23 August 2009

Ramadan Yang Manis

Salam para pelajar yang dirahmati Allah Taala

Sudah sehari kita berpuasa yang menandakan ada kelainan dalam kehidupan kita berbanding dengan hari-hari yang lalu. Cabaran utama lapar dan dahaga perlu ditempuhi dengan tabah sesekali terlihat air minuman mahupun maggi cuma ketinggian iman mampu menghindarinya.
Pelajar jangan sesekali terpedaya dengan hasutan shahwat yang selalu mengoda supaya membuka puasa kerana terpengaruh dengan makanan atau minuman. Meninggalkan puasa pada bulan ramadan kemudian tidak sama dengan gantian puasa pada bulan selepas ramadan sebagaimana hadis:

Rasulullah Saw menekankan kewajipan berpuasa dalam sabdanya: "Sesiapa yang tidak berpuasa sehari pada Ramadan tanpa keuzuran yang diizinkan Allah, kemudian dia berpuasa sepanjang hayat untuk menggantikan puasa pada Ramadan, maka nilai dan ganjarannya tidak akan sama." (Hadis riwayat Al-Tirmizi).

Justeru, ketabahan hati untuk berniat untuk berbuka puasa hanya kerana terpengaruh dengan makanan ataupun minuman hendaklah dibuang ke tepi. Memperkuatkan iman dengan zikir serta selalu mengingatkan diri kepada Allah adalah jalan ke arah membetulkan ibadat puasa kepada laluannya.
Perkara yang membatalkan puasa:
a) Makan dan minum
b) Bersetubuh dengan isteri pada pada siang hari bulan Ramadhan walaupun tanpa keluar mani.
c) Mengeluarkan air mani dengan perbuatan secara lansung yang disengajakan seperti mengeluar dengan tangan (sama ada tangan sendiri atau tangan isteri), bercium atau berpelukan dengan isteri dan sebagainya. Adapun jika keluar mani kerana melihat atau berfikir/khayal, tidaklah membatalkan puasa, kerana ia seumpama mimpi, kecuali orang yang menjadi kebiasaan baginya. Namun begitu perbuatan tersebut adalah makruh. Begitu juga, jika yang keluar adalah air mazi, tidaklah membatalkan puasa.
d) Memasukkan sesuatu ke rongga dalam badan (iaitu rongga halqum ke perut, rongga kepala (otak), usus dan pundi kencing) melalui saluran yang terbuka di badan. Sama ada benda yang dimasukkan itu kecil atau besar, makanan atau bukan makanan. Yang dimaksudkan saluran terbuka pada badan itu ialah mulut, hidung, telinga, kemaluan/faraj (saluran kencing) dan dubur (saluran berak).
Di antara perkara yang membatalkan puasa;
i. Menitik atau memasukkan air/ubat ke dalam dubur (saluran berak) dan kemaluan/faraj (saluran kencing)
ii. Memasukkan air/ubat ke dalam telinga jika sampai ke bahagian dalam telinga
iii. Memasukkan kayu atau sebagainya ke bahagian dalam telinga
iv. Menyedut air/ubat melalui hidung hingga melepasi bahagian akhir hidung (yakni hingga sampai ke kepala) atau hingga masuk ke kerongkong.
v. Memasukkan asap ke hidung atau ke kerongkong (menghisap rokok)
vi. Berlebihan ketika berkumur atau membasuh hidung hingga masuk air ke kerongkong atau ke kepala
vii. Memasukkan ujung jari ke dalam dubur atau faraj melebihi had yang diperlukan ketika beristinjak tanpa darurat
e) Kedatangan haid dan nifas. Wanita apabila kedatangan haid atau nifas, maka batallah puasanya dengan sendirinya. Namun wajib ke atasnya menggantikan puasanya yang tertinggal kerana kedatangan haid dan nifas itu pada hari-hari lain di luar Ramadan.
f) Pengsan sepanjang hari. Jika seorang berniat pada malam hari untuk berpuasa, kemudian pada siangnya ia pengsan sejak dari mula terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari, maka batallah puasanya dan wajib ia menggantinya pada hari yang lain. Namun jika ia tersedar pada mana-mana waktu dari siang itu, tidaklah batal puasanya.
g) Gila. Jika seseorang itu menjadi gila, batallah puasanya kerana ia telah hilang darinya kelayakan untuk beribadah. Dan tidak wajib atasnya (menggantikan) puasanya itu kerana kewajipan puasa itu gugur darinya pada masa hilang syarat taklif darinya iaitu berakal. Ia seumpama seorang yang tidak berpuasa kerana masih kecil, maka tidak perlu ia menggantikan puasanya kerana belum mencukupi syarat taklif padanya iaitu baligh (sampai umur).

No comments:

SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI TULISAN BLOG INI YANG BERLALU