan bidang kerja yang telah diarahkan sebalik cuba mengalihnya kepada pekerja lain atau apabila datang pekerja baru maka kesempatan ini digunakan sepenuhnya. Islam amat mengutuk sifat sebegini kerana wujudnya penganiayaan kepada golongan tertentu yakni yang lemah.
Sikap seperti peribahasa melayu lama “seperti melepaskan batuk di tangga” harus dijauhi dari nurani setiap pekerja. Ini kerana jika leluasanya sikap ini maka – berlaku kerugian kepada pihak majikan atau pihak lain yang terbabit seperti profesion perguruan memerlukan guru yang benar-benar bersungguh dalam menyampaikan pengetahuan kepada pelajar. Bermaksud tanggungjawabnya bukan sekadar menyampaikan ilmu sahaja bahkan memastikan pelajar memahami seluruhnya pada kadar yang diyakininya.
Bahkan sikap “seperti melepaskan batuk di tangga” jika tidak dibendung melalui forum atau ceramah kerjaya - akan membantut kadar penjenamaan perkerja yang berkualiti dalam segala bidang.
Dalam Islam, amanah adalah perkara yang terletak dalam martabat yang tinggi. Kemampuan melaksanakan amanah dengan sebaiknya dan kegagalan dalam menepati amanah telah dijanjikan balasan yang buru kepada sesiapa yang tidak mementingkan sesuatu tanggungjawab yang diberikan apatah jika diberikan gaji atau upah. Istilah gaji buta perlu diambil berat oleh mana-mana individu yang berada dalam bidang pekerjaan kerana itulah kelak sebagai pendapatan hidup. Jangan sesekali kita haramkan sumber pendapatan dengan tidak menjalankan kerja dengan sebaiknya.
Budaya kerja yang positif harus dilatih ke dalam diri – seperti bijak mengawal suasana kerja dengan memperlihatkan emosi diri yang stabil, sentiasa menggunakan pendekatan berhikmah dalam menghadapi konflik atau masalah dan juga cuba bersikap memahami. Keiklasan kerja juga perlu diletakkan dalam jiwa agar setiap apa yang dilakukan mendapat kepuasan semua pihak. Sekalipun kita yakini, segala tindakan atau keputusan tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak namun, kesungguhan dan keinginan hati kita yang sentiasa berusaha untuk memuaskan hati semua harus dilaksanakan sebagai etika kerja yang sihat.

(Telah tersiar dalam majalah alumni Maahad Muhammadi tahun 2006)

No comments:

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU